July 16, 2015

Menganjurkan Kegiatan Bersifat Seni


BBB,  28 Ramadhan 1436 = 15 Julai 2015 (Rabu):


Bagi memvariasikan kegiatan, mencungkil bakat dan menarik golongan yang meminatinya terutama golongan muda masjid wajar melibatkan diri dalm kegiatan seni yang tidak bercanggah dengan Islam.
Antara bidang seni yang wajar diberi perhatian ialah:
1)      Tilawah Al-Qur`an secara bertarannum (Berlagu)
2)      Salawat, Nasyid dan lagu-lagu bertemakan Islam
3)      Menulis Khat
4)      Penulisan Kreatif bertemakan Keislaman
5)      Rekacipta dan Gubahan
Tilawah Al-Qur`an
Pada umumnya kebanyakan anak-anak mempelajari Al-Qur`an sama ada di rumah dan di sekolah. Ada antara mereka ada yang baik dari segi bacaan dan bertarannum. Bagi mencungkil bakat mereka masjid secara tidak berkala wajar menganjurkan pertandingan Tilawah Al-Qur`an pada peringkat Bangi atau daerah bagi memilih qari dan qariah terbaik bagi peringkat daerah. Untuk mendapat calon-calon ialah melalui sekolah dan juga masjid dan surau. Yang terpilih boleh mewakili Bangi ke peringkat negeri, negara dan antarabangsa, bila berkelayakan. Bagi pelajar boleh ditawarkan ke mana-mana ma`had tahfiz, jika berminat. Mereka boleh dilatih menjadi imam dan guru Qur`an setempat.
Bagi meneruskan usaha memupuk bakat, pihak masjid wajar menjemput sekali sekala guru-guru tarannum menympaikan kursus tarannum dari masa ke masa untuk diikuti oleh yang berbakat dan yang berminat.
Salawat, Nasyid dan lagu-lagu bertemakan Islam
Kini lagu-lagu salawat dan nasyid mendapat sambutan yang baik dari masyarakat. Contoh Majlis Malam Salawat Ke Atas Rasul. Majlis-majlis salawat  sedemikian dapat dianjurkan oleh masjid secara tidak berkala bertempat di padang berhampiran dengan masjid. Pertandingan Bersalawat dan Nasyid boleh dianjurkan di kalangan golongan muda pada peringkat daerah dan juga negeri. Lagu-lagu keislaman juga menarik minat masyarakat seperti dihasilkan pada peringkat antarabangsa oleh Maher Zain dan pada peringkat nasional seperti oleh Hamidon. Pertandingan lagu dan menggubah lagu keislaman wajar dianjurkan bagi mencungkil bakat dan melahirkan pelagu-pelagu bertemakan keislaman.


Penulisan Khat
Satu warisan seni Islam yang tinggi mutunya ialah Penulisan Khat. Antara khat-khat terkenal di dalam seni lkat ialah nasakh, raq`ah, thuluth, Diwani dan banyak lagi. Bagi menghidupkan tulisan jawi dan juga tulisan dalam bahasa Arab, maka Masjid menganjurkan kursus penulisan khat dengan menjemput penulis-penulis khat menjalankan kursus dan bengkel penulisan khat kepada terutama pelajar-pelajar sekolah (wakil) dan mereka yang berminat di dalam penulisan khat. Pada satu peringkat dapat diadakan pertandingan penulisan khat di kalangan murid-murid antara sekolah dan juga bagi kategori terbuka di dalam berbagai jenis penulisan khat. Hasil dari pertandingan dan pengumpulan pihak masjid dapat mengadakan `Pameran Khat` di galeri, mana-mana bahagian di masjid sebagai tempat yang sesuai. Jualan hasil penulisan khat juga diadakan.
Penulisan Kreatif dan Esei Bertemakan Keislaman
Bangi sebagai Bandar Ilmu dan ramai intelektual dan pelajar-pelajar adalah dipercayai mempunyai ramai mereka yang berbakat di dalam bidang penulisan esei dan kreatif. Bagi menarik golongan muda ke masjid, antara kegiatan yang boleh dianjurkan ialah peraduan menulis – mungkin pada peringkat daerah, negeri atau kebangsaan.  Kerjasama mungkin dapat dilakukan dengan pihak sekolah-sekolah dan jabatan-jabatan berkenaan. Sebagai galakan dan insentif kepada pemenang-pemenang, mereka bukan sahaja diberi hadiah yang berpatutan, tetapi hasil-hasil yang menang dan bermutu diterbitkan oleh pihak masjid sebagai sebahagian penerbitan yang diterbitkan oleh masjid (di samping penerbitan Ilmiah dalam bidang keislaman).
Rekacipta Dan Gubahan
Bagi menggalak dan memperkembangkan daya kreativiti terutama golongan muda wajar diadakan  peraduan-peraduan  yang dapat menyerlahkan bakat-bakat yang ada pada mereka dengan mengadakan pertandingan secara tidak berkala misalnya:
Pertandingan foto yang mencerminkan keagungan Ilahi. Ini boleh dilibatkan oleh berbagai pihak, lantaran merakam gambar, terutama melalui handphone adalah menjadi kebiasaan bagi pemilik-pemilik handphone. Pertandingan memberi peluang kepada yang berminat mengambil gambar menunjukkan kemahiran mereka. Gambar-gambar terpilih akan dipamerkan digaleri pertandingan di masjid.


Rekacipta yang melibatkan kalangan wanita dan ibu-ibu juga ialah dari segi mencipta feseyen bagi pakaian anak-anak yang pakaian yang dipertanding digaya oleh anak-anak secara pertandingan. Pertandingan juga dapat dikendalikan oleh kalangan wanita dan muslimat dari segi gubahan bunga, jahitan, pertandingan masakan dan sebagainya.
Semua kegiatan yang dianjurkan bagi membuktikan bahawa masjid tidak saja bagi tempat ibadat – solat yang biasanya dihadiri oleh golongan orang tua. Masjid harus melibatkan semua golongan dan berbagai-bagai kegiatan perlu diadakan yang melibatkan semua golongan. Kegiatan-kegiatan hendaklah tidak bercanggah dengan syariat dan akhlak.
Kita mau melihat bahawa Masjid Al-Umm adalah milik semua dan kegiatan adalah melibat semua. Masjid adalah tempat ibadat, namun masjid juga adalah tempat pengajian berbagai-bagai keilmuan Islam. Masjid juga menjadi tempat kegiatan kemasyarakatan. Di masjid ada kenduri perkahwinan, ada kegiatan yang bersifat seni keislaman dan masjid juga menganjurkan kegiatan rekreasi dan sukan.
Sesungguhnya masjid adalah institusi ibadat, pendidikan dan kegiatan kemasyarakatan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment