July 7, 2015

Bengkel Merancang & Pengimarahan Masjid Al-Umm: Falsafah Persyarikatan & Memasyarakatkan Ilmu


BBB,  19 Ramadhan 1436 = 06 Julai 2015 (Isnin):
Walaupun sudah diadakan Bengkel `Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu` pada 16 Sya`ban 1435 = 14 Jun 2014 dan dibentangkan kertas kerja `Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu – Integrasi Berbagai Institusi Berindukkan Masjid Al-Umm`, tetapi kertas ini terhad kepada membicarakan fungsi Masjid Al-Umm di Wadi Ilmu sebagai pemangkin bagi Bangi Bandar Ilmu. Bengkel ini bukan dianjurkan oleh Masjid Al-Umm, tetapi oleh Persatuan Pemuda Prihatin Bangi dengan kerjasama Sekretariat Bangi Bandar Ilmu. Cuma Penulis sewaktu sedang berusaha dengan AJK Pembangunan Masjid Al-Umm membangunkan masjid berkenaan, maka Penulis mengemukakan antara hasrat awal bahawa fungsi Masjid Al-Umm antaranya berperanan Merealisaikan Bangi Bandar Ilmu yang tajuk kertas kerja pun mencerminkan hasrat dan pendekatan bagi kertas kerja berkenaan.



Bengkel yang benar-benar dan pertama kali dianjurkan oleh Masjid Al-Umm melalui AJK Pendidikan bagi merancang & Pengimarahan Masjid dengan kegiatan keilmuan (pendidikan, pengajaran dan Pengajian) ialah `Bengkel Untuk Merancang & Mengimarahkan Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi` yang diadakan pada 26 Zulkaedah 1435 = 21 September 2015 (Ahad) bertempat di Puri Pujangga (Hotel), UKM. Bengkel ini bertujuan membincangkan  tentang pengisian dan kegiatan yang patut dilakukan bagi mengimarahkan Masjid Al-Umm. Ia merupakan fasa kedua yang lebih utama selepas fasa pertama pembinaan fizikal Masjid Al-Umm siap. Penulis selaku Pengerusi Pembinaan Masjid Al-Umm diberi amanah menyiapkan kertas kerja berkenaan.
Pengimarahan masjid hendaklah bersesuaian dengan fungsi masjid iaitu, ``Masjid adalah tempat ibadat, menyibarkan ilmu pengetahuan dan kegiatan kemasyarakatan bagi membangunkan ummah, maka kertas kerja yang disediakan adalah berfokus kepada aspek-aspek di atas, terutama dari segi menyebarkan ilmu pengetahuan kepada jamaah masyarakat yang dengan keilmuan dapat meningkatkan kualiti jamaah dalam menunaikan ibadat dan meningkatkan juga kualiti dari segi hubungan dan kegiatan kemasyarakatan.
Cuma dalam konteks masyarakat dan jamaah di Bandar Baru Bangi yang penduduknya relatifnya disifatkan sebagai masyarakat intelektual sesuai dengan Bangi Bandar Ilmu dan di dalam konteks masjid  ramai pula kalangan ulama dan mereka yang pakar dan mendalam dalam bahagian agama Islam berada di Bangi, maka Penulis mengambil pendekatan, bahawa kita tidak bertujuan mau mengajar mereka yang pandai dan menjadi bahagian dari jamaah masjid, kerana mereka sudah pandai dan jika kita mengajar kalangan ahli jamaah dan masyarakat di BBB, maka mereka tidak lain dari keluarga kita atau sekurang-kurang saudara kita sesama Islam atau jika belum menerima hidayah, maka kita berusaha agar mereka menjadi sebahagian dari keluarga kita – saudara sesama Islam. Jadi motto yang dijadikan panduan di dalam pengajaran ialah:
Persyarikatan Ilmu & Memasyarakatkannya
Maksud `persyarikatan` bahawa ilmu Allah begitu luas (Al-Kahfi: 109), setiap kita berusaha mendapatkannya, tapi apa yang kita dapati sebenarnya tidak sebanyak mana dan tidak berkekalan – hilang dengan lupa dan kematian.
Walaupun sedikit ilmu yang didapati oleh mereka yang mengusaha mempelajarinya, maka yang didapati dari yang sedikit itulah melahirkan para ilmuan dan intelektual yang menerangi kemajuan dan terbinanya tamaduan dan peradaban. Di dalam kontek BBB sebahagian daripada ilmuan dan para intelektual bermukim di BBB, lantaran di sini banyaknya pusat-pusat pengajian tinggi dan mereka menghuni di BBB bagi memberi khidmat keilmuan mereka di berbagai-bagai institusi berkenaan. Sebahagian daripada mereka pula menjadi ahli jamaah masjid. Kepada para ilmuan berkenaan, tidaklah masjid bertujuan untuk mengajar mereka yang sudah pandai, khususnya di dalam bidang keilmuan yang mereka sudah tahu, tetapi kita mau mereka menjadi sebagai sebahagian dari jamaah yang berkualiti tinggi, maka yang diharapkan kepada mereka bukan saja turut menjadi ahli jamaah semata-mata, tetapi turut sama memberi sumbangan keilmuan dan kepakaran mereka kepada ahli jamaah dan pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian. Bermaksud mereka turut sama memberi sumbangan mengajar keilmuan dan kepakaran merek. Ini adalah antara maksud persyarikatan Ilmu yang ada pada diri yang memberi dan dari satu segi lagi, bahawa ilmu yang dipelajari oleh pelajar-pelajar dan pengaji-pengaji itu, bermakna mereka tumpang bersyarikat sama dari ilmu yang disampaikan oleh ilmuan dan pakar tersebut.



Dari segi memasyarakatkan ilmu, bahawa ilmu yang diajar disampaikan kepada khalayak jamaah yang mengikuti pengajian. Dengan ini ilmu yang asalnya ada pada pengajar meluas berkembang kepada yang belajar. Dengan keilmuan yang diajar dan dipelajari sebenarnya memperbaiki mutu keilmuan seseorang dan meningkatkan kualiti amalan. Sebagai contoh seorang pelajar atau pengaji yang tidak begitu betul dari segi amalan ibadat, katakan tidak betul dari segi membaca fatihah, maka dengan pengajaran yang diterima dari guru, maka pembacaannya menjadi betul, jadi pengajaran yang diterima dapat memperbaiki ilmu dan amalan bagi yang belajar tersebut, maka dengan itu kesemua pihak dapat ganjaran pahala.
Memasyarakatkan ilmu juga memberi erti dari segi memperbanyak dan melengkapkan khalayak dan jamaah dengan ilmu pengetahuan sebagai warga Bangi Bandar Ilmu, maka dengan memasyarakatkan ilmu mempertingkat, meramai, melengkap dan mempertinggikan ilmu dan kualiti setiap ahli warga Bangi dengan ilmu pengetahuan dan kualiti amalan, pelonjakan masyarakat dari segi ilmu pengetahuan berkenaan, adalah merupakan peningkatan kualiti insan dan ilmu pengetahuan kepada piawayan lebih tinggi dari segi Takmilah kemasyarakatan. Peningkatan yang berlaku adalah mereka yang dari kalangan keluarga kita, jiran tetngga, bahkan saudara-saudara kita yang sebenarnya memberi manfaat kepada kita. Ianya bukan semata-mata tugas sosial, tetapi adalah kewajipan dari segi agama Islam terhadap penganut-penganut dan umat.  Dalam kata lain falsafah dan konsep persyarikatan dan memasyarakatkan ilmu adalah mekanisme bagi perjalanan kualiti insan dan kelompok masyarakat ke arah nilai dan mutu yang semakin baik. Ianya sebenarnya juga adalah mekanisme yang meningkatkan tamadun dan peradaban manusia di dlam berbagai bidang melalui berbagai ilmu pengetahuan.
Dalam kata lain, Masjid Al-Umm berperanan dalam meningkatkan ilmu keislaman bagi membaiki amalan. Peranan ini sama dipikul masyarakat intelektual setempat bagi mengangkat kualiti masyarakat yang mereka adalah dari keluarga, jiran tetangga dan saudara-saudara kita yang dengan peningkatan kualiti ilmu meningkatkan mutu amalan dalam kehidupan masyarakat yang aman dan bersefahaman.

Sekian.

July 6, 2015

Masjid Al-Umm Di Wadi Ilmu Pemangkin Bangi Bandar Ilmu


BBB,  18 Ramadhan 1436 = 05 Julai2015 (Ahad):
Untuk menjadikan Masjid Al-Umm sebagai pusat ibadat dan pengajian, maka sebagaimana mendirikan bangunan fizikal masjid ada perancangan, maka demikianlah juga dengan pengisian dan pengimarahan juga  perlu ada perancangan dengan teliti. Demikianlah dalam tempoh setengah tahun (16 Sya`bn 1435 – 03 Rabiu al-Akhir 1436 = 14 Jun 2014 – 24 Januari 2015) selepas setengah tahun bangunan Masjid Al-Umm didirikan sudah ada tiga kali bengkel diadakan berkait dengan pengimarahan Masjid Al-Umm. Bengkel kali pertama bertarikh 14 Jun 2014 (di atas) bertempat di Puri Pujangga, UKM, tetapi tidaklah secara langsung membicarakan tentang pengisian dan pengimarahn Masjid Al-Umm, tetapi Masjid Al-Umm dilihat berada di Wadi Ilmu sebagai pemangkin bagi Bangi Bandar Ilmu (BBI). Bengkel kali kedua ialah Bengkel Untuk Merancang & Mengimarahkan Masjid Al-Umm, Bandar Baru Bangi bertarikh 26 Zulkaedah 1435 = 21 September 2014 juga bertempat di Puri Pujangga, UKM demikian pada tempat yang sama berlangsung Bengkel Ketiga iaitu Bengkel Penentuan Dan Penulisan Program Pengimarahan Masjid UKM bertarikh 03 Rabiu al-Akhir 1436 bersamaan 24 Februari 2015.


Bengkel Pertama adalah berjudul `Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu` sebenarnya dianjurkan oleh Persatuan Pemuda Prihatin Bangi dengan kerjasama Sekretariat Bangi Bandar Ilmu. Terdapat dua kertas kerja dibentangkan dalam bengkel tersebut. Pertama kertas kerja berjudul `Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu – Integrasi Berbagai Institusi Berindukkan Masjid Al-Umm. Kertas sesi pertama ini dibentangkan oleh Penulis dan kertas kerja kedua berjudul `Indikator Dan Cabaran Bangi Bandar Ilmu` dibentangkan oleh Profesor Madya Dato` Dr. Ab. Halim Tamuri. Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Kedua-dua kertas kerja ini diterbitkan oleh Sekretariat BBI (2014). Semasa pembentangan kertas kerja ini Penulis selaku Pengerusi Pembinaan Masjid Al-Umm yang masjid dari segi fizikalnya setengah tahun dalam pembinaan (mulai dibina 10 Disember 2013), maka Penulis membentangkan dari segi visi dan misi pembinaan Masjid Al-Umm berkenaan sebagai pemangkin bagi BBI. Pendekatan ini adalah merupakan pendekatan mikro bagi merealisasikan BBI, iaitu bertolak dari sebahagian kawasan BBB dengan program yang lebih kecil dan kemudian boleh berkembang dengan lebih luas ke seluruh Bangi. Adapun pendekatan yang diambil oleh pembentang kertas kerja kedua Dr. Ab. Halim Tamuri, ialah pendekatan secara makro. Maksud pendekatan secara makro dalam mana kertas kerja bertolak dan melihat bahawa seluruh Bandar Baru Bangi adalah merupakan Sebuah Kampus Terbuka dan masjid-masjid dan surau-surau merupakan sebahagian dari infra-struktur bagi BBI. Sebagai sebuah kampus universiti perlu ada kepimpinan ilmu, pejabat, perpustakaan, tenaga-tenaga akademik, pekerja-pekerja dan berbagai kemudahan sebagai sebuah `Universiti Terbuka Secara Praktikal`, termasuklah memerlukan peruntukan kewangan yang besar. Kertas ini tidak membicarakan tentang masjid secara khusus, apa lagi peranan Masjid Al-Umm yang relatifnya belum siap, maka tidaklah dibicarakan kertas ini di sini.
Kertas yang mengambil pendekatan mikro oleh Penulis, bertolak dari bahagian dari BBB, iaitu melihat Masjid Al-Umm dan kegiatan yang bakal diambil, khususnya dari segi keilmuan dan pengimarahan adalah pemangkin bagi BBI yang mekanisme berkenaan dapat diperluaskan ke seluruh BBB.  Masjid Al-Umm dari segi lokasinya berada di antara lembah bukit Bangi, lantaran itu dikenali sebagai berada di Wadi Ilmu. Secara Makro BBB mempunyai dua buah masjid (sebuah lagi ialah Masjid Al-Hasanah), 30 buah surau (kini lebih dari jumlah ini), sebuah Kompleks Pendidikan Islam (KPI), sebuah Dar al-Shifa`, dikelilingi sejumlah universiti (20), Pusat-Pusat Penyelidikan (10), sekolah (10), tahfiz dan pra sekolah. Jika secara makro adalah dilihat Masjid Al-Umm dapat bergiat dengan menyebarluaskan keilmuan dan dapat mengambil manfaat dari berbagai institusi keilmuan bagi memperkembangkan keilmuan dengan kerjasama dengan institusi-institusi berkenaan, termasuk masjid bukan setakat di Bangi, bahkan hingga keluar dari Bangi. Tetapi secara mikro yang lebih diberi tumpuan awal, bahawa di sekeliling Masjid Al-Umm terdapat (satu masjid), 8 surau, sebuah Dar al-Shifa`, 4 sekolah rendah, dua sekolah menengah, sebuah sekolah integrasi, 3 sekolah agama dan sebuah KPI. Secara mikro tumpuan kegiatan pada peringkat permulaan adalah lebih tertumpu kepada kawasan ini.
Adalah dilihat Masjid Al-Umm sebagai induk, manakala KPI, Dar Shifa` dan surau-surau secara teratur dan berkurikulum adalah sebagai fakulti dan jabatan yang menyebarkan keilmuan Islam menurut keilmuan-keilmuan pilihan. Manakala sekolah-sekolah adalah berperanan menyediakan tenaga pelajar yang dapat meningkatkan keilmuan mereka di samping mengikuti pengajian-pegajian di institusi masing-masing. Tenaga boleh didapati dari tenaga pengajar tempatan sedia ada dan kerjasama dengan berbagai-bagai insitusi pengajian tinggi yang banyak di Bangi.
Pengajian utama adalah diadakan mengiringi solat-solat fardu, hari-hari hujung-hujung minggu yang dapat diikuti oleh para jamaah, termasuk dari dan di surau-surau yang lain, manakala pengajian hujung minggu dan berpekej boleh diikuti pengaji-pengaji setempat dan juga dari luar dianjur masjid bersama seperti KPI, Dar al-Shifa`, Surau Al-Nur dan surau-surau yang lain. Seminar, wacana, konvensyen dan kursus-kursus mengenai sesuatu bidang ilmu dan topik-topik tertentu dapat diadakan dari masa ke semasa sama ada di masjid atau di institusi-institusi di Wadi Ilmu berkenaan.
Masjid juga mengadakan kelas tahfiz bagi kepentingn penduduk di BBB. Adalah disedari selama ini, meskipun di BBB ada masjid dan banyak surau, tetapi kurang dari para tahfiz. Keperluan kepada imam-imam tahfiz terutama bagi tarawih pada bulan Ramadhan begitu terasa hingga terpaksa dibawa dari luar untuk tempoh dalam bulan Ramadhan. Bila ada kelas tahfiz ia memberi keutamaan anak-anak sekolah setempat, di samping dari luar bagi mengikuti kelas tahfiz dan dilatih menjadi imam bagi keperluan masjid-masjid dan surau-surau setempat dan juga dihantar ke luar. Adalah dicadangkan juga bagi anak-anak tahfiz walaupun mereka tinggal di sekitar Bangi dan bersekolah di Bangi, seharusnya tinggal di asrama, dengan demikian tumpuan mereka terhadap kelas tahfiz menjadi lebih teratur, lantaran itu asrama tahfiz perlu di adakan.


Adalah dicadangkan juga, jika untuk anak-anak ada pengajian tahfiz, maka bagi kalangan warga emas diadakan pengajian khusus bagi mereka yang merupakan sebagai `Pondok Moden` yang mereka ini menumpukan sebahagian masa mereka belajar kitab dan beribadat di masjid atau surau-surau. Begitu juga bagi muslimat mempunyai kelas-kelas khas bagi muslimat yang ruang bagi mereka disediakan di Masjid Al-Umm. Persidangan, wacana dan kursus pada peringkat tinggi turut diadakan bagi diikuti mereka yang sedia mempunyai pendidikan tinggi.
Bagi menjadikan masjid dan surau-surau serta institusi-institusi keilmuan yang lain sebagai rangkaian bagi menyebarkan pengajaran perlu kepada kepimpinan dan AJK yang berperanan menyelaraskan kegiatan-kegiatan keilmuan antara tempat-tempat dan pelajar-pelajar yang mengikutinya, juga memerlukan kurikulum bersepadu agar tidak terjadi pertindihan dari segi bidang pengajaran dan jadual pengajian. Kerjasama dengan pihak luar, khususnya dengan pengajian-pengajian tinggi sekitar Bangi diadakan.
Walau bagaimana cadangan pada peringkat permulaan, masjid-masjid dan surau-surau adalah berperanan menambahkan keilmuan yang sedia ada pada jamaah dan pelajar-pelajar pada peringkat persekolahan sebagai tambahan bagi keilmuan yang mereka pelajari. Ini dianggap sebagai praktikal, kerana kalangan anak-anak adalah melalui pendidikan formal mereka di sekolah-sekolah. Kalangan pelajar mengikuti pengajian di institusi pengajian mereka dan para pekerja yang lain bekerja di tempat-tempat kerja dan profesion masing-masing, jadi Masjid dan institusi-institusi keilmuan yang lain sebagai bersifat menambah kepada keperluan-keperluan ilmu yang belum ada, apa lagi bagi mereka yang sebelum daripada itu belum mengikuti pengajian, khususnya pengajian-pengajian keagamaan. Peningkatan kegiatan-kegiatan keilmuan melalui institusi-institusi yang ada adalah  dilihat lebih releven dan praktikal terutama dari segi masa yang ada, penyediaan tempat, guru dan peruntukan kewangan.
Walau bagaimana untuk jangka panjang pihak Masjid Al-Umm merancang untuk membangunkan kompleks pendidikan sepuluh tingkat berhampiran Masjid Al-Umm yang dengan adanya bangunan ini dapat memperluaskan pengajian dan meningkatkan taraf pengajian.

Sekian.

July 5, 2015

Mencari Pendekatan Pengajian Dan Pengimarahan Masjid Al-Umm


BBB, 17 Ramadhan 1436 = 04 Julai 2015 (Sabtu):
Memahami kedudukan kawasan dan situasi masyarakat setempat yang menghuni kawasan Bangi (di samping luaran sebagai perluasan)  adalah penting terutama kepada pemggerak dan pengimarah masjid, lantaran kepada mereka fokus kegiatan dan interaksi masjid. Mereka adalah diharapkan menjadi ahli jamaah yang menghidupkan masjid dengan kegiatan utama masjid mendirikan solat, tetapi kepada mereka bukan sahaja diharap dapat disampaikan pengajaran, bahkan dari mereka juga yang berkelayakan dapat sama menyampaikan pengajaran. Sesungguhnya masjid berperanan menyediakan ruang dan tempat bagi kegiatan pengajaran dan pengimarahan dan para jamaah masyarakat fokus utama yang menerima dan menggerakkan kegiatan bertempat di  masjid. Namun di samping pentingnya penggerak atau pemimpin dan jamaah ada beberapa lagi keperluan yang boleh menjayakan penyampaian kegiatan dan pengimarahan, iaitu keilmuan yang hendak disampaikan yang boleh disebutkan sebagai bahan-bahan pengajaran, kurikulum atau sukatan pelajaran dan paling penting adalah guru-guru yang berkelayakan dan berkemampuan menyampaikan pengajaran, terakhir ialah keikhlasan. Kelima-lima  faktor ini adalah sama penting, iaitu pentadbir yang berdedikasi dan berkebolehan, masyarakat jamaah yang berkesedaran, keilmuan yang menarik minat pembelajaran, guru yang mursyid dan berkemampuan dan adanya kemurnian ikhlas sebagai tenaga dari dalam.


Berjayanya mendirikan bangunan Masjid Al-Umm sebagai fasa pertama adalah hasil dari kepimpinan bukan saja bersifat perseorangan, tetapi sebenarnya lebih bersifat kolektif. Keperluan bagi fasa kedua yang bersifat pengisian, sebenarnya bukan bergantung kepada pimpinan perseorangan, tetapi lebih bersifat kolektif. Masjid perlu ada kepimpinan yang bersifat dinamik dan aktif di dalam menggaris pendekatan dan melaksanakan kepada tindakan. Kepimpinan perlu mendapat sokogan  dan bekerja secara kolektif. Tanpa ada kepimpinan yang dinamik dan berkebolehan yang ada visi dan misi yang menjadi matlamat yang mau dicapai, maka tidak ada kemajuan yang dapat dicapai oleh masjid. Sesungguhnya kemajuan sesebuah masjid – juga surau, maka biasanya ada kepimpinan dinamik dan kreatif yang memimpin masjid berkenaan. Memimpin masjid bukan setakat memimpin seperti sebuah organisasi biasa, tetapi juga kepimpinan dari segi ibadat. Misalnya jika masjid walaupun sudah mempunyai imam, tetapi pemimpin bagi masjid berkenaan juga adalah berkemampuan menjadi imam dan memimpin dari segi amalan-amalan keagamaan yang lain seperti nemimpin majlis tahlil, majlis ilmu bahkan mampu mengajar ilmu-ilmu keagamaan. Pendek kata mampu melakukan semua yang berkait dengan tugas-tugas pengibadatan di masjid dan juga kemasyarakatan.
Sebagaimana sukarnya untuk mendapat kepimpinan dinamik ditambah dihormati masyarakat, demikian juga sukar menggerakkan jamaah, iaitu masyarakat sekeliling yang menghidupkan masjid. Bukan sesuatu yang di luar kebiasaan ada masjid yang dikunci, tiada jamaah pada waktu zohor dan asar, ianya dibuka hanya pada waktu subuh, maghrib dan isya` kepada segelintir jamaah. Ini mencerminkan kegagalan kepimpinan yang tidak mampu menarik minat jamaah menunaikan solat di masjid berkenaan, juga memperlihatkan tiada kesedaran bagi jamaah sekeliling akan kewajipan mendirikan jamaah di masjid. Dengan kekurangan jamaah sudah tentulah menghalang dari menggerakkan kegiatan-kegitan yang lain yang boleh mengimarahkan masjid. Adalah menjadi cabaran bagi kepimpinan masjid yang berjaya mendirikan masjid, tetapi tidak berjaya bagi menghidupkan masjid yang paling utama ialah mendirikan solat berjamaah, sebaliknya jika ada jamaah, maka lebih mudah dilakukan pengisian dan kegiatan-kegiatan yang lain. Masjid yang hidup ialah masjid yang apabila setiap azan dikumandangkan, maka berduyung-duyung yang datang menunaikan solat berjamaah dan menerusi jamaah dan sokongan mereka dapat dihidupkan berbagai-bagai kegiatan. Jamaah adalah aset terpenting bagi kemajuan dan pengimarahan masjid.
Dengan kewujudan masjid dan adanya kepimpinan yang mantap yang kepimpinan bukan setakat mampu memimpin sebagai ketua organisasi, tetapi dalam masa yang sama mampu memimpin dalam ibadat.  Tugas dan peranan yang penting bagi masjid, khususnya bagi Masjid Al-Umm yang mau menjadi pusat keillmuan ialah menyediakan bidang-bidang keilmuan yang releven yang mau diajar di masjid sesuai dengan jamaah dan khalayak masyarakat yang telah dibincangkan. Misalnya apakah keilmuan –keilmuan yang sesuai yang diajar bagi jamaah yang ramai. Misalnya pengajian berhubung dengan fiqh, aqidah dan Hadith. Pengajian yang diikuti oleh kalangan yang lebih berkemampuan misalnya bahasa Al-Qur`an (Arab),  tafsir, kewangan dan ekonomi Islam. Bagi kalangan anak-anak dan pemuda ialah pengajian Al-Qur`an, tahfiz dan sirah, bagi kalangan  muslimat seperti pentadbiran rumah tangga dan keluarga bahagia, fiqh wanita dan pengajian Al-Qur`an, manakala bagi kalangan warga emas seperti tasawuf,aqidah dan fiqh dan seterusnya menurut kesesuaian. Pemilihan bidang pelajaran hendaklah diikuti dengan pemilihan kitab-kitab pengajaran yang sesuai dan bahan-bahan bacaan yang berhubungan yang bahan-bahan berkenaan juga terdapat di perpustakaan masjid. Kitab-kitab pengajian utama - teks pengajaran perlu sama dimiliki oleh mereka yang mengikuti pengajaran agar mereka tidak bersifat pendengar, tetapi boleh membaca dan mengikutinya dalam pengajaran dan boleh mutalaahnya di rumah atau di luar dari masa mengajar. Secara yang lebih canggih, selepas dari masa yang diajar oleh guru, pengaji-pengaji boleh berbincang dengan merujuk kepada kandungan kitab yang dimiliki masing-masing dan mana-mana masalah yang timbul boleh dirujuk kepada guru pada masa pengajian akan datang.


