BBB, 14 Syawal 1436 = 30 Julai 2015 (Khamis):
Al-Qur`an sebagai sumber utama di dalam Islam,
maka amatlah wajar dipelajari dan memahami kandungannya. Sungguhpun pengajian
tentang Islam dapat dipelajari secara langsung dari bidang-bidang ilmu khusus
seperti aqidah, fiqh, tasawuf dan sebagainya, tetapi ianya merupakan huraian
lanjut dari sumbernya yang asal, lantaran itu mempelajari secara langsung dari
sumbernya yang asal dapat difahami bagaimana kedudukan sumber dan
pengolahan-pengolahan berlaku terhadapnya, tak kurang juga dapat dilihat kepelbagaian
huraian dan pendapat yang meluaskan pandangan di atas sumber yang menjadi dalil
dan istinbat bagi hukum-hukum.
Walau bagaimana sebagaimana telah dibicarakan,
bahawa pengajian tafsir adalah pengajian peringkat tinggi yang memerlukan
kefahaman terhadap bahasa Al-Qur`an (Arab) dan juga ilmu-ilmu bantu yang dapat
melengkapkan kefahaman. Antara ilmu yang perlu dipelajari oleh pengaji-pengaji
tafsir selain daripada bahasa Arab ialah ilmu hadith, balaghah (ma`ani, bayan
dan badi`), mantiq, usuluddin, fiqh, tasawuf dan sirah. Jika tafsir dilakukan
di dalam bahasa lain dari bahasa Arab, maka pentafsir hendaklah menguasai
bahasa yang ditulis itu dengan baik.
Istilah tafsir dalam kata yang lain ialah sharh
atau huraian. Namun istilah sharh ini digunakan secara umum bagi huraian
terhadap berbagai ilmu, misalnya sharh terhadap matan bagi ilmu-ilmu contoh
Sharh terhadap Matan Jauharah (tauhid), terhadap Matan Alfiyah oleh Ibn Aqil
(nahu) dan sebagainya. Adapun sharh terhadap ayat Al-Qur`an melahirkan istilah khusus
yang dikenali sebagai Ilmu Tafsir. Konsep tafsir ini adalah kaedah keilmuan
khusus sebagai huraian terhadap kandungan ayat-ayat Al-Qur`an. Ia adalah ilmu
yang asli `Tafsir` terhadap ayat-ayat
Al-Qur`an. Tokoh utama dan terawal yang dikaitkan dengan keilmuan tafsir ialah
Ibn Abbas (Abdullah bin Abbas) r.a. yang pendapatnya banyak dirujuk di dalam
kitab-kitab tafsir. Selain dari Ibn Abbas juga ialah Abdullah bin Mas`ud, Ubay
bin Ka`b, Zayd bin Thabit, Abu Musa al-Ash`ari, Abdullah bin Al-Zubayr,
Saydatina Aishah, Abu Bakar, Umar, Uthman dan `Ali. Terdapat juga
pentafsir-pentafsir dari kalangan Tabi`an dan Atba` al-Tabi`in.
Antara kitab-kitab tafsir awal dihasilkan
ialah seperti Tafsir Al-Tabari yang judul lengkapnya ialah Jami` al-Bayan fi
Tafsir al-Qur`an karya Imam Muhammad Ibn Jarir al-Tabari (m. 310H.). Ciri
tafsir al-Tabari adalah menurut gaya hadith yang mempunyai rawi, sanad dan
matan. Gaya ini sebenarnya adalah gaya dominan pada peringkat awal yang berlaku
di dalam penulisan-penulisan yang lain termasuk penulisan Sirah oleh Muhammad
bin Ishak bin Yasar dan keilmuan-keilmuan yang lain.
Selepas dari karangan tafsir oleh Al-Tabari
lahirnya tafsir-tasir (25 buah) seperti Ahkam al-Qur`an oleh Imam Ahmad bin `Ali l-Jassas (m. 370H.), Bahr
al-`Ulum oleh Abu al-Layth al-Samarqandi (m.373H.), Tanzih al-Qur`an `an al-Mata`in oleh Qadhi
`Abd al-Jabbar (m.415H.), Al-Kasf wa al-Bayan fi Tafsir al-Qur`an oleh Imam Abu
Ishaq al-Tha`labi (m. 427H.). Ahkam al-Qur`an oleh Imam `Ali bin Muhammad
al-Tabari al-Kiyaharrasi (m. 504H.), Ma`alim al-Tanzil oleh Muhammad al-Husain
al-Baghawi (m.510H.), Al-Kashshaf `an Haqa`iq `ala Ta`wil wa `Uyun al-Aqawil fi
Wujuh al-Ta`wil oleh Jar Allah al-Zamakhshari (m. 538H.). Ahkam al-Qur`an oleh
Imam Muhammad bin Abdullah ibn Muhammad al-Mu`afiri al-Andalusi terkenal dengan
gelaran Ibn `Arabi (m.543H.), Al-Muharrar al-Wajiz fi Tafsir al-Qur`an al-`Aziz
oleh Imam ibn `Atiyyah al-Andalusi (m.
546H.), Mafatih al-Ghayb oleh Imam Fakhr al-Din al-Razi (m. 606H.), Al-Jami` li
al-Ahkam al-Qur`an oleh oleh Imam Muhammad bin Ahmad al-Qurtubi (m. 671H.),
Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta`wil oleh Imam Abdullah ibn `Umar al-Baidawi (m.
685H.), Madarik al-Tanzil wa Haqa`iq al-Ta`wil oleh Imam `Abdullah ibn Ahmad
al-Nasafi (m. 701H.), Lubab al-Ta`wil fi Ma`ani al-Tanzil oleh Imam `Ali
Muhammad al-Khazin (m. 741H.), Al-Bahr al-Muhit oleh Imam Muhammad ibn Yusuf
ibn Ali ibn Yusuf ibn Hayyan (m. 745H.),
Tafsir Al-Qur`an al-`Azim oleh Imam Abu al-Fida`Ismail ibn Kathir (m.774H.),
Nazm al-Durar fi Tanasuh al-Ayat wa al-Suuwar oleh Ibrahim Ibn `Umar al-Biqa` (809-885H./1406-1480M.).
Ghara`ib Al-Qur`an wa Ghara`ib al-Furqan oleh Nizam al-Din ibn al-Hasan
al-Naisaburi (m. ?), Al-Durr al-Manthur fi al-Tafsir al-Ma`thur oleh Imam
Jalaluddin al-Suyuti (m.911H.), Tafsir Al-Jalalayn oleh Imam Jalaluddin al-Mahalli
(m.864H.) dan Imam Jalaluddin al-Suyuti (m.911H.), Al-Siraj al-Munir oleh Imam
al-Khatib al-Sharbini (m. 977H.), Irshad al`Aql al-Salim ila Mazaya al-Kitab
al-Karim oleh Imam Muhammad ibn Muhammad ibn Mustafa Abu Su`ud (m.982H.), Fath
al-Qadir oleh Imam Muhammad ibn `Ali ibn `Abdullah al-Shukani (m.1250H.) dan
Ruh al-Ma`ani fi Tafsir al-Qur`an al-`Azim wa al-Sab` al-Mathani oleh Imam
Shihab al-Din al-Alusi (1217-1270H./1802-1854M.).
Manakala tafsir mutakhir bermaksud dari abad
ke 19 hingga kini (Berbahasa `Arab) sebanyak (12 buah) iaitu:
-
Mahasin al-Ta`wil oleh Jalaluddin
al-Qasim (1283-1332H./1866-1914M.).
-
Tafsir al-Qur`an al-Hakim oleh
Shaykh al-Sayyid Muhammad Rashid al-Ridha (1282-1353H./1865-1935M.).
-
Al-Jawahir fi Tafsir al-Qur`an
oleh Shaykh Tantawi ibn Jauhari (m. 1358H.)
-
Tafsir al-Maraghi oleh Shaykh Ahmad
Mustafa al-Maraghi (m.1371H./1`952M.)
-
Adwa` al-Bayan fi Tafsir al-Qur`an
bi al-Qur`an oleh Shaykh Muhammad al-Amin ibn Muhammad ibn al-Mukhtar al-Shamqiti
(1320-1393H.)
-
Fi Zilal al-Qur`an oleh Al-Shahid Sayyid
Qutb (1324-1387H./1906-1966M.)
-
Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir oleh
Shaykh Muhammad ibn al-Tahir ibn `Ashur (1296-1393H./1879-1973M.)
-
Safwat al-Tafasir oleh Shaykh
Muhammad `Ali al-Sabuni ( ?)
-
Rawa`i al-Bayan fi Tafsir Ayat
al-Ahkam oleh Shaykh Muhammad `Ali al-Sabuni ( ? ).
-
Al-Tafsir al-Wadih oleh Shaykh
Muhammad al-Hijazi ( ?).
-
Al-Tafsir al-Wasit oleh Shaykh Prof.
Dr. Muhammad Tantawi ( ?).
-
Tafsir al-Sha`rawi oleh Shaykh
Muhammad al- Mutawalli al-Sha`rawi ( ?)
(Perbendaharaan
Al-Qur`an, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) & Kolej Universiti Islam
Antarabangsa (KUIS), Selangor,
1429H./2008M.: 73-76).
Tambahan:
-
Al-Tafsir al-Wajiz `ala Hamish
al-Qur`an al-`Azim oleh Al-Ustaz al-Doktor Wahbah al-Zuhaili,
Dar al-Fikr, Dimashq, Suriyah, 1431H.
Demikianlah
sepanjang zaman Al-Qur`an terus diberi perhatian dan ditafsirkan dari zaman
permulaan hingga zaman penulisan seterusnya hingga kepada peringkat mutakhir.
Ini merupakan tafsir-tafsir yang di dalam bahasa Arab, tafsir juga dilakukan di
dalam bahasa umat-umat Islam di serata dunia- termasuklah di dalam bahasa
Melayu.
Sekian.
No comments:
Post a Comment