July 1, 2015

Taklimat Tentang Masjid Al-Umm Sempena Lawatan TG Dato` Dr. Haron Din


BBB,  12 Ramadhan 1436 = 29 Jun 2015 (Isnin):
Bertempat di bilik mesyuarat sementara, menggunakan bilik tadika yang digunakan sejak beberapa bulan lepas bagi berbagai mesyuarat, TG Dato` Dr. Haron Din diberi taklimat selepas beliau menyaksi sendiri perkembangan pembinaan yang menurut kontrektor pembinaan Tuan Haji Marzuki En. Omar, kini pembinaan sudah mencapai 80%. Turut hadir semua AJK yang menyambut dan mengiring TG menyaksikan pembangunan dari dekat.


Program ringkas awal ialah alu-aluan dan taklimat oleh Penulis selaku Pengerusi Induk AJK Pembangunan. Pertama Penulis mengucap syukur kepada Allah dan mengalu-alukan di atas kesudian TG selaku Penaung dan Penasihat AJK  Pembinaan Masjid Al-Umm hadir bagi melihat progres pembangunan Masjid Al-Umm. Kata Penulis.
Selepas satu setengah tahun pembangunan bermula dari 10 Disember 2013, maka kini syukur kepada Allah pembinaan mencapai kemajuan 80%. Bangunan fizikal jelas bagaikan siap, apa lagi bangunan sudah dicat luar dan dalam. Kerja-kerja tumpuan sekarang lebih bersifat dalaman seperti menyiapkan kubah terutama dekorasi dalaman dari bawah kubah berkenaan, melengkapkan pemasangan tile bagi semua aras, kecuali kawasan yang masih terpasang dengan tiang-tiang besi mengukuhkan junjungan terhadap kubah, melengkapkan pemasangan peralatan di bilik-bilik air dan tandas-tandas bagi semua aras, melengkapkan bilik-bilik dengan peralatan dan perabut-perabut, dekorasi dinding bahagian hadapan dan tiang-tiang yang masih belum bermula, mimbar yang disiapkan di luar sebelum dibawa ke masjid untuk dipasang dan lif yang masih belum dipasang. Usaha agar sub station elektrik dapat dipasang peralatan dan air dapat dimasukkan. Selain dari itu kerja-kerja luar yang melibatkan landskap, seni taman, jalan dan pagar perlu disiapkan.
TG juga dimaklumkan bahawa dari segi kewangan setakat ini jumlah kewangan yang didapati adalah RM10.5 juta. Selepas pembayaran-pembayaran yang dibuat kini berbaki di tangan ialah 2.5 juta. Dengan kedudukan kewangan kini dan pembangunan yang berlaku dan bayaran dibuat, maka diperlukan penambahan kewangan, yang asalnya berjumlah RM12 juta. Dengan perubahan dan penambahan serta cukai GST, maka jumlah jangkaan awal R12 juta adalah tidak mencukupi. Menurut anggaran mutakhir yang dibentangkan oleh perunding May Consult Perunding Masjid Al-Umm, bahawa dengan berbagai-bagai penambahan dibuat maka kos meningkat kepada RM18 juta. Adalah diharapkan jika janji Kerajaan Negeri untuk mengisi Tabung Masjid dengan RM6 juta, maka kos dijangka dapat ditampung, jika tidak usaha perlu digandakan bagi mendapat sumbangan dari berbagai pihak bagi menampung kos yang  meningkat itu. Jika tidak langkah berjimat cermat perlu diambil dan memberi keutamaan bagi yang lebih penting agar tidak terganggu dari segi pembangunan dan hasrat menggunakan masjid dapat dicapai dalam  tempoh ditentukan.
TG dimaklumkan tarikh dijangka siap Masjid Al-Umm dari Mei 2015 ditangguh kepada Akhir Ogos 2015. Pihak AJK berharap Masjid Al-Umm akan mula dapat digunakan pada Hari Raya Idu al-Adhha yang jatuh pada 10 Dhu al-Hijjah 1436 bersamaan 24 September 2015. Penulis menyebut bahawa, pihak AJK berharap TG dapat menjadi Khatib dan Imam pertama bagi penggunaan Masjid Al-Umm tersebut. (TG adalah bersetuju di atas permintaan tersebut).


Penulis memaklumkan bahawa pendaftaran Masjid Al-Umm tidak akan dilakukan sebelum dari September, 2015 namun usaha mendapat CF akan dilakukan. Dalam tempoh sebelum pendaftaran rasmi dan perlantikan AJK, pihak AJK yang ada kini akan berfungsi menjalankan pentadbiran dan pengimarahan. Dalam masa tersebut usaha dilakukan bagi mencari Nazir dan Imam-Imam serta AJK pentadbir yang berkelayakan, sebelum tugas sepenuhnya diserahkan kepada AJK yang baru menurut peraturan JAIS atau menggunakan pendekatan-pendekatan yang lain yang bersesuaian.
TG juga diberitahu, bahawa pihak AJK akan berusaha melaksanakan bentuk pengajian khusus yang akan dilaksanakan oleh pihak masjid yang memang modul pengajian berkenaan sedang dirangka dan adalah menjadi hasrat pihak AJK untuk mendapat keizinan dari pihak PKNS dan Negeri bagi membangunkan kawasan Medan Usahawan berhampiran masjid dengan kompleks pendidikan yang setinggi 10 tingkat menjadi pusat pengajian masjid di Wadi Ilmu, Bangi Bandar Ilmu. Satu jumlah kewangan yang agak besar akan diusahakan bagi membangunkan kompleks pendidikan berkenaan.
Selepas taklimat disampaikan oleh Penulis Tuan Haji Abdul Rahman menyampaikan tayangan berhubung dengan perkembangan pembinaan fizikal Masjid Al-Umm, iaitu gambaran dari peringkat permulaan dibina dari 10 Disember 2013 hingga kepada perkembangan pembinaan mutakhir.
Sebagai respond terhadap taklimat yang diberi TG berharap usaha mendapat CF segera dilakukan dan kebenaran mendirikan solat Idu al-Adhha dan yang lain perlu didapati dari pihak JAIS. Menurutnya usaha perlu dilakukan dari sekarang. TG bersetuju bahawa Masjid menjadi pusat pendidikan dan beliau bersetuju usaha bagi mendirikan bangunan kompleks pengajian di samping masjid bagi dijadikan pusat pentadbiran dan pengajian berasaskan masjid sebagai syiar Islam di BBB. Walau bagaimana sebelum diwujudkan dapat dilaksanakan pengajian khusus itu pihak masjid perlu memberi perhatian dan menganjurkan kursus-kursus asas sebagai contoh seperti Kursus Pengajian Al-Qur`an, Wakaf Islam, Kursus Pembahagian Harta Pusaka (Fara`id), Ekonomi dan Kewangan Islam, Kursus Solat, Keluarga Bahagia dan kursus mengurus jenazah. Antara kursus perlu mendapat pengiktirafan dari JAIS bagi setengah kursus dianjurkan  , contoh pra-perkahwinan. Beliau juga bersetuju bagi mengadakan kursus dan pengajian jangka pendek dan jangka panjang, diadakan pada hujung-hujung minggu, bersifat mingguan, bulanan dan lebih panjang lagi.
Berhubung dengan keperluan mendapat sumber kewangan TG  mencadangkan untuk mendekati tokoh-tokoh dermawan dan institusi-institusi kewangan yang dijangka dapat menderma dan mengsponsor perkara-perkara yang diperlukan. Beliau menjanjikan akan turut sama berusaha mendapat sumber kewangan yang diperlukan.
Pendek kata dari segi misi dan visi, bahawa pembinaan Masjid Al-Umm, bukan setakat mendirikan bangunan fizikal dan sebagai pusat ibadat, tetapi pendirian Masjid Al-Umm menjadi wadah pembangunan pengajian bagi meningkatkan syiar Islam yang mana di masjid ini bukan setakat berfungsi sebagai pusat ibadat, tetapi akan menjadi pusat dan institusi pengajian yang mempunyai identiti tersendiri di dalam menyebarkan keilmuan Islam dan syiarnya, bukan setakat di Bangi, bahkan di negeri, bahkan ke luar negara.


Pada akhir taklimat TG melahirkan harapan bahawa dengan tujuan murni dan pada bulan Ramadhan al-Mubarak ini beliau berharap tujuan murni mendirikan Masjid Al-Umm dan peranannya akan tercapai dan TG mengakhiri pertemuan dengan membaca doa memohon taufik dan rahmat serta kejayaan darib Allah. Majlis Taklimat yang bermula dari jam 11.00 pagi itu berakhir sebelum jam 1.00 tengahari.

Sekian.

No comments:

Post a Comment