Perkara yang lebih sukar ialah bagi mendapat guru-guru yang berkelayakan dan berkemampuan mengajar di dalam bidang-bidang yang ditawarkan sebagai pengajian di masjid. Seorang guru agama yang mengajar di dalam bidang katakan fiqh dan tauhid seharusnya mahir di dalam pengajian Al-Qur`an dan mempunyai pengetahuan di dalam bahasa Arab, lantaran banyak pengajaran dan penggunaan ayat-ayat Al-Qur`an dan Hadith yang menjadi rujukan kitab dan guru seharusnya memahami dan menguasai bahasa Arab. Pada masa kini ramai guru-guru agama yang berkelulusan universiti sama ada di dalam dan luar negara. Ini bererti makin ramai guru berkelayakan yang boleh didapati. Sesungguhnya guru yang baik yang dapat mengajar secara menarik akan menjadi popular dan lebih ramai mereka yang datang mengikuti pengajaran yang disampaikan. Berhubung dengan pemilihan mata pelajaran, keperluan kepada kurikulum, kitab-kitab dan buku-buku  serta kelayakan guru-guru sesungguhnya pihak masjid dan yang berkenaan masjid sudah membuat tiga kali bengkel membincangkan persediaan bagi pengajaran di Masjid Al-Umm dan bakal dibicarakan.


Terakhir, bahawa kerja-kerja yang berhubung dengan masjid adalah dianggap  kerja-kerja yang berhubung dengan kebajikan, meskipun setengah tugas diberi imbuhan dan elaun, namun kerja-kerja yang berhubung dengan kebajikan ini memerlukan keikhlasan dari petugas-petugas yang diberi amanah. Kerja-kerja yang berhubung dengan masjid tidak seperti kerja-kerja di pejabat yang mempunyai waktu bekerja tetap, tetapi kerja-kerja di masjid dapat dikatakan sepanjang hari dan masa, bukan setakat memimpin jamaah bagi solat dan mengajar, tetapi juga menunaikan tugas-tugas masyarakat seperti berlaku kematian, memimpin majlis-majlis perayaan, keraian, kesyukuran dan berbagai-bagai lagi. Sebab itu pimpinan masjid dan AJK perlu ikhlas dalam tugas mereka. Mereka pula dipandang tinggi dengan tugas-tugas  ikhlas mereka di dalam masyarakat.

Sekian.

July 4, 2015

Takmilah: Menyediakan Peluang Mempertingkatkan Diri Dengan Ilmu


BBB, 16 Ramadhan 1436 = 03 Julai 2015 (Jumaat):
Mana-mana masyarakat biasanya terdiri dari berbagai-bagai lapisan. Dilihat dari segi kelas ada kelas atas, sederhana dan rendah, ada yang melihat dari segi ekonomi ialah dari segi kaya, sederhana dan miskin. Namun ciri yang sering dilihat di BBB yang banyak dengan institusi pendidikan ialah kalangan terpelajar (intelektual), sederhana dan awam (biasa). Tumpuan masjid di samping institusi ibadat ialah terhadap pendidikan (keilmuan), tanpa mengira dari segi kedudukan status sosial atau kedudukan ekonomi. Masjid Al-Umm bertujuan menjadikan diri selain dari tempat ibadat ialah sebagai agen yang dapat berkhidmat kepada masyarakat di sekeliling secara khusus dan BBB secara meluas menyampaikan pendidikan.


Menjunjung hasrat murni ini masjid berdepan dengan berbagai-bagai kedudukan masyarakat dari segi keilmuan. Mereka dapat dikategorikan kepada:
a)      Golongan terpelajar terdiri dari tenaga-tenaga pegajar di universiti-universiti membawalah kepada guru-guru yang berkelulusan ijazah.
b)      Golongan professional yang berkhidmat di jabatan-jabatan, firma-firma, agensi-agensi dan berbagai sektor antaranya bersifat sendirian.
c)       Pekerja-pekerja awam yang berkhidmat di jabatan-jabatan, di kilang-kilang dan persendirian
d)      Suri rumah dan kaum wanita yang bukan professional
e)      Peniaga-peniaga yang mempunyai premis perniagaan hinggalah kepada peniaga-peniaga pasar malam
f)       Pesara-pesara dan warga emas
g)      Anak-anak sekolah dan pelajar-pelajar
Inilah kategori masyarakat berdepan dengan Masjid Al-Umm (juga masjid dan surau-surau yang lain) yang masjid berhasrat memberi ruang kepada mereka datang beribadat dan mengikuti pengajaran dan pengajian. Mengapakah masjid mengambil tahu tentang mereka ? Adalah menjadi tuntutan di dalam Islam menunaikan yang fardu, kifayah, bahkan yang sunat dan kebajikan. Masjid tidak seharusnya bersifat menanti, tetapi terlibat dari segi dakwah, menyediakan pengajaran dan pengajian bagi masyarakat umat. Di dalam konteks BBB masjid seharusnya berperanan sebagai agen dan pendakwah yang  menyebarkan ilmu kepada masyarakat dan merealisasikan masyarakatnya berilmu yang mencerminkan sifat Bangi Bandar Ilmu.
Tetapi sejauhmana dan bagaimanakah masjid mampu menarik mereka dan menyampaikan dakwah keilmuan terhadap masyarakat yang berbagai kategori dan berbagai latar pendidikan. Soal menarik kehadiran adalah penting, tanpa kehadiran maka keilmuan tidak dapat di sampaikan dan jadilah masjid dihadiri mereka yang sama dan biasanya terdiri dari kalangan pesara-pesara dan mereka yang sama.


