July 28, 2015

Kurikulum - Ruanglingkup Bagi Satu Bidang Keilmuan: Aqidah


BBB, 11 Syawal 1436 = 27 Julai 2015 (Isnin):


Tidak mudah untuk membatas atau mensempadankan sesuatu bidang keilmuan lantaran sesuatu bidang keilmuan adalah bersifat dinamik dan sentiasa berkembang. Perkembangan adalah hasil dari kajian, penyelidikan, penemuan dan pengolahan yang terus berlaku yang menjadikan sesuatu bidang keilmuan terus dinamik dan berkembang. Apa yang lebih tepat bahawa kurikulum bagi sesuatu bidang ilmu, ialah satu ruanglingkup dan batas sempadan bagi sesuatu bidang ilmu yang dikenalpasti dan diambil bagi dijadikan skop khusus bagi diaplikasikan sebagai bidang dan kandungan yang diguna dan disampaikan di dalam pengajaran. Ini bererti skop yang diambil adalah bidang yang sudah jelas dan mantap bagi disampaikan di dalam pengajaran kepada khalayak jamaah.
Sebenarnya ruanglingkup dan batas sempadan bagi sesuatu bidang ilmu itu dikenalpasti dan diberi batas sempadan dengan pemberian nama bagi sesuatu bidang ilmu yang bererti membatassempadankannya dengan bidang-bidang yang lain. Misalnya bila menjenamakan sesuatu ilmu contoh, `Ilmu Al-Fiqh al-Akbar/Aqidah/Tauhid/Usuluddin/Al-Kalam adalah berdasarkan ciri-ciri yang ada di dalam keilmuan berkenaan yang membedakannya dari keilmuan yang lain. Al-Fiqh al-Akbar adalah nama awal bagi bidang aqidah (Al-Fiqh al-Akbar = Kefahaman `keilmuan` yang Besar) lantaran keilmuan ini membicarakan ibu bagi segala keilmuan, lantaran ia merupakan keilmuan pegangan yang menentukan kebenaran atau sebaliknya dari segi pegangan keimanan seseorang Islam. Tidak betul dari segi pegangan merosakkan keimanan seseorang. Lantaran itu dikenali dengan `Al-Fiqh al-Akbar`. Keilmuan berkenaan juga dikenali dengan `Ilmu `Aqidah` lantaran ianya merupakan `Simpulan Yang Kukuh` dari segi pegangan dan keyakinan sebagai `aqidah, juga dikenali juga dengan `Ilmu Tauhid` lantaran aspek dominan di dalam keilmuan berkenaan ialah membicarakan tentang Keesaan Allah di samping aspek-aspek yang lain. Juga dikenali sebagai Usuluddin yang bermaksud sebagai `Umbi Agama` lantaran keilmuan ini adalah merupakan `Asal` atau `Umbi` bagi pegangan agama. Antara ciri keilmuan ini pada peringkat yang lebih tinggi dikenali sebagai `Ilmu al-Kalam` Ilmu yang melandaskan percakapan dan perbahasan secara logik dan teratur, misalnya dengan menggunakan kaedah-kaedah ilmu logik yang menghasilkan natijah `Kebenaran`, lantaran itu keilmuan pada peringkat tinggi ialah membahaskan tentang prinsip-prinsip keilmuan berkenaan secara kalam dan lojik.
Pendek kata batas dan ruanglingkup bagi bidang keilmuan berkenaan dari permulaan dapat dikenali dari nama yang diberi yang darinya dapat dikenali ciri-ciri bagi keilmuan berkenaan. Antara ciri-cirinya:

1)  Membicarakan soal ketuhanan dan tentang rukun-rukun iman yang lain
2) Menggunakan dalil-dalil akli dan naqli
3) Bersifat logik dan rasional
4) Menjadi pegangan dan keyakinan bagi umat Islam
5) Membezakannya dari kepercayaan yang bukan Islam.
Dari keseluruhan skop dan ruanglingkup keilmuan kita ambil istilah `Usuluddin` sebagai mewakili semua, apakah kesemuanya mau dijadikan sebagai kurikulum bagi pengajaran yang akan disampaikan di masjid ?
Pengajaran yang mau disampaikan seharusnya bergantung pada kemampuan guru, taraf keilmuan yang ada pada khalayak yang berbeza-beza dari segi persediaan ilmu berkenaan pada diri mereka yang mungkin tidak mempunyai asas atau mempunyai asas yang minima atau sudah ada kesediaan pengajian dari segi bidang keilmuan berkenaan. Persediaan yang ada pada jamaah mempengaruhi dari segi keperluan kepada tahap pengajaran atau lebih khusus kurikulum yang sesuai sebagai panduan bagi pengajaran kalangan berkenaan.
Walau bagaimana semua bidang keilmuan keagamaan yang diperkatakan bukan sesuatu yang baharu, bahkan bagi setiap bidang mempunyai `turath` pegajian yang dihasilkan. Dalam kata lain setiap bidang keilmuan telah ada kitab-kitab turath keilmuan yang dihasilkan oleh ulama-ulama, baik pada peringkat tinggi yang di dalam bahasa Arab atau pada peringkat biasa di dalam bahasa Melayu Jawi yang telah dihasilkan oleh ulama-ulama Melayu yang berasaskan pada pegangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah.
Namun semua kandungan ilmu usuluddin tidak lari dari membicarakan rukun iman yang enam, iaitu percaya kepada Allah dan Rasul, kitab, malaikat, hari kiamat, qada` dan qadar dan balasan baik dan jahat (syurga dan neraka).
Di dalam pembicaraan usuluddin dibicarakan tentang rukun akal, apa itu Islam dan iman, sifat-sifat yang wajib bagi Allah  dan Rasul (termasuk harus dan mustahil), tentang Al-Qur`an dan kitab-kitab yang lain (Taurat, Zabur, Injil), kepercayaan kepada malaikat, hari kiamat, percaya kepada qada` dan qadar, hisab dan balasan syurga dan neraka.
Kitab-kitab turath di dalam bahasa Melayu yang masih popular digunakan bagi pengajaran ialah dari karangan ulama seperti oleh Daud bin Abdullah al-Fatani seperti Al-Durr al-Thamin, Jawahir al-Saaniyyah, Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani berjudul Faridat al-Fara`id, Muhammad Zain bin al-Faqih Jalaluddin berjudol Bidayah al-Hidayah dan Muhammad Ali bin al-Ghafur (Tuan Kutan) berjudul Zahrat al-Murid.
Pada peringkat yang lebih tinggi ialah penggunaan kitab-kitab di dalam bahasa Arab seperti karangan oleh Ibrahim al-Baijuri dengan kitabnya yang berjudul Tuhfat al-Murid dan Ibrahim al-Laqani dengan kitabnya yang berjudol Sharh `ala Matn al-Jauharat al-Tauhid (ada terjemahan dalam jawi). Sungguhpun terdapat karangan-karangan  di dalam bidang usuluddin lebih moden, tetapi tidak popular dari segi penggunaannya pada pengajian tradisi. Karangan yang lebih moden yang menjadi teks pengajian di dalam bidang usuluddin ialah Risalah al-Tauhid yang dihasilkan oleh Muhammad Abduh.
Adalah menjadi cabaran bagi tokoh dan ulama kini menghasilkan kitab usuluddin yang mempunyai pendekatan yang mantap yang boleh dijadikan teks pengajian bagi semua peringkat, khususnya pada pengajian di masjid dan surau.

Sekian. 

No comments:

Post a Comment