July 14, 2015

Tasawuf Bukan Sekadar Akhlak, Tapi Kepada Seni Rohani Meningkat


BBB,  26 Ramadhan 1436 = 13 Julai 2015 (Isnin):
Satu bidang pengajian yang wajar dipertimbangkan untuk diajar pada pengajian Al-Umm ialah bidang tasawuf. Tapi pengajian ini adalah pada tahap yang lebih tinggi dan tidak semua peringkat mengikutinya. Mereka yang mengikutinya sewajarnya telah mempunyai kekukuhan di dalam keilmuan-keilmuan asas di dalam Islam, kukuh dari ilmu aqidah dan syariah, minat terhadap bidang kerohanian dan biasanya terdiri dari kalangan mereka yang telah meningkat umur.
Ada yang memberi makna bahawa tasawuf adalah akhlak. Ia merupakan sebahagian – tahap permulaan dan tidak keseluruhan adalah akhlak, tetapi adalah bersifat rohani yang meningkat kepada tahap  kehalusan `seni rohani`. Tasawuf pada tahap permulaan ialah penggilatan dari nilai peribadi lahiri yang rendah bergerak kepada tahap nilai kualiti lahiri yang tinggi yang masih dalam batas akhlak. Namun tahap lahiri mampu meningkat kepada tahap `seni rohani`. Dalam skema ketasawufan selalu dirujuk kepada Hadith Rasulullah s.a.w. diriwayat oleh Abu Hurairah yang merujuk kepada pertanyaan  Jibril kepada Rasulullah s.a.w. tentang iman, Islam dan Ihsan (Hadith Bukhari). Ihsan adalah  tahap peningkatan tinggi dari segi rohani.


Tasawuf dari segi akhlak sebenarnya terhasil dan manifestasi dari pegangan akidah yang betul seseorang muslim, khususnya kefahaman dan keyakinan terhadap rukun iman yang enam. Dengan keyakinan ini membentuk pandangan wujud seseorang muslim. Keyakinan ini membentuk perlakuan dan tingkah laku serta akhlak seseorang muslim. Kekukuhan dari segi akhlak bertambah dan mantap dengan amalan terhadap rukun Islam  yang lima seperti dari syahadat, solat, berpuasa, berzakat dan menunaikan haji ke Baitillah al-Haram. Semua amalan ini adalah sebagai benteng yang mencegah seseorang dari melakukan kejahatan, bahkan membentuk nilai-nilai murni yang dituntut dari solat, puasa dan zakat. Lantaran itu dengan rukun iman dan rukun Islam membentuk nilai akhlak pada diri seseorang.
Pendekatan tasawuf yang berciri akhlak ini dibuat pendekatan oleh Al-Imam Al-Ghazali rahmatullah `alayhi di dalam karangan tasauf-akhlak terkenalnya, iaitu Kitab Ihya` `Ulum al-Din.
Di dalam pendekatannya Al-Imam Al-Ghazali memecahkan pembicaraan kitabnya kepada empat pecahan (empat rubu`) penting iaitu:
1)      Rubu` Ibadat
2)      Rubu` Adat
3)      Rubu` Munjiyat
4)      Rubu` Muhlikat
Di dalam kitab Ihya`nya Al-Imam Al-Ghazali membicarakan pada peringkat awal kitabnya persoalan yang berhubung dengan akidah dan significant setiap aspek dari rukun iman dan rukun Islam.
Berdasarkan kepada pecahan yang dibuat. Al-Imam Al-Ghazali membicarakan dengan panjang lebar persoalan yang berhubung dengan rubu` (satu perempat pecahan kitab) ibadat, khususnya berhubung dengan solat, puasa, zakat dan haji yang dengan ibadat berkenaan dapat membina akhlak peribadi seseorang muslim. Contoh Solat, firman Allah bermaksud:
``Sesungguhnya solat mencegah seseorang dari kejahatan dan kemunkaran.``
(Al-`Ankabut: 45).
Tentang puasa: Hadith riwayat Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud;
``Siapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan kewaspadaan nescaya diampun apa yang berlalu dari dosanya . Dan barang siapa mendirikan malam laylatul Qadr dengan penuh keimanan dan kewaspadaan diampunkan dosa-dosanya yang telah berlalu.`` (Riwayat Bukhari).


Adapun dari rubu` (satu perempat) dari bahagian adat, ialah mengamalkan kehidupan adat atau sosial menurut perintah agama contoh. Bekerja, berniaga, bertani, berkahwin dan kehidupan kemasyarakatan yang lain. Dengan mengikut aturan kehidupan sosial yang digaris oleh Islam, maka kehidupan individu, keluarga dan masyarakat di dalam keadaan aman tenteram.
Rubu` al-Munjiyat pula ialah melakukan amalan-amalan yang baik seperti, tolong menolong, bersifat sabar, membantu faqir miskin, bersadakah dan sebagainya adalah merupakan perbuatan-perbuatan terpuji yang membahagiakan individu dan masyarakat.
Manakala aspek muhlikat, ialah sifat-sifat yang membinasakan yang seharusnya dihindar oleh individu dan masyarakat. Aspek-aspek berkenaan dikategorikan kepada jenis nafsu. Antaranya yang dikenali dengan nafsu ammarah yang selalu cenderung kepada melakukan kejahatan seperti mengupat keji, hasad dengki dan sebagainya, manakala nafsu berikutnya ialah nafus lawwamah, yang pelakunya sedar dengan kekejian, tetapi ia terjatuh padanya dan kesalahan menggugatnya.(Manakala dua pecahan nafsu lain yang dikategorikan kepada yang baik ialah nafsu mutmainnah dan radiah). Jelaslah pendekatan yang dibawa oleh Al-Ghazali di dalam kitab Ihya`nya adalah pendekatan yang bersifat akhlak.


 Adapun pada peringkat yang lebih tinggi dari segi pembicaraan tasawuf  ada yang membahagikan kepada syariat, tariqat, hakikat dan ma`rifat. Ini merupakan pendekatan kualiti yang bergerak dari aspek syariat sebagaimana telah dibicarakan, kepada peringkat tariqat, kepada hakikat dan ma`rifat. Pendekatan selepas syariat agak kabur dan bermacam-macam kaedah pendekatan. Tetapi yang paling popular bagi peningkatan yang bersifat kerohanian ialah melalui praktik rohani yang merupakan peningkatan kualiti dari segi ahwal dan maqam bermula dengan taubat, warak, zuhud, faqr, sabar, tawakkal, reda, muraqabah, qurb, mahabbah, khawf, raja`, shauq, uns, tamakninah, hal musyahadah dan hal yaqin. (Al-Tusi, Abu Nasr Al-Sarraj, Al-Luma`, 1380/1960: 65-102).
Perjalanan disebutkan adalah perjalanan kualiti rohani seorang sufi yang menghadapi ujian kerohanian di dalam ibadat dan praktik kerohanian yang dari kegetiran jiwa membawa kepada kemesraan dan memuncak kepada cinta Ilahi yang merupakan peningkatan seni rohani yang tinggi. Dari jiwa yang penuh cinta ini, mengalir ungkapan-ungkapan yang indah sebagai percikan rasa kecintaan terhadap Allah. Jika sufi sedemikian seorang penyair, terluah puisi-puisi yang tinggi mutunya seperti oleh Rabi`ah al-`Adawiyah, Rumi, Attar, Jami, Iqbal dan sebagainya. Jika jiwa sedemikian dimiliki oleh ahli arkitek maka mengalir ilham keseni-binaan yang berciri kerohanian. Demikianlah dengan bidang-bidang kesenian dan kemanusiaan yang lain.
Sememangnya kesufian satu bidang tersendiri yang tidak terpish, tetapi merangkumi akidah, syariat dan kerohanian, sebagaimana kata Imam Malik:
Siapa bertasawuf tidak berfiqah membawa kepada zindiq
Siapa berfiqah tidak bertasawuf membawa kepada fasik
Siapa yang menghimpun antara keduanya mencapai tahqiq.
Tasawuf mampu dipelajari oleh mereka yang mempunyai asas keilmuan rohani. Pengajian sedemikian dianjurkan oleh masjid lebih kepada memahami pendekatan dan praktik yang dilalui sufi, tetapi jika ada yang berminat, maka dia boleh menerokai dan mendalaminya dengan lebih jauh tentang aspek-aspek kerohanian yang penuh dengan kerahsiaan.

