July 27, 2015

Takmilah Dengan Ilmu: Teras Dan Pengukuhan


BBB, 10 Syawal 1436 – 26 Julai 2015 (Ahad):


Ilmu adalah faktor utama di dalam proses meningkatkan kualiti sesuatu kepada Takmilah. Piawayan Takmilah Ilmu pada hakikatnya adalah pada Allah Subhanahu wa Ta`ala yang antara sifat sempurnaNya ialah `Berilmu`. Perjalanan kualiti ke arah Takmilah keilmuan ialah perjalanan yang panjang yang tidak mampu mencapainya oleh makhluk. Namun dalam perjalanan ini makhluk, khususnya insan mencapai ilmu dan mencapai kejayaan keilmuan dalam ketidaksempurnaan. Galakan terhadap mencari ilmu merupakan galakan berterusan yang menolak insan ke arah mempertingkatkan diri dengan keilmuan. Banyak ayat Al-Qur`an yang menegaskan tentang kepentingan ilmu, antaranya bermaksud:
``Katakanlah, Adakah sama antara yang berilmu dan yang tidak berilmu.`` (Al-Zumar: 9)
``Allah mengangkat mereka yang beriman dari kalangan kamu dan yang dikurniai ilmu kepada lapisan-lapisan darajat`` (Al-Mujadalah: 11) dan ayat yang bermaksud:
``Adapun yang takutkan Allah  dari kalangan hambaNya ialah ulama`.`` (Fatir: 28)
Di dalam konteks keilmuan di Masjid Al-Umm ia melibatkan keilmuan yang ditawarkan kepada jamaah, guru yang menyampaikan pengajaran, jamaah yang menerima pengajaran, masyarakat yang sama menerima kesan secara keseluruhan dan penjanaan terhadap keilmuan yang ditawarkan. Kelima-lima faktor ini merupakan fokus dan cabaran bagi masjid melaksana dan menjayakannya.
Di dalam konteks keilmuan yang ditawarkan kepada jamaah yang menghadiri majlis ilmunya sebagaimana yang telah dibincangkan ialah `Keilmuan Teras Keislaman` yang releven ditawarkan bagi pengajian di masjid dalam mana masjid menawarkan pengajian yang berhubung dengan pengajian Al-Qur`an dari tahap paling rendah mulai dari pengenalan huruf Al-Qur`an membawa kepada penghuraian terhadap kandungan Al-Qur`an yang dikenali dengan ilmu tafsir. Bagi memahami bahasa Al-Qur`an maka ditawarkan pengajian bahasa Al-Qur`an (bahasa `Arab). Teras bagi keilmuan Islam iaitu bidang aqidah diutamakan di dalam pengajaran. Lantaran tanpa kekukuhan dari segi aqidah, maka tiada paksi kukuh dari segi pegangan dan keyakinan. Demikian juga dari segi ilmu fiqh atau syari`ah, tanpa mendalami pengajian di dalam bidang berkenaan, maka tidak dapat dilakukan amalan ibadat dan kekurangan dari segi panduan bermuamalah dengan masyarakat. Hadith sebagai sumber kedua Islam, maka sama diberi penekanan di dalam pengajian. Mempelajari ilmu Hadith dapat difahami bagaimana terbinanya kaedah keilmuan Hadith dan lebih penting dapat memahami kandungan-kandungan Hadith dan hubungannya dengan hukum hakam keislaman. Satu bidang yang berkembang di dalam tradisi keilmuan dan kerohanian Islam ialah bidang tasawuf yang di bawahnya ialah termasuk bidang keakhlakan. Dengan mengenali, memahami, bahkan mengamalkan apa yang dianjurkan di dalam pendekatan bidang kerohanian ini memesrakan hubungan hamba dengan Khalik, menghayati secara rohani terhadap kebesaran Allah dan mematuhi perintahNya, manis dalam ibadat dan mendalam dari rasa kemanusiaan dan mesra dengan alam. Sesungguhnya ia adalah pengajian pada peringkat tinggi yang dapat menghayati dan menikmatinya oleh orang yang dikurniai Allah nikmat kerohanian berkenaan. Manakala bidang sirah ialah keilmuan yang dapat memperjelaskan segala yang berhubung dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku di dalam Islam dari segi pensejarahan. Dengan mempelajari keilmuan sirah memperjelaskan lagi kedudukan peristiwa dan significantnya dari sejarah dan mengukuhkan keyakinan lantaran segala peristiwa jelas dari segi sirah dan sejarah.
Melengkapkan keilmuan teras sebagai panduan dalam kehidupan menurut lunas-lunas Islam, maka dlengkapkan pengajian dengan keilmuan yang berhubung dengan aspek halal dan haram dan keusahawanan yang berhubung dengannya, kewangan dan ekonomi Islam dan aspek nilai dan seni yang berada di dalam wilayah dan batas-batas keislaman
Apa yang ditawarkan di atas adalah bidang-bidang yang sesuai dan releven dibincang dan dipelajari di masjid. Namun ini bukan bererti inilah sahaja bidang-bidang keilmuan Islam. Sebenarnya segala ilmu adalah membicarakan tentang kebenaran di dalam bidang-bidang keilmuan berkenaan, jadi segala ilmu adalah kebenaran yang tidak bertentang dengan Islam, bahkan mengukuhkan Islam. Keilmuan berkenaan tidak dibawa ke dalam pengajian yang berhubung dengan masjid, kerana keasingan dari aspek amali yang berkait dengan keugamaan, lagi pula tiada pakar-pakar di dalam bidang-bidang khusus yang mampu membicarakan bidang-bidang yang khusus berkenaan. Namun ini bukan bererti tidak sesuai dibicarakan di masjid pada ketika yang sesuai. Contoh isu gempa bumi boleh dibicarakan di masjid oleh pakar geologi dan sebagainya dengan menghubungkannya dengan konsep kiamat di dalam Islam. Pakar pertanian boleh membicarakan bidang berkenaan dan kaitannya dengan keperluan kepada permakanan secara sihat menurut Islam. Demikian pakar  marine dapat membicarakan kepentingan laut kepada kehidupan dan perlu kepada penjagaan dan berbagai-bagai bidang yang lain. Cuma bidang-bidang ini tidaklah sesuai dijadikan sebagai subjek pengajaran tetap seperti aqidah dan fiqh atau Hadith dan tafsir. Pendekatan yang dilakukan ialah melalui konsep yang pernah dibicarakan iaitu melalui konsep persyarikatan dan memasyarakatkan berbagai bidang keilmuan kepada masyarakat. Sebagaimana telah dibicarakan bahawa di Bangi ramai pakar-pakar di dalam berbagai bidang keilmuan dari berbagai universiti yang tinggal di Bangi. Mereka boleh diminta membicarakan bidang masing-masing melalui slot ceramah atau wacana ilmiah yang khusus yang diisi oleh pakar-pakar di dalam bidang masing-masing. Pakar-pakar termasuklah bidang perubatan, pengusahaan, perniagaan, nuklear, fizik, biologi, politik, pentadbiran, komunikasi dan berbagai-bagai bidang lagi. Jika pun pakar-pakar berhubung dengan keilmuan berkenaan tiada di Bangi, pakar-pakar berkenaan boleh dijemput mereka yang di luar dari Bangi.
Dengan pendekatan di atas para jamaah tidak saja dihidangkan dengan pengajaran keagamaan per-se. Sebaliknya sebagaimana pakar-pakar di dalam berbagai keilmuan yang bukan agama dapat mempelajari bidang-bidang keilmuan di masjid, maka mereka yang tidak mengetahui bidang-bidang keilmuan  yang lain dari agama dapat memahami bidang-bidang di luar dari keagmaan. Dengan konsep persyarikatan dan memasyarakatkan ilmu dapat meningkatkan keilmuan dan maklumat kepada jamaah menjadikan jamaah masyarakat yang berilmu dan bermaklumat. Ia adalah merupakanm Takmilah keilmuan yang meningkatkan kualiti jamaah dan masyarakat setempat. Lebih daripada itu dengan maklumat dan keilmuan berbagai bidang yang dapat dipelajari oleh jamaah dan masyarakat menjadikan jamaah dan masyarakat mereka yang bertaqwa dan takut kepada Allah sebagaimana dimaksudkan di dalam firman Allah:
``Adapun yang takut kepada Allah dari kalangan hambaNya ialah ulama`` (Fatir: 28).

Sekian.

No comments:

Post a Comment