July 2, 2015

Pentadbiran Masjid Al-Umm Berkonsep Pusat Pengajian Bersifat `Jami`


BBB,  14 Ramadhan 1436 = 01 Julai 2015 (Rabu):
Fasa yang penting bersama pembangunan Masjid Al-Umm ialah `pengisian dan pengimarahan`. Sebagaimana pembangunan demikian juga dengan fasa pengisian dan pengimarahan ialah memerlukan kepada `pentadbiran`. Ada beberapa konsep masjid, di dalam kontek negeri Selangor.
a)      Masjid biasa
b)      Masjid Negeri dan Daerah
c)       Masjid Institusi
Masjid biasa adalah masjid-masjid yang terdapat dibandar-bandar, pekan dan kampung-kampung di negeri Selangor yang berjumlah lebihkurang 700 buah masjid.
Berhubung dengan pentadbiran masjid tertakluk di bawah kaedah-kaedah pegawai masjid dan jawatankuasa kariah Negeri Selangor 1995 yang disediakan oleh MAIS. Kaedah-kaedah adalah berhubung dengan pegawai masjid, fungsi pegawai dan AJK masjid. Pegawai-pegawai bagi sesebuah masjid adalah jawatankuasa  terdiri dari  Nazir, Imam, Bilal, Siak, Setiausaha, Bendahari, AJK-AJK (8 orang termasuk wakil pemuda dan wanita) dan dua orang Pemeriksa Kira-Kira.
Tiap-tiap  seorang yang memegang jawatan mempunyai senarai tugas. Untuk melicinkan tugas masjid boleh mempunyai jawatankuasa dengan melantik seperti jawatankuasa pengurusan, kewangan, pengimarahan dan sebagainya.
Tugas-tugas pegawai masjid seperti Imam, Bilal dan Siak, tidak menurut waktu pejabat, tetapi melibatkan waktu seharian, khususnya berada di waktu-waktu solat. Mereka diatur tugas menurut giliran. Lantaran itu bertugas di masjid memerlukan dedikasi dan keikhlasan, bahkan lebih bersifat kebajikan.


Masjid Negeri, adalah masjid utama yang diangkat sebagai Masjid Negeri. Iaitu Masjid Sultan Salahuddin Ibn Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam. Masjid Negeri mempunyai tugas yang lebih besar berbanding dengan masjid-masjid biasa dan sudah tentulah mempunyai ramai pegawai-pegawai seperti mempunyai Imam Besar, Imam Satu, Dua dan seterusnya. Demikianlah dengan Bilal ada beberapa Bilal. Masjid Negeri mempunyai peruntukan khas.  Begitu juga dengan Masjid Daerah, ialah masjid yang dipilih sebagai masjid utama bagi sesuatu daerah. Biasanya masjid yang berada di pusat tadbiran daerah. Walau bagaimana tadbiran bagi masjid-masjid di daerah-daerah adalah di bawah Pejabat Agama Daerah (PAID). Sebagaimana pada peringkat negeri, maka masjid-masjid sedemikian mempunyai peruntukan dari peringkat negeri dan mempunyai imam dari peruntukan sedemikian. Berbanding dengan masjid-masjid biasa lebih mendapat elaun, di samping mendapat peruntukan terhad.
Pemilihan AJK-AJK Masjid oleh anak kariah dilakukan sekali bagi setiap tiga tahun.
Adapun dari segi Masjid Institusi adalah dimaksudkan dengan masjid-masjid yang berada di dalam satu-satu institusi, khususnya seperti masjid universiti, maka pentadbiran dan perlantikan adalah terletak di bawah institusi berkenaan. Pihak institusi atau universiti adalah melantik Imam, Bilal dan Siaknya. Konsep Nazir tidak digunakan, tetapi dilantik pegawai tadbir agamanya tersendiri yang mengurus, antaranya dinamakan `Pusat Islam` bagi institusi berkenaan. Pendek kata bagi masjid di bawah institusi, walaupun tertakluk di bawah negeri, tetapi mempunyai autonominya tersendiri. Peruntukan dan kewangan juga adalah di bawah tanggungan institusi berkenaan.
Di dalam konteks Masjid Al-Umm adalah termasuk di bawah masjid biasa yang terletak di bawah tadbiran Pejabat Agama Daerah (PAID) di bawah JAIS apabila siap sepenuhnya kelak yang melayakkannya untuk didaftar. Sebagaimana disebut, sejak dari awal tercetus niat dan hasrat mendirikan Masjid Al-Umm, bukan sebagai masjid harian biasa, bermaksud masjid bagi mendirikan solat Jumaat dan solat-solat waktu dengan tambahan pengajaran-pengajaran tertentu. Hasrat AJK Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm menjadikannya sebagai konsep `Jami` - contoh Jami` Al-Azhar, Jami` Qairawan dan sebagainya yang masjid berfungsi sebagai `Pusat Ibadat` dan `Pusat Pengajian` bagi berbagai-bagai kategori yang dapat berkembang secara berperingkat. Hasrat ini tercermin dari perancangan AJK Pembangunan dan Pengimarahan bahawa selepas fasa pertama berjaya disiapkan (pembinaan fizikal masjid), di samping bermulanya pengisian dan pengimarahan di masjid, maka bagi pengunjuran pengajian yang lebih luas, memerlukan bangunan yang dapat menyediakan ruang pengajian dan keperluan-keperluan bagi pengajian tersebut yang juga berindukkan masjid seperti keperluan kepada perpustakaan, asrama, bilik-bilik kulih, kedai buku, kantin, klinik, khidmat IT dan keperluan-keperluan bagi sesebuah institusi pengajian. Bagi menyediakan keperluan-keperluan ini pihak AJK Pembangunan dan Pengimarahan sedang berusaha bagi mendapatkan tapak gerai-gerai yang ditinggalkan kosong bersebelahan dengan Masjid Al-Umm dari PKNS dan Kerajaan Negeri  bagi mendirikan kompleks pendidikan setinggi 10 tingkat atau lebih yang bersambung dengan kawasan masjid dengan jejambat.


Pengajian yang bakal diwujudkan, bukan sebagai universiti (sebagai peringkat permulaan) dan bukan pula sebagai pengajian tradisi, tetapi sebagai `Jami` yang mengisi keperluan pendidikan dan pengajian dari peringkat anak-anak, kepada golongan muda, pekerja-pekerja, kalangan intelektual dan  golongan  tua (pesara dan warga emas) tempatan dan luar dari tempatan. Pengajian antaranya mengiringi solat fardu, hujung-hujung minggu, pengajian berpekej secara mingguan, bulanan, bahkan tahunan. Antara pengajian yang dikenalpasti:
a)      Bimbingan pengajian seperti Al-Qur`an dan pendidikan agama dan akademik bagi anak-anak (luar dari masa sekolah) dan juga pengajaian Al-Qur`an bagi  orang dewasa
b)      Kelas Tahfis dalam jumlah terhad dan terpilih. Memahami kndungan Al-Qur`an dan Hadith
c)       Pengajian ilmu keislaman mengenai fardu dan kifayah
d)      Keilmuan diperlukan dalam kehidupan semasa seperti kewangan dan ekonomi Islam
e)      Kesejahteraan kehidupan seperti keluarga bahagia, asas kesihatan, perubatan dan sukan
f)       Isu-isu kontemporari dan semasa mengenai umat, konflik kepentingan dan penyelesaian
g)      Mengadakan konvensyen tahunan, seminar dan wacana ilmiah dari semasa ke semasa
h)      Pengajian secara tradisional ala pondok moden bagi warga emas dan dewasa
i)        Pengajian bahasa seperti bahasa Arab, Inggeris dan Melayu
j)        Berbagai-bagai ilmu yang releven
Bagi memenuhi hasrat di atas, maka diusahakan tenaga-tenaga pengajar yang berwibawa antaranya secara kerjasama dengan pihak luar seperti universiti-universiti dan pihak-pihak berkenan. Penilaian dilakukan bagi setengah-setengah kursus untuk diberi pengiktirafan. Kewangan diusahakan dari berbagai-bagai sumber. Jami` Al-Umm` berusaha memiliki harta waqaf sendiri.
Bagi menjayakan pentadbiran seperti ini boleh membebankan nazir dan pentadbir masjid secara biasa. Pentadbiran yang dipilih dan sesuai ialah kombinasi dengan AJK masjid biasa yang dilantik bekerjasama dengan AJK Pembangunan, Pengisian dan Pengimarahan Masjid yang di dalam konteks sekarang ialah penerusan AJK Pembangunan, pengisian dan Pengimarahan (boleh ditambah) yang lebih terarah kepada bersifat institusi `Jami`. Ini adalah bertujuan bagi mencapai misi Masjid Al-Umm adalah sebagai Jami` yang menawarkan berbagai kursus dan pengajian yang releven yang dapat meningkatkan syiar Islam di Bangi, di negeri, negara, bahkan keluar negara.

Sekian.  

No comments:

Post a Comment