BBB, 17 Ramadhan 1436 = 04 Julai 2015 (Sabtu):
Memahami kedudukan kawasan dan situasi
masyarakat setempat yang menghuni kawasan Bangi (di samping luaran sebagai
perluasan) adalah penting terutama
kepada pemggerak dan pengimarah masjid, lantaran kepada mereka fokus kegiatan
dan interaksi masjid. Mereka adalah diharapkan menjadi ahli jamaah yang
menghidupkan masjid dengan kegiatan utama masjid mendirikan solat, tetapi
kepada mereka bukan sahaja diharap dapat disampaikan pengajaran, bahkan dari
mereka juga yang berkelayakan dapat sama menyampaikan pengajaran. Sesungguhnya
masjid berperanan menyediakan ruang dan tempat bagi kegiatan pengajaran dan
pengimarahan dan para jamaah masyarakat fokus utama yang menerima dan
menggerakkan kegiatan bertempat di
masjid. Namun di samping pentingnya penggerak atau pemimpin dan jamaah
ada beberapa lagi keperluan yang boleh menjayakan penyampaian kegiatan dan
pengimarahan, iaitu keilmuan yang hendak disampaikan yang boleh disebutkan
sebagai bahan-bahan pengajaran, kurikulum atau sukatan pelajaran dan paling
penting adalah guru-guru yang berkelayakan dan berkemampuan menyampaikan
pengajaran, terakhir ialah keikhlasan. Kelima-lima faktor ini adalah sama penting, iaitu
pentadbir yang berdedikasi dan berkebolehan, masyarakat jamaah yang
berkesedaran, keilmuan yang menarik minat pembelajaran, guru yang mursyid dan
berkemampuan dan adanya kemurnian ikhlas sebagai tenaga dari dalam.
Berjayanya mendirikan bangunan Masjid Al-Umm
sebagai fasa pertama adalah hasil dari kepimpinan bukan saja bersifat
perseorangan, tetapi sebenarnya lebih bersifat kolektif. Keperluan bagi fasa
kedua yang bersifat pengisian, sebenarnya bukan bergantung kepada pimpinan
perseorangan, tetapi lebih bersifat kolektif. Masjid perlu ada kepimpinan yang
bersifat dinamik dan aktif di dalam menggaris pendekatan dan melaksanakan
kepada tindakan. Kepimpinan perlu mendapat sokogan dan bekerja secara kolektif. Tanpa ada
kepimpinan yang dinamik dan berkebolehan yang ada visi dan misi yang menjadi
matlamat yang mau dicapai, maka tidak ada kemajuan yang dapat dicapai oleh
masjid. Sesungguhnya kemajuan sesebuah masjid – juga surau, maka biasanya ada
kepimpinan dinamik dan kreatif yang memimpin masjid berkenaan. Memimpin masjid
bukan setakat memimpin seperti sebuah organisasi biasa, tetapi juga kepimpinan
dari segi ibadat. Misalnya jika masjid walaupun sudah mempunyai imam, tetapi
pemimpin bagi masjid berkenaan juga adalah berkemampuan menjadi imam dan
memimpin dari segi amalan-amalan keagamaan yang lain seperti nemimpin majlis
tahlil, majlis ilmu bahkan mampu mengajar ilmu-ilmu keagamaan. Pendek kata
mampu melakukan semua yang berkait dengan tugas-tugas pengibadatan di masjid
dan juga kemasyarakatan.
Sebagaimana sukarnya untuk mendapat kepimpinan
dinamik ditambah dihormati masyarakat, demikian juga sukar menggerakkan jamaah,
iaitu masyarakat sekeliling yang menghidupkan masjid. Bukan sesuatu yang di
luar kebiasaan ada masjid yang dikunci, tiada jamaah pada waktu zohor dan asar,
ianya dibuka hanya pada waktu subuh, maghrib dan isya` kepada segelintir
jamaah. Ini mencerminkan kegagalan kepimpinan yang tidak mampu menarik minat
jamaah menunaikan solat di masjid berkenaan, juga memperlihatkan tiada
kesedaran bagi jamaah sekeliling akan kewajipan mendirikan jamaah di masjid.
Dengan kekurangan jamaah sudah tentulah menghalang dari menggerakkan
kegiatan-kegitan yang lain yang boleh mengimarahkan masjid. Adalah menjadi
cabaran bagi kepimpinan masjid yang berjaya mendirikan masjid, tetapi tidak berjaya
bagi menghidupkan masjid yang paling utama ialah mendirikan solat berjamaah,
sebaliknya jika ada jamaah, maka lebih mudah dilakukan pengisian dan
kegiatan-kegiatan yang lain. Masjid yang hidup ialah masjid yang apabila setiap
azan dikumandangkan, maka berduyung-duyung yang datang menunaikan solat
berjamaah dan menerusi jamaah dan sokongan mereka dapat dihidupkan
berbagai-bagai kegiatan. Jamaah adalah aset terpenting bagi kemajuan dan
pengimarahan masjid.
Dengan kewujudan masjid dan adanya kepimpinan
yang mantap yang kepimpinan bukan setakat mampu memimpin sebagai ketua
organisasi, tetapi dalam masa yang sama mampu memimpin dalam ibadat. Tugas dan peranan yang penting bagi masjid,
khususnya bagi Masjid Al-Umm yang mau menjadi pusat keillmuan ialah menyediakan
bidang-bidang keilmuan yang releven yang mau diajar di masjid sesuai dengan
jamaah dan khalayak masyarakat yang telah dibincangkan. Misalnya apakah
keilmuan –keilmuan yang sesuai yang diajar bagi jamaah yang ramai. Misalnya
pengajian berhubung dengan fiqh, aqidah dan Hadith. Pengajian yang diikuti oleh
kalangan yang lebih berkemampuan misalnya bahasa Al-Qur`an (Arab), tafsir, kewangan dan ekonomi Islam. Bagi
kalangan anak-anak dan pemuda ialah pengajian Al-Qur`an, tahfiz dan sirah, bagi
kalangan muslimat seperti pentadbiran
rumah tangga dan keluarga bahagia, fiqh wanita dan pengajian Al-Qur`an,
manakala bagi kalangan warga emas seperti tasawuf,aqidah dan fiqh dan
seterusnya menurut kesesuaian. Pemilihan bidang pelajaran hendaklah diikuti
dengan pemilihan kitab-kitab pengajaran yang sesuai dan bahan-bahan bacaan yang
berhubungan yang bahan-bahan berkenaan juga terdapat di perpustakaan masjid.
Kitab-kitab pengajian utama - teks pengajaran perlu sama dimiliki oleh mereka
yang mengikuti pengajaran agar mereka tidak bersifat pendengar, tetapi boleh
membaca dan mengikutinya dalam pengajaran dan boleh mutalaahnya di rumah atau
di luar dari masa mengajar. Secara yang lebih canggih, selepas dari masa yang
diajar oleh guru, pengaji-pengaji boleh berbincang dengan merujuk kepada
kandungan kitab yang dimiliki masing-masing dan mana-mana masalah yang timbul
boleh dirujuk kepada guru pada masa pengajian akan datang.
Perkara yang lebih sukar ialah bagi mendapat
guru-guru yang berkelayakan dan berkemampuan mengajar di dalam bidang-bidang
yang ditawarkan sebagai pengajian di masjid. Seorang guru agama yang mengajar
di dalam bidang katakan fiqh dan tauhid seharusnya mahir di dalam pengajian
Al-Qur`an dan mempunyai pengetahuan di dalam bahasa Arab, lantaran banyak
pengajaran dan penggunaan ayat-ayat Al-Qur`an dan Hadith yang menjadi rujukan
kitab dan guru seharusnya memahami dan menguasai bahasa Arab. Pada masa kini ramai
guru-guru agama yang berkelulusan universiti sama ada di dalam dan luar negara.
Ini bererti makin ramai guru berkelayakan yang boleh didapati. Sesungguhnya
guru yang baik yang dapat mengajar secara menarik akan menjadi popular dan
lebih ramai mereka yang datang mengikuti pengajaran yang disampaikan. Berhubung
dengan pemilihan mata pelajaran, keperluan kepada kurikulum, kitab-kitab dan
buku-buku serta kelayakan guru-guru
sesungguhnya pihak masjid dan yang berkenaan masjid sudah membuat tiga kali
bengkel membincangkan persediaan bagi pengajaran di Masjid Al-Umm dan bakal
dibicarakan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment