BBB, 20 Ramadhan 1436 = 07 Julai 2015 (Selasa):
Antara kegiatan yang utama di Masjid Al-Umm
ialah kegiatan yang bersifat ilmu yang disebut `pengajian` bagi memasyarakatkan
ilmu keislaman di tengah masyarakat. Pengajian yang bersifat fardu ialah yang
paling utama dari segi kepentingan dan penggunaan di dalam ibadat di masjid dan
juga di luar masjid, bahkan kesempurnaan ibadat dan bidang-bidang yang lain bergantung
padanya. Secara tradisional bahkan semasa dilihat bahawa induk bagi pengajian
agama dan kesempurnaan pegangan agama dan amalan adalah pengajian Al-Qur`an,
a`qidah dan fiqh. Maka di dalam Bengkel
Untuk Merancang & Mengimarahkan Masjid Al-Umm, juga dilihat pengajian adalah kegiatan utama
di masjid. Di dalam pengajian juga adalah dilihat bahawa pengajian Al-Qur`an,
`aqidah dan fiqh adalah pengajian yang penting dan berada pada bahagian atas
dari segi susunan dan kepentingan pengajian.
Kepentingan pengajian Al-Qur`an tidak dapat
dinafikan, lantaran Al-Qur`an adalah induk bagi agama Islam, perlembagaan dan
panduan bagi semua bidang agama Islam. Penerimaan Al-Qur`an semasa di
Makkah (Iqra` - wahyu pertama) adalah
memulakan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. dan penerimaan Al-Qur`an berterusan
secara bertahaf selama 23 tahun sehingga menjelang kewafatan Baginda ketika
berumur 63 tahun di Madinah. Al-Qur`an bukan setakat diturunkan wahyu, tetapi
adalah perjalanan dan aplikasi dalam perkembangan agama Islam selengkapnya dan
menjadi perlembagaan dan panduan umat Islam.
Pentingnya Al-Qur`an, lantaran tanpa
mempelajarinya tidak sempurnanya ibadat seseorang Islam. Al-Qur`an perlu dibaca
di dalam solat, kewajipan membaca sekurang-kurang membaca – Al-Fatihah Ummul Kitab`
di dalam setiap rakaat solat, di samping keperluan membaca bacaan-bacaan yang
lain. Daripada Al-Qur`an lahirnya keilmuan-keilmuan Islam dan keilmuan-keilmuan
yang lain di dalam Islam. Antara keilmuan-keilmuan yang wajib dipelajari di
dalam Islam, lantaran kesempurnaan Islam seseorang bergantung kepadanya ialah
ilmu `aqidah dan ilmu fiqh. Ilmu aqidah yang juga dikenali sebagai ilmu tauhid,
usuluddin dan ilmu al-kalam ialah ilmu yang berhubung dengan mental yang
meyakini kewujudan Allah, keesaan dan kekuasaanNya yang merupakan satu daripada
rukun iman yang utama dari enam rukun. Prinsip dari kewujudan Allah dan
huraian-huraian yang berhubungan dengannya dan rukun-rukun iman yang lain
adalah berasaskan kandungan Al-Qur`an. Aqidah dan pembetulan adalah penting,
lantaran kesempurnaan yang lain adalah bergantung pada kesempurnaan aqidah.
Lantaran dalam skema keilmuan Islam yang wajib dipelajari, maka ilmu aqidah
adalah berada paling atas, di samping kewajipan mempelajari Al-Qur`an.
Berikut dari kepentingan ilmu `aqidah, ialah
bidang fiqh yang juga dikenali sebagai ilmu syari`ah. Jika aqidah ilmu yang
berhubung dengan keyakinan, mental dan bersifat pegangan dalaman, maka ilmu fiqh ialah ilmu yang berhubung dengan aturan
dan amalan lahiri seharian dan sepanjang. Segala yang berhubung dengan amalan
ibadat dan kehidupan secara individu dan jamaah tidak terkeluar dari atauran
syariat. Ianya termasuk ibadat khusus seperti solat, zakat, puasa, mengerjakan
Haji ke Baitillah al-Haram dan termasuk segala amalan-amalan seperti nikah-kahwin,
berjual beli, pinjam meminjam, makan minum dan sebagainya. Semuanya aturan
adalah terkandung di dalam Al-Qur`an.
Kepentingan keilmuan-keilmuan di atas diberi
perhatian utama oleh ulama` dan berasaskan ayat-ayat Al-Qur`an dan juga Hadith,
maka ketiga-tiga keilmuan diolah dan dihuraikan sebagai ilmu-ilmu khusus yang
melahirkan kitab-kitab mengenai bidang-bidang keilmuan berkenaan.
Bagi membetuli bacaan Al-Qur`an melahirkan
kaedah-kaedah membacanya secara betul dan ada pula kaedah bagi membaca
al-Qur`an secara betul – iitu ilmu yang
dikenali sebagai ilmu tajwid. Manakala bagi bidang aqidah juga lahir ulama-ulama
yang mengarang kaedah-kaedah ilmu aqidah yang antara tokoh terkenal Imam
Ash`ari, Maturidi dan Al-Tahawi di samping lahirnya pengolah-pengolah yang lain
tentang ilmu aqidah. Demikian juga dengan bidang fiqh lahirnya ulama` fiqh
terkenal seperti Imam Maliki, Shafie, Hanafi dan Hanbali dan pendukung-pendukung
bagi imam-imam tersebut. Mereka semua mengarang kitab-kitab panduan berasaskan
Al-Qur`an sehingga timbul apa yang dinamakan mazhab-mazhab seperti di dalam
ilmu aqidah dan fiqh berdasarkan nama imam-imam yang mengolah ilmu-ilmu
berkenaan.
Di dalam pengajian di Masjid Al-Umm,
sebagaimana di pengajian-pengajian yang lain, termasuk di fakulti-fakulti
keislaman adalah memberi keutamaan terhadap pengajian yang dapat dikatakan
tradisi, tetapi tetap berterusan dari segi pengajian. Pengajian Al-Qur`an di
Masjid Al-Umm seharusnya bermula dri peringkat paling rendah sehinggalah kepada
peringkat paling tinggi, dewasa dari segi umur atau tinggi dari segi pengajhian
yang berhubung dengan Al-Qur`an seperti pengajian tafsir dan sebagainya.
Pengajian pada peringkat bawah ialah pengajian
pada peringkat anak-anak dari peringkat umur sebelum sekolah rendah, sekolah
rendah, bahkan sekolah menengah. Peringkat rendah bermula dari pengajian
muqaddam. Cara pengajaran boleh secara tradisional dalam mana guru dan
murid-murid mengambil tempat pada sebahagian sudut dari masjid dan mengajar
kelompok murid-murid membaca Al-Qur`an sama ada pada sebelah pagi bagi murid-murid bersekolah formal pada sebelah
petang atau selepas zohor atau asar bagi murid-murid yang bersekolah formal
pada sebelah pagi. Sebaiknya murid-murid lelaki dibimbing oleh guru lelaki dan
murid-murid perempuan dibimbing oleh guru perempuan.
Pengajian Al-Qur`an tidak terhad kepada
murid-murid peringkat rendah sahaja, ianya dapat diikuti oleh peringkat
menengah jika mereka masih tidak dapat membaca Al-Qur`an menurut masa yang
sesuai bagi mereka mengikuti. Pengajian juga terbuka bagi orang dewasa yang
mungkin mereka sudah boleh membaca Al-Qur`an, tetapi bertujuan untuk membetul
dan memperhaluskan bacaan Al-Qur`an. Cara ini umpamanya dilakukan di Masjid
Nabawi di Madinah di mana guru-guru dengan kelompok masing-masing di kelilingi
oleh mereka yang mau membetulkan bacaan Al-Qur`an. Pembaca-pembaca ini adalah
pelajar tempatan dan yang datang dari berbagai negara dalam rangka mereka
datang menunaikan umrah dan haji dan menziarah ke Madinah dan mengambil peluang
membetulkan bacaan Al-Qur`an dengan guru-guru Al-Qur`an semasa menziarah Masjid
Nabawi.
Adapun
pengajian yang berhubung dengan aqidah dan fiqh, pada kebiasaan pengajian yang
berhubung dengan aqidah dan fiqh ini diadakan pada masa antara maghrib dan
Isya` dengan menggunakan kitab-kitab aqidah dan fiqh yang muktabar dari aliran
sunni dan diajar oleh guru-guru yang berkebolehan dalam bidang-bidang
berkenaan. Pengajian mungkin diadakan pada hari-hari hujung minggu yang diikuti
oleh semua lelaki dan perempuan. Atau adakala kalangan muslimat menganjurkan
kelas-kelas khas bagi muslimat pada hari-hari hujung minggu, pada sebelah pagi
hari Sabtu atau Ahad.
Pengajian keilmuan tidak terhad kepada ilmu
Al-Qur`an, aqidah dan fiqh sahaja, tetapi dengan mempelajari tiga bidang
keilmuan ini sekurang-kurang terangkat dari segi fardu keilmuan bagi seseorang
dan dapat memberi panduan kepada seseorang dari segi amal ibadat, di samping
meluaskan lagi pengajian secara mendalam dan meluas kepada bidang-bidang yang
lain.
Sekian.
No comments:
Post a Comment