BBB, 19
Ramadhan 1436 = 06 Julai 2015 (Isnin):
Walaupun sudah diadakan Bengkel
`Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu` pada 16 Sya`ban 1435 = 14 Jun 2014 dan
dibentangkan kertas kerja `Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu – Integrasi
Berbagai Institusi Berindukkan Masjid Al-Umm`, tetapi kertas ini terhad kepada membicarakan
fungsi Masjid Al-Umm di Wadi Ilmu sebagai pemangkin bagi Bangi Bandar Ilmu.
Bengkel ini bukan dianjurkan oleh Masjid Al-Umm, tetapi oleh Persatuan Pemuda
Prihatin Bangi dengan kerjasama Sekretariat Bangi Bandar Ilmu. Cuma Penulis sewaktu
sedang berusaha dengan AJK Pembangunan Masjid Al-Umm membangunkan masjid
berkenaan, maka Penulis mengemukakan antara hasrat awal bahawa fungsi Masjid
Al-Umm antaranya berperanan Merealisaikan Bangi Bandar Ilmu yang tajuk kertas
kerja pun mencerminkan hasrat dan pendekatan bagi kertas kerja berkenaan.
Bengkel yang benar-benar dan pertama kali
dianjurkan oleh Masjid Al-Umm melalui AJK Pendidikan bagi merancang &
Pengimarahan Masjid dengan kegiatan keilmuan (pendidikan, pengajaran dan
Pengajian) ialah `Bengkel Untuk Merancang & Mengimarahkan Masjid Al-Umm
Bandar Baru Bangi` yang diadakan pada 26 Zulkaedah 1435 = 21 September 2015
(Ahad) bertempat di Puri Pujangga (Hotel), UKM. Bengkel ini bertujuan
membincangkan tentang pengisian dan
kegiatan yang patut dilakukan bagi mengimarahkan Masjid Al-Umm. Ia merupakan
fasa kedua yang lebih utama selepas fasa pertama pembinaan fizikal Masjid
Al-Umm siap. Penulis selaku Pengerusi Pembinaan Masjid Al-Umm diberi amanah
menyiapkan kertas kerja berkenaan.
Pengimarahan masjid hendaklah bersesuaian
dengan fungsi masjid iaitu, ``Masjid adalah tempat ibadat, menyibarkan ilmu
pengetahuan dan kegiatan kemasyarakatan bagi membangunkan ummah, maka kertas
kerja yang disediakan adalah berfokus kepada aspek-aspek di atas, terutama dari
segi menyebarkan ilmu pengetahuan kepada jamaah masyarakat yang dengan keilmuan
dapat meningkatkan kualiti jamaah dalam menunaikan ibadat dan meningkatkan juga
kualiti dari segi hubungan dan kegiatan kemasyarakatan.
Cuma dalam konteks masyarakat dan jamaah di
Bandar Baru Bangi yang penduduknya relatifnya disifatkan sebagai masyarakat
intelektual sesuai dengan Bangi Bandar Ilmu dan di dalam konteks masjid ramai pula kalangan ulama dan mereka yang
pakar dan mendalam dalam bahagian agama Islam berada di Bangi, maka Penulis
mengambil pendekatan, bahawa kita tidak bertujuan mau mengajar mereka yang
pandai dan menjadi bahagian dari jamaah masjid, kerana mereka sudah pandai dan
jika kita mengajar kalangan ahli jamaah dan masyarakat di BBB, maka mereka
tidak lain dari keluarga kita atau sekurang-kurang saudara kita sesama Islam
atau jika belum menerima hidayah, maka kita berusaha agar mereka menjadi
sebahagian dari keluarga kita – saudara sesama Islam. Jadi motto yang dijadikan
panduan di dalam pengajaran ialah:
Persyarikatan Ilmu & Memasyarakatkannya
Maksud `persyarikatan` bahawa ilmu Allah
begitu luas (Al-Kahfi: 109), setiap kita berusaha mendapatkannya, tapi apa yang
kita dapati sebenarnya tidak sebanyak mana dan tidak berkekalan – hilang dengan
lupa dan kematian.
