BBB, 04 Syawal 1436 = 20 Julai 2015 (Isnin):
Masjid selain dari tugas utamanya sebagai
institusi ibadat dan pendidikan juga berperanan di dalam bidang kemasyarakatan.
Bidang kemasyarakatan yang dimaksudkan ialah:
1) Menyelesaikan masalah kehidupan
yang dihadapi oleh ahli kariah,
2) Menganjurkan himpunan berfungsi keagamaan dan
Sememngnya selama ini masjid dan surau antara
fungsinya ialah menyelesai dan memudahcara
masalah yang dihadapi masyarakat, khususnya masalah yang dihadapi
individu. Sebenarnya bagi individu melalui beberapa upacara di dalam proses
kehidupannya mulai dari kelahiran sehinggalah kepada kematian. Masjid atau
surau dan kepimpinan masjid atau surau sering dilibat atau dijemput bagi
menyempurnakan sesuatu acara berkenaan. Sebagai melahirkan rasa kesyukuran anak
atau anak-anak dilahirkan maka diadakan majlis aqiqah yang kadang-kadang
diadakan majlis berkenaan secara beramai-ramai di masjid atau surau. Pengerusi
atau imam biasanya diminta menjalankan upacara aqiqah majlis yang diadakan
secara ramai-ramai. Tetapi sering majlis sedemikian diadakah di rumah bagi anak yang diaqiqah, maka pegawai-pegawai
masjid dan surau serta ahli kariah berdekatan sama dijemput menghadiri majlis
berkenaan. Apabila anak lelaki sampai umur yang melayakkan untuk dikhitan, maka
diadakan majlis berkhitan yang biasanya diadakan secara beramai-ramai di suatu
tempat tertentu. Biasanya pegawai dan kakitangan masjid atau surau dijemput
sama bagi menyempurnakan majlis. Turut sama pada kebiasaan diadakan majlis
khatam Qur`an bagi remaja lelaki dan juga perempuan.
Proses yang penting dilalui oleh seorang
pemuda dan pemudi ialah mengadakan majlis perkahwinan, sebelumnya pertunangan.
Perkahwinan melibatkan juru nikah dari masjid yang menjalankan upacara aqad. Di
dalam konteks Masjid Al-Umm, tempat bagi menjalankan upacara aqad memang
disediakan, bahkan turut disediakan ruang untuk jamuan yang boleh disewa oleh
pihak yang menjalankan upacara perkahwiunan. Seterusnya puncak yang dilalui dan
dihadapi oleh seseorang ialah mengalami kematian. Perkhidmatan mengurus jenazah
bagi satu-satu kematian disediakan dari peringkat memandikan mayat, kafan.
Solat jenazah dan mengkebumikan di tanah perkuburan memang disediakan oleh
masjid ia merupakan tugas sosial bagi masjid terhadap anak kariah. Tanah kubur
adalah diamanah oleh pihak berkuasa kepada masjid menguruskannya.
Sebagaimana masjid berperanan menyelesaikan
masalah yang dihadapi seseorang individu di dalam kehidupannya, masjid juga
berperanan menjalankan majlis-majlis sambutan dan upacara-upacara perhimpunan
yang ada kaitan dengan keagamaan. Majlis-majlis ini merupakan rotasi peristiwa
ulangan bagi setiap tahun yang rentetannya berlaku dari awal hingga akhir
tahun. Misalnya dilihat berdasarkan tahun Hijrah, maka bermula dari awal tahun
diadakan sambutan awal tahun Hijrat al-Rasul, diikuti majlis Maulid al-Rasul
pada bulan Rabiul Awwal (mulai 12 Rabiul Awwal), Sambutan Isra` Mi`raj pada
bulan Rajab, Sambutan awal Ramadhan, Nuzul Al-Qur`an, Hari Raya Idul Fitri dan
sambutan Idul Adhha (Masjid antaranya berperanan menjalankan kursus haji kepada
bakal haji sebelum tiba masa haji). Berbagai cara diadakan oleh masjid dan
surau bagi menyambut hari-hari kebesaran Islam di atas. Antara acara yang
lumrah diadakan ialah dengan mengadakan ceramah-ceramah di masjid surau bagi
contoh sambutan awal Hijrah, begitu juga bagi Maulid al-Rasul yang
kadang-kadang diadakan perarakan pada peringkat negeri dan negara. Demikian
ceramah bagi Isra` Mi`raj. Manakala bagi sambutan yang berkait dengan Ramadhan
ialah juga ceramah dan tazkirah bagi meningkatkan amalan ibadat dan bersadakah.
Bagi sambutan Hariraya Idul Fitri biasanya masjid menjalankan acara solat Idul
Fitri dan masing-masing menjalankan acara perayaan masing-masing dengan
menziarah dan bermaaf-maafan. Manakala bagi sambutan raya Idul Adhha, masjid
selain dari mengadakan solat Idul Adhha, maka masjid juga surau menganjurkan
ibadat Korban biasanya secara besar-besaran yang disertai ramai peserta.
Sebagaimana acara yang dihadapi oleh individu di dalam kehidupan, maka
sambutan-sambutan adalah dialami oleh masyarakat secara jamaah dan merupakan
acara tahunan.
Berlainan dari dua kategori di atas, ialah
persoalan mengenai khidmat sosial yang harus dilibatkan oleh masjid, ia bukan
rutin tahunan yang dilalui, tetapi lebih kepada peristiwa, situasi setempat dan
komitmen yang diambil oleh masjid. Sebagai contoh khidmat yang popular diguna
di dalam masyarakat, iaitu `gotong royong` di dalam masyarakat. Misalnya
berlakunya wabak denggi, dengan keprihatinan AJK Masjid, maka masjid mengambil
inisiatif menganjurkan gotong royong membersihkan kawasan yang berlaku denggi
dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Daerah dan penduduk. Gotong royong dapat
dilakukan bagi membersihkan kawasan perkuburan, membaiki rumah uzur bagi warga
emas yang daif kehidupan, gotong royong melengkapkan kemudahan padang
permainan, padang bola dan berbagai-bagai lagi.
Selain dari bersifat gotong royong masjid juga
boleh menganjurkan pungutan derma bagi membantu masyarakat miskin setempat sempena menjelang idul Fitri, anak yatim, membantu
pelajar miskin setempat bagi menyambung pelajaran, membantu msyarakat yang
mengalamai bencana seperti kebakaran, ribut, banjir dan sebagainya.
Selain dari gotong royong dan menderma khidmat
sosial masjid juga boleh mengadakan majlis-majlis penerangan bagi menerangkan
sesuatu isu semasa yang dihadapi oleh masyarakat misalnya masalah kekurangan
air, kempen mencegah pembaziran dan obesiti, mencegah penyalahgunaan dadah,
gejala sosial melanda muda-mudi masyarakat dan pencegahan, gejala berlumba
haram, mencegah peningkatan kemalangan jalan raya dan sebagainya. Kini pada
zaman komunikasi moden masjid mempunyai portal maklumat berhubung dengan
kegiatan masjid dan kegiatan surau-surau di bawahnya.
Mungkin sebahagian daripada contoh-contoh kegiatan
sosial yang dibicarakan dapat dikatakan bukan tugas masjid dan ada
agensi-agensi dan jabatan-jabatan berkenaan seharusnya mengambil tanggungjawab,
tetapi masjid sebagai pusat pertemuan penduduk adalah tempat paling sesuai
dijalankan kegiatan sosial berkenaan. Peranan
masjid prihatin dengan masalah masyarakat atau bekerjasama dengan agensi-agensi
dan jabatan-jabatan berkenaan mencerminkan komitman tinggi masjid terhadap
masyarakat. Dengan sedemikian masjid bukan saja dipandang hormat oleh masyarakat, tetapi juga
dapat menarik masyarakat turut sama memakmur dan mengimarahkan masjid melalui saluran-saluran
keterlibatan mereka dengan masjid.
Sesungguhnya fungsi masjid pada zaman
Rasulullah s.a.w. lebih dari tiga bidang fungsi yang kita bicarakan. Masjid
pada zaman Rasulullah ialah pusat
ibadat, pendidikan, pentadbiran, pertahanan, ekonomi , polisi dalam dan luar
negara. Masjid adalah pusat kegiatan masyarakat umat.
Sekian.
No comments:
Post a Comment