July 17, 2015

Panduan Semasa Dan Harian Bagi Ahli Kariah Dan Masyarakat


BBB,  29 Ramadhan 1436 = 16 Julai 2015 (Khamis):


Dari segi  kemasyarakatan banyak perkara yang dapat dibantu oleh masjid bagi mewujudkan masyarakat harmoni dan bahagia bagi kawasan keliling dan kariah masjid, juga kepada kawasan yang lebih luas bagi mereka yang berminat dengan program-program yang diatur oleh masjid dari masa ke masa. Program-program berikut dapat dipertimbang untuk dilaksanakan secara tidak berkala:
1)      Ekonomi Rumahtangga & Kewangan Islam
2)      Panduan Kesihatan
3)      Keluarga Bahagia dan Perkahwinan
4)      Masakan Dan Jahitan
5)      Penjagaan Anak Dan Pembantu Rumah (Orang Gaji)
Ekonomi Rumahtangga & Kewangan Islam
Semua ibu bapa dan keluarga maukan anak-anak dan keluarga hidup bahagia dan mengelak dari tekanan kemiskinan  dan permasalahan. Lantaran ketua keluarga, biasanya suami dan isteri bekerja bertungkus lumus bagi menghasilkan pendapatan yang dapat menampung kehidupan keluarga. Ada yang berpendapatan lumayan, tetapi tidak kecukupan dan sebaliknya ada yang berpendapatan sederhana, tapi dapat mengendalikan kehidupan keluarga dalam keadaan sederhana dan baik. Dalam kehidupn keluarga perlu kepada pengendalian yang baik dan bijak dalam perbelanjaan dan tabungan serta mengendalikan permasalahan seperti menyelesaikan bayaran perumahan, kenderaan dan berbagai bayaran. Kursus Ekonomi Rumahtangga adalah salah satu cara yang dapat memberi panduan kepada keluarga bagi mengatur kehidupan terutama dari segi kewangan. Pihak masjid wajar mengambil inisiatif menganjurkan kursus sedemikian bagi kepentingan anak kariah.
Dari kesedaran keislaman, sebagai orang Islam mau menjalani kehidupan secara Islam, mau menghindari diri dari riba, perkara yang haram, termasuk punca pendapatan dan perbelanjaan kewangan. Kewangan Islam adalah bidang popular bukan setakat tempatan, tetapi sudah diterima ke peringkat global. Kewangan melibatkan penggunaan dari peringkat bawah hingga ke peringkat Negara.  Bagi memberi panduan tentang konsep kewangan, bank, pengurusan dan perbelanjaan menurut lunas-lunas Islam, masjid wajar menjemput pakar-pakar atau sekurang-kurang mereka yang mahir di dalam bidang kewangan Islam untuk diikuti oleh para jamaah dan penduduk sekitar sebagai panduan bagi mereka mengurus dan mengendalikan perbelanjaan  menurut kewangan Islam.
Panduan Kesihatan


Semua orang mau hidup sihat, bagi ibu bapa mau melihat anak-anak membesar dalam keadaan sihat dan berusaha mengekalkan keluarga dalam keadaan sihat dan jika sakit diusahakan agar penyakit sembuh. Namun tidak ada siapa yang tidak mengalami penyakit biasa dan kronik. Banyak ujian dalam kehidupn berhubung dengan penyakit dan tidak semua berpengalaman mengatasi masalah penyakit. Sebagai bantuan dan panduan bagi keluarga menguruskan tentang kesihatan keluarga dan juga panduan jika menghadapi penyakit terutama yang berat dan kronik, pihak masjid juga wajar sekali sekala menganjurkan panduan kesihatan bagi keluarga dengan menjemput pakar-pakar kesihatan dari hospital atau Pejabat Kesihatan menyampaikan kursus kesihatan. Mungkin dengan demikian dapat memberi panduan dan mengatasi masalah kesihatan yang selama ini tidak difahami oleh masyarakat. Atau jika berlaku masalah kesihatan bagi individu atau keluarga, maka dapat diambil tindakan menurut kaedah dan saluran yang betul.
Keluarga Bahagia Dan Perkahwinan
Setiap pasangan yang mendirikan rumahtangga mengharapkan keluarga bahagia. Tetapi tidak semua dapat mencapai hasrat sedemikian, bahkan sebahagian daripada yang mendirikan rumah tangga menghadapi keruntuhan dan kegagalan rumah tangga. Kesilapan mungkin berlaku sejak dari pra-perkahwinan, misalnya pada cara memilih pasangan dan bila berkahwin suami-isteri gagal menjaga hubungan baik sebagai suami-isteri atau ketidakmampuan dari segi kewangan atau tidak mempunyai pegangan agama dan tidak tau menyesuaikan diri hidup berkeluarga, akibat perkahwinan yang diharap mencapai kebahagian tidak berjaya dan menempuh kegagalan.
Oleh itu adalah dilihat `Konsep Keluarga Bahagia` perlu diformula dan menjadi panduan bagi suami isteri dan keluarga. Bagi mencapai hasrat sedemikian pihak masjid wajar menganjurkan kursus, seminar dan sebagainya mengenai `Keluarga Bahagia` yang disampaikan oleh mereka yang berpengalaman dan pakar dalam bidang `Memupuk Keluarga Bahagia`. Konsep keluarga bahagia ini bukan saja dituju kepada mereka yang baharu mendirikan rumah tangga, tetapi bagi pasangan-pasangan yang telah lama mendirikan rumah tangga. Dengan mengikuti kursus diharap dapat membaiki kedudukan dan keluarga menerima rahmat di atas perubahan kepada cara kehidupan yang lebih positif dan bahagia.
Jika difikirkan perlu pihak masjid dapat berunding dengan pihak JAIS mendapat keizinan menyampaikan kursus perkahwinan secara berkala bagi pasangan yang mau berkahwin dan kursus mendapat pengiktirafan dari JAIS. Ia juga merupakan sumbangan masjid kepada anak kariah dan juga masyarakat setempat.


Masakan Dan Jahitan
Khusus ditujukan kepada kaum muslimat, terutama bagi AJK Muslimat, bahawa bagi membantu ibu-ibu dan mereka yang berminat pihak masjid melalui AJK Muslimat dapat menganjurkan Kursus Masakan Dan Jahitan kepada ibu-ibu bagi membantu mereka dari segi menyediakan masakan secara sihat dan berkhasiat dan membantu dari segi menjahit sehingga kaum ibu tidak perlu mengupah pihak luar dari segi menjahit bagi keperluan biasa. Kepandaian menyiapkan makanan keluarga adalah satu faktor yang membahagiakan keluarga. Bagi galakan sekali sekala dapat diadakan pertandingan memasak dan menjahit. Dengan demikian menghidupkan suasana dan menarik penyertaan.
Penjagaan Anak Dan Pembantu Rumah (Orang GajI)
Dalam kehidupan moden dan keperluan kepada pendapatan tambahan, maka adalah menjadi kebiasaan bagi ahli rumah (isteri) bekerja. Kalau pun tidak sangat dari segi ekonomi, kerana pendapat suami mencukupi, tapi demi career, lantaran isteri berkelulusan, maka dirasakan perlu untuk bekerja. Dalam kehidupan keluarga, terutama di bandar-bandar, masalah penjagaan anak-anak adalah perkara yang mencabar  kehidupan keluarga. Hampir kesemua keluarga sedemikian memerlukan pembantu rumah, tetapi tidak mudah mendapat pembantu rumah yang baik. Adalah menjadi kebiasaan pembantu-pembantu rumah melarikan diri secara senyap, menyebabkan anak-anak ketiadaan pembantu dan kos  yang ditanggung oleh majikan akibat dari tindakan orang gaji yang melarikan diri adalah tinggi. Jika tidak mengguna orang gaji dengan menghantar ke tempat pengasuh, tidak kurang dari masalah yang memeningkan kehidupan keluarga.
Dengan adanya kursus dan panduan-panduan serta cadangan-cadangan masalah yang dihadapi oleh pasangan-pasangan dapat diringankan
Pihak masjid  selain dari tempat ibadat dan pengajian, masjid juga seharusnya memberi khidmat dan dapat membantu menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi masyarakat dengan pendekatan yang Islamik sifatnya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment