BBB, 26
Ramadhan 1436 = 13 Julai 2015 (Isnin):
Satu bidang pengajian yang wajar
dipertimbangkan untuk diajar pada pengajian Al-Umm ialah bidang tasawuf. Tapi
pengajian ini adalah pada tahap yang lebih tinggi dan tidak semua peringkat
mengikutinya. Mereka yang mengikutinya sewajarnya telah mempunyai kekukuhan di
dalam keilmuan-keilmuan asas di dalam Islam, kukuh dari ilmu aqidah dan
syariah, minat terhadap bidang kerohanian dan biasanya terdiri dari kalangan
mereka yang telah meningkat umur.
Ada yang memberi makna bahawa tasawuf adalah
akhlak. Ia merupakan sebahagian – tahap permulaan dan tidak keseluruhan adalah
akhlak, tetapi adalah bersifat rohani yang meningkat kepada tahap kehalusan `seni rohani`. Tasawuf pada tahap
permulaan ialah penggilatan dari nilai peribadi lahiri yang rendah bergerak
kepada tahap nilai kualiti lahiri yang tinggi yang masih dalam batas akhlak.
Namun tahap lahiri mampu meningkat kepada tahap `seni rohani`. Dalam skema
ketasawufan selalu dirujuk kepada Hadith Rasulullah s.a.w. diriwayat oleh Abu
Hurairah yang merujuk kepada pertanyaan
Jibril kepada Rasulullah s.a.w. tentang iman, Islam dan Ihsan (Hadith
Bukhari). Ihsan adalah tahap peningkatan
tinggi dari segi rohani.
Tasawuf dari segi akhlak sebenarnya terhasil
dan manifestasi dari pegangan akidah yang betul seseorang muslim, khususnya
kefahaman dan keyakinan terhadap rukun iman yang enam. Dengan keyakinan ini
membentuk pandangan wujud seseorang muslim. Keyakinan ini membentuk perlakuan
dan tingkah laku serta akhlak seseorang muslim. Kekukuhan dari segi akhlak
bertambah dan mantap dengan amalan terhadap rukun Islam yang lima seperti dari syahadat, solat,
berpuasa, berzakat dan menunaikan haji ke Baitillah al-Haram. Semua amalan ini
adalah sebagai benteng yang mencegah seseorang dari melakukan kejahatan, bahkan
membentuk nilai-nilai murni yang dituntut dari solat, puasa dan zakat. Lantaran
itu dengan rukun iman dan rukun Islam membentuk nilai akhlak pada diri seseorang.
Pendekatan tasawuf yang berciri akhlak ini
dibuat pendekatan oleh Al-Imam Al-Ghazali rahmatullah `alayhi di dalam karangan
tasauf-akhlak terkenalnya, iaitu Kitab Ihya` `Ulum al-Din.
Di dalam pendekatannya Al-Imam Al-Ghazali
memecahkan pembicaraan kitabnya kepada empat pecahan (empat rubu`) penting
iaitu:
1) Rubu` Ibadat
2) Rubu` Adat
3) Rubu` Munjiyat
4) Rubu` Muhlikat
Di dalam kitab Ihya`nya Al-Imam Al-Ghazali
membicarakan pada peringkat awal kitabnya persoalan yang berhubung dengan
akidah dan significant setiap aspek dari rukun iman dan rukun Islam.
Berdasarkan kepada pecahan yang dibuat.
Al-Imam Al-Ghazali membicarakan dengan panjang lebar persoalan yang berhubung
dengan rubu` (satu perempat pecahan kitab) ibadat, khususnya berhubung dengan
solat, puasa, zakat dan haji yang dengan ibadat berkenaan dapat membina akhlak
peribadi seseorang muslim. Contoh Solat, firman Allah bermaksud:
``Sesungguhnya solat mencegah seseorang dari
kejahatan dan kemunkaran.``
(Al-`Ankabut: 45).
Tentang puasa: Hadith riwayat Abu Hurairah
r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud;
``Siapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan
dengan penuh keimanan dan kewaspadaan nescaya diampun apa yang berlalu dari
dosanya . Dan barang siapa mendirikan malam laylatul Qadr dengan penuh keimanan
dan kewaspadaan diampunkan dosa-dosanya yang telah berlalu.`` (Riwayat
Bukhari).
Adapun dari rubu` (satu perempat) dari
bahagian adat, ialah mengamalkan kehidupan adat atau sosial menurut perintah
agama contoh. Bekerja, berniaga, bertani, berkahwin dan kehidupan
kemasyarakatan yang lain. Dengan mengikut aturan kehidupan sosial yang digaris
oleh Islam, maka kehidupan individu, keluarga dan masyarakat di dalam keadaan
aman tenteram.
Rubu` al-Munjiyat pula ialah melakukan
amalan-amalan yang baik seperti, tolong menolong, bersifat sabar, membantu
faqir miskin, bersadakah dan sebagainya adalah merupakan perbuatan-perbuatan
terpuji yang membahagiakan individu dan masyarakat.
Manakala aspek muhlikat, ialah sifat-sifat
yang membinasakan yang seharusnya dihindar oleh individu dan masyarakat.
Aspek-aspek berkenaan dikategorikan kepada jenis nafsu. Antaranya yang dikenali
dengan nafsu ammarah yang selalu cenderung kepada melakukan kejahatan seperti
mengupat keji, hasad dengki dan sebagainya, manakala nafsu berikutnya ialah
nafus lawwamah, yang pelakunya sedar dengan kekejian, tetapi ia terjatuh
padanya dan kesalahan menggugatnya.(Manakala dua pecahan nafsu lain yang
dikategorikan kepada yang baik ialah nafsu mutmainnah dan radiah). Jelaslah
pendekatan yang dibawa oleh Al-Ghazali di dalam kitab Ihya`nya adalah
pendekatan yang bersifat akhlak.
Adapun
pada peringkat yang lebih tinggi dari segi pembicaraan tasawuf ada yang membahagikan kepada syariat,
tariqat, hakikat dan ma`rifat. Ini merupakan pendekatan kualiti yang bergerak
dari aspek syariat sebagaimana telah dibicarakan, kepada peringkat tariqat,
kepada hakikat dan ma`rifat. Pendekatan selepas syariat agak kabur dan
bermacam-macam kaedah pendekatan. Tetapi yang paling popular bagi peningkatan
yang bersifat kerohanian ialah melalui praktik rohani yang merupakan
peningkatan kualiti dari segi ahwal dan maqam bermula dengan taubat, warak,
zuhud, faqr, sabar, tawakkal, reda, muraqabah, qurb, mahabbah, khawf, raja`,
shauq, uns, tamakninah, hal musyahadah dan hal yaqin. (Al-Tusi, Abu Nasr
Al-Sarraj, Al-Luma`, 1380/1960: 65-102).
Perjalanan disebutkan adalah perjalanan
kualiti rohani seorang sufi yang menghadapi ujian kerohanian di dalam ibadat
dan praktik kerohanian yang dari kegetiran jiwa membawa kepada kemesraan dan
memuncak kepada cinta Ilahi yang merupakan peningkatan seni rohani yang tinggi.
Dari jiwa yang penuh cinta ini, mengalir ungkapan-ungkapan yang indah sebagai
percikan rasa kecintaan terhadap Allah. Jika sufi sedemikian seorang penyair,
terluah puisi-puisi yang tinggi mutunya seperti oleh Rabi`ah al-`Adawiyah,
Rumi, Attar, Jami, Iqbal dan sebagainya. Jika jiwa sedemikian dimiliki oleh
ahli arkitek maka mengalir ilham keseni-binaan yang berciri kerohanian.
Demikianlah dengan bidang-bidang kesenian dan kemanusiaan yang lain.
Sememangnya kesufian satu bidang tersendiri
yang tidak terpish, tetapi merangkumi akidah, syariat dan kerohanian,
sebagaimana kata Imam Malik:
Siapa bertasawuf tidak berfiqah membawa kepada
zindiq
Siapa berfiqah tidak bertasawuf membawa kepada
fasik
Siapa yang menghimpun antara keduanya mencapai
tahqiq.
Tasawuf mampu dipelajari oleh mereka yang
mempunyai asas keilmuan rohani. Pengajian sedemikian dianjurkan oleh masjid
lebih kepada memahami pendekatan dan praktik yang dilalui sufi, tetapi jika ada
yang berminat, maka dia boleh menerokai dan mendalaminya dengan lebih jauh
tentang aspek-aspek kerohanian yang penuh dengan kerahsiaan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment