July 20, 2015

Menjana Ilmu


BBB, 03 Syawal 1436 = 19 Julai 2015 (Ahad):
`Ilmu` adalah istilah yang menarik minda dan  jiwa yang memberi respond secara hormat terhadap apa yang dinamakan `Ilmu`. Ternampak  wajah ilmu menjelmakan diri dengan kumpulan buku-buku dan juga himpunannya di perpustakan. Ternampak juga wajah mahaguru dan profesor sedang menympaikan kuliah dengan para pelajar sedang tekun menerima dan mencatatnya dan terbayang juga pelajar yang bergelut dengan ilmu merujuk berbagai buku bagi menyiapkan kerja dan kertas ilmiah yang bakal dibentangkan di kelas tutorial dan ternampak juga anak-anak tadika sedang membilang jari juga mengeja dalam proses transformasi mengenal angka dan juga huruf. Ilmu adalah hasil transformasi maklumat kepada rumusan konsepsi yang dihasil, diabadikan ke dalam buku yang dapat dipelajari dan diperturunkan dari  generasi ke generasi mempelajari dan memanfaatkannya. Proses penurunan ini lebih banyak merupakan proses perulangan dari proses penambahan.
Di mana-mana dengan cara bagaimana menyampaikan ilmu dan penerimaan adalah proses terpuji, lantaran dengan ilmu yang  berbagai bidang dan berbagai cara disampaikan adalah proses meningkatkan martabat insan dari tahap tidak tahu (jahil) ke matabat tahu yang menjadikannya orang `berilmu`. Dengan berilmu bagi individu dan masyarakat meningkatkan cara hidup dari yang bersifat mundur kepada yang lebih bertamadun dan peradaban.


Di dalam konteks di atas, boleh dikemukakan persoalan, apakah perlu bersusah-payah mendirikan masjid dan berusaha mengisi dan mengimarahkannya dengan pengajian-pengajian ? Jawapannya ia merupakan jihad murni dan inti Takmilah bagi mengangkatkan secara bersama kualiti insan dari segi relatifnya masih kurang dengan keilmuan ke tahap keilmuan yang dapat dicapai yang kesannya menghasilkan masyarakat berilmu, berbahagia patuh pada Tuhan dan hidup di dalam suasana aman tenteram yang tercermin di dalam ungkapan `Baldah tayyibah wa Rabbun ghafur`.
Di dalam konteks Bandar Baru Bangi (BBB) yang masyarakatnya relatifnya berilmu statement yang memganggap mereka  masih kurang dari keilmuan dapat dipersoalkan. Adalah diakui sebahagian besar dari mereka merupakan masyarakat terpelajar dan intelektual, tetapi perlu diingat apa yang dinamakan terpelajar, hanya terhad kepada profession mereka yang  mereka kuasai.Sebagai contoh seorang profesor yang mendalam bidang pertanian, kekurangan dari keilmuan keagamaan. Begitu juga seorang ahli matematik, sastera dan akaun dan sebagainya. Masjid tidak mampu menyediakan keilmuan di dalam bidang-bidang profession khusus, namun dengan ruang kekosongan yang ada cuba sama berusaha mengisikannya, agar kekosongan yang ada dapat diisikan dan dapat diimbangkan. Pihak masjid bersedia menerima sumbangan bidang-bidang profession yang sama dapat dimanfaatkan oleh masyarakat. Idealnya masjid berusaha sama mengangkat martabat masyarakat kepada tahap dan kualiti setinggi yang dapat.
Proses keilmuan yang diharap berlaku di masjid sekurang-kurangnya ada tiga tahap
1)      Transformasi ilmu kepada mereka yang tidak berilmu
2)      Melengkapkan keilmuan bagi mereka yang telah berilmu
3)      Menjanakan ilmu bagi kepentingan semua
Mentransformasi atau menyampaikan ilmu kepada mereka yang tidak tahu memang menjadi tugas utama bagi masjid, iaitu mengajar kepada mereka yang tidak tahu. Misalnya mengajar anak-anak mengaji Al-Qur`an dan mengajarkan mereka dengan keilmuan fardu dan mengamalkannya. Proses ini juga berlaku kepada kalangan dewasa yang selama ini tidak memberi perhatian terhadap keilmuan (agama) maka dengan klesedaran yang ada mereka mau mempelajari ilmu yang tidak diketahui selama ini. Kebanyakan program yang disusun lebih banyak dituju kepada golongan seperti ini. Pendekatan ini adalah pendekatan yang kita istilahkan sebagai mensyarikat dan memasyarakatkan ilmu.


Bagi tahap melengkapkan keilmuan bagi mereka yang telah berilmu ialah sebagimana pernah dibincangkan, kepada mereka dari golongan sedemikian, kita tidaklah berhasrat dalam kata halus untuk mengajar mereka, tetapi berharap bersama mereka dapat mensyarikatkan ilmu. Bermaksud dari kalangan sesama intelektual ini diharap mereka bersama menyumbangkan tenaga bagi mencurahkan ilmu, sama memanfaatkan keilmuan yang tidak diketahui sebagai contoh seseorang yang menguasai satu bidang profession yang bukan dari aliran agama, dapat mengambil manfaat dari keilmuan yang disampikan dalam masa yang sama dengan kepakaran mereka diharap agar sama dapat dimanfaatkan. Contoh dapat dimanfaat bersama maklumat berhubung dengan bidang ekonomi, perusahaan, kesihatan dan sebagainya. Dengan demikian masyarakat dapat sama ditingkatkan dari segi ilmu dn maklumat.
Bagi kategori ketiga, iaitu menjana ilmu bagi kepentingan semua. Tahap ini paling sedikit dan mungkin sukar berbanding dengan tahap  dan kategori pertama dan kedua. Tahap ini bermaksud, bahawa apa yang berlaku dari segi trnsformasi ilmu selama ini, ialah penurunan ilmu yang sama dari generasi ke genarasi. Ilmu yang dibincang dan diperturunkan adalah petikan dari penemuan, pendapat-pendapat dan hasil-hasil yang telah dirumus oleh ilmuan-ilmuan yang terdahulu. Dengan proses ini pada dasarnya tidak berlaku pertambahan dari segi ilmu. Sepatutnya terutama pada tahap tinggi dari kalangan yang pakar di dalam bidang masing-masing menjanakan keilmuan yang dikuasainya bagi menambahkan ilmu dan dimanfaatkan oleh orang lain. Budaya sedemikian memang digalakkan dan berlaku di universiti-universiti. Tetapi budaya murni ini bukan sahaja berlaku di universiti, tetapi juga sepatutnya  dinstitusi-institusi yang lain.


Di dalam konteks di atas masjid yang menganjurkan berbagai-bagai ilmu keislaman yang disyarikatkan oleh tokoh-tokoh profession yang lain, diharap turut membudayakan penghasilan ilmu dalam bidang masing-masing. Di dalam maksud yang lain masjid menggalakkan para pakar yang mengajar di dalam keilmuan masing-masing menghasilkan keilmuan yang dapat diterbutkan di dalam bentuk buku yang memprojekkan imej masjid sebagai institusi yang turut menjanakan ilmu. Lantaran itu adalah menjadi hasrat masjid juga tiba pada satu peringkat dapat menerbitkan buku-buku ilmiah di dalam bidang-bidang kepakaran guru-guru berkenaan. Sebagaimana universiti mempunyai jabatan penerbitan, maka pada satu peringkat masjid juga mempunyai jabatan penerbitannya yang menjanakan ilmu melalui buku-buku yang diterbitkan dihasilkan oleh tenaga-tenaga pengajar, hasil dari konvemnsyen, seminar dan wacana-wacana ilmiah yang diadakan, bahkan pada satu peringkat juga masjid menerima hasil-hasil keilmuan dari pakar-pakar , walaupun dari tenaga yang bukan berkhidmat di masjid. Sebenarnya dengan penghasilanm ilmu sedemikian lebih memberi imej positif sebagai institusi yang turut sama mendukung keilmuan. Budaya ilmu sedemikian bukan sesuatu yang baharu, tetapi menjadi tradisi bagi masjid-masjid yang berfungsi sebagai institusi pendidikan. Misalnya Al-Ghazali menghasilkan Ihya` Ulum al-Din di Masjid Damshiq. Ada manuskrip manuskrip yang hilang yang diketahui judul antaranya diketemui manuskripnya di perpustakaan masjid-masjid yang menndakan bahawa masjid menjadi institusi yang menjanakan ilmu pengetahuan keislaman.


Sekian.

No comments:

Post a Comment