July 19, 2015

Pengajian Hujung Minggu Lebih Bersifat Formal


BBB, 02 Syawal 1436 = 18 Julai 2015 (Sabtu):
Dimaksudkan dengan pengajian hujung minggu ialah pengajian pada hari Sabtu dan Ahad yang merupakan hari tutup pejabat. Kedua-dua hari ini adalah hari terluang bagi pekerja-pekerja dari aktiviti rasmi pejabat dan juga dianggp sebagai hari minggu bagi bidang-bidang yang lain. Tapi bagi masing-masing mempunyai agenda sendiri bagi memenuhi masa kedua-dua hari tersebut. Bagi mereka yang meminati pengajian, maka kedua-dua hari tersebut dapat digunakan bagi mengikuti pengajian dan mendalamkan ilmu pengetahuan.


Bagi masjid banyak program yang dapat diisi dan ditawarkan kepada masyarakat – (Selain dari pengajian mengirinbgi waktu solat, terutama antara waktu maghrib ke Isya` dan mengiringi waktu subuh bagi hari-hari bekerja). Pada hari-hari minggu ini, masa yang digunakan antara pagi (jam, 8.00-1200 tengahari). Pada sebelah petang ialah waktu untuk urusan peribadi dan keluarga. Pengajian yang dapat diisi bagi hari-hari minggu:
1)       Pengajian berkitab atau berteks dengan pilihan keilmuan-keilmuan tertentu
2)      Pengajian khusus bagi  muslimat
3)      Pengajian bagi peringkat anak-anak dan remaja
4)      Kursus bahasa – khususnya bahasa Arab
5)      Pengajian berpekej
Oleh kerana masa yang ada begitu terhad, maka jadual pengajian perlu diatur supaya tidak berlaku pertindihan, tidak berlaku pembaziran tenaga dan masa. Setiap hari dapat diisi dengan dua mata pelajaran sebanyak 2 jam bagi satu pengajian. Kecuali no. 3 pengajian pada peringkat anak-anak dan remaja, maka yang lain penyusunan jadual haruslah dapat diikuti oleh umum. Pengajian pada peringkat anak-anak lebih kepada bimbingan pengajian Al-Qur`an, menghafal (Al-Qur`an) yang melibatkan pelajar tahfiz, di samping mempunyai slot masa menghafal yang lain dan pengajian-pengajian asas fardu.
Selain daripada pengajian pada peringkat anak-anak dan remaja dapatlah dikatakan pengajian seharusnya bersifat berat. Bagi mengisi pengajian yang ditawarkan, maka pengajian setahun dibahagi peda dua semester (separuh tahun bagi satu semester). Pengajian ini diikuti oleh beberapa kategori pengajian yang kita namakan:
1)      Tafaqquh fi al-Din
2)      Pengajhian berpekej
3)      Pengajian Ala Pondok
Bagi semester pertama (separuh tahun pertama ditawarkan bagi empat slot pengajian bagi seminggu ialah, katakan `aqidah, tafsir, ekonomi Islam dan Bahasa Arab, manakala bagi semester dua (separuh kedua tahun) ialah fiqh, Hadith, tasawuf dan sirah. Diulang mata pelajaran kepada tahap yang lebih tinggi bagi tahun dua dan ketiga.
Untuk pengajian muslimat mungkin dipilih waktu di luar bagi jadual di atas. Misalnya sebelah petang hari Sabtu atau atau mana-mana waktu yang sesuai.
Semua pengaji-pengaji yang memilih mana-mana satu jenis pengajian di atas perlu mendaftar pengajian dan kehadiran diambil bagi setiap pengajian.
Bagi pengaji-pengaji Tafaqquh fi al-Din yang berhasrat memilih mata-mata pelajaran agama sahaja boleh tidak mengambil mata pelajaran Ekonomi Islam dan sirah. Pengaji-pengaji berpekej dan tahfiz dikehendaki mengambil semua pelajaran yang ditawarkan dan pengajian ala pondok mengambil mata pelajaran `aqidah, fiqh, tasawuf dan pengajaian al-Qur`an dan Hadith.


Pihak masjid dikehendaki menyediakan kurikulum bagi setiap mata pelajaran yang ditawarkan. Guru-guru yang mengajar adalah dari kalangan mereka yang berkelulusan dan berkelayakan. Kerjasama dengan pengajian-pengajian tinggi tertentu akan dilakukan, khususnya dari segi penilaian kursus pengajaran yang ditawarkan. Guru-guru dari pengajian tinggi tertentu mungkin dijemput bagi menyampaikan sebahagian dari pengajaran bagi kursus-kursus yang ditawarkan
Bagi pengaji-pengaji yang mengikuti pengajian akan diadakan ujian penilaian. Dengan ujian-ojian dan penilaian yang dibuat akan dikeluarkan sijil atau diploma yang diiktiraf oleh pengajian tinggi yang melayakkan yang lulus untuk menyambung pengajian pada peringkat yang lebih tinggi.
Pengajian pada hujung minggu ini adalah lebih bersifat formal dengan adanya syarat kelayakan, pendaftaran, pengambilan kehadiran dan pengajaran yang tetap dan berkurikulum, guru yang menyampaikan pengajaran secara berkesinambungan seterusnya ada penilaian dan pengeluaran pengiktirafan sama ada sijil atau diploma yang diusahakan pengiktirafan dari institusi-institusi pengajian tertentu. Pengajian ini berbeza dari pengajian yang diadakan secara terbuka seperti pengajian mengiringi waktu-waktu solat fardu. Kemudahan yang disediakan bagi pengaji berdaftar ialah perpustkaan yang menyediakan bahan-bahan bacaan dalam bidang yang berkait dengan mata-mata pelajaran yang disediakan. Begitu juga pengaji-pengaji dibenarkan membuat rujukan di perpustakaan dan meminjam bahan-bahan bacaan.
Bagi pengaji-pengaji berdaftar dan juga yang mengikuti pengajian secara terbuka akan didedahkan dengan seminar, konvensyen dan wacana-wacana ilmiah yang dianjurkan oleh masjid dari semasa ke semasa dengan menggunakan ruang konvensyen di masjid misalnya pada waktu-waktu malam, terutama pada hari-hari minggu. Pakar-pakar di dalam bidang keilmuan tertentu akan dijemput mengisi seminar, konvensyen dan wacana-wacana ilmiah dari masa ke masa secara berterusan.
Pengajian yang ditawarkan bukan setakat penduduk setempat di Bangi, tetapi kepada mereka yang berminat dari luar, di Selangor atau dari luar dari Selangor. Mereka boleh datang mulai dari petang hari Jumaat bagi mengikuti pengajian pada dua hari berikutnya. Untuk jangka panjang pihak masjid sebenarnya berhasrat membina bangunan bertingkat berdekatan masjid sebagai pusat pengajian dan pentadbiran yang juga disediakan asrama, lebih-lebih lagi bagi pelajar-pelajar tahfiz dan yang mengikuti pengajian berpekej dan merangka pengajian pada peringkat yang lebih tinggi yang melayakkan pengajian mengeluarkan diploma dan ijazah. Walau bagaimana untuk sejumlah kecil pelajar dari luar buat peringkat permulaan mereka boleh menginap di bangunan Surau Al-Umm yang akan diubahsuai menjadi penginapan imam dan asrama.
Apa yang dihasratkan oleh Masjid Al-Umm bukanlah merupakan di luar dari kebiasaan, sesungguhnya kelahiran universiti terawal di dunia adalah berasal dari pengajian di masjid, iaitu Universiti Qayrawan dan Universiti Al-Azhar.

Sekian.

No comments:

Post a Comment