July 4, 2015

Takmilah: Menyediakan Peluang Mempertingkatkan Diri Dengan Ilmu


BBB, 16 Ramadhan 1436 = 03 Julai 2015 (Jumaat):
Mana-mana masyarakat biasanya terdiri dari berbagai-bagai lapisan. Dilihat dari segi kelas ada kelas atas, sederhana dan rendah, ada yang melihat dari segi ekonomi ialah dari segi kaya, sederhana dan miskin. Namun ciri yang sering dilihat di BBB yang banyak dengan institusi pendidikan ialah kalangan terpelajar (intelektual), sederhana dan awam (biasa). Tumpuan masjid di samping institusi ibadat ialah terhadap pendidikan (keilmuan), tanpa mengira dari segi kedudukan status sosial atau kedudukan ekonomi. Masjid Al-Umm bertujuan menjadikan diri selain dari tempat ibadat ialah sebagai agen yang dapat berkhidmat kepada masyarakat di sekeliling secara khusus dan BBB secara meluas menyampaikan pendidikan.


Menjunjung hasrat murni ini masjid berdepan dengan berbagai-bagai kedudukan masyarakat dari segi keilmuan. Mereka dapat dikategorikan kepada:
a)      Golongan terpelajar terdiri dari tenaga-tenaga pegajar di universiti-universiti membawalah kepada guru-guru yang berkelulusan ijazah.
b)      Golongan professional yang berkhidmat di jabatan-jabatan, firma-firma, agensi-agensi dan berbagai sektor antaranya bersifat sendirian.
c)       Pekerja-pekerja awam yang berkhidmat di jabatan-jabatan, di kilang-kilang dan persendirian
d)      Suri rumah dan kaum wanita yang bukan professional
e)      Peniaga-peniaga yang mempunyai premis perniagaan hinggalah kepada peniaga-peniaga pasar malam
f)       Pesara-pesara dan warga emas
g)      Anak-anak sekolah dan pelajar-pelajar
Inilah kategori masyarakat berdepan dengan Masjid Al-Umm (juga masjid dan surau-surau yang lain) yang masjid berhasrat memberi ruang kepada mereka datang beribadat dan mengikuti pengajaran dan pengajian. Mengapakah masjid mengambil tahu tentang mereka ? Adalah menjadi tuntutan di dalam Islam menunaikan yang fardu, kifayah, bahkan yang sunat dan kebajikan. Masjid tidak seharusnya bersifat menanti, tetapi terlibat dari segi dakwah, menyediakan pengajaran dan pengajian bagi masyarakat umat. Di dalam konteks BBB masjid seharusnya berperanan sebagai agen dan pendakwah yang  menyebarkan ilmu kepada masyarakat dan merealisasikan masyarakatnya berilmu yang mencerminkan sifat Bangi Bandar Ilmu.
Tetapi sejauhmana dan bagaimanakah masjid mampu menarik mereka dan menyampaikan dakwah keilmuan terhadap masyarakat yang berbagai kategori dan berbagai latar pendidikan. Soal menarik kehadiran adalah penting, tanpa kehadiran maka keilmuan tidak dapat di sampaikan dan jadilah masjid dihadiri mereka yang sama dan biasanya terdiri dari kalangan pesara-pesara dan mereka yang sama.


Dari segi tarikan untuk hadir adalah bergantung kepada masjid sejauh mana mampu menyediakan program, pengajian dan kegiatan-kegiatan yang dapat menarik berbagai kategori masyarakat hadir ke masjid. Dari satu pihak pula bagaimana mencetuskan kesedaran yang boleh menggerakkan masyarakat berbagai lapisan hadir ke masjid bagi menunaikan kewajipan beribadat dan mengikuti pengajaran dan pengajian yang dianjurkan oleh masjid.
Masjid perlulah menyediakan program – pengajaran dan pengajian (diiklan dan diwarwarkan) yang bersesuaian dengan kesediaan dan kemampuan masyarakat. Bagi kategori intelektual dan professinal guru yang bertaraf intelektual dan professional dari segi pengajaran dan pengajian, mengadakan pengajian, wacana ilmiah, forum dan seminar di dalam keilmuan-keilmuan yang bertaraf tinggi. Oleh kerana kalangan ini adalah intelektual dan professional, maka dari kalangan mereka turut dijemput sebagai tenaga pengajar dan mengambil bahagian dalam wacana bersifat ilmiah. Kegiatan seperti ini bukan saja menarik minat kalangan intelektual dan professional, tetapi juga dari kalangan masyarakat yang lain.
Bagi kalangan pekerja dan orang awam adalah merupakan masyarakat dominan dan dari kalangan mereka yang ramai menghadiri kegiatan dan pengajaran di masjid. Pengajian di masjid lebih fokus kepada mereka seperti pengajian pada malam-malam hari selepas maghrib hingga isyak, pengajian hari-hari hujung minggu. Tenaga pengajar perlu ada daya tarikan dari segi pengajaran dan berkekalan dari segi mutu pegajaran dan penyampaian. Iklan dengan berbagai cara terus dilakukan bagi menarik kehadiran masyarakat, tetapi guru yang mursyid faktor utama yang dapat menarik kehadiran.
Bagi kalangan wanita biasanya lebih mudah diurus dan mudah mendapat kehadiran bila ada pimpinn wanita yang dapat menjalankan pengurusan. Kehadiran akan lebih bertambah jika guru yang mengajar mempunyai keilmuan mendalam dan mempunyai daya tarikan dari segi pengajaran.
Bagi kalangan mereka yang bersara dan warga emas, mereka mempunyai masa dan lebih berminat mengikuti pengajian bagi memenuhi masa mereka. Pengajaran hendaklah bersesuaian dengan keperluan warga emas seperti pengajian menggunakan kitab turath yang tradisional dengan guru yang bersesuaian dengan keperluan dan jiwa para pesara dan warga emas. Masalah yang dihadapi oleh golongan ini adalah dari segi kesihatan dan keuzuran. Faktor ini perlu diambil kira dari segi pengajaran dan kemampuan mereka mengikuti pengajaran. Bimbingan kesihatan penting dan patut diberi perhatian terhadap mereka.
Kategori terakhir ialah kalangan anak-anak dan para pelajar yang mereka adalah merupakan pelapis bagi masa hadapan. Menarik mereka lebih mudah dengan kerjasama ibu bapa mereka. Misalnya dengan mengadakan kelas Al-Qur`an, Kelas Tahfiz, mengadakan Bimbingan pelajaran, pertandingan-pertandingan seperti Menulis Khat, Peraduan Azan. masyid dan sukan yang bersesuaian yang dapat menarik mereka ke masjid.


Pada dasarnya Masjid menyediakan peluang bagi semua pihak meningkatkan keilmuan yang mereka tidak menguasai. Misalnya golongan terpelajar dan professional mungkin tidak menguasai bidang agama, maka melalui kursus-kursus yang sesuai mereka dapat mengikuti pengajian yang sesuai dan mempertingkatkan diri dalam bidang-bidang berkenaan, sedangkan mereka yang mahir dari kalangan mereka misalnya dalam bidang kewangan dan ekonomi Islam dapat memberi sumbangan kepada mereka yang tidak mengetahui bidang tersebut. Demikian muslimat mungkin tidak mahir di dalam membaca Al-Qur`an, maka melalui kelas muslimat dapat membimbing mereka yang berkenaan di dalam membaca Al-Qur`an. Contoh mereka yang mahir dalam bidang kesihatan dan perubatan dapat menurunkan kemahiran mereka di dalam bidang kesihatan keluarga dan perubatan kepada muslimat. Konsep keluarga bahagia mungkin dapat diikuti oleh banyak pihak dari kalangan mereka yang baru berumahtangga hinggalah kepada yang telah lama berkeluarga. Tujuan semua adalah untuk meningkatkan keilmuan semua pihak di dalam bidang-bidang yang selama ini tidak diketahui atau tidak di dalami kepada penguasaan dan menggunakannya sebagai amalan dalam kehidupan. Maka dengan demikian meningkatkan masyarakat dengan berbagai bidang keilmuan dan secara tidak langsung mengeratkan perhubungan kemasyarakatan melalui masjid.
Sesungguhnya tidak mungkin semua pihak dari berbagai bidang dapat diangkat semua mereka sama di dalam berbagai bidang ke tahap maksimum, tetapi dari segi Takmilah melengkapkan mereka ke tahap piawayan yang mampu dicapai masing-masing. Ibarat kehidupan masyarakat berkenaan sebagai `Sebuah Taman` yang menarik dan indah, maka tiap bahagian sama menyempurnakan keindahan taman dengan kedudukan masing-masing. Pohon kelapa di dalam pandangan bagi sebuah sawah sama penting dengan pohon padi, demikian batas bagi ruang penanaman padi sama peranan dengan larian air dalam mengindahkan pandangan. Demikianlah dengan unsur-unsur yang lain yang pada hakikatnya sama bergotong royong menyempurnakan keindahan pndangan berkenaan.
Demikian keilmuan menaikkan kualiti dan nilai seseorang dengan ilmu yang dipelajari dan amalan yang dilakukan yang menyempurnakan kehidupan dan mengharmoni dan membahagiakan keseluruhan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment