November 7, 2014

DYMM Sultan Selangor Merasmikan Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah & Seminar Kanun Jenayah Syariah


Shah Alam, 13 Muharram 1436 = 06 November 2014 (Khamis):
DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah pagi ini merasmikan Multaqa yang dinamakan atas nama Baginda bersama Seminar Kanun Jenayah Syariah bertempat di Auditorium Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz  Shah di Shah Alam, Selangor  Darul Ehsan. Multaqa diadakan sebagai penerusan  dari Multaqa yang lepas yang telah diadakan sejak 2005 dan kali ini merupakan kali ke lima dan sempena Multaqa ini diadakan seminar Kanun Jenayah Syariah. Pengalaman  Kerajaan Negara Brunei telah melaksanakan  Hukum Hudud di Negara  itu, maka  untuk mendapat maklumat dan contoh perlaksanaan Hukum Hudud tersebut,  dijemput Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam  Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Joned menyampaikan Ucap Utama berjudul:
Kanun Jenayah Syariah: Satu Pengenalan.


Sebelum itu selepas pembacaan Al-Qur`an  oleh saudara Fahmi Ashraf Johan Tilawah Al-Qur`an Negeri Selangor dan doa oleh Timbalan Mufti Dato` Abdul Majid bin Omar yang berhubung dengan perundangan Islam (ayat Qur`an dan Doa) DYMM Sultan berkenan menyampaikan Titah Perasmian Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Seminar Kanun Jenayah Syariah. Menurut  Titah Baginda, Undang-Undang Islam telah bermula sejak zaman Melaka lagi sebelum kedatangan Portugis 1511. Pada tahun 1985 aturan Jenayah Syariah diasing dari undang-undang sivil yang diperkenalkan oleh British. Perlembagaan Persekutuan meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan . Kerajaan negeri melaksanakan perjalanan agama dan usaha dilakukan agar tidak berlaku pertentangan  antara peruntukan agama Islam peringkat Persekutuan dengan negeri. Menurut DYMM Tuanku,
``Berhubung dengan  Kanun Jenayah Syariah, sebahagian besar tidak memahami apa itu Akta Jenayah Syariah, sejarah dan perkembangan,``  Titah Tuanku lagi, ``Dengan adanya multaqa dan seminar pada hari ini  dapat memberi  keluasan maklumat bagi pengamal undang-undang syariah  dan kefahaman kepada orang ramai.``
Penggubalan Undang-Undang Syariah melalui Jabatan Mufti yang mengeluarkan fatwa-fatwa. Titah Tuanku,
 ``Fatwa-fatwa dikeluarkan oleh pihak Mufti. Fatwa tidak bermaksud dari segi harfiah sahaja, tapi penelitian dan penafsirannya dilakukan oleh AJK Fatwa di Jabatan Mufti Selangor.``
Baginda Tuanku Sultan mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Mufti dan semua mereka yang terlibat menjayakan Multaqa dan Seminar.  Tepat jam 10.50 pagi dengan lafaz Bismillahir-Rahmanir-Rahim  Baginda merasmikan Majlis`Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah & Seminar Kanun Jenayah Syariah.
Hadir sama ke majlis ialah Y.A.B. Tuan Azmin bin Ali Dato` Menteri Besar Selangor, Y.B. Dato` Haji Mohammed Khusrin bin Haji Munawi Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Exco-Exco, Adun.Adun dan Ahli-Ahli Parlimen, Ahli-Ahli  Mesyuarat Di Raja, Orang-Orang Besar Daerah, Wakil-Wakil Jabatan-Jabatan Mufti Negeri –Negeri dan pegawai-pegawai kerajaan.
Sebelum daripada Tuanku Sultan menyampaikan ucapan dan Perasmian Y.A.D Dato` Setia Haji Mohd Tamyes bin Abdul Wahid Dato` Seri Utama Mufti Kerajaan Negeri Selangor yang juga selaku Pengerusi sambutan menyampaikan kata-kata alu-aluan. Menurut Sahibus Samahah.
``Keberangkatan DYMM Tuanku merasmikan Multaq dan Seminar Kanun Jenayah Syariah memberi makna yang cukup besar tentang prihatin Tuanku Sultan terhadap Multaqa dan Seminar Kanun Jenayah Syariah yang meningkatkan syiar Islam disamping percambahan ilmu dan  mempertajamkan minda.


Menurut Sahibus Samahah, kegiatan Multaqa berterusan, Kini adalah siri kelima selepas berlangsungnya pada tahun 2005, 2006, 2008 dan 2010 menurut tema bersesuaian dengan  tahun-tahun berkenaan. Kini  adalah kali kelima  dengan Seminar Kanun Jenayah Syariah. Menurut  Sahibus Samahah, ``Semua kertaskerja-kertaskerja yang dibentangkan di dalam seminar di multaqa-multaqa yang disebutkan diterbitkan dalam bentuk prosiding yang dapat dijadikan panduan pengamal undang-undang dan panduan keilmuan bagi kalangan pelajar-p elajar dan pengkaji-pengkaji.
Beliau menyebut, ``Kita mengucapkan terima kasih di atas kesudian Mufti Negara Brunei Darussalam Yang Berhormat Pehin Datu Seri Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang  Abdul Aziz bin Juned yang sudi menyampaikan Ucaputama. Dengan pengalaman YB  Datu Seri  Maharaja berhubung dengan Kanun Jenayah Syariah dan juga Mufti yang mengepalai  Pentadbiran agama Islam  di Brunei memberi  peluang kita memahami perjalanan Kanun Jenayah dan membandingkan dengan perjalanan  yang berlaku di Negeri Selangor.
Sahibus  Samahah  juga menyebutkan di samping mengikuti Seminar dan pembentangan kertaskerja  `Kanun Hukum Jenayah Syariah:  Perlaksanaan Dan Cabaran` oleh Yang Mulia Tuan Haji Mohammad Yusree bin Haji Junaidi Penolong Peguamcara Negara Brunei, majlis dapat mengikuti forum  pada jam 2.15 petang
 Bertajuk:
Kanun Jenayah Syariah Dari Perspektif Perlembagaan & Masyarakat Majmuk Di Malaysia
Tokoh-Tokoh Ahli Panel ialah,  Prof  Emeritus  Dato`  Dr. Mahmood Zuhdi bin Haji Ab. Majid Dekan Istac dan Prof. Madya Dr. Sham Rahayu bt. Ab. Aziz Pakar Perlembagaan Malaysia dari UIAM yang kini sebagai Felo Undang-Undang di IKIM.  Dengan hadirnya  tokoh-tokoh berkenaan menjadikan majlis lebih  menarik untuk diikuti.
Multaqa dan Seminar memberi  faedah kepada orang ramai, kerana selama ini soal hudud dan Kanun Jenyaha Syariah dibincang di kalangan orang-orang  politik dan pengamal undang-undang,  kini dapat diikuti orang ramai yang diharap dapat memberi penjelasan mengapa Undang-Undang Jenayah Syariah popular dibincangkan di Kelantan dan sebelum itu di Terengganu yang diharap diiaksanakan, tiba-tiba terlebih dahulu dilaksanakan di Brunei dan juga Acheh.

Sekian.

No comments:

Post a Comment