BBB, 21
Ramadhan 1436 = 08 Julai 2015 (Rabu):
Telah dibicarakan bahawa Al-Qur`an adalah sumber bagi keilmuan Islam
dan kesempurnaan amal ibadat adalah bergantung pada kesempurnaan bacaan.
Bermaksud tidak sempurna amal ibadat jika tidak mempelajari Al-Qur`an, lantaran
bacaan wajib dalam ibadat seperti dalam solat memerlukan kebolehan membaca
Al-Qur`an, seperti membaca Al-Fatihah – Ummu al-kitab yang merupakan salah satu
daripada rukun solat. Lebih daripada itu ia merupakan sumber bagi segala bidang
keislaman, termasuklah keilmuan. Lantaran itu pengajian Al-Qur`an adalah
pengajian penting di dalam Islam dan diutamakan. Ianya dipelajari dari peringkat
kanak-kanak, bahkan bagi semua peringkat
hinggalah ke peringkat dewasa.
Pengajian secara tradisional yang berlaku di
dalam masyarakat, khususnya di dalam masyarakat Melayu, yang disebut `Mengaji
Qur`an` adalah belajar dari mengenal
huruf dan membaca ayat-ayat Al-Qur`an
secara betul di hadapan guru seperti di masjid dan surau atau di rumah guru
Al-Qur`an atau guru datang mengajar di rumah. Yang paling dipentingkan membaca
Al-Qur`an secara betul dan bertajwid dari mengenal huruf, mengeja dan membaca. Proses ini berterusan
dari membaca Al-Fatihah, membaca muqaddam hingga tamat mampu membaca
keseluruhan. Namun penekanan adalah membaca secara betul terhadap Al-Qur`an
termasuklah dari segi tajwid yang dipelajari secara tidak langsung semasa
mengaji Al-Qur`an. Apa yang hendak ditekankan bahawa tidak diberi perhatian
terhadap kandungan Al-Qur`an yang menjadi sumber utama Islam itu. Bukan saja bagi
pelajar, tetapi juga guru-guru sejak turun menurun. Mengaji Al-Qur`an adalah
belajar membaca Al-Qur`an termasuk mempelajari tajwid secara tidak langsung,
tanpa memberi perhatian terhadap kandungan Al-Qur`an.
Bagi memahami kandungan adalah dianggap bidang
yang lebih tinggi dan lebih payah. Bidang ini dikenali dengan `Ilmu Tafsir.
Ilmu Tafsir ilmu yang memahami kandungan ayat Al-Quran dengan memberi makna
kepada ayat secara harfiyah dan mentafsir kandngan bagi ayat-ayat Al-Qur`an
yang dipelajari. Menyebut memberi makna atau terjemahan, sebenarnya memerlukan
pengetahuan bahasa Arab. Pengajian bahasa Arab pada peringkat tinggi yang
membolehkan pengajar atau pelajar memasang makna bagi ayat-ayat. Sebenarnya
secara tradisi dianggap mempelajari bahasa Arab adalah payah. Ini bermakna
mempelajari tafsir yang bergantung pada kemahiran berbahasa – bahasa Arab satu
bidang yang payah, sebab itu relatifnya mempelajari tafsir sebagai ilmu yang
payah. Walau bagaimana terdapat pengajian tafsir yang bergantung kepada
tafsir-tafsir yang sudah diterjemahkan seperti Tafsir Al-Azhar oleh Hamka,
tafsir Ibn Kathir oleh ibn Kathir dan Tafsir
Fi Zilal Al-Qur`an oleh Syed Qutb yang tafsir-tafsir ini sudah
diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Walau bagaimana pengajian tafsir secara
terjemahan, tanpa mengetahui bahasa Arab, dianggap tidak lengkap, lantaran bila
bertembung dengan ayat-ayat berbahasa Arab, luar dari yang ditafsirkan tersekat
kefahaman pelajar. Sebab itu mengetahui bahasa Arab adalah penting bagi pengaji
tafsir yang tinggi pengajian. Pengetahuan bahasa Arab tidak saja melengkapkan
bagi pengajian tafsir, tetapi juga membantu kefahaman keilmuan-keilmuan yang
lain yang berbahasa Arab. Kepayahan ilmu tefsir yang mementingkan ketepatan
dari pemberian makna dan maksud, tetapi juga memahami tafsiran-tafsiran
terhadap ayat yang diambil dari sumber tafsir-tafsir yang lain atau sumber
ilmu-ilmu yang lain, dari kitab-kitab atau buku-buku yang melengkapkan maklumat dan kefahaman terhadap
tafsiran ayat. Tafsir adalah keilmuan tersendiri yang mempunyai kaedah-kaedah
pendekatan, pengajian, pengolahan dan pentafsiran, sebab itu pengajian terhadap
sumber Islam dianggap penting, tetapi payah dan banyak keperluan-keperluan dan
cabaran-cabaran bagi meguasai dan mendalami ilmu berkenaan.
Satu bidang pengajian Islam yang penting dan
mempunyai pertalian yang rapat dengan Al-Qur`an dan juga menjadi sumber keilmuan
dan hukum hakam keislaman ialah pengajian Hadith Rasulullah s.a.w.
Hadith ialah riwayat tentang kata-kata,
perbuatan, suruh dan larang dan taqrir Rasulullah s.a.w.
Kepentingan Hadith dapat difahami dari Sabda Rasulullah
s.a.w. yang bermaksud:
``Aku tinggalkan kepada kamu sekalian dua
perkara yang mana kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengan
kedua-duanya, iaitu Kitab Allah dan sunahku.``
(Riwayat
Imam Malik dalam Al-Muwatta`).
Keilmun Hadith sebagaimana tafsir melalui
perkembangan yang mematangkan keilmuan tersebut dan pengajian Hadith mempunyai
kaedah-kaedah teratur dan ciri-ciri keilmuan tersendiri misalnya ada konsep
riwayat, ada rawi dan sand. Hadith pula mempunyai beberapa kategori berdasarkan
kekukuhan dan kelemahan seperti Hadith sahih, hasan, daif. Dan ada tokoh-tokoh
penghimpun Hadith seperti Bukhari, Muslim, Tirmidhi, Abu Daud, Nasai dan Ibn
Majah. Pada dasarnya mempelajari ilmu Hadith adalah mempelajari kaedah
pembuktian ilmu secara ilmiah. Antara ciri-ciri kaedah ini turut digunakan di
dalam kaedah pengajian moden. Misalnya di dalam pengajian sejarah yang kaedah
pembuktian ialah dengan merujuk kepada sumber awal dan juga menilai kepada pihak
yang menyampaikan maklumat dari segi keboleh percayaan atau sebaliknya, juga adakah
maklumat tersebut dapat dipertanggungjawabkan dari rentetan riwayat yang
berhubung dengan sumber. Seterusnya kaedah rujukan dan catatan kaki di dalam
bidang penulisan ilmiah ada kemiripan dari kaedah yang digunakan di dalam
keilmuan Hadith. Keilmuan Hadith adalah keilmuan asli yang lahir dari tradisi
keilmuan dan peradaban keilmuan Islam.
Sebagai sumber utama Islam, maka pengajian
tentang ilmu Hadith adalah juga diberi keutamaan. Ada dua kaedah persembahan
keilmuan berkenaan kepada jamaah. Pertama ialah pengajian secara formal yang
mempelajari ilmu Hadith secara kaedah keilmuan berkenaan. Misalnya dengan
mempelajari ilmu Mustalah al-Hadith yang membicarakan keilmuan berkenaan secara
teratur. Manakala satu kaedah lagi ialah dengan membaca Hadith-Hadith pilihan
kepada jamaah di masjid, misalnya selepas solat-solat fardu, terutama selepas
solat maghrib dan subuh sebagai siri tazkirah kepada jamaah. Kaedah merupakan
pendengaran ini boleh disampaikan kepada orang awam atau jamaah bagi menambahkan
maklumat dan ingatan.
Sebenarnya kini terdapat banyak buku-buku
Hadith yang diberi terjemah dan huraian di dalam bahasa Melayu contoh Hadith 40
Imam Nawawi, Riyad al-Salihin juga Imam Nawawi dan banyak lagi buku-buku
pilihan Hadith yang diterbitkan yang dapat dipelajari. Walau bagaimana
pembelajaran sebagai ilmu teratur terhadap Ilmu Hadith sebagai satu ilmu khusus
perlu kepada pengajian secara formal yang diajar oleh guru-guru yang
berkelayakan di dalam keilmuan berkenaan. Sebagai pengajian pada peringkat
tinggi, sebagaimana mempelajari ilmu Tafsir perlu kepada penguasaan bahasa
Arab, maka demikianlah juga dengan keilmuan Hadith memerlukan kepada
pelajar-pelajar, lebih-lebih lagi guru menguasai bahasa Arab dengan baik.
Sekian.
No comments:
Post a Comment