Sekian.

July 13, 2015

Pentingnya Mempelajari Bahasa Al-Qur`an


BBB, 25 Ramadhan 1436 = 12 Julai 2015 (Ahad):
Menyebut Bahasa Al-Qur`an, tetapi tidak menyebut `Bahasa `Arab` bagi memberi tanggapan, bahawa dengan menyebut Bahasa Al-Qur`an adalah sebagai bahasa Umat yang merapatkan hubungan kita dengan bahasa tersebut, sebaliknya dengan menyebut Bahasa Arab adalah bahasa orang-orang Arab. Bahasa Al-Qur`an adalah bahasa fusha yang mantap serta baku dan mempunyai kaedah nahu-saraf yang teratur serta mempunyai kedalaman dari segi balaghah. Sedangkan bahasa Arab, khususnya yang moden banyak berubah dan bukan lagi bersifat fusha.


Hubungan rapat kita dengan Bahasa Al-Qur`an, lantaran penurunan Al-Qur`an kepada Nabi Muhammad s.a.w. dengan bahasa Al-Qur`an (`Arab) dan Al-Qur`an menjadi prinsip, perlembagaan, induk dan kitab panduan bagi umat Islam. Termasuk juga penggunaan bahasa Al-Qur`an ialah  Al-Hadith yang menggunakan bahasa yang teratur mengikut kaedah nahu dan sarafnya.
Di dalam membicarakan keilmuan yang patut dipelajari di Masjid Al-Umm, kita telah membicarakan tentang Al-Qur`an (serta tajwid), aqidah, fiqh, tafsir dan Hadith. Ianya merupakan ilmu yang utama di dalam Islam yang melibatkan peraturan dan amalan dalaman (aqidah) dan peraturan luaran dan amalan (fiqh) dan memahami lebih dalam terhadap kandungan Al-Qur`an (tafsir), termasuk Al-Hadith. Keilmuan-keilmuan berkenaan adalah tumbuh dan berkembang di dalam rahim peradaban Islam adalah bermula di dalam bahasa Al-Qur`an. Sudah tentulah bagi yang tidak menguasai dan memahami Bahasa Al-Qur`an mampu mendengar seperti mampu membaca dan mendengar ayat-ayat Al-Qur`an tanpa memahami kandungan. Kalau tidak menguasai dan tidak memahami Bahasa Al-Qur`an, maka sudah pastilah tidak dapat mempelajari keilmuan-keilmuan berkenaan  yang di dalam bahasa Al-Qur`an. Mungkin dapat dikatakan pemahaman terhadap keilmuan-keilmuan, ialah melalui terjemahan. Lantaran kini memang banyak dilakukan terjemahan terhadap keilmuan-keilmuan Islam, bahkan terjemahan terhadap Al-Qur`an termasuk terjemahan terhadap tafsir dan juga Al-Hadith. Memang terjemahan-terjemahan banyak dilakukan terhadap bidang-bidang keilmuan yang diperkatakan. Tetapi tanpa menguasai dan memahami bahasa Al-Qur`an (Arab) kunci keilmuan terhadap sumber-sumber utama tersebut adalah terhad. Sebagaimana di dalam pengajian moden kini, dengan hanya menguasai satu bahasa sahaja – Bahasa Melayu, tanpa menguasai katakan bahasa Inggeris, bahasa antarabangsa, maka ibarat tiada kunci keilmuan penting yang dengannya dapat menerokai bahan-bahan keilmuan di dalam bahasa yang penting itu.
Meguasai bahasa Al-Qur`an bererti mempunyai kunci keilmun yang dapat memahami kandungan Al-Qur`an dan Al-Hadith dan membuka khazanah keilmuan Islam yang dihasilkan sejak di zaman permulaan Islam yang diterokai oleh ulama` di dalam bidang masing-masing sejak dahulu hingga kini. Sebaliknya tanpa menguasai dan memahami melalui Bahasa Al-Qur`an, tetapi melalui bahasa terjemahan atau huraian secara langsung dalam bahasa selain dari Bahasa Al-Qur`an seperti dalam bahasa Melayu, maka kefahaman adalah terhad. Kefahaman pula  tidak asli dan mendalam sebagaimana di dalam Bahasa Al-Qur`an yang asal. Walaupun pembelajaran dan kefahman dapat dilakukan melalui bahasa katakan bahasa Melayu, tetapi di dalam bahasa Melayu itu sendiri, terutama bahasa kitab dan bahasa Melayu yang mendukung keilmuan Islam, maka sebenarnya yang mempelajarinya tidak  dapat terlepas dari bertembung dengan ayat-ayat  Al-Qur`an, Hadith dan istilah-istilah yang berasal dari Bahasa Al-Qur`an sama ada di dalam bidang aqidah, fiqh dan bidang-bidang keilmun Islam yang lain. Sebenarnya sebahagian dari bahasa Umat Islam menerima sebahagian besar istilah dari Bahasa Al-Qur`an yang membina bahasa tersebut. Contohnya bahasa Melayu, Urdu, Parsi dan Turki. Bagi bahasa Melayu adalah diakui  bahasa Melayu yang berasal dari bahasa terpencil dan bersifat daerah. apabila Islam memilih bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi dakwah dan pengajaran Islam, maka bahasa tersebut sejak kedatangan Islam berkembang maju menjadi bahasa yang mampu menjunjung keilmuan dan bersifat saintifik. Keadaan sedemikian berlaku juga terhadap bahasa-bahasa yang lain. Contoh bahasa Urdu yang bahasa tersebut terhasil dari kemasukan Islam ke India.


Point yang hendak diperkatakan, bahawa, walaupun keilmuan Islam dapat dipelajari melalui bukan bahasa Al-Qur`an, tetapi menguasai dan memahami keilmuan Islam, khususnya keilmuan-keilmuan utama di dalam Islam lebih bermanfaat dan terlebih mendalam dengan menguasai keilmuan berkenaan melalui bahasa Al-Qur`an.
Pengajian keilmuan-keilmuan Islam yang akan ditawarkan di Masjid Al-Umm, antaranya ialah pengajian Bahasa Al-Qur`an (Bahasa Arab). Bahasa tersebut hendaklah ditawarkan dari peringkat rendah membawalah kepada peringkat atas. Tujuan diadakan pengajian dalam bahasa Al-Qur`an ini bukanlah untuk percakapan (al-Muhawarah), kalau dapat adalah baik, tetapi ialah bagi membolehkan pelajar-pelajar memahami turath keilmuan Islam, bukan setakat pada peringkat menadah kitab sahaja, bermaksud semasa berdepan guru, tetapi dengan menguasai dan memahami Bahasa Al-Qur`an ini ianya sebagai kunci bagi pelajar dan pengaji membuka kunci keilmuan – termasuk membaca kitab-kitab di dalam bahasa Al-Qur`an secara sendiri, bahkan dengan kunci ini dia boleh membuka khazanah keilmuan Islam dengan kunci Bahasa Al-Qur`an terhadap turath keilmuan Islam di dalam Bahasa Al-Qur`an di perpustakaan-perpustkaan dan di mana juga sumber keilmuan Islam adalah wujud.

Walau bagaimana pengajaran Bahasa Al-Qur`an hendaklah dbimbing oleh guru yang berkemahiran di dalam Bahasa Al-Qur`an dan mempunyai (sudah mempelajari) kaedah pengajaran Bahasa Al-Qur`an secara teratur dan efektif. Pengajaran yang tidak mengikut kaedah yang sistematik, menjadikan bahasa tersebut dianggap sukar untuk dipelajari. Keadaan sedemikian berlaku pada pengajian pondok tradisi yang belajar ilmu nahu tetapi tidak begitu memahami sehingga begitu lama `mengaji` tidak memahami dan tidak dapat menggunakannya di dalam pengajian-pengajian yang menggunakan Bahasa Al-Qur`an. Pada masa kini banyak kaedah-kaedah pengajaran moden dan banyak pula guru Bahasa Al-Qur`an yang lulus dari pengajian di Timur Tengah yang boleh dimanfaatkan, jika tidak ada guru yang sedia berkemahiran di dalam bahasa tersebut. Dengan penawaran Bahasa Al-Qur`an dan ramai yang dapat menguasai bahasa tersebut, maka secara tidak langsung akan wujud pengajaran keilmuan Islam pada peringkat rendah, iaitu bagi yang tidak menguasai Bahasa Al-Qur`an dan pengajaran pada peringkat tinggi, iaitu bagi mereka yang menguasai Bahasa Al-Qur`an. Kini di zaman moden bahasa Inggeris sendiri digunakan di dalam pengajaran Islam dan menghasilkan buku-buku bersifat ilmiah di dalam bahasa berkenaan. Contoh berlaku di universiti=universiti yang menamakan dirinya sebagai Universiti Islam.
Sesungguhnya penguasaan dan kefahaman terhadap Bahasa Al-Qur`an memberi faedah kepada pelajar-pelajar mendalami sumber-sumber keilmuan Islam di dalam Bahasa l-Qur`an, malah dengan menguasai bahasa-bahasa lain menjunjung Islam membuka ruang luas bagi pemahaman dan pendalaman terhadap sumber keislaman. Bagi jangka panjang pelajar-pelajar yang menguasai Bahasa Al-Qur`an dari Pengajian Masjid Al-Umm dapat dihantar bagi menyambung pengajaian bahasa, khususnya dalam Bahasa Al-Qur`an di mana-mana universiti di Timur Tengah yang terkenal dengan bidang Bahasa Al-Qur`an. Mereka dihantar agar kembali berkhidmat di pengajiuan Al-Umm.

Sekian.

July 12, 2015

Rumusan Pembangunan, Pentadbiran, Dan Pengimarahan Masjid Al-Umm


BBB, 24 Ramadhan 1436 = 11 Julai 2015 (Sabtu):
Perbincangan dalam mesyuarat khas 22 Ramadhan 1436 bersamaan 9 Julai 2015 berlangsung di Hotel Puri Pujangga, UKM adalah selama 2 jam dari jam 5.00 – 7.15 petang sebelum berbuka puasa. Setiausaha Tuan Haji Suib Maulud membentangkan carta yang melibatkan kedudukan pegawai-pegawai masjid oleh JAIS dan kemudian diikuti perbincangan.


 Rumusan-rumusan perbincangan melibatkan pembangunan, pentadbiran, pengimarahan dan kewangan.
1)      Pembangunan

a)      Bangunan Fizikal Masjid Al-Umm
Cadangan untuk memulakan penggunaan Masjid Al-Umm pada hariraya Idul Adhha 10 Zulhijjah 1436 bersamaan 24 September 2015 dengan menjemput TG Dato` Dr. Haron Din Penaung dan Penasihat AJK Pembangunan Masjid Al-Umm sebagai Imam dan Khatib Pertama dan Utama (cadangan sempena lawatan TG ke bangunan Masjid Al-Umm pada 29 Jun 2015) membuka perbincangan sama ada pada tarikh tersebut masjid dapat disiapkan atau tidak. Sedangkan pada masa kini kubah masjid dalam pembinaan dan dijangka memerlukan masa  lewat dari raya Idul Adhha berkenaan -  dijangka Oktober 2015. Pendingin udara juga masih belum dipasang, letrik dan air belum disalurkan. Infra-struktur luar seperti lanskap, jalan dan pagar belum dibina. Ini tidak termasuk aspek dekorasi dalaman, perabut dan carpet. Terpenting apakah CF boleh didapati dan tanpa Cf apakah boleh mendapat keizinan JAIS bagi mendirikan solat Idul Adhha. Mesyuarat khas yang berlangsung di Hotel Puri Pujangga pada 9 Julai 2015 itu berpendapat, pada hariraya Idul Adhha masjid tidak dapat disiapkan. Lantaran itu mesyuarat bersetuju untuk menemui TG bagi menangguhkan penggunaan masjid pada hari raya berkenaan.
(Catatan: Pertemuan Pengerusi dan 7 AJK Induk pada pagi Sabtu 11 Julai 2015 dengan Tuan Guru di Kompleks Pendidikan Islam, Bangi pagi ini Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din bersetuju dengan penangguhan).
b)      Pembangunan Fasa 2
Hasrat bagi meluaskan fungsi masjid dalam bidang pendidikan diteruskan. Iaitu usaha bagi mendapat kelulusan dari MPKj dan Kerajaan Negeri Selangor (tanah) bagi mendirikan kompleks pendidikan dan pengajian setinggi 10 tingkat di kawasan Medan Usahawan berdekatan dengan masjid Al-Umm. Dengan wujudnya kompleks ini memberi ruang yang lebih bagi peningkatan pendidikan dan merealisasikan konsep Wadi Ilmu berindukkan Masjid Al-Umm di Bangi Bandar Ilmu.
c)       Penjimatan Perbelanjaan
Dengan keadaan kewangan yang berbaki makin kecil (kini RM1.2 juta), mesyuarat bersetuju mengambil langkah berjimat cermat, di samping berusaha mendapat dana. Antara langkah ialah:
      i)  Memberi keutamaan kepada projek yang penting
      ii) Menangguhkan perlaksanaan projek yang kurang penting
     iii) Menukar dari yang melibatkan kos tinggi kepada yang lebih rendah
     iv) Mencari alternatif sebagai menggantikan bagi yang mewajarkan pertukaran
     v)  Tidak melaksanakan apa yang dianggap tidak penting
Penjimatan perlu, bukan setakat bagi pembinaan, tetapi pengimarahan dan pengurusan yang  juga memerlukan kewangan.


2. Pentadbiran
Meneruskan tugas AJK Pembangunan. Antara yang diputus dalam perbincangan:
·         Pengerusi:  Dr. Shafie Abu Bakar
·         Timbalan Pengerusi: Ir. Haji Ishak Arshad
·         Bendahari: Tuan Haji Mohd. Nor bin Haji Mohd Yasin
·         Setiausaha: Tuan Haji Suib bin Maulud
·         Pengurusan: Tuan Haji Mohd. Kalok bin A. Latiff & Tuan Haji Suib Maulud
·         Pengimarahan: Tuan Haji Ghazali Abbas
·         Pendidikan: Dr. Tajul Ariffin Noordin
·         Fellow Pendidikan: Dr. Mohamad Sabri bin Haron
·         Projek Pembangunan Fasa 2: Ir. Haji Ghazali Husin
·         Penjana Dana: Tuan Haji Abdul Rahman bin Daud (cadangan)
·         Penyelaras Pegawai Masjid dan Pelajar Tahfiz dan Kebajikan mereka: Haji Ahmad bin Hasbullah (cadangan)
·         Pembangunan Koperasi: Tuan Haji Mohd. Kalok bin A. Latiff
·         Publisiti: Nik Adham bin Nik Anuar
Tugas-tugas selain dipastikan di atas akan ditentukan oleh mesyuarat bagi AJK lain.
AJK diminta mengenalpasti yang berkelayakan bagi jawatan seperti nazir, imam, bilal dan siak untuk dikemukakan kepada pihak JAIS bila tiba masanya.


3. Pengimarahn
* Menurut rumusan yang telah dibuat di dalam bengkel-bengkel lepas
* Menjemput pakar dalam bidang pengimarahan menyampaikan pendapat dan cadangan
* Membuat lawatan kerja sambil belajar dengan menemui AJK masjid-masjid pilihan dan pengetua pusat-pusat tahfiz
Catatan: Bahagian pengimarahan dibenarkan membuka akaun di Bank Muamalat bagi menyalurkan kewangan.
4.  Kewangan
* Meneruskan usaha mendapat derma dari orang ramai
* Mendapatkan penderma tetap
* Mendapat pinjaman dari mereka yang berkelayakan
* Mengadakan kegiatan amal
* Memiliki aset yang dapat menjadi sumber kewangan
5.  Rumusan
Perbincangan masih belum bersifat menyeluruh. Banyak lagi bidang-bidang, contoh pendidikan yang perlu diperluaskan. Perbincangan akan diteruskan pada masa akan datang.
Majlis berakhir dengan iftar dan solat Maghri berjamaah.

Sekian.

July 11, 2015

Menilai Kemajuan Pembinaan Masjid, Merancang Pentadbiran Dan Pengimarahan


Hotel Puri Pujangga UKM, 22 Ramadhan 1436 = 09 Julai 2015 (Khamis):
Tempoh dijangka siap pembinaan Masjid Al-Umm, selepas penangguhan kali pertama (25 Mei 2015), ialah pada akhir Ogos 2015 ini. Namun, sekali lagi, adakah pihak kontrektor mampu menyiapkan pembinaan kepada tarikh yang ditangguhkan ini ?
Bagi penilaian secara serius, selain daripada isu ini dibincangkan di dalam mesyuarat-mesyuarat biasa pada peringkat `Tapak dan Teknikal` serta peringkat induk, maka untuk melihatnya secara objektif, maka sengaja diadakan Mesyuarat Khas pada petang ini bagi menilai pembangunan fizikal Masjid Al-Umm yang juga dibincangkan persediaan bagi Pentadbiran dan Pengimarahan bila Masjid Al-Umm benar-benar siap. Hadir ke mesyuarat AJK Induk, AJK Teknikal yang diketuai Ir. Tuan Haji Ishak bin Arshad dan AJK Tapak yang diketuai Ir. Haji Ghazali bin Husin.


Tapi sebelum masuk kepada perbincangan tentang progres pembinaan Masjid Al-Umm, Penulis yang mempengerusikan mesyuarat mengalu-alukan kehadiran dan menyampaikan perkembangan mutakhir, senario pembangunan, perancangan pentadbiran dan pengimarahan. Penulis mengucapkan terima kasih di atas khidmat semua AJK secara dedikasi dan ikhlas, kini setelah satu setengah tahun pembangunan bangunan Masjid Al-Umm yang 80% siap jelas tersergam, telah dicat luar dan dalam bagai benar-benar telah siap. Tambah Penulis, tapi makin ke hujung makin menirus kewangan. Di dalam konteks ini Penulis memaklumkan kepada AJK, bahawa 6 AJK pada petang semalam (08 Julai 2015) telah menemui Y.A.B. Dato` Menteri Besar Selangor Tuan Mohamed Azmin bin Ali di Pejabatnya di Shah Alam yang turut sama  ialah TG Dato` Dr. Haron Din selaku Penaung dan Penasihat AJK Pembangunan Masjid Al-Umm. Perbincangan bagi mendapatkan sejumlah RM6 juta, nampaknya tipis. Tapi janji Y.A.B. Tuan Azmin, bahawa beliau akan berusaha mendapat peruntukan dari lebihan peruntukan kepada jabatan-jabatan dan agensi-agensi. Walau macam mana Y.A.B. Dato` Menteri Besar tidak menjamin dari segi `Jumlah yang dapat disumbangkan`. Kita mengharapkan priority diberi kepada Masjid Al-Umm dengan jumlah yang memuaskan dan menurutnya, ``Usaha bagi mendapat peruntukan ini dilakukan selepas Raya Idul Fitri` nanti.``
Dalam masa kita mengharapkan bangunan Masjid Al-Umm siap dalam tempoh yang diharapkan dan kewangan makin menirus – baki di tangan tidak sampai dua juta, kita perlu mengambil tindakan dengan sikap berjimat cermat dan memberi priority kepada yang lebih penting, mengurangkan projek yang bersifat mewah, menangguhkan yang tidak penting dan meneliti dan menilai kembali apa yang dicadang oleh pihak perunding dari segi kewajaran, pengurangan dan penangguhan yang tidak penting bagi mengawal perbelanjaan.
Dalam hubungan mengenai jangkaan siap binaan masjid pada akhir Ogos 2015, Penulis juga memaklumkan bahawa pada tarikh lawatan Penaung dan Penasihat TG Dato` Dr. Haron Din ke Bangunan Masjid Al-Umm pada 12 Ramadhan 1436 bersamaan 29 Jun 2015, Penulis memaklumkan yang pihak AJK bercadang untuk menggunakan bangunan Masjid Al-Umm pada hariraya Idul Adhha 10 Zulhijjah 1436 bersamaan 24 September 2015, pihak AJK menawarkan kepada TG Dato` Dr. Haron Din untuk menjadi Imam dan Khatib pertama bagi penggunaan masjid pada hariraya tersebut. TG pada dasarnya menerima tawaran tersebut.
Berhubung dengan pentadbiran Masjid, kata Penulis, kita akan menurut aturan yang ditetapkan oleh MAIS-JAIS selepas masjid mendapat kelulusan CF dan sampai tempoh waktu pemilihan AJK. Walau bagaimana sebelum tempoh pendaftaran dan pemilihan pihak AJK yang ada pada hari ini akan terus berperanan di dalam mentadbir dan mengimarahkan Masjid Al-Umm. AJK berkenaan perlu dikemaskini. Dalam masa tersebut pihak AJK akan berusaha mencari dan menilai kakitangan masjid seperti nazir, imam, bilal, siak, rekreasi, kebersihan dan keselamatan. Mana yang berkelayakan akan dicadang dan ditawarkan jawatan dan diangkat kepada pihak atasan.