Walaupun sedikit ilmu yang didapati oleh
mereka yang mengusaha mempelajarinya, maka yang didapati dari yang sedikit
itulah melahirkan para ilmuan dan intelektual yang menerangi kemajuan dan
terbinanya tamaduan dan peradaban. Di dalam kontek BBB sebahagian daripada ilmuan
dan para intelektual bermukim di BBB, lantaran di sini banyaknya pusat-pusat
pengajian tinggi dan mereka menghuni di BBB bagi memberi khidmat keilmuan
mereka di berbagai-bagai institusi berkenaan. Sebahagian daripada mereka pula
menjadi ahli jamaah masjid. Kepada para ilmuan berkenaan, tidaklah masjid
bertujuan untuk mengajar mereka yang sudah pandai, khususnya di dalam bidang
keilmuan yang mereka sudah tahu, tetapi kita mau mereka menjadi sebagai
sebahagian dari jamaah yang berkualiti tinggi, maka yang diharapkan kepada mereka
bukan saja turut menjadi ahli jamaah semata-mata, tetapi turut sama memberi
sumbangan keilmuan dan kepakaran mereka kepada ahli jamaah dan pelajar-pelajar
yang mengikuti pengajian. Bermaksud mereka turut sama memberi sumbangan
mengajar keilmuan dan kepakaran merek. Ini adalah antara maksud persyarikatan
Ilmu yang ada pada diri yang memberi dan dari satu segi lagi, bahawa ilmu yang
dipelajari oleh pelajar-pelajar dan pengaji-pengaji itu, bermakna mereka
tumpang bersyarikat sama dari ilmu yang disampaikan oleh ilmuan dan pakar
tersebut.
Dari segi memasyarakatkan ilmu, bahawa ilmu
yang diajar disampaikan kepada khalayak jamaah yang mengikuti pengajian. Dengan
ini ilmu yang asalnya ada pada pengajar meluas berkembang kepada yang belajar.
Dengan keilmuan yang diajar dan dipelajari sebenarnya memperbaiki mutu keilmuan
seseorang dan meningkatkan kualiti amalan. Sebagai contoh seorang pelajar atau
pengaji yang tidak begitu betul dari segi amalan ibadat, katakan tidak betul
dari segi membaca fatihah, maka dengan pengajaran yang diterima dari guru, maka
pembacaannya menjadi betul, jadi pengajaran yang diterima dapat memperbaiki
ilmu dan amalan bagi yang belajar tersebut, maka dengan itu kesemua pihak dapat
ganjaran pahala.
Memasyarakatkan ilmu juga memberi erti dari
segi memperbanyak dan melengkapkan khalayak dan jamaah dengan ilmu pengetahuan
sebagai warga Bangi Bandar Ilmu, maka dengan memasyarakatkan ilmu
mempertingkat, meramai, melengkap dan mempertinggikan ilmu dan kualiti setiap
ahli warga Bangi dengan ilmu pengetahuan dan kualiti amalan, pelonjakan
masyarakat dari segi ilmu pengetahuan berkenaan, adalah merupakan peningkatan
kualiti insan dan ilmu pengetahuan kepada piawayan lebih tinggi dari segi
Takmilah kemasyarakatan. Peningkatan yang berlaku adalah mereka yang dari
kalangan keluarga kita, jiran tetngga, bahkan saudara-saudara kita yang
sebenarnya memberi manfaat kepada kita. Ianya bukan semata-mata tugas sosial,
tetapi adalah kewajipan dari segi agama Islam terhadap penganut-penganut dan
umat. Dalam kata lain falsafah dan
konsep persyarikatan dan memasyarakatkan ilmu adalah mekanisme bagi perjalanan
kualiti insan dan kelompok masyarakat ke arah nilai dan mutu yang semakin baik.
Ianya sebenarnya juga adalah mekanisme yang meningkatkan tamadun dan peradaban
manusia di dlam berbagai bidang melalui berbagai ilmu pengetahuan.
Dalam kata lain, Masjid Al-Umm berperanan
dalam meningkatkan ilmu keislaman bagi membaiki amalan. Peranan ini sama
dipikul masyarakat intelektual setempat bagi mengangkat kualiti masyarakat yang
mereka adalah dari keluarga, jiran tetangga dan saudara-saudara kita yang
dengan peningkatan kualiti ilmu meningkatkan mutu amalan dalam kehidupan
masyarakat yang aman dan bersefahaman.
Sekian.
No comments:
Post a Comment