BBB, 13 Syawal 1436 = 29 Julai 2015 (Rabu):
Berdepan dengan Al-Qur`an adalah berdepan
dengan lautan keilmuan dan maklumat yang mencabar pemilihan dari mana hendak
memula dan meneruskan. Ini bererti terlalu banyak pendekatan yang boleh
diambil, tetapi apakah pendekatan yang paling sesuai ? Kata Muhammad Qutb di
dalam bukunya berjudul `Dirasat Qur`aniyyah`, bahawa dia mulai membaca
Al-Qur`an sejak umur sembilan tahun tanpa mengetahui kandungan. Ia adalah
didorong oleh minat semata-mata dan mesra dengan membacanya. Namun dari
permulaan itu dia terus mendalami Al-Qur`an dan menjiwainya sehingga segala
hasil penulisannya, termasuk di dalam bidang seni yang menjadi minatnya adalah
diwarnai Al-Qur`an. (Muhammad Qutb, Dirasat Qur`aniyyah, Beirut-Al-Qahirah, Dar
al-Shuruq, 1400H/1980: 5).
Pengalaman Muhammad Qutb (saudara kepada Syed
Qut al-Shahid), bukanlah pengalaman beliau berseorangan, tetapi juga adalah
pengalaman bagi pelajar-pelajar Islam yang bermula dari kecil yang setengahnya
sejak dari 7 tahun sudah mempelajari Al-Qur`an secara tradisi dari guru-guru
Al-Qur`an sama ada dari ibu bapa atau guru-guru khusus. Apa yang hendak
ditekankan bahawa pengajian Al-Qur`an adalah pengajian yang amat penting yang
paling utama diberi perhatian di dalam pengajian di masjid.
Banyak pendekatan di dalam pengajian
Al-Qur`an, misalnya mempelajarinya secara bacaan bertajwid di bawah bimbingan
guru Al-Qur`an, mempelajarinya secara tarannum,
membaca sambil memahaminya melalui terjemahan, juga huraian dan
mempelajarinya secara tafsiran melalui guru-guru tafsir. Apakah pendekatan yang
wajar diambil oleh Masjid Al-Umm berhubung dengan pengajian Al-Qur`an ?
Sebagaimana telah diperkatakan bahawa
seboleh-bolehnya pengajian yang dianjur oleh Masjid al-Umm adalah bersifat
menyeluruh, ertinya dapat diikuti oleh semua peringkat. Pengajian Al-Qur`an
dapat diaplikasikan kepada semua pihak menurut tahap umur dan kesesuaian
pengajaran yang hendak disampaikan. Ada beberapa tahap pengajian Al-Qur`an yang
dapat dijalankan, iaitu
1) Pada peringkat anak-anak
2) Peringkat tahfiz
3) Peringkat tinggi.
Pada peringkat anak-anak yang bermula dari umur
tujuh tahun hingga ke tahap remaja adalah pengajian yang membetulkan bacaan,
melalui guru-guru Al-Qur`an. Mereka juga melibatkan pelajar-pelajar sekolah
yang boleh datang masa di luar waktu sekolah, termasuklah di hujung minggu.
Pengajian secara pembetulan bacaan, termasuklah juga pengajian secara bertajwid
ini dilakukan juga terhadap peringkat dewasa yang masih tidak dapat membaca
Al-Qur`an. Bagi mereka diadakan kelas khusus dan secara berasingan.
Termasuk di bawah kategori belajar membaca
Al-Qur`an ini ialah pelajar-pelajar yang mengikuti pengajian secara tarannum
yang sama boleh diikuti oleh pelajar tahfiz. Pengajian secara tarannum dilihat
sebagai pakej lengkap bagi pelajar mengaji Al-Qur`an biasa dan secara tahfiz.
Kemampuan mengaji secara tarannum dapat melengkapkan kebolehan mengaji seorang
tahfiz yang mereka mempunyai kelebihan apabila menjadi imam, begitu juga bagi
pelajar-pelajar biasa. Dengan kemampuan membaca Al-Qur`an secara bertarannum
memungkinkan pemebaca-pembaca Al-Qur`an ini mewakili masjid atau daerah ke
pertandingan-pertandingan tilawah Al-Qur`an pada peringkat daerah, negeri,
kebangsaan, bahkan hingga ke peringkat antara bangsa – teramsuk pertandingan
bagi kategori tahfiz.
