July 6, 2015

Masjid Al-Umm Di Wadi Ilmu Pemangkin Bangi Bandar Ilmu


BBB,  18 Ramadhan 1436 = 05 Julai2015 (Ahad):
Untuk menjadikan Masjid Al-Umm sebagai pusat ibadat dan pengajian, maka sebagaimana mendirikan bangunan fizikal masjid ada perancangan, maka demikianlah juga dengan pengisian dan pengimarahan juga  perlu ada perancangan dengan teliti. Demikianlah dalam tempoh setengah tahun (16 Sya`bn 1435 – 03 Rabiu al-Akhir 1436 = 14 Jun 2014 – 24 Januari 2015) selepas setengah tahun bangunan Masjid Al-Umm didirikan sudah ada tiga kali bengkel diadakan berkait dengan pengimarahan Masjid Al-Umm. Bengkel kali pertama bertarikh 14 Jun 2014 (di atas) bertempat di Puri Pujangga, UKM, tetapi tidaklah secara langsung membicarakan tentang pengisian dan pengimarahn Masjid Al-Umm, tetapi Masjid Al-Umm dilihat berada di Wadi Ilmu sebagai pemangkin bagi Bangi Bandar Ilmu (BBI). Bengkel kali kedua ialah Bengkel Untuk Merancang & Mengimarahkan Masjid Al-Umm, Bandar Baru Bangi bertarikh 26 Zulkaedah 1435 = 21 September 2014 juga bertempat di Puri Pujangga, UKM demikian pada tempat yang sama berlangsung Bengkel Ketiga iaitu Bengkel Penentuan Dan Penulisan Program Pengimarahan Masjid UKM bertarikh 03 Rabiu al-Akhir 1436 bersamaan 24 Februari 2015.


Bengkel Pertama adalah berjudul `Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu` sebenarnya dianjurkan oleh Persatuan Pemuda Prihatin Bangi dengan kerjasama Sekretariat Bangi Bandar Ilmu. Terdapat dua kertas kerja dibentangkan dalam bengkel tersebut. Pertama kertas kerja berjudul `Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu – Integrasi Berbagai Institusi Berindukkan Masjid Al-Umm. Kertas sesi pertama ini dibentangkan oleh Penulis dan kertas kerja kedua berjudul `Indikator Dan Cabaran Bangi Bandar Ilmu` dibentangkan oleh Profesor Madya Dato` Dr. Ab. Halim Tamuri. Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Kedua-dua kertas kerja ini diterbitkan oleh Sekretariat BBI (2014). Semasa pembentangan kertas kerja ini Penulis selaku Pengerusi Pembinaan Masjid Al-Umm yang masjid dari segi fizikalnya setengah tahun dalam pembinaan (mulai dibina 10 Disember 2013), maka Penulis membentangkan dari segi visi dan misi pembinaan Masjid Al-Umm berkenaan sebagai pemangkin bagi BBI. Pendekatan ini adalah merupakan pendekatan mikro bagi merealisasikan BBI, iaitu bertolak dari sebahagian kawasan BBB dengan program yang lebih kecil dan kemudian boleh berkembang dengan lebih luas ke seluruh Bangi. Adapun pendekatan yang diambil oleh pembentang kertas kerja kedua Dr. Ab. Halim Tamuri, ialah pendekatan secara makro. Maksud pendekatan secara makro dalam mana kertas kerja bertolak dan melihat bahawa seluruh Bandar Baru Bangi adalah merupakan Sebuah Kampus Terbuka dan masjid-masjid dan surau-surau merupakan sebahagian dari infra-struktur bagi BBI. Sebagai sebuah kampus universiti perlu ada kepimpinan ilmu, pejabat, perpustakaan, tenaga-tenaga akademik, pekerja-pekerja dan berbagai kemudahan sebagai sebuah `Universiti Terbuka Secara Praktikal`, termasuklah memerlukan peruntukan kewangan yang besar. Kertas ini tidak membicarakan tentang masjid secara khusus, apa lagi peranan Masjid Al-Umm yang relatifnya belum siap, maka tidaklah dibicarakan kertas ini di sini.
Kertas yang mengambil pendekatan mikro oleh Penulis, bertolak dari bahagian dari BBB, iaitu melihat Masjid Al-Umm dan kegiatan yang bakal diambil, khususnya dari segi keilmuan dan pengimarahan adalah pemangkin bagi BBI yang mekanisme berkenaan dapat diperluaskan ke seluruh BBB.  Masjid Al-Umm dari segi lokasinya berada di antara lembah bukit Bangi, lantaran itu dikenali sebagai berada di Wadi Ilmu. Secara Makro BBB mempunyai dua buah masjid (sebuah lagi ialah Masjid Al-Hasanah), 30 buah surau (kini lebih dari jumlah ini), sebuah Kompleks Pendidikan Islam (KPI), sebuah Dar al-Shifa`, dikelilingi sejumlah universiti (20), Pusat-Pusat Penyelidikan (10), sekolah (10), tahfiz dan pra sekolah. Jika secara makro adalah dilihat Masjid Al-Umm dapat bergiat dengan menyebarluaskan keilmuan dan dapat mengambil manfaat dari berbagai institusi keilmuan bagi memperkembangkan keilmuan dengan kerjasama dengan institusi-institusi berkenaan, termasuk masjid bukan setakat di Bangi, bahkan hingga keluar dari Bangi. Tetapi secara mikro yang lebih diberi tumpuan awal, bahawa di sekeliling Masjid Al-Umm terdapat (satu masjid), 8 surau, sebuah Dar al-Shifa`, 4 sekolah rendah, dua sekolah menengah, sebuah sekolah integrasi, 3 sekolah agama dan sebuah KPI. Secara mikro tumpuan kegiatan pada peringkat permulaan adalah lebih tertumpu kepada kawasan ini.
Adalah dilihat Masjid Al-Umm sebagai induk, manakala KPI, Dar Shifa` dan surau-surau secara teratur dan berkurikulum adalah sebagai fakulti dan jabatan yang menyebarkan keilmuan Islam menurut keilmuan-keilmuan pilihan. Manakala sekolah-sekolah adalah berperanan menyediakan tenaga pelajar yang dapat meningkatkan keilmuan mereka di samping mengikuti pengajian-pegajian di institusi masing-masing. Tenaga boleh didapati dari tenaga pengajar tempatan sedia ada dan kerjasama dengan berbagai-bagai insitusi pengajian tinggi yang banyak di Bangi.
Pengajian utama adalah diadakan mengiringi solat-solat fardu, hari-hari hujung-hujung minggu yang dapat diikuti oleh para jamaah, termasuk dari dan di surau-surau yang lain, manakala pengajian hujung minggu dan berpekej boleh diikuti pengaji-pengaji setempat dan juga dari luar dianjur masjid bersama seperti KPI, Dar al-Shifa`, Surau Al-Nur dan surau-surau yang lain. Seminar, wacana, konvensyen dan kursus-kursus mengenai sesuatu bidang ilmu dan topik-topik tertentu dapat diadakan dari masa ke semasa sama ada di masjid atau di institusi-institusi di Wadi Ilmu berkenaan.
Masjid juga mengadakan kelas tahfiz bagi kepentingn penduduk di BBB. Adalah disedari selama ini, meskipun di BBB ada masjid dan banyak surau, tetapi kurang dari para tahfiz. Keperluan kepada imam-imam tahfiz terutama bagi tarawih pada bulan Ramadhan begitu terasa hingga terpaksa dibawa dari luar untuk tempoh dalam bulan Ramadhan. Bila ada kelas tahfiz ia memberi keutamaan anak-anak sekolah setempat, di samping dari luar bagi mengikuti kelas tahfiz dan dilatih menjadi imam bagi keperluan masjid-masjid dan surau-surau setempat dan juga dihantar ke luar. Adalah dicadangkan juga bagi anak-anak tahfiz walaupun mereka tinggal di sekitar Bangi dan bersekolah di Bangi, seharusnya tinggal di asrama, dengan demikian tumpuan mereka terhadap kelas tahfiz menjadi lebih teratur, lantaran itu asrama tahfiz perlu di adakan.


Adalah dicadangkan juga, jika untuk anak-anak ada pengajian tahfiz, maka bagi kalangan warga emas diadakan pengajian khusus bagi mereka yang merupakan sebagai `Pondok Moden` yang mereka ini menumpukan sebahagian masa mereka belajar kitab dan beribadat di masjid atau surau-surau. Begitu juga bagi muslimat mempunyai kelas-kelas khas bagi muslimat yang ruang bagi mereka disediakan di Masjid Al-Umm. Persidangan, wacana dan kursus pada peringkat tinggi turut diadakan bagi diikuti mereka yang sedia mempunyai pendidikan tinggi.
Bagi menjadikan masjid dan surau-surau serta institusi-institusi keilmuan yang lain sebagai rangkaian bagi menyebarkan pengajaran perlu kepada kepimpinan dan AJK yang berperanan menyelaraskan kegiatan-kegiatan keilmuan antara tempat-tempat dan pelajar-pelajar yang mengikutinya, juga memerlukan kurikulum bersepadu agar tidak terjadi pertindihan dari segi bidang pengajaran dan jadual pengajian. Kerjasama dengan pihak luar, khususnya dengan pengajian-pengajian tinggi sekitar Bangi diadakan.
Walau bagaimana cadangan pada peringkat permulaan, masjid-masjid dan surau-surau adalah berperanan menambahkan keilmuan yang sedia ada pada jamaah dan pelajar-pelajar pada peringkat persekolahan sebagai tambahan bagi keilmuan yang mereka pelajari. Ini dianggap sebagai praktikal, kerana kalangan anak-anak adalah melalui pendidikan formal mereka di sekolah-sekolah. Kalangan pelajar mengikuti pengajian di institusi pengajian mereka dan para pekerja yang lain bekerja di tempat-tempat kerja dan profesion masing-masing, jadi Masjid dan institusi-institusi keilmuan yang lain sebagai bersifat menambah kepada keperluan-keperluan ilmu yang belum ada, apa lagi bagi mereka yang sebelum daripada itu belum mengikuti pengajian, khususnya pengajian-pengajian keagamaan. Peningkatan kegiatan-kegiatan keilmuan melalui institusi-institusi yang ada adalah  dilihat lebih releven dan praktikal terutama dari segi masa yang ada, penyediaan tempat, guru dan peruntukan kewangan.
Walau bagaimana untuk jangka panjang pihak Masjid Al-Umm merancang untuk membangunkan kompleks pendidikan sepuluh tingkat berhampiran Masjid Al-Umm yang dengan adanya bangunan ini dapat memperluaskan pengajian dan meningkatkan taraf pengajian.

Sekian.

No comments:

Post a Comment