July 21, 2015

Masjid Dan Peranan Kemasyarakatan


BBB, 04 Syawal 1436 = 20 Julai 2015 (Isnin):
Masjid selain dari tugas utamanya sebagai institusi ibadat dan pendidikan juga berperanan di dalam bidang kemasyarakatan. Bidang kemasyarakatan yang dimaksudkan ialah:
1)       Menyelesaikan masalah kehidupan yang dihadapi oleh ahli kariah,
2)      Menganjurkan himpunan berfungsi keagamaan dan
3)      Melaksanakan khidmat sosial bagi masyarakat.


Sememngnya selama ini masjid dan surau antara fungsinya ialah menyelesai dan memudahcara  masalah yang dihadapi masyarakat, khususnya masalah yang dihadapi individu. Sebenarnya bagi individu melalui beberapa upacara di dalam proses kehidupannya mulai dari kelahiran sehinggalah kepada kematian. Masjid atau surau dan kepimpinan masjid atau surau sering dilibat atau dijemput bagi menyempurnakan sesuatu acara berkenaan. Sebagai melahirkan rasa kesyukuran anak atau anak-anak dilahirkan maka diadakan majlis aqiqah yang kadang-kadang diadakan majlis berkenaan secara beramai-ramai di masjid atau surau. Pengerusi atau imam biasanya diminta menjalankan upacara aqiqah majlis yang diadakan secara ramai-ramai. Tetapi sering majlis sedemikian diadakah