Untuk peringkat dua ialah bagi kelas tahfiz.
Adalah menjadi tujuan bahawa pelajar-pelajar tahfiz yang mengikuti kelas Tahfiz
di Masjid Al-Umm dapat memahami kandungan Al-Qur`an. Bererti mereka tidak
setakat menghafal semata-mata. Sebab itu mereka dikehendaki mengikuti pengajian
bahasa Al-Qur`an (Arab) dari peringkat rendah hingga ke peringkat tinggi.
Adalah diharapkan bersama hafalan mereka dapat memberi maksud atau tafsiran
terhadap ayat-ayat yang mereka baca dan hafal.
Pengajian pada peringkat tinggi berhubung
dengan Al-Qur`an, ialah pengajian tafsir. Adalah diharapkan bahawa guru yang
mengajar kitab tafsir tidak hanya mengajar kitab tafsir di dalam bahasa Melayu,
tetapi juga mampu mengajar kitab-kitab tafsir di dalam bahasa Arab. Ini bererti
pelajar-pelajar juga adalah dikehendaki mempelajari bahasa Arab. Kemampuan
berbahasa dan memahami bahasa Arab ini, tidak mesti melalui pengajian di Masjid
al-Umm, tetapi mereka yang belajar ini sama ada pengaji-pengaji tempatan atau
luaran sudah belajar bahasa Arab dan berkemampuan menggunakan bahasa tersebut
di dalam memahami tafsiran yang disampaikan oleh guru-guru tafsir. Namun jika
pelajar-pelajar yang mau mengikuti kelas tafsir tidak mempunyai kebolehan
bahasa Arab, maka mereka juga dikehendaki mengikuti pengajian bahasa tersebut
bersama-sama pelajar tahfiz dan pelajar-pelajar yang lain yang mengikuti
pengajian bahasa Arab.
Dengan pengajian Al-Qur`an dan memahami
kandungan seperti melalui pengajian tafsir yang pelajarnya mahir berbahasa
Arab, maka pelajar-pelajar berkenaan mampu misalnya mengolah kandungan dan
bidang-bidang di dalam Al-Qur`an seperti:
1) Mengeluarkan ayat-ayat hukum (ahkam) yang menjadi prinsip hukum Islam
2) Ayat-ayat yang berhubung dengan berbagai jenis ibadat
3) Bahan-bahan sejarah yang ada di dalam Al-Qur`an dan mengkonstruksikan
sejarah berkenaan.
4) Mengenalpasti dan mengeluarkan berbagai jenis ilmu yang ada di dalam
Al-Qur`an
5) Menghayati dan dapat menghuraikan mengenai estetika Al-Qur`an
6) Mengenali dan memahami serta mengaplikasikan prinsip bahasa Al-Qur`an
yang menjadi induk bagi bahasa Arab.
7) Megenalpasti dan membuktikan tentang i`jaz Al-Qur`an
8) Dapat menerangkan sebab-sebab nuzul bagi sesebuah ayat Al-Qur`an
9) Menjelaskan ayat-ayat yang membuktikan Islam amat prehatin contohnya tentang
alam sekitar, kebersihan dan sebagainya.
10) Berbagai-bagai bidang yang dapat dikenalpasti
Pokoknya kita tidak mau mempelajari sumber
utama Islam iaitu Al-Qur`an menjadi bahan yang dibaca tanpa memahami makna dan
dilagu berdasarkan keindahan suara sahaja. Yang kita mau bahawa Al-Qur`an dipelajari, dihayati, bahkan
diaplikasikan di dalam kehidupan sama ada secara sendiri, jamaah dan
masyarakat. Hendaknya peningkatan kualiti individu dan jamaah adalah hasil dari
pengajian terhadap Al-Qur`an. Sesungguhnya banyak lagi rahsia-rahsia Al-Qur`an
belum lagi diteroka. Adalah menjadi tanggungjawab kita mendalami dan
menjadikannya prinsip dan panduan,
Sekian.
No comments:
Post a Comment