BBB, 15 Ramadhan 1436 = 02 Julai 2015
(Khamis):
Kedua-dua istilah di atas adalah istilah besar
yang merujuk kepada pengajian pada peringkat tinggi. Kedua-duanya mempunyai
asal kata yang terbawa kepada kedua-dua istilah di atas. Istilah jami` - bahasa
Arab berasal dari akar kata `ja – ma - `a` yang bermaksud, menghimpun, banyak dan
menyeluruh. Jami` adalah isim fa`il bermaksud `yang menghimpun, yang banyak dan
yang menyeluruh. Dengan kata `jami` memberi erti `masjid besar` dan `pengajian
tinggi`.
Adapun universiti kata bahasa Inggeris berasal
dari kata `universe` ialah ``all space and the matter which exist in it` dan
darinya diambil melahirkan istilah `university` bermaksud `a place of education
at the higher level`. Pecahan darinya juga ialah kata `universal` concerning
all members of a group atau `for all people or every porpose, widespread
(Longman Dictionary of Contemporary English, Longman, 1978: 1203-1204).
Asal usul dua kata di atas bertolak dari dasar
dan pandangan wujud yang berbeza. Jami` bermaksud `Yang menghimpun segala` dan
merujuk kepada makna pengajian tinggi adalah menghimpun segala ilmu termasuk
yang bersifat lahir dan yang ghaib dan maknawi. Boleh juga dimaksudkan kepada
ilmu berhubung dengan dunia dan akhirat, manakala universiti pada asalnya lebih
merujuk kepada `ruang yang dapat dilihat dengan inderawi dan yang terkandung di
dalamnya`. Tegasnya lebih merujuk kepada alam benda dan university menurut
istilah asal lebih memberi tumpuan kepada alam benda dan tampak.
Walaupun istilah jami` dan university pada
lahirnya merujuk kepada pengajian tinggi, tetapi pada hakikatnya tumpuan adalah
berbeza. Dalam kata lain istilah `Jami` - Pengajian tinggi adalah berakar dari
kepercayaan, tamadun dan peradaban Islam. Bermaksud bahawa `Jami` sebagai
pengajian tinggi dalam Islam adalah pengajian yang merangkumi pengajian yang
melibatkan alam nyata (syahadah) dan alam ghaib (akhirat). Dalam kata lain jika
disebut `Jami` Al-Umm` ialah pengajian yang memberi tumpuan terhadap ilmu lahir
dan ghaib, terhadap ilmu keduniaan dan keakhiratan.
Menyebut `Jami` Al-Umm`, ianya adalah bersifat
contoh. Untuk sampai kepada konsep `Jami` sudah tentulah begitu jauh untuk
dicapai. Jauh dari segi penyediaan fasiliti, jauh dari segi bidang-bidang
keilmuanm yang seharusnya dipelajari di Jami`, jauh dari kewujudan tenaga pakar
dan ilmuan yang berkelayakan mengajar di pengajian bertaraf jami` dan jauh dari
sumber kewangan yang dapat menggerak dan menggiatkan pengajaian di sebuah
Jami`. Namun walaupun arah begitu jauh, tetapi ia adalah matlamat pelayaran dan
pengajian yang seharus dan sebenarnya hendak dan sedang dituju.
Merujuk kepada kepercayaan Islam kita
mempercayai tentang alam lahiri dan alam ghaib. Di dalam tradisi keilmuan Islam
ada istilah yang mencirikan pegajian yang bersifat keilmuan lahiri dan yang
bersifat rohani. Sememangnya menyebut ilmu secara umumnya merujuk kepada semua
ilmu. Tetapi secara spesifik, ilmu berasal dari akar kata `a – li – ma`, bererti
tahu, berilmu, istilah ini ada kaitan rapat dengan `alam`, iaitu sesuatu yang
diketahui daripadanya yang menjadikan orang yang tahu disebut sebagai `alim`
dan perkara yang diketahui disebut `maklumat`, iaitu daripada alam yang maksud
asal alam yang dapat dilihat dengan mata kepala. Tetapi bagi bidang yang
bersifat ghaib, rohani dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar, tetapi
dilihat dengan mata hati dan rohani, maka digunakan istilah `a – ra – fa` -
yang bermaksud mengetahui dengan mata hati. Orang yang mengetahui soal yang
bersifat rohani disebut `aa – rif` (Dalam istilah bahasa Melayu sudah
terseleweng kerana Yang Arif digunakan pada hakim) dan pengetahuan yang
bersifat rohani dan kejiwaan disebut `ma`rifat`.