Dari segi tarikan untuk hadir adalah bergantung kepada masjid sejauh mana mampu menyediakan program, pengajian dan kegiatan-kegiatan yang dapat menarik berbagai kategori masyarakat hadir ke masjid. Dari satu pihak pula bagaimana mencetuskan kesedaran yang boleh menggerakkan masyarakat berbagai lapisan hadir ke masjid bagi menunaikan kewajipan beribadat dan mengikuti pengajaran dan pengajian yang dianjurkan oleh masjid.
Masjid perlulah menyediakan program – pengajaran dan pengajian (diiklan dan diwarwarkan) yang bersesuaian dengan kesediaan dan kemampuan masyarakat. Bagi kategori intelektual dan professinal guru yang bertaraf intelektual dan professional dari segi pengajaran dan pengajian, mengadakan pengajian, wacana ilmiah, forum dan seminar di dalam keilmuan-keilmuan yang bertaraf tinggi. Oleh kerana kalangan ini adalah intelektual dan professional, maka dari kalangan mereka turut dijemput sebagai tenaga pengajar dan mengambil bahagian dalam wacana bersifat ilmiah. Kegiatan seperti ini bukan saja menarik minat kalangan intelektual dan professional, tetapi juga dari kalangan masyarakat yang lain.
Bagi kalangan pekerja dan orang awam adalah merupakan masyarakat dominan dan dari kalangan mereka yang ramai menghadiri kegiatan dan pengajaran di masjid. Pengajian di masjid lebih fokus kepada mereka seperti pengajian pada malam-malam hari selepas maghrib hingga isyak, pengajian hari-hari hujung minggu. Tenaga pengajar perlu ada daya tarikan dari segi pengajaran dan berkekalan dari segi mutu pegajaran dan penyampaian. Iklan dengan berbagai cara terus dilakukan bagi menarik kehadiran masyarakat, tetapi guru yang mursyid faktor utama yang dapat menarik kehadiran.
Bagi kalangan wanita biasanya lebih mudah diurus dan mudah mendapat kehadiran bila ada pimpinn wanita yang dapat menjalankan pengurusan. Kehadiran akan lebih bertambah jika guru yang mengajar mempunyai keilmuan mendalam dan mempunyai daya tarikan dari segi pengajaran.
Bagi kalangan mereka yang bersara dan warga emas, mereka mempunyai masa dan lebih berminat mengikuti pengajian bagi memenuhi masa mereka. Pengajaran hendaklah bersesuaian dengan keperluan warga emas seperti pengajian menggunakan kitab turath yang tradisional dengan guru yang bersesuaian dengan keperluan dan jiwa para pesara dan warga emas. Masalah yang dihadapi oleh golongan ini adalah dari segi kesihatan dan keuzuran. Faktor ini perlu diambil kira dari segi pengajaran dan kemampuan mereka mengikuti pengajaran. Bimbingan kesihatan penting dan patut diberi perhatian terhadap mereka.
Kategori terakhir ialah kalangan anak-anak dan para pelajar yang mereka adalah merupakan pelapis bagi masa hadapan. Menarik mereka lebih mudah dengan kerjasama ibu bapa mereka. Misalnya dengan mengadakan kelas Al-Qur`an, Kelas Tahfiz, mengadakan Bimbingan pelajaran, pertandingan-pertandingan seperti Menulis Khat, Peraduan Azan. masyid dan sukan yang bersesuaian yang dapat menarik mereka ke masjid.


Pada dasarnya Masjid menyediakan peluang bagi semua pihak meningkatkan keilmuan yang mereka tidak menguasai. Misalnya golongan terpelajar dan professional mungkin tidak menguasai bidang agama, maka melalui kursus-kursus yang sesuai mereka dapat mengikuti pengajian yang sesuai dan mempertingkatkan diri dalam bidang-bidang berkenaan, sedangkan mereka yang mahir dari kalangan mereka misalnya dalam bidang kewangan dan ekonomi Islam dapat memberi sumbangan kepada mereka yang tidak mengetahui bidang tersebut. Demikian muslimat mungkin tidak mahir di dalam membaca Al-Qur`an, maka melalui kelas muslimat dapat membimbing mereka yang berkenaan di dalam membaca Al-Qur`an. Contoh mereka yang mahir dalam bidang kesihatan dan perubatan dapat menurunkan kemahiran mereka di dalam bidang kesihatan keluarga dan perubatan kepada muslimat. Konsep keluarga bahagia mungkin dapat diikuti oleh banyak pihak dari kalangan mereka yang baru berumahtangga hinggalah kepada yang telah lama berkeluarga. Tujuan semua adalah untuk meningkatkan keilmuan semua pihak di dalam bidang-bidang yang selama ini tidak diketahui atau tidak di dalami kepada penguasaan dan menggunakannya sebagai amalan dalam kehidupan. Maka dengan demikian meningkatkan masyarakat dengan berbagai bidang keilmuan dan secara tidak langsung mengeratkan perhubungan kemasyarakatan melalui masjid.
Sesungguhnya tidak mungkin semua pihak dari berbagai bidang dapat diangkat semua mereka sama di dalam berbagai bidang ke tahap maksimum, tetapi dari segi Takmilah melengkapkan mereka ke tahap piawayan yang mampu dicapai masing-masing. Ibarat kehidupan masyarakat berkenaan sebagai `Sebuah Taman` yang menarik dan indah, maka tiap bahagian sama menyempurnakan keindahan taman dengan kedudukan masing-masing. Pohon kelapa di dalam pandangan bagi sebuah sawah sama penting dengan pohon padi, demikian batas bagi ruang penanaman padi sama peranan dengan larian air dalam mengindahkan pandangan. Demikianlah dengan unsur-unsur yang lain yang pada hakikatnya sama bergotong royong menyempurnakan keindahan pndangan berkenaan.
Demikian keilmuan menaikkan kualiti dan nilai seseorang dengan ilmu yang dipelajari dan amalan yang dilakukan yang menyempurnakan kehidupan dan mengharmoni dan membahagiakan keseluruhan.

Sekian.

July 3, 2015

Konsep Jami` Dan Universiti: Masjid Al-Umm Menuju Ke Arah Jami` Al-Umm ?


BBB, 15 Ramadhan 1436 = 02 Julai 2015 (Khamis):
Kedua-dua istilah di atas adalah istilah besar yang merujuk kepada pengajian pada peringkat tinggi. Kedua-duanya mempunyai asal kata yang terbawa kepada kedua-dua istilah di atas. Istilah jami` - bahasa Arab  berasal dari akar kata  `ja – ma - `a`  yang bermaksud, menghimpun, banyak dan menyeluruh. Jami` adalah isim fa`il bermaksud `yang menghimpun, yang banyak dan yang menyeluruh. Dengan kata `jami` memberi erti `masjid besar` dan `pengajian tinggi`.
Adapun universiti kata bahasa Inggeris berasal dari kata `universe` ialah ``all space and the matter which exist in it` dan darinya diambil melahirkan istilah `university` bermaksud `a place of education at the higher level`. Pecahan darinya juga ialah kata `universal` concerning all members of a group atau `for all people or every porpose, widespread (Longman Dictionary of Contemporary English, Longman, 1978: 1203-1204).


Asal usul dua kata di atas bertolak dari dasar dan pandangan wujud yang berbeza. Jami` bermaksud `Yang menghimpun segala` dan merujuk kepada makna pengajian tinggi adalah menghimpun segala ilmu termasuk yang bersifat lahir dan yang ghaib dan maknawi. Boleh juga dimaksudkan kepada ilmu berhubung dengan dunia dan akhirat, manakala universiti pada asalnya lebih merujuk kepada `ruang yang dapat dilihat dengan inderawi dan yang terkandung di dalamnya`. Tegasnya lebih merujuk kepada alam benda dan university menurut istilah asal lebih memberi tumpuan kepada alam benda dan tampak.
Walaupun istilah jami` dan university pada lahirnya merujuk kepada pengajian tinggi, tetapi pada hakikatnya tumpuan adalah berbeza. Dalam kata lain istilah `Jami` - Pengajian tinggi adalah berakar dari kepercayaan, tamadun dan peradaban Islam. Bermaksud bahawa `Jami` sebagai pengajian tinggi dalam Islam adalah pengajian yang merangkumi pengajian yang melibatkan alam nyata (syahadah) dan alam ghaib (akhirat). Dalam kata lain jika disebut `Jami` Al-Umm` ialah pengajian yang memberi tumpuan terhadap ilmu lahir dan ghaib, terhadap ilmu keduniaan dan keakhiratan.
Menyebut `Jami` Al-Umm`, ianya adalah bersifat contoh. Untuk sampai kepada konsep `Jami` sudah tentulah begitu jauh untuk dicapai. Jauh dari segi penyediaan fasiliti, jauh dari segi bidang-bidang keilmuanm yang seharusnya dipelajari di Jami`, jauh dari kewujudan tenaga pakar dan ilmuan yang berkelayakan mengajar di pengajian bertaraf jami` dan jauh dari sumber kewangan yang dapat menggerak dan menggiatkan pengajaian di sebuah Jami`. Namun walaupun arah begitu jauh, tetapi ia adalah matlamat pelayaran dan pengajian yang seharus dan sebenarnya hendak dan sedang dituju.
Merujuk kepada kepercayaan Islam kita mempercayai tentang alam lahiri dan alam ghaib. Di dalam tradisi keilmuan Islam ada istilah yang mencirikan pegajian yang bersifat keilmuan lahiri dan yang bersifat rohani. Sememangnya menyebut ilmu secara umumnya merujuk kepada semua ilmu. Tetapi secara spesifik, ilmu berasal dari akar kata `a – li – ma`, bererti tahu, berilmu, istilah ini ada kaitan rapat dengan `alam`, iaitu sesuatu yang diketahui daripadanya yang menjadikan orang yang tahu disebut sebagai `alim` dan perkara yang diketahui disebut `maklumat`, iaitu daripada alam yang maksud asal alam yang dapat dilihat dengan mata kepala. Tetapi bagi bidang yang bersifat ghaib, rohani dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar, tetapi dilihat dengan mata hati dan rohani, maka digunakan istilah `a – ra – fa` - yang bermaksud mengetahui dengan mata hati. Orang yang mengetahui soal yang bersifat rohani disebut `aa – rif` (Dalam istilah bahasa Melayu sudah terseleweng kerana Yang Arif digunakan pada hakim) dan pengetahuan yang bersifat rohani dan kejiwaan disebut `ma`rifat`.
Merujuk kepada pengajian di Masjid Al-Umm yang mengarah kepada konsep Jami`, sememangnya ilmu yang bersangkut dengan keilmuan dan kehidupan dunia dan ilmu yang bersifat keilmuan akhirat. Bahkan jika dilihat pengajian yang berasaskan Masjid, termasuk Masjid Al-Umm lebih menekankan kepada pengajian yang bersifat kerohanian dan keakhiratan. Perlu disebut bahawa tumpuan keilmuan yang bersifat lahir dan dunia, oleh kerana di dalam sistem pendidikan kita, pengajian yang bersifat ilmu dunia dan alamiah ini diberi penekanan pada peringkat pengajian rendah, menengah, bahkan hingga kepada pengajian tinggi. Sebab itu pengajian yang diistilah sebagai pengajian agama merupakan satu pakej keilmuan tambahan yang lain. Pada hal semua keilmuan berkenaan sama ada yang bersifat lahir dan benda dan ilmu yang bersifat rohani dan ghaib adalah terangkum di bawah ilmu yang juga bersifat Islam.


Di dalam realiti kehidupan masyarakat, kompartmen dari segi keilmuan juga realiti keilmuan juga adalah berlaku, bahawa ada yang berpendidikan sains, ekonomi, teknik, engineer, pertanian, arkitek, perubatan, sains sosial dan kemasyarakatan dan sebagainya. Situasi masyarakat sedemikian yang dihadapi masjid. Pada mereka ada yang berlebih kurang dari segi keilmuan yang berhubung dengan keagamaan. Masjid memang tidak mampu untuk mengisi keilmuan yang bersifat akadenik yang mereka telah pelajari dan pengisian dilakukan bagi kekosongan ruang, iaitu dari segi keagamaan.
Walau bagaimana sebagaimana telah dibicarakan bahawa Masjid di dalam menuju kepada yang bersifat `jami`` menyediakan keilmuan yang dianggap diperlukan semua pihak yang mungkin tidak dipelajari atau dilalui tanpa disedari dan perlu kepada pembaharuan  dan peningkatan, sebagai contoh keilmuan yang berhubung dengan keluarga bahagia, kewangan dan ekonomi Islam, permakanan dan kesihatan, Halal dan Haram, keselamatan dan alam sekitar.
Walau bagaimana soal kesedaran tentang keislaman dan keperluan memperbaiki dan meningkatkan amalan adalah kesedaran yang normal timbul terutama dari jiwa yang insaf, atau kesedaran dari semakin larutnya usia yang membawa kepada kecenderungan untuk menghayati dan mengamalkan perintah-perintah agama dan terdorong kepada mempelajari bidang-bidang berkenaan dengan lebih mendalam. Wadah sedemikian dikenalpasti oleh Masjid dan menyediakan keperluan-keperluan berkenaan di samping menyediakan bidang-bidang yang bersifat intelektual dan ilmiah yang dapat memuaskan cita rasa dan keilmuan yang sedia ada di kalangan masyarakat. Bahkan Masjid diharapkan tidak saja bersifat memberi, lantaran di BBB begitu ramai mereka yang pakar di dalam berbagai-bagai bidang, maka dari mereka diharap dapat memberi sumbangan dari kepakaran mereka kepada masyarakat dan berlakulah aspek `sharing dan sama memasyarakatkan ilmu`. Dengan cara ini menghidupkan Masjid Al-Umm dengan kehidupan beribadat dan suasana keilmuan. Dengan ini ketidakmampuan Masjid Al-Umm menyediakan ruang di dalam berbagai bidang ilmu dapat ditampung oleh mereka yang pakar di dalam bidang masing-masing. Dengan cara sedemikian secara tidak langsung Masjid Al-Umm dapat memenuhkan konsep `Jami` Ilmu` hasil sumbangan dari berbagai pihak.

Sekian.

July 2, 2015

Pentadbiran Masjid Al-Umm Berkonsep Pusat Pengajian Bersifat `Jami`


BBB,  14 Ramadhan 1436 = 01 Julai 2015 (Rabu):
Fasa yang penting bersama pembangunan Masjid Al-Umm ialah `pengisian dan pengimarahan`. Sebagaimana pembangunan demikian juga dengan fasa pengisian dan pengimarahan ialah memerlukan kepada `pentadbiran`. Ada beberapa konsep masjid, di dalam kontek negeri Selangor.
a)      Masjid biasa
b)      Masjid Negeri dan Daerah
c)       Masjid Institusi
Masjid biasa adalah masjid-masjid yang terdapat dibandar-bandar, pekan dan kampung-kampung di negeri Selangor yang berjumlah lebihkurang 700 buah masjid.
Berhubung dengan pentadbiran masjid tertakluk di bawah kaedah-kaedah pegawai masjid dan jawatankuasa kariah Negeri Selangor 1995 yang disediakan oleh MAIS. Kaedah-kaedah adalah berhubung dengan pegawai masjid, fungsi pegawai dan AJK masjid. Pegawai-pegawai bagi sesebuah masjid adalah jawatankuasa  terdiri dari  Nazir, Imam, Bilal, Siak, Setiausaha, Bendahari, AJK-AJK (8 orang termasuk wakil pemuda dan wanita) dan dua orang Pemeriksa Kira-Kira.
Tiap-tiap  seorang yang memegang jawatan mempunyai senarai tugas. Untuk melicinkan tugas masjid boleh mempunyai jawatankuasa dengan melantik seperti jawatankuasa pengurusan, kewangan, pengimarahan dan sebagainya.
Tugas-tugas pegawai masjid seperti Imam, Bilal dan Siak, tidak menurut waktu pejabat, tetapi melibatkan waktu seharian, khususnya berada di waktu-waktu solat. Mereka diatur tugas menurut giliran. Lantaran itu bertugas di masjid memerlukan dedikasi dan keikhlasan, bahkan lebih bersifat kebajikan.


Masjid Negeri, adalah masjid utama yang diangkat sebagai Masjid Negeri. Iaitu Masjid Sultan Salahuddin Ibn Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam. Masjid Negeri mempunyai tugas yang lebih besar berbanding dengan masjid-masjid biasa dan sudah tentulah mempunyai ramai pegawai-pegawai seperti mempunyai Imam Besar, Imam Satu, Dua dan seterusnya. Demikianlah dengan Bilal ada beberapa Bilal. Masjid Negeri mempunyai peruntukan khas.  Begitu juga dengan Masjid Daerah, ialah masjid yang dipilih sebagai masjid utama bagi sesuatu daerah. Biasanya masjid yang berada di pusat tadbiran daerah. Walau bagaimana tadbiran bagi masjid-masjid di daerah-daerah adalah di bawah Pejabat Agama Daerah (PAID). Sebagaimana pada peringkat negeri, maka masjid-masjid sedemikian mempunyai peruntukan dari peringkat negeri dan mempunyai imam dari peruntukan sedemikian. Berbanding dengan masjid-masjid biasa lebih mendapat elaun, di samping mendapat peruntukan terhad.
Pemilihan AJK-AJK Masjid oleh anak kariah dilakukan sekali bagi setiap tiga tahun.
Adapun dari segi Masjid Institusi adalah dimaksudkan dengan masjid-masjid yang berada di dalam satu-satu institusi, khususnya seperti masjid universiti, maka pentadbiran dan perlantikan adalah terletak di bawah institusi berkenaan. Pihak institusi atau universiti adalah melantik Imam, Bilal dan Siaknya. Konsep Nazir tidak digunakan, tetapi dilantik pegawai tadbir agamanya tersendiri yang mengurus, antaranya dinamakan `Pusat Islam` bagi institusi berkenaan. Pendek kata bagi masjid di bawah institusi, walaupun tertakluk di bawah negeri, tetapi mempunyai autonominya tersendiri. Peruntukan dan kewangan juga adalah di bawah tanggungan institusi berkenaan.
Di dalam konteks Masjid Al-Umm adalah termasuk di bawah masjid biasa yang terletak di bawah tadbiran Pejabat Agama Daerah (PAID) di bawah JAIS apabila siap sepenuhnya kelak yang melayakkannya untuk didaftar. Sebagaimana disebut, sejak dari awal tercetus niat dan hasrat mendirikan Masjid Al-Umm, bukan sebagai masjid harian biasa, bermaksud masjid bagi mendirikan solat Jumaat dan solat-solat waktu dengan tambahan pengajaran-pengajaran tertentu. Hasrat AJK Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm menjadikannya sebagai konsep `Jami` - contoh Jami` Al-Azhar, Jami` Qairawan dan sebagainya yang masjid berfungsi sebagai `Pusat Ibadat` dan `Pusat Pengajian` bagi berbagai-bagai kategori yang dapat berkembang secara berperingkat. Hasrat ini tercermin dari perancangan AJK Pembangunan dan Pengimarahan bahawa selepas fasa pertama berjaya disiapkan (pembinaan fizikal masjid), di samping bermulanya pengisian dan pengimarahan di masjid, maka bagi pengunjuran pengajian yang lebih luas, memerlukan bangunan yang dapat menyediakan ruang pengajian dan keperluan-keperluan bagi pengajian tersebut yang juga berindukkan masjid seperti keperluan kepada perpustakaan, asrama, bilik-bilik kulih, kedai buku, kantin, klinik, khidmat IT dan keperluan-keperluan bagi sesebuah institusi pengajian. Bagi menyediakan keperluan-keperluan ini pihak AJK Pembangunan dan Pengimarahan sedang berusaha bagi mendapatkan tapak gerai-gerai yang ditinggalkan kosong bersebelahan dengan Masjid Al-Umm dari PKNS dan Kerajaan Negeri  bagi mendirikan kompleks pendidikan setinggi 10 tingkat atau lebih yang bersambung dengan kawasan masjid dengan jejambat.


Pengajian yang bakal diwujudkan, bukan sebagai universiti (sebagai peringkat permulaan) dan bukan pula sebagai pengajian tradisi, tetapi sebagai `Jami` yang mengisi keperluan pendidikan dan pengajian dari peringkat anak-anak, kepada golongan muda, pekerja-pekerja, kalangan intelektual dan  golongan  tua (pesara dan warga emas) tempatan dan luar dari tempatan. Pengajian antaranya mengiringi solat fardu, hujung-hujung minggu, pengajian berpekej secara mingguan, bulanan, bahkan tahunan. Antara pengajian yang dikenalpasti:
a)      Bimbingan pengajian seperti Al-Qur`an dan pendidikan agama dan akademik bagi anak-anak (luar dari masa sekolah) dan juga pengajaian Al-Qur`an bagi  orang dewasa
b)      Kelas Tahfis dalam jumlah terhad dan terpilih. Memahami kndungan Al-Qur`an dan Hadith
c)       Pengajian ilmu keislaman mengenai fardu dan kifayah
d)      Keilmuan diperlukan dalam kehidupan semasa seperti kewangan dan ekonomi Islam
e)      Kesejahteraan kehidupan seperti keluarga bahagia, asas kesihatan, perubatan dan sukan
f)       Isu-isu kontemporari dan semasa mengenai umat, konflik kepentingan dan penyelesaian
g)      Mengadakan konvensyen tahunan, seminar dan wacana ilmiah dari semasa ke semasa
h)      Pengajian secara tradisional ala pondok moden bagi warga emas dan dewasa
i)        Pengajian bahasa seperti bahasa Arab, Inggeris dan Melayu
j)        Berbagai-bagai ilmu yang releven
Bagi memenuhi hasrat di atas, maka diusahakan tenaga-tenaga pengajar yang berwibawa antaranya secara kerjasama dengan pihak luar seperti universiti-universiti dan pihak-pihak berkenan. Penilaian dilakukan bagi setengah-setengah kursus untuk diberi pengiktirafan. Kewangan diusahakan dari berbagai-bagai sumber. Jami` Al-Umm` berusaha memiliki harta waqaf sendiri.
Bagi menjayakan pentadbiran seperti ini boleh membebankan nazir dan pentadbir masjid secara biasa. Pentadbiran yang dipilih dan sesuai ialah kombinasi dengan AJK masjid biasa yang dilantik bekerjasama dengan AJK Pembangunan, Pengisian dan Pengimarahan Masjid yang di dalam konteks sekarang ialah penerusan AJK Pembangunan, pengisian dan Pengimarahan (boleh ditambah) yang lebih terarah kepada bersifat institusi `Jami`. Ini adalah bertujuan bagi mencapai misi Masjid Al-Umm adalah sebagai Jami` yang menawarkan berbagai kursus dan pengajian yang releven yang dapat meningkatkan syiar Islam di Bangi, di negeri, negara, bahkan keluar negara.

Sekian.  

July 1, 2015

Taklimat Tentang Masjid Al-Umm Sempena Lawatan TG Dato` Dr. Haron Din


BBB,  12 Ramadhan 1436 = 29 Jun 2015 (Isnin):
Bertempat di bilik mesyuarat sementara, menggunakan bilik tadika yang digunakan sejak beberapa bulan lepas bagi berbagai mesyuarat, TG Dato` Dr. Haron Din diberi taklimat selepas beliau menyaksi sendiri perkembangan pembinaan yang menurut kontrektor pembinaan Tuan Haji Marzuki En. Omar, kini pembinaan sudah mencapai 80%. Turut hadir semua AJK yang menyambut dan mengiring TG menyaksikan pembangunan dari dekat.


