July 15, 2015

Sejarah: Memahami Kebenaran Peristiwa - Meyakinkan


BBB,  27 Ramadhan 1436 =  14 Julai 2015 (Selasa):
Sejarah tidaklah sepenting berbanding dengan pengajian Al-Qur`an, aqidah dan fiqh bagi pengajian Islam. Sememangnya ianya tidak diberi keutamaan dari segi hiraki keilmuan yang dipelajari di masjid dan surau. Pelajaran ini jika diajar di masjid surau, ianya dikenali sebagai `Sirah`, iaitu sejarah khusus tentang sejarah Islam berhubung dengan sejarah kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. Walaupun sejarah tidak penting berbanding dengan mata-mata pelajaran utama di dalam Islam, tetapi wajar dijadikan sebahagian dari mata pelajaran yang diajar di dalam pengajian di Masjid Al-Umm. Dengan sejarah dapat membantu pengaji-pengaji dapat memahami apa yang dipelajari di dalam Islam dalam perspektif dan skop yang lebih luas dan mendalam dalam mendapat kebenaran.


Sejarah tidak diabaikan di dalam Islam. Contoh ayat Al-Qur`an menyebut yang dari segi maksud ialah,
``Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia (supaya menjadi pengajaran).  (Aali Imran: 140).
Dan banyak pula ayat-ayat  mengenai peristiwa sejarah untuk maklumat dan pengajaran. Contoh ayat bermaksud:
``Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhan) ialah Baitullah yang di Makkah yang barakah dan (dijadikan) pertunjuk hidayah bagi umat manusia. (Aali Imran: 96).
Namun begitu sejarah adalah luas, seluas wujud ruang dan masa dan sejarah terus mencatat bersama perjalanan masa di permukaan wujud yang ada. Sebab itu sejarah dikategorikan untuk dipelajari seperti Sejarah Dunia (secara luas), Sejarah Negara-negara (Sejarah Malaysia), Sejarah Peperangan Dunia Pertama, Sejarah Kemerdekaan Negara dan sebagainya. Namun bagi merangkumi semua seharusnya dipelajari konsep dan falsafah sejarah.
Bagi kita umat Islam, selain dari mempelajari sejarah secara luas, kita sendiri mempunyai Sejarah Umat Islam bagi kita memahami sejarah tamadun dan peradaban umat. Ianya tidak lain bagi kepentingn kita memahami sejarah Islam dalam peta sejarah tamadun dan peradaban keseluruhan. Sejarah Islam sendiri dikategorikan bagi kemudahan pengajian seperti Sejarah Kerasulan dan Kenabian, Zaman Jahiliyyah, Sirah Nabi Muhammad s.a.w., Zaman Khalifah Al-Rashidin, Zaman Umawiyyah, Abbasiyyah, Zaman Turki, Islam di Alam Melayu dan sebagainya.
Dengan pengajian sejarah katakan tentang Sirah Nabawiyyah Rasulullah s.a.w. dapat difahami sejarah Nabi  sebelum dibangkit dan bagaimana perjuangan Baginda mendakwah selepas dibangkit semasa di Makkah, Hijrah ke Madinah dan penegakan negara Islam pertama di Madinah dan perluasan negara Islam dan perkembangan Islam. Dengan mempelajari sirah kita tidak menanggapi sesuatu peristiwa secara kosong dari masa dan tempat. Misalnya dengan memahami sejarah dapat difahami latar pengibadatan Rasulullah di Gua Hira` yang membawa kepada Baginda menerima wahyu pertama (Iqra`). Dengan memahami sejarah dapat difahami dakwah Rasulullah tidak semudah diterima kaum Quraisy dan setelah 13 tahun berdakwah di Makkah, tidak seramai mana mereka yang menerima Islam sehingga Rasulullah terpaksa merangka beberapa strategi seperti berpindah ke Habasyah dan akhirnya berhijrah ke Madinah, membuka negara Islam pertama di Madinah. Pun di Madinah tidak sunyi dari menghadapi konfrontsi dan peperangan sebelum negara Mdinah berdiri dengan mantap dan Rasulullah s.a.w. meluaskan dakwah Islam hingga ke luar dari Madinah.