Merujuk kepada pengajian di Masjid Al-Umm yang
mengarah kepada konsep Jami`, sememangnya ilmu yang bersangkut dengan keilmuan
dan kehidupan dunia dan ilmu yang bersifat keilmuan akhirat. Bahkan jika
dilihat pengajian yang berasaskan Masjid, termasuk Masjid Al-Umm lebih
menekankan kepada pengajian yang bersifat kerohanian dan keakhiratan. Perlu
disebut bahawa tumpuan keilmuan yang bersifat lahir dan dunia, oleh kerana di
dalam sistem pendidikan kita, pengajian yang bersifat ilmu dunia dan alamiah
ini diberi penekanan pada peringkat pengajian rendah, menengah, bahkan hingga
kepada pengajian tinggi. Sebab itu pengajian yang diistilah sebagai pengajian
agama merupakan satu pakej keilmuan tambahan yang lain. Pada hal semua keilmuan
berkenaan sama ada yang bersifat lahir dan benda dan ilmu yang bersifat rohani
dan ghaib adalah terangkum di bawah ilmu yang juga bersifat Islam.
Di dalam realiti kehidupan masyarakat,
kompartmen dari segi keilmuan juga realiti keilmuan juga adalah berlaku, bahawa
ada yang berpendidikan sains, ekonomi, teknik, engineer, pertanian, arkitek,
perubatan, sains sosial dan kemasyarakatan dan sebagainya. Situasi masyarakat
sedemikian yang dihadapi masjid. Pada mereka ada yang berlebih kurang dari segi
keilmuan yang berhubung dengan keagamaan. Masjid memang tidak mampu untuk
mengisi keilmuan yang bersifat akadenik yang mereka telah pelajari dan
pengisian dilakukan bagi kekosongan ruang, iaitu dari segi keagamaan.
Walau bagaimana sebagaimana telah dibicarakan
bahawa Masjid di dalam menuju kepada yang bersifat `jami`` menyediakan keilmuan
yang dianggap diperlukan semua pihak yang mungkin tidak dipelajari atau dilalui
tanpa disedari dan perlu kepada pembaharuan
dan peningkatan, sebagai contoh keilmuan yang berhubung dengan keluarga
bahagia, kewangan dan ekonomi Islam, permakanan dan kesihatan, Halal dan Haram,
keselamatan dan alam sekitar.
Walau bagaimana soal kesedaran tentang
keislaman dan keperluan memperbaiki dan meningkatkan amalan adalah kesedaran
yang normal timbul terutama dari jiwa yang insaf, atau kesedaran dari semakin
larutnya usia yang membawa kepada kecenderungan untuk menghayati dan
mengamalkan perintah-perintah agama dan terdorong kepada mempelajari
bidang-bidang berkenaan dengan lebih mendalam. Wadah sedemikian dikenalpasti
oleh Masjid dan menyediakan keperluan-keperluan berkenaan di samping
menyediakan bidang-bidang yang bersifat intelektual dan ilmiah yang dapat
memuaskan cita rasa dan keilmuan yang sedia ada di kalangan masyarakat. Bahkan
Masjid diharapkan tidak saja bersifat memberi, lantaran di BBB begitu ramai mereka
yang pakar di dalam berbagai-bagai bidang, maka dari mereka diharap dapat
memberi sumbangan dari kepakaran mereka kepada masyarakat dan berlakulah aspek
`sharing dan sama memasyarakatkan ilmu`. Dengan cara ini menghidupkan Masjid
Al-Umm dengan kehidupan beribadat dan suasana keilmuan. Dengan ini
ketidakmampuan Masjid Al-Umm menyediakan ruang di dalam berbagai bidang ilmu
dapat ditampung oleh mereka yang pakar di dalam bidang masing-masing. Dengan
cara sedemikian secara tidak langsung Masjid Al-Umm dapat memenuhkan konsep
`Jami` Ilmu` hasil sumbangan dari berbagai pihak.
Sekian.
No comments:
Post a Comment