Program ringkas awal ialah alu-aluan dan taklimat oleh Penulis selaku Pengerusi Induk AJK Pembangunan. Pertama Penulis mengucap syukur kepada Allah dan mengalu-alukan di atas kesudian TG selaku Penaung dan Penasihat AJK  Pembinaan Masjid Al-Umm hadir bagi melihat progres pembangunan Masjid Al-Umm. Kata Penulis.
Selepas satu setengah tahun pembangunan bermula dari 10 Disember 2013, maka kini syukur kepada Allah pembinaan mencapai kemajuan 80%. Bangunan fizikal jelas bagaikan siap, apa lagi bangunan sudah dicat luar dan dalam. Kerja-kerja tumpuan sekarang lebih bersifat dalaman seperti menyiapkan kubah terutama dekorasi dalaman dari bawah kubah berkenaan, melengkapkan pemasangan tile bagi semua aras, kecuali kawasan yang masih terpasang dengan tiang-tiang besi mengukuhkan junjungan terhadap kubah, melengkapkan pemasangan peralatan di bilik-bilik air dan tandas-tandas bagi semua aras, melengkapkan bilik-bilik dengan peralatan dan perabut-perabut, dekorasi dinding bahagian hadapan dan tiang-tiang yang masih belum bermula, mimbar yang disiapkan di luar sebelum dibawa ke masjid untuk dipasang dan lif yang masih belum dipasang. Usaha agar sub station elektrik dapat dipasang peralatan dan air dapat dimasukkan. Selain dari itu kerja-kerja luar yang melibatkan landskap, seni taman, jalan dan pagar perlu disiapkan.
TG juga dimaklumkan bahawa dari segi kewangan setakat ini jumlah kewangan yang didapati adalah RM10.5 juta. Selepas pembayaran-pembayaran yang dibuat kini berbaki di tangan ialah 2.5 juta. Dengan kedudukan kewangan kini dan pembangunan yang berlaku dan bayaran dibuat, maka diperlukan penambahan kewangan, yang asalnya berjumlah RM12 juta. Dengan perubahan dan penambahan serta cukai GST, maka jumlah jangkaan awal R12 juta adalah tidak mencukupi. Menurut anggaran mutakhir yang dibentangkan oleh perunding May Consult Perunding Masjid Al-Umm, bahawa dengan berbagai-bagai penambahan dibuat maka kos meningkat kepada RM18 juta. Adalah diharapkan jika janji Kerajaan Negeri untuk mengisi Tabung Masjid dengan RM6 juta, maka kos dijangka dapat ditampung, jika tidak usaha perlu digandakan bagi mendapat sumbangan dari berbagai pihak bagi menampung kos yang  meningkat itu. Jika tidak langkah berjimat cermat perlu diambil dan memberi keutamaan bagi yang lebih penting agar tidak terganggu dari segi pembangunan dan hasrat menggunakan masjid dapat dicapai dalam  tempoh ditentukan.
TG dimaklumkan tarikh dijangka siap Masjid Al-Umm dari Mei 2015 ditangguh kepada Akhir Ogos 2015. Pihak AJK berharap Masjid Al-Umm akan mula dapat digunakan pada Hari Raya Idu al-Adhha yang jatuh pada 10 Dhu al-Hijjah 1436 bersamaan 24 September 2015. Penulis menyebut bahawa, pihak AJK berharap TG dapat menjadi Khatib dan Imam pertama bagi penggunaan Masjid Al-Umm tersebut. (TG adalah bersetuju di atas permintaan tersebut).


Penulis memaklumkan bahawa pendaftaran Masjid Al-Umm tidak akan dilakukan sebelum dari September, 2015 namun usaha mendapat CF akan dilakukan. Dalam tempoh sebelum pendaftaran rasmi dan perlantikan AJK, pihak AJK yang ada kini akan berfungsi menjalankan pentadbiran dan pengimarahan. Dalam masa tersebut usaha dilakukan bagi mencari Nazir dan Imam-Imam serta AJK pentadbir yang berkelayakan, sebelum tugas sepenuhnya diserahkan kepada AJK yang baru menurut peraturan JAIS atau menggunakan pendekatan-pendekatan yang lain yang bersesuaian.
TG juga diberitahu, bahawa pihak AJK akan berusaha melaksanakan bentuk pengajian khusus yang akan dilaksanakan oleh pihak masjid yang memang modul pengajian berkenaan sedang dirangka dan adalah menjadi hasrat pihak AJK untuk mendapat keizinan dari pihak PKNS dan Negeri bagi membangunkan kawasan Medan Usahawan berhampiran masjid dengan kompleks pendidikan yang setinggi 10 tingkat menjadi pusat pengajian masjid di Wadi Ilmu, Bangi Bandar Ilmu. Satu jumlah kewangan yang agak besar akan diusahakan bagi membangunkan kompleks pendidikan berkenaan.
Selepas taklimat disampaikan oleh Penulis Tuan Haji Abdul Rahman menyampaikan tayangan berhubung dengan perkembangan pembinaan fizikal Masjid Al-Umm, iaitu gambaran dari peringkat permulaan dibina dari 10 Disember 2013 hingga kepada perkembangan pembinaan mutakhir.
Sebagai respond terhadap taklimat yang diberi TG berharap usaha mendapat CF segera dilakukan dan kebenaran mendirikan solat Idu al-Adhha dan yang lain perlu didapati dari pihak JAIS. Menurutnya usaha perlu dilakukan dari sekarang. TG bersetuju bahawa Masjid menjadi pusat pendidikan dan beliau bersetuju usaha bagi mendirikan bangunan kompleks pengajian di samping masjid bagi dijadikan pusat pentadbiran dan pengajian berasaskan masjid sebagai syiar Islam di BBB. Walau bagaimana sebelum diwujudkan dapat dilaksanakan pengajian khusus itu pihak masjid perlu memberi perhatian dan menganjurkan kursus-kursus asas sebagai contoh seperti Kursus Pengajian Al-Qur`an, Wakaf Islam, Kursus Pembahagian Harta Pusaka (Fara`id), Ekonomi dan Kewangan Islam, Kursus Solat, Keluarga Bahagia dan kursus mengurus jenazah. Antara kursus perlu mendapat pengiktirafan dari JAIS bagi setengah kursus dianjurkan  , contoh pra-perkahwinan. Beliau juga bersetuju bagi mengadakan kursus dan pengajian jangka pendek dan jangka panjang, diadakan pada hujung-hujung minggu, bersifat mingguan, bulanan dan lebih panjang lagi.
Berhubung dengan keperluan mendapat sumber kewangan TG  mencadangkan untuk mendekati tokoh-tokoh dermawan dan institusi-institusi kewangan yang dijangka dapat menderma dan mengsponsor perkara-perkara yang diperlukan. Beliau menjanjikan akan turut sama berusaha mendapat sumber kewangan yang diperlukan.
Pendek kata dari segi misi dan visi, bahawa pembinaan Masjid Al-Umm, bukan setakat mendirikan bangunan fizikal dan sebagai pusat ibadat, tetapi pendirian Masjid Al-Umm menjadi wadah pembangunan pengajian bagi meningkatkan syiar Islam yang mana di masjid ini bukan setakat berfungsi sebagai pusat ibadat, tetapi akan menjadi pusat dan institusi pengajian yang mempunyai identiti tersendiri di dalam menyebarkan keilmuan Islam dan syiarnya, bukan setakat di Bangi, bahkan di negeri, bahkan ke luar negara.


Pada akhir taklimat TG melahirkan harapan bahawa dengan tujuan murni dan pada bulan Ramadhan al-Mubarak ini beliau berharap tujuan murni mendirikan Masjid Al-Umm dan peranannya akan tercapai dan TG mengakhiri pertemuan dengan membaca doa memohon taufik dan rahmat serta kejayaan darib Allah. Majlis Taklimat yang bermula dari jam 11.00 pagi itu berakhir sebelum jam 1.00 tengahari.

Sekian.