Mempelajari Sirah Rasulullah memperluaskan horizon kefahaman tentang Islam dan mengukuhkan keyakinan. Bahkan antara rukun Islam yang lima adalah mempunyai elemen sejarah. Misalnya dengan Rukun Islam kelima iaitu, menunaikan Haji ke Baitillah al-Haram,  memberi kefahaman kepada pengunjung selain dari menunaikan rukun kewajipan, akan latar tempat dan sejarah tempat dakwah Rasulullah s.a.w. juga dapat difahami sejarah dan tempat pertama kali Nabi Allah Ibrahim menempatkan keluarganya – Saydatina Hajar dan Ismail bermukim di Makkah dan dapat melihat dengan mata kepala tentang binaan Ka`abah yang didirikan oleh Nabi Allah Ibrahim bersama anaknya Ismail yang kesannya terakam pada Maqam Ibrahim dan Hijir Ismail. Juga dapat disaksi safa dan marwah serta telaga dan air zamzam yang mempunyai elemen sejarah yang berkait dengan Saydatina Hajar dan anaknya Ismail. Juga dapat dihayati betapa berkat dan luhurnya doa Nabi Allah Ibrahim yang memohon dari Allah agar Ka`abah menjadi tempat kunjungan yang dihadiri umat secara berterusan. Begitu juga dengan doa Nabi Allah Ibrahim agar Makkah menjadi kota yang makmur yang rezeki berlempah ruah dari segi makanan dan buah-buah. Doa tersebut dikabul Allah dan Makkah menjadi tempat makmur serta aman dan dikunjungi secara berterusan.
Demikian bila seorang sama ada bagi menunaikan haji atau umrah bila berziarah ke Madinah dapat menyaksi sendiri kesan-kesan sejarah yang berhubung dengan Rasulullah seperti Masjid Quba`, Masjid Qiblatayn, Masjid Nabawi sendiri yang menjadi pusat ibadat dan pentadbiran serta kegiatan kemnasyarakatan. Serta dapat melihat kesan-kesan sejarah seperti peperangan Badar, Uhud dan sebagainya. Dalam erti kata yang lain pemergian ke Makkah bagi menunaikan haji dan umrah membuka peluang mendapat maklumat dan kefahaman tentang peristiwa-peristiwa yang berhubung dengan dakwah, perjuangan Rasulullah dalam menegakkan Islam dan Negara Islam pertama di Madinah.


Di dalam konteks ini dilihat bahawa pelajaran sejarah atau lebih khusus adalah sirah dapat memberi kefahaman terhadap seorang Islam tentang latar perjuangan menegakkan Islam. Kepentingan sejarah bukan setakat sejarah yang berlaku berhubung dengan sejarah semata-mata. Dengan elemen sejarah dapat membantu kefahaman tentang keilmuan-keilmuan Islam. Misalnya dengan sejarah dapat difahami sebab-sebab nuzul satu-satu ayat Qur`an dan juga memahami peristiwa yang berkait dengan sejarah di dalam ayat-ayat Al-Qur`an yang berhubung dengan sejarah. Sejarah juga dapat membantu kefahaman memahami Hadith-Hadith Nabi yang berkait dengan berbagai-bagi peristiwa yang melahirkan sesebuah Hadith. Selain daripada itu sejarah membantu pengajinya memahami sejarah-sejarah yangf lain yang berhubung dengan umat Islam. Dengan sejarah bukan saja membantu dari segi kefahaman, tetapi menanamkan rasa kasih sayang, pengagungan terhadapo kerajaan Islam dan membangkitkan semangat bagi  memperjuang dan mempertahankan Islam.
Sejarah tidak pernah berdusta. Sejarah memperjelaskan hakikat peristiwa pada paksi kebenaran dan memberi keyakinan bagi yang mendepani dan menghayati kebenaran berkenaan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment