July 29, 2015

Fiqh Bidang Yang Luas Diperkatakan: Kurikulum


BBB,  12 Syawal 1436 = 28 Julai 2015 (Selasa):
Jika aqidah ialah persoalan yang bersifat doktrin yang berkait dengan kepercayaan dan bersifat dalaman -  lebih bersifat minda, maka fiqh adalah bersifat aturan-aturan (law) yang dipraktik secara amali dan kelihatan secara lahiri. Berbanding dengan bidang aqidah, maka bidang fiqh lebih banyak dan luas diperkatakan. Sebagaimana aqidah adalah bersumberkan Al-Qur`an dan juga Hadith, maka demikian dengan fiqh, tetapi sumber bagi bidang ini lebih banyak dan luas diperkatakan sejak dahulu hingga kini. Lantaran itu, jika dalam bidang aqidah mempunyai dua mazhab utama sunni, iaitu Ashari dan Maturidi, maka di dalam bidang fiqh melahirkan empat mazhab terkenal, iaitu Maliki, Shafie, Hanafi dan Hanbali.


Secara tradisional runglingkup kurikulum bagi bidang fiqh sebagaimana ilmu aqidah menurut susunan rukun iman yang enam, maka ruanglingkup bagi bidang fiqh ialah menurut susunan rukun Islam yang lima iaitu syahadat, solat, zakat, puasa dan menunaikan haji ke Baitillah al-Haram bagi mereka yang berkemampuan. Secara yang lebih spesifik penyusunan dari segi pembicaraan dibahagikan kepada ibadat, muamalat, munakahat, jinayah dan jihad.
Bidang ibadat adalah bidang yang paling luas diperkatakan dan banyak kitab yang dihasilkan sejak dulu hingga kini. Bidang ibadat adalah bidang praktik yang menjadi panduan dan amalan harian bagi umat. Penyusunan perkara-perkara yang dibincangkan menurut persis penyusunan bagi rukun Islam itu sendiri. Pendekatan ini dibuat sejak peringkat awal pengarangan ilmu fiqh seperti yang dilakukan Imam Malik di dalam kitabnya yang berjudul `Al-Muwatta`` dan diteruskan secara sedemikian oleh ulama fiqh yang lain seterusnya.
Bagi membicarakan persoalan ibadat, maka topik yang paling utama ialah mengenai `Solat`, tetapi sebelum mendirikan solat ada keperluan-keperluan yang lain disempurnakan, iaitu `Taharah`, lantaran itu membuka kitab fiqh, maka bab awal dan permulaan ialah mengenai `Taharah`. Iaitu hukum bersuci dari najis dan mutanajjis, bersuci dari hadath kecil dan hadath besar, alat bagi bersuci dari air atau dari debu (istinja`), berbagai jenis air, konsep air musta`mal, kaedah mengambil wudhu`, wajib, sunat, makruh dan membatalkannya. Amalan sunat bersugi. Perkara yang mewajibkan bersuci (mandi) seperti haidh, nifas dan istihadah.
Tentang solat ada berbagai-bagai jenis solat dari yang wajib kepada berbagai jenis solat sunat. Tetapi kaedah mendirikan solat adalah sama, ianya hendaklah menepati dengan rukun dan sunatnya, perkara yang membatalkan solat, solat jamaah dan jumaat. Antara solat sunat ialah solat `idul Fitri dan`idul Adhha di samping berbagai-bagai jenis solat sunat yang lain. Solat adalah kewajipan ibadat yang utama yang ditegaskan oleh banyak ayat Al-Qur`an dan Al-Hadith. Ia adalah lambang syiar umat yang utama.
Kewajipan yang selalu bergandingan di dalam Al-Qur`an ialah menunaikan zakat. Iaitu bidang yang melibatkan ekonomi yang dari satu segi Islam menggalakkan umatnya berusaha mencari sumber kehidupan yang kelak dengan sumber pendapatan ini bukan saja dapat memenuhi tuntutan diri dan keluarga dari segi sumber kehidupan, tetapi dengan rezeki yang didapati apabila cukup syarat seperti cukup haul dan nisab, maka pengusaha dapat memberi sumbang bakti kepada pemerintah dan masyarakat dengan mengeluarkan zakat bagi harta seperti ternakan, tanaman, emas perak, hasil perniagaan, lombong dan rikaz.
Selepas daripada zakat, maka susunan kefarduan dari rukun Islam ialah puasa Ramadhan. Bagi melaksanakan puasa ada aturan kaedah yang perlu dipatuhi, ada sunat-sunat di dalam berpuasa dan amalan-amalan yang menyerikan puasa, seperti sunat tarawih, membaca Al-Qur`an dan berbagai-bagai amalan sunat yang dituntut yang ganjaran pahala bagi amalan di dalam bulan Ramadhan adalah berganda, manakala tuntutan dari rukun Islam kelima ialah menunaikan haji ke Baitillah al-Haram sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan. Haji adalah perhimpunan umat di Makkah dan Arafah secara tahunan bagi melakukan umrah dan haji yang perlu memenuhi rukun, wajib dan sunatnya. Banyak hikmat dari amalan haji, antaranya menghayati kebesaran Allah melalui perintahnya, dapat menghayati latar sejarah perkembangan Islam sejak dari zaman Nabi Ibrahim a.s. membawalah kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan dapat menyaksikan kesan-kesan sejarah dari segi perjuangan Rasullah s.a.w. di dalam menegakkan Islam, selain daripada itu dapat memahami dan berkenalan dengan berbagai masyarakat umat Islam yang datang dari berbagai negara dan penjuru alam. Selain daripada itu bidang fiqh membicarakan tentang aqiqah, hukum berjual beli, waqaf, fara`id dari segi wirathah, perkahwinan dan segala perkara yang berhubungan dengan rumahtangga dan keluarga, persoalan jinayah, riddah, bughat, jihad, wala1 dan nazar
Fiqh sebagai kurikulum pengajaran hingga kini masih popular dengan turath kitab-kitab yang dihasilkan oleh ulama tradisional, seperti kitab yang dihasilkan oleh Shaykh Daud al-Fatani dengan kitabnya yang berjudul Munyati al-musalli. Kitab dihasilkan oleh Muhammad bin Ismail Daud al-Fatani dengan kitabnya berjudul Matla` al-Badrayn, Shaykh Muhammad Arshad al-Banjari dengan kitabnya yang berjudul Sabil al-Muhtadin, Abdul Samad bin Muhammad Salih (Tuan Tabal) berjudul Bidayah al-Ta`lim dan banyak lagi kitab fiqh yang dihasilkan.
Bidang fiqh kini makin luas diperkatakan mengenai perkembangan bidang semasa seperti persoalan yang berhubung dengan ekonomi Islam seperti Bank Islam dan takaful yang kedua-duanya mendapat sambutan bukan saja di kalangan umat Islam, tetapi juga di kalangan yang bukan Islam, mengenai industri halal dan haram yang kebaikannya bukan saja kepada orang Islam tetapi juga kepada yang bukan Islam, begitu juga dengan pendekatan dan perluasan konsep waqaf di dalam Islam.
Perkembangan fiqh semasa tidak saja berhubung dengan bidang ekonomi, tetapi juga mengenai siasah-politik dan pentadbiran secara Islam. Terdapat tokoh yang mampu membicarakan bidang ini seperti oleh Profesor  Dr. Yusof al-Qaradhawi seperti karya beliau yang berjudul Fiqh al-Daulah dan banyak lagi karangan beliau yang berhubung dengan fiqh semasa. Di samping itu terdapat usaha mengislamisasi undang-undang seperti yang dilakukan oleh al-Marhum Profesor Ahmad Ibrahim yang usahanya diteruskan oleh pendukung-pendukungnya.
Bidang fiqh adalah bidang yang luas, ianya didekati di dalam pengajaran berpandukan kitab-kitab turath yang dihasilkan oleh ulama-ulama tradisional, tetapi yang lebih mencabar  bagaimana menghasilkan pendekatan semasa berhubung dengn isu-isu fiqh terkini baik dalam bidang ekonomi, politik, perundangan  dan kebajikan yang dapat memperlihatkan bahawa persoalan fiqh adalah bidang yang releven dari dulu hingga kini dan akan datang. Lantaran pengajaran terutama tentang isu-isu semasa dan terkini memerlukan penyelidikan yang dengan penemuan dan pendekatan yang didapati memberi manfaat kepada umat di dalam kehidupan dan interaksi dengan masyarakat.

Sekian. 

No comments:

Post a Comment