Hotel Puri Pujangga UKM, 22 Ramadhan 1436 = 09
Julai 2015 (Khamis):
Tempoh dijangka siap pembinaan Masjid Al-Umm,
selepas penangguhan kali pertama (25 Mei 2015), ialah pada akhir Ogos 2015 ini.
Namun, sekali lagi, adakah pihak kontrektor mampu menyiapkan pembinaan kepada
tarikh yang ditangguhkan ini ?
Bagi penilaian secara serius, selain daripada
isu ini dibincangkan di dalam mesyuarat-mesyuarat biasa pada peringkat `Tapak
dan Teknikal` serta peringkat induk, maka untuk melihatnya secara objektif,
maka sengaja diadakan Mesyuarat Khas pada petang ini bagi menilai pembangunan
fizikal Masjid Al-Umm yang juga dibincangkan persediaan bagi Pentadbiran dan
Pengimarahan bila Masjid Al-Umm benar-benar siap. Hadir ke mesyuarat AJK Induk,
AJK Teknikal yang diketuai Ir. Tuan Haji Ishak bin Arshad dan AJK Tapak yang
diketuai Ir. Haji Ghazali bin Husin.
Tapi sebelum masuk kepada perbincangan tentang
progres pembinaan Masjid Al-Umm, Penulis yang mempengerusikan mesyuarat mengalu-alukan
kehadiran dan menyampaikan perkembangan mutakhir, senario pembangunan,
perancangan pentadbiran dan pengimarahan. Penulis mengucapkan terima kasih di
atas khidmat semua AJK secara dedikasi dan ikhlas, kini setelah satu setengah
tahun pembangunan bangunan Masjid Al-Umm yang 80% siap jelas tersergam, telah
dicat luar dan dalam bagai benar-benar telah siap. Tambah Penulis, tapi makin
ke hujung makin menirus kewangan. Di dalam konteks ini Penulis memaklumkan
kepada AJK, bahawa 6 AJK pada petang semalam (08 Julai 2015) telah menemui
Y.A.B. Dato` Menteri Besar Selangor Tuan Mohamed Azmin bin Ali di Pejabatnya di
Shah Alam yang turut sama ialah TG Dato`
Dr. Haron Din selaku Penaung dan Penasihat AJK Pembangunan Masjid Al-Umm.
Perbincangan bagi mendapatkan sejumlah RM6 juta, nampaknya tipis. Tapi janji
Y.A.B. Tuan Azmin, bahawa beliau akan berusaha mendapat peruntukan dari lebihan
peruntukan kepada jabatan-jabatan dan agensi-agensi. Walau macam mana Y.A.B.
Dato` Menteri Besar tidak menjamin dari segi `Jumlah yang dapat disumbangkan`.
Kita mengharapkan priority diberi kepada Masjid Al-Umm dengan jumlah yang
memuaskan dan menurutnya, ``Usaha bagi mendapat peruntukan ini dilakukan
selepas Raya Idul Fitri` nanti.``
Dalam masa kita mengharapkan bangunan Masjid
Al-Umm siap dalam tempoh yang diharapkan dan kewangan makin menirus – baki di
tangan tidak sampai dua juta, kita perlu mengambil tindakan dengan sikap berjimat
cermat dan memberi priority kepada yang lebih penting, mengurangkan projek yang
bersifat mewah, menangguhkan yang tidak penting dan meneliti dan menilai
kembali apa yang dicadang oleh pihak perunding dari segi kewajaran, pengurangan
dan penangguhan yang tidak penting bagi mengawal perbelanjaan.
Dalam hubungan mengenai jangkaan siap binaan
masjid pada akhir Ogos 2015, Penulis juga memaklumkan bahawa pada tarikh
lawatan Penaung dan Penasihat TG Dato` Dr. Haron Din ke Bangunan Masjid Al-Umm
pada 12 Ramadhan 1436 bersamaan 29 Jun 2015, Penulis memaklumkan yang pihak AJK
bercadang untuk menggunakan bangunan Masjid Al-Umm pada hariraya Idul Adhha 10
Zulhijjah 1436 bersamaan 24 September 2015, pihak AJK menawarkan kepada TG
Dato` Dr. Haron Din untuk menjadi Imam dan Khatib pertama bagi penggunaan
masjid pada hariraya tersebut. TG pada dasarnya menerima tawaran tersebut.
Berhubung dengan pentadbiran Masjid, kata
Penulis, kita akan menurut aturan yang ditetapkan oleh MAIS-JAIS selepas masjid
mendapat kelulusan CF dan sampai tempoh waktu pemilihan AJK. Walau bagaimana
sebelum tempoh pendaftaran dan pemilihan pihak AJK yang ada pada hari ini akan
terus berperanan di dalam mentadbir dan mengimarahkan Masjid Al-Umm. AJK
berkenaan perlu dikemaskini. Dalam masa tersebut pihak AJK akan berusaha
mencari dan menilai kakitangan masjid seperti nazir, imam, bilal, siak,
rekreasi, kebersihan dan keselamatan. Mana yang berkelayakan akan dicadang dan ditawarkan
jawatan dan diangkat kepada pihak atasan.
Pihak masjid tidak saja berfungsi sebagai
pusat ibadat, tetapi juga memberi perhatian pada pengimarahan dari segi pendidikan
dan kegiatan kemasyarakatan dan akan menggerakkan pembangunan fasa kedua
bagi mendirikan kompleks pendidikan bagi
memperluaskan bidang pengajian dan pendidikan. Lantaran itu bagi melaksanakan
perancangan ini perlu disediakan carter susunan organisasi pentadbiran. Penulis
menyebut bahawa jika AJK-AJK yang sedia ada telah berjaya melaksanakan tugas
dari segi pembangunan pembinaan, maka kita percaya, bahawa AJK ini juga mampu
meneruskan khidmat memikul tugas pentadbiran dan meneruskan pembinaan bagi fasa
kedua. Sudah tentu perlu kepada pengemasan organisasi yang melibatkan penambahan
staf atau pengurangan. Demikian hasrat
untuk menubuhkan koperasi masjid perlu digerakkan.
Berhubung dengan pengimarahan masjid Penulis
berharap dapat dirumuskan hasil dua bengkel pengimarahan yang telah dilakukan
iaitu Bengkel Untuk Merancang Dan Mengimarahkan Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi
yang telah diadakan di Hotel Puri Pujangga UKM pada 26 Zulkaedah 1435 bersamaan
21 September 2014 dan Bengkel Penentuan Dan Penulisan Program Pengimarahan
Masjid Al-Umm yang juga diadakan di Hotel Puri Pujangga pada 3 Rabiul Akhir
1436 = 24 Januari 2015. Penulis berharap rumusan dari kedua-dua bengkel itu
dapat dijadikan panduan bagi melaksanakan pengimarahan di Masajid Al-Umm yang
sudah tentu berlaku penambahbaikan.
Projek dan program yang mau dilaksanakanb
adalah besar, jika pembinaan bangunan fizikal Masjid Al-Umm memerlukan peruntukan
belasan juta, maka pengimarahan secara berterusan dan pembangunan fasa dua
tentu memerlukan peruntukan yang lebih besar. Walau bagaimana menurut Penulis,
jika projek awal telah berjaya dilaksanakan, maka kita bercaya dengan kepakaran
dan kesungguhan AJK yang ada dengan tambahan yang lain yang berwibawa bahawa
projek berkenaan akan juga berjaya.
Penulis mengakhiri ucapan sebagai latar
perbincangan bagi agenda ringkas yang disediakan, disamping pihak Setiausaha
menyediakan kertas Pengurusan Masjid berdasarkan format standard oleh pihak
MAIS-JAIS.
Sebelum mesyuarat diteruskan, majlis
ditangguhkan sementara untuk AJK menunaikan solat Asar berjamaah di Surau Hotel
Puri Pujangga.
Sekian.
No comments:
Post a Comment