Pihak masjid tidak saja berfungsi sebagai pusat ibadat, tetapi juga memberi perhatian pada pengimarahan dari segi pendidikan dan kegiatan kemasyarakatan dan akan menggerakkan pembangunan fasa kedua bagi  mendirikan kompleks pendidikan bagi memperluaskan bidang pengajian dan pendidikan. Lantaran itu bagi melaksanakan perancangan ini perlu disediakan carter susunan organisasi pentadbiran. Penulis menyebut bahawa jika AJK-AJK yang sedia ada telah berjaya melaksanakan tugas dari segi pembangunan pembinaan, maka kita percaya, bahawa AJK ini juga mampu meneruskan khidmat memikul tugas pentadbiran dan meneruskan pembinaan bagi fasa kedua. Sudah tentu perlu kepada pengemasan organisasi yang melibatkan penambahan staf atau pengurangan. Demikian  hasrat untuk menubuhkan koperasi masjid perlu digerakkan.
Berhubung dengan pengimarahan masjid Penulis berharap dapat dirumuskan hasil dua bengkel pengimarahan yang telah dilakukan iaitu Bengkel Untuk Merancang Dan Mengimarahkan Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi yang telah diadakan di Hotel Puri Pujangga UKM pada 26 Zulkaedah 1435 bersamaan 21 September 2014 dan Bengkel Penentuan Dan Penulisan Program Pengimarahan Masjid Al-Umm yang juga diadakan di Hotel Puri Pujangga pada 3 Rabiul Akhir 1436 = 24 Januari 2015. Penulis berharap rumusan dari kedua-dua bengkel itu dapat dijadikan panduan bagi melaksanakan pengimarahan di Masajid Al-Umm yang sudah tentu berlaku penambahbaikan.
Projek dan program yang mau dilaksanakanb adalah besar, jika pembinaan bangunan fizikal Masjid Al-Umm memerlukan peruntukan belasan juta, maka pengimarahan secara berterusan dan pembangunan fasa dua tentu memerlukan peruntukan yang lebih besar. Walau bagaimana menurut Penulis, jika projek awal telah berjaya dilaksanakan, maka kita bercaya dengan kepakaran dan kesungguhan AJK yang ada dengan tambahan yang lain yang berwibawa bahawa projek berkenaan akan juga berjaya.
Penulis mengakhiri ucapan sebagai latar perbincangan bagi agenda ringkas yang disediakan, disamping pihak Setiausaha menyediakan kertas Pengurusan Masjid berdasarkan format standard oleh pihak MAIS-JAIS.
Sebelum mesyuarat diteruskan, majlis ditangguhkan sementara untuk AJK menunaikan solat Asar berjamaah di Surau Hotel Puri Pujangga.

Sekian.

July 10, 2015

Kunjungan Menemui Y.A.B. Dato` Menteri Besar Selangor: Urusan Masjid


Shah Alam, 21 Ramadhan 1436 =  08 Julai 2015 (Rabu):
Sebagaimana telah ditetapkan bagi temu janji, jam 3.00 petang hari ini, kami dari AJK Pembinaan dan Pengimarahan Masjid Al-Umm yang terdiri dari TG Dato` Dr. Haron Din selaku Penaung dan Penasihat AJK, Dr. Shafie Abu Bakar Pengerusi, Tuan Haji Mohd Nor bin Haji Yasin Bendahari, Tuan Haji Suib Maulud Bendahari, Tuan Haji Abdul Rahman bin Daud AJK, Nik Muhammad Adham bin Nik Anuar Setiausah Kerja dan saudara Azizi bahagian Dokumentasi tiba di Pejabat Y.A.B. Dato` Menteri Besar di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.


Kehadiran kami diterima mesra oleh Y.A.B. Dato` Menteri Besar Tuan Mohamed Azmin Ali. Penulis, mengcapkan terima kasih di atas penerimaan kunjungan kami dan tahniah di atas perlantikan Y.A.B menjadi Menteri Besar Selangor. Beliau mengucapkan `terima kasih`. Semasa menerima kehadiran TG Dato` Dr. Haron Din, Y.A.B.  mengatakan.
``Kehadiran Tuan Guru sama sudah tentu mempunyai tujuan yang besar.``
Selepas mengambil tempat duduk Penulis menyatakan hasrat kunjungan,
``Kehadiran kami ialah bagi mendapat kepastian, sebagaimana surat (terakhir) kepada Y.A.B Dato` Menteri Besar pada 01 Julai 2015 berhubung dengan janji Kerajaan Negeri semasa Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid bin Ibrahim berkunjung ke tapak Masjid Al-Umm pada 06 Januari 2013 berjanji akan membiyai pembinaan Masjid Al-Umm berdasarkan sumbangan `Ringgit ke Ringgit` hingga kepada jumlah RM6 juta.``
 Y.A.B. membalas di atas apa yang Penulis luahkan tujuan kunjungan, secara bergurau beliau menyatakan,
``Janji Kerajaan Negeri atau Janji Peribadi ?``.
Jawab Penulis, ``Oleh kerana Tan Sri Khalid pada masa itu adalah Menteri Besar Selangor, jadi janji yang dibuatnya, pada pemahaman kami adalah janji Kerajaan Negeri.``
TG  Dato` Dr. Haron Din memaklumlan, ``Kunjungan kami buat makluman Y.A.B, setakat ini keperluan kepada kewangan adalah mendesak, tanpa bantuan, khususnya janji yang dibuat adalah dikhuatiri mengganggu progress pembinaan Masjid Al-Umm.``
Y.A.B memahami dan mengiakan mengapa TG turut serta hadir, kerana desakan berkenaan.
Saudara Setiausaha Tuan Haji Suib bin Maulud menerangkan tentang perkembangan pembinaan Masjid Al-Umm yang kini adalah 80%, tetapi dalam keadaan sekarang, kos asal pembinaan makin meningkat dan dengan bajet awal sebanyak RM12 juta tidak mencukupi.
Y.A.B. bertanya jumlah kewangan yang sudah didapati. Tuan Haji Abdul Rahman memaklumkan kutipan yang didapati adalah RM10.5, tetapi perbelanjaan yang dibuat menghampiri jumlah yang didapati.
Tuan Haji Mohd Nor Haji Yasin menambah, ``Baki di tangan adalah kurang dari RM2 juta, setelah pembayaran terakhir dibuat pada 7 Julai 2015 lepas.``
Kemudian Y.A.B. dengan nada yang lebih serius menegaskan bahawa, ``Janji seperti ringgit per ringgit, sebenarnya tidak menjadi polisi kerjaan negeri.`` Menurutnya, ``Akibat janji yang dibuat, bukan sahaja terhadap Masjid Al-Umm, tetapi banyak lagi, menyebabkan Kerajaan Negeri Terperangkap dan setengahnya menjadi kes mahkamah.``
Kata Y.A.B. Dato` Menteri Besar, ``Sesuatu peruntukan yang hendak dikeluarkan mestilah berdasarkan permohonan yang dibawa kepada peruntukan bajet Kerajaan dan melalui kelulusan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri.`` Kata Y.A.B. Dato` Menteri Basar, ``Sdr. Shafie tentu tahu dari pengalaman beliau bersama di dalam Dewan Negeri dulu.``
Tegasnya kita tidak dapat menggunakan atau mengeluarkan peruntukan di luar dari bajet yang diluluskan.`` Tambahnya, ``Polisi Kerajaan Negeri sekarang tidak seperti dulu berdasarkan `Bajet Berimbang` yang difisit tahunan berlaku dan terpaksa ditambah, tetapi Kerajaan Sekarang berdasrkan peruntukan sebenar dan cuba mengelak dari perbelanjaan defisit. Jadi permohonan di luar dari peruntukan sukar untuk didapati.``
Penulis bertanya, ``Tidakkah ada sebarang ruang bagi mendapat sebarang peruntukan sebagaimana yang telah dijanjikan ?``


Y.A.B. meyatakan, ``Kalau ada ruang ialah dengan melihat lebihan-lebihan dari mana-mana peruntukan yang dibuat terhadap badan-badan atau jabatan-jabatan tertentu, mungkin jika ada lebihan, kita boleh guna sebahagian.``
Tapi katanya, ``Mungkin tidak sampai sejumlah RM6 juta.``
TG mencelah, ``Kita berharap kalau tidak sampai jumlah yang dijanjikan, mungkin kurang sedikit kepada jumlah RM5 juta.`` Semua ketawa !
Tetapi Y.A.B. Tuan Azmin, tetap menegaskan bahawa, `Saya akan berusaha, tetapi tidak menjamin berapa jumlahnya.`` Katanya lagi, ``Perkara ini akan diusahakan selepas Hari Raya Idul Fitri nanti.``
Penulis mencelah, ``Harap periority diberi kepada Masjid Al-Umm, bila membincangkan peruntukan yang cuba didapatkan dari mana-mana lebihan yang boleh didapati.``
Selain dari membincangkan kekurangan dana Masjid Al-Umm, Penulis juga memaklumkan tentang rancangan pembagunan Masjid Al-Umm bagi fasa kedua, iaitu penekanan dari segi pendidikan dan pengajian yang akan dilakukan di masjid, antaranya rancangan untuk mendirikan bangunan pengajian 10 tingkat di kawasan yang berhampiran dengan masjid. Adalah diharapkan untuk merundingkan dengan pihak MPKj untuk menggunakan tanah ``Medan Usahawan` yang terbengkalai bagi dibangunkan bangunan yang menjadi pusat pengajian bagi Masjid Al-Umm.
``Y.A.B. bersetuju, bahawa masjid bukan saja tempat ibadat, tetapi juga bagi kegiatan-kegiatan yang lain seperti pendidikan dan kemasyarakatan.`` Beliau memaklumkan pihak Kerajaan Negeri melalui JAIS akan membina `Surau Model` bagi setiap jajahan yang lengkap dengan berbagai kemudahan bagi berbagai kegiatan yang dapat dijadikan contoh bagi surau-surau yang lain.
Tuan Haji Abdul Rahman menimbulkan tentang surau lama Al-Umm yang telah dipohon bagi dijadikan rumah imam, guru dan pelajar Tahfiz.. Permohonan telah dibuat terhadap PKNS dan telah dipersetujui dengan kos RM500,000, tetapi setakat ini belum menerima jawapan bertulis secara rasmi.
Apa jua,  AJK mengucapkan terima kasih di atas kesudian Y.A.B. menerima kunjungan rombongan. Sebagai tanda mata Penulis menyampaikan 7 buah buku kepada Y.A.B. Dato` Menteri Besar dan Y.A.B. juga menyampaikan cenderahati kepada setiap yang datang, sebagai oleh-oleh Ramadhan dan kenangan.
Pertemuan berakhir jam 4.00 petang.

Sekian.

July 9, 2015

Pengajian Pada Peringkat Lebih Tinggi: Tafsir Dan Hadith


BBB,  21 Ramadhan 1436 = 08 Julai 2015 (Rabu):
Telah dibicarakan bahawa  Al-Qur`an adalah sumber bagi keilmuan Islam dan kesempurnaan amal ibadat adalah bergantung pada kesempurnaan bacaan. Bermaksud tidak sempurna amal ibadat jika tidak mempelajari Al-Qur`an, lantaran bacaan wajib dalam ibadat seperti dalam solat memerlukan kebolehan membaca Al-Qur`an, seperti membaca Al-Fatihah – Ummu al-kitab yang merupakan salah satu daripada rukun solat. Lebih daripada itu ia merupakan sumber bagi segala bidang keislaman, termasuklah keilmuan. Lantaran itu pengajian Al-Qur`an adalah pengajian penting di dalam Islam dan diutamakan. Ianya dipelajari dari peringkat kanak-kanak, bahkan bagi  semua peringkat hinggalah ke peringkat dewasa.


Pengajian secara tradisional yang berlaku di dalam masyarakat, khususnya di dalam masyarakat Melayu, yang disebut `Mengaji Qur`an` adalah belajar  dari mengenal huruf dan membaca  ayat-ayat Al-Qur`an secara betul di hadapan guru seperti di masjid dan surau atau di rumah guru Al-Qur`an atau guru datang mengajar di rumah. Yang paling dipentingkan membaca Al-Qur`an secara betul dan bertajwid dari mengenal huruf,  mengeja dan membaca. Proses ini berterusan dari membaca Al-Fatihah, membaca muqaddam hingga tamat mampu membaca keseluruhan. Namun penekanan adalah membaca secara betul terhadap Al-Qur`an termasuklah dari segi tajwid yang dipelajari secara tidak langsung semasa mengaji Al-Qur`an. Apa yang hendak ditekankan bahawa tidak diberi perhatian terhadap kandungan Al-Qur`an yang menjadi sumber utama Islam itu. Bukan saja bagi pelajar, tetapi juga guru-guru sejak turun menurun. Mengaji Al-Qur`an adalah belajar membaca Al-Qur`an termasuk mempelajari tajwid secara tidak langsung, tanpa memberi perhatian terhadap kandungan Al-Qur`an.


Bagi memahami kandungan adalah dianggap bidang yang lebih tinggi dan lebih payah. Bidang ini dikenali dengan `Ilmu Tafsir. Ilmu Tafsir ilmu yang memahami kandungan ayat Al-Quran dengan memberi makna kepada ayat secara harfiyah dan mentafsir kandngan bagi ayat-ayat Al-Qur`an yang dipelajari. Menyebut memberi makna atau terjemahan, sebenarnya memerlukan pengetahuan bahasa Arab. Pengajian bahasa Arab pada peringkat tinggi yang membolehkan pengajar atau pelajar memasang makna bagi ayat-ayat. Sebenarnya secara tradisi dianggap mempelajari bahasa Arab adalah payah. Ini bermakna mempelajari tafsir yang bergantung pada kemahiran berbahasa – bahasa Arab satu bidang yang payah, sebab itu relatifnya mempelajari tafsir sebagai ilmu yang payah. Walau bagaimana terdapat pengajian tafsir yang bergantung kepada tafsir-tafsir yang sudah diterjemahkan seperti Tafsir Al-Azhar oleh Hamka, tafsir Ibn Kathir oleh ibn Kathir dan Tafsir  Fi Zilal Al-Qur`an oleh Syed Qutb yang tafsir-tafsir ini sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Walau bagaimana pengajian tafsir secara terjemahan, tanpa mengetahui bahasa Arab, dianggap tidak lengkap, lantaran bila bertembung dengan ayat-ayat berbahasa Arab, luar dari yang ditafsirkan tersekat kefahaman pelajar. Sebab itu mengetahui bahasa Arab adalah penting bagi pengaji tafsir yang tinggi pengajian. Pengetahuan bahasa Arab tidak saja melengkapkan bagi pengajian tafsir, tetapi juga membantu kefahaman keilmuan-keilmuan yang lain yang berbahasa Arab. Kepayahan ilmu tefsir yang mementingkan ketepatan dari pemberian makna dan maksud, tetapi juga memahami tafsiran-tafsiran terhadap ayat yang diambil dari sumber tafsir-tafsir yang lain atau sumber ilmu-ilmu yang lain, dari kitab-kitab atau buku-buku yang  melengkapkan maklumat dan kefahaman terhadap tafsiran ayat. Tafsir adalah keilmuan tersendiri yang mempunyai kaedah-kaedah pendekatan, pengajian, pengolahan dan pentafsiran, sebab itu pengajian terhadap sumber Islam dianggap penting, tetapi payah dan banyak keperluan-keperluan dan cabaran-cabaran bagi meguasai dan mendalami ilmu berkenaan.
Satu bidang pengajian Islam yang penting dan mempunyai pertalian yang rapat dengan Al-Qur`an dan juga menjadi sumber keilmuan dan hukum hakam keislaman ialah pengajian Hadith Rasulullah s.a.w.
Hadith ialah riwayat tentang kata-kata, perbuatan, suruh dan larang dan taqrir Rasulullah s.a.w.
Kepentingan Hadith dapat difahami dari Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
``Aku tinggalkan kepada kamu sekalian dua perkara yang mana kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengan kedua-duanya, iaitu Kitab Allah dan sunahku.``
                                      (Riwayat Imam Malik dalam Al-Muwatta`).
Keilmun Hadith sebagaimana tafsir melalui perkembangan yang mematangkan keilmuan tersebut dan pengajian Hadith mempunyai kaedah-kaedah teratur dan ciri-ciri keilmuan tersendiri misalnya ada konsep riwayat, ada rawi dan sand. Hadith pula mempunyai beberapa kategori berdasarkan kekukuhan dan kelemahan seperti Hadith sahih, hasan, daif. Dan ada tokoh-tokoh penghimpun Hadith seperti Bukhari, Muslim, Tirmidhi, Abu Daud, Nasai dan Ibn Majah. Pada dasarnya mempelajari ilmu Hadith adalah mempelajari kaedah pembuktian ilmu secara ilmiah. Antara ciri-ciri kaedah ini turut digunakan di dalam kaedah pengajian moden. Misalnya di dalam pengajian sejarah yang kaedah pembuktian ialah dengan merujuk kepada sumber awal dan juga menilai kepada pihak yang menyampaikan maklumat dari segi keboleh percayaan atau sebaliknya, juga adakah maklumat tersebut dapat dipertanggungjawabkan dari rentetan riwayat yang berhubung dengan sumber. Seterusnya kaedah rujukan dan catatan kaki di dalam bidang penulisan ilmiah ada kemiripan dari kaedah yang digunakan di dalam keilmuan Hadith. Keilmuan Hadith adalah keilmuan asli yang lahir dari tradisi keilmuan dan peradaban keilmuan Islam.
Sebagai sumber utama Islam, maka pengajian tentang ilmu Hadith adalah juga diberi keutamaan. Ada dua kaedah persembahan keilmuan berkenaan kepada jamaah. Pertama ialah pengajian secara formal yang mempelajari ilmu Hadith secara kaedah keilmuan berkenaan. Misalnya dengan mempelajari ilmu Mustalah al-Hadith yang membicarakan keilmuan berkenaan secara teratur. Manakala satu kaedah lagi ialah dengan membaca Hadith-Hadith pilihan kepada jamaah di masjid, misalnya selepas solat-solat fardu, terutama selepas solat maghrib dan subuh sebagai siri tazkirah kepada jamaah. Kaedah merupakan pendengaran ini boleh disampaikan kepada orang awam atau jamaah bagi menambahkan maklumat dan ingatan.


Sebenarnya kini terdapat banyak buku-buku Hadith yang diberi terjemah dan huraian di dalam bahasa Melayu contoh Hadith 40 Imam Nawawi, Riyad al-Salihin juga Imam Nawawi dan banyak lagi buku-buku pilihan Hadith yang diterbitkan yang dapat dipelajari. Walau bagaimana pembelajaran sebagai ilmu teratur terhadap Ilmu Hadith sebagai satu ilmu khusus perlu kepada pengajian secara formal yang diajar oleh guru-guru yang berkelayakan di dalam keilmuan berkenaan. Sebagai pengajian pada peringkat tinggi, sebagaimana mempelajari ilmu Tafsir perlu kepada penguasaan bahasa Arab, maka demikianlah juga dengan keilmuan Hadith memerlukan kepada pelajar-pelajar, lebih-lebih lagi guru menguasai bahasa Arab dengan baik.

Sekian.

July 8, 2015

Penyusunan Pengajian Dilihat Dari Segi Keutamaan


BBB, 20 Ramadhan  1436 = 07 Julai 2015 (Selasa):
Antara kegiatan yang utama di Masjid Al-Umm ialah kegiatan yang bersifat ilmu yang disebut `pengajian` bagi memasyarakatkan ilmu keislaman di tengah masyarakat. Pengajian yang bersifat fardu ialah yang paling utama dari segi kepentingan dan penggunaan di dalam ibadat di masjid dan juga di luar masjid, bahkan kesempurnaan ibadat dan bidang-bidang yang lain bergantung padanya. Secara tradisional bahkan semasa dilihat bahawa induk bagi pengajian agama dan kesempurnaan pegangan agama dan amalan adalah pengajian Al-Qur`an, a`qidah dan fiqh. Maka  di dalam Bengkel Untuk Merancang & Mengimarahkan Masjid Al-Umm,  juga dilihat pengajian adalah kegiatan utama di masjid. Di dalam pengajian juga adalah dilihat bahawa pengajian Al-Qur`an, `aqidah dan fiqh adalah pengajian yang penting dan berada pada bahagian atas dari segi susunan dan kepentingan pengajian.


Kepentingan pengajian Al-Qur`an tidak dapat dinafikan, lantaran Al-Qur`an adalah induk bagi agama Islam, perlembagaan dan panduan bagi semua bidang agama Islam. Penerimaan Al-Qur`an semasa di Makkah  (Iqra` - wahyu pertama) adalah memulakan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. dan penerimaan Al-Qur`an berterusan secara bertahaf selama 23 tahun sehingga menjelang kewafatan Baginda ketika berumur 63 tahun di Madinah. Al-Qur`an bukan setakat diturunkan wahyu, tetapi adalah perjalanan dan aplikasi dalam perkembangan agama Islam selengkapnya dan menjadi perlembagaan dan panduan umat Islam.
Pentingnya Al-Qur`an, lantaran tanpa mempelajarinya tidak sempurnanya ibadat seseorang Islam. Al-Qur`an perlu dibaca di dalam solat, kewajipan membaca sekurang-kurang membaca – Al-Fatihah Ummul Kitab` di dalam setiap rakaat solat, di samping keperluan membaca bacaan-bacaan yang lain. Daripada Al-Qur`an lahirnya keilmuan-keilmuan Islam dan keilmuan-keilmuan yang lain di dalam Islam. Antara keilmuan-keilmuan yang wajib dipelajari di dalam Islam, lantaran kesempurnaan Islam seseorang bergantung kepadanya ialah ilmu `aqidah dan ilmu fiqh. Ilmu aqidah yang juga dikenali sebagai ilmu tauhid, usuluddin dan ilmu al-kalam ialah ilmu yang berhubung dengan mental yang meyakini kewujudan Allah, keesaan dan kekuasaanNya yang merupakan satu daripada rukun iman yang utama dari enam rukun. Prinsip dari kewujudan Allah dan huraian-huraian yang berhubungan dengannya dan rukun-rukun iman yang lain adalah berasaskan kandungan Al-Qur`an. Aqidah dan pembetulan adalah penting, lantaran kesempurnaan yang lain adalah bergantung pada kesempurnaan aqidah. Lantaran dalam skema keilmuan Islam yang wajib dipelajari, maka ilmu aqidah adalah berada paling atas, di samping kewajipan mempelajari Al-Qur`an.
Berikut dari kepentingan ilmu `aqidah, ialah bidang fiqh yang juga dikenali sebagai ilmu syari`ah. Jika aqidah ilmu yang berhubung dengan keyakinan, mental dan bersifat pegangan dalaman, maka  ilmu fiqh ialah ilmu yang berhubung dengan aturan dan amalan lahiri seharian dan sepanjang. Segala yang berhubung dengan amalan ibadat dan kehidupan secara individu dan jamaah tidak terkeluar dari atauran syariat. Ianya termasuk ibadat khusus seperti solat, zakat, puasa, mengerjakan Haji ke Baitillah al-Haram dan termasuk segala amalan-amalan seperti nikah-kahwin, berjual beli, pinjam meminjam, makan minum dan sebagainya. Semuanya aturan adalah terkandung di dalam Al-Qur`an.
Kepentingan keilmuan-keilmuan di atas diberi perhatian utama oleh ulama` dan berasaskan ayat-ayat Al-Qur`an dan juga Hadith, maka ketiga-tiga keilmuan diolah dan dihuraikan sebagai ilmu-ilmu khusus yang melahirkan kitab-kitab mengenai bidang-bidang keilmuan berkenaan.
Bagi membetuli bacaan Al-Qur`an melahirkan kaedah-kaedah membacanya secara betul dan ada pula kaedah bagi membaca al-Qur`an secara betul – iitu  ilmu yang dikenali sebagai ilmu tajwid. Manakala bagi bidang aqidah juga lahir ulama-ulama yang mengarang kaedah-kaedah ilmu aqidah yang antara tokoh terkenal Imam Ash`ari, Maturidi dan Al-Tahawi di samping lahirnya pengolah-pengolah yang lain tentang ilmu aqidah. Demikian juga dengan bidang fiqh lahirnya ulama` fiqh terkenal seperti Imam Maliki, Shafie, Hanafi dan Hanbali dan pendukung-pendukung bagi imam-imam tersebut. Mereka semua mengarang kitab-kitab panduan berasaskan Al-Qur`an sehingga timbul apa yang dinamakan mazhab-mazhab seperti di dalam ilmu aqidah dan fiqh berdasarkan nama imam-imam yang mengolah ilmu-ilmu berkenaan.


Di dalam pengajian di Masjid Al-Umm, sebagaimana di pengajian-pengajian yang lain, termasuk di fakulti-fakulti keislaman adalah memberi keutamaan terhadap pengajian yang dapat dikatakan tradisi, tetapi tetap berterusan dari segi pengajian. Pengajian Al-Qur`an di Masjid Al-Umm seharusnya bermula dri peringkat paling rendah sehinggalah kepada peringkat paling tinggi, dewasa dari segi umur atau tinggi dari segi pengajhian yang berhubung dengan Al-Qur`an seperti pengajian tafsir dan sebagainya.
Pengajian pada peringkat bawah ialah pengajian pada peringkat anak-anak dari peringkat umur sebelum sekolah rendah, sekolah rendah, bahkan sekolah menengah. Peringkat rendah bermula dari pengajian muqaddam. Cara pengajaran boleh secara tradisional dalam mana guru dan murid-murid mengambil tempat pada sebahagian sudut dari masjid dan mengajar kelompok murid-murid membaca Al-Qur`an sama ada pada sebelah pagi bagi  murid-murid bersekolah formal pada sebelah petang atau selepas zohor atau asar bagi murid-murid yang bersekolah formal pada sebelah pagi. Sebaiknya murid-murid lelaki dibimbing oleh guru lelaki dan murid-murid perempuan dibimbing oleh guru perempuan.
Pengajian Al-Qur`an tidak terhad kepada murid-murid peringkat rendah sahaja, ianya dapat diikuti oleh peringkat menengah jika mereka masih tidak dapat membaca Al-Qur`an menurut masa yang sesuai bagi mereka mengikuti. Pengajian juga terbuka bagi orang dewasa yang mungkin mereka sudah boleh membaca Al-Qur`an, tetapi bertujuan untuk membetul dan memperhaluskan bacaan Al-Qur`an. Cara ini umpamanya dilakukan di Masjid Nabawi di Madinah di mana guru-guru dengan kelompok masing-masing di kelilingi oleh mereka yang mau membetulkan bacaan Al-Qur`an. Pembaca-pembaca ini adalah pelajar tempatan dan yang datang dari berbagai negara dalam rangka mereka datang menunaikan umrah dan haji dan menziarah ke Madinah dan mengambil peluang membetulkan bacaan Al-Qur`an dengan guru-guru Al-Qur`an semasa menziarah Masjid Nabawi.
 Adapun pengajian yang berhubung dengan aqidah dan fiqh, pada kebiasaan pengajian yang berhubung dengan aqidah dan fiqh ini diadakan pada masa antara maghrib dan Isya` dengan menggunakan kitab-kitab aqidah dan fiqh yang muktabar dari aliran sunni dan diajar oleh guru-guru yang berkebolehan dalam bidang-bidang berkenaan. Pengajian mungkin diadakan pada hari-hari hujung minggu yang diikuti oleh semua lelaki dan perempuan. Atau adakala kalangan muslimat menganjurkan kelas-kelas khas bagi muslimat pada hari-hari hujung minggu, pada sebelah pagi hari Sabtu atau Ahad.
Pengajian keilmuan tidak terhad kepada ilmu Al-Qur`an, aqidah dan fiqh sahaja, tetapi dengan mempelajari tiga bidang keilmuan ini sekurang-kurang terangkat dari segi fardu keilmuan bagi seseorang dan dapat memberi panduan kepada seseorang dari segi amal ibadat, di samping meluaskan lagi pengajian secara mendalam dan meluas kepada bidang-bidang yang lain.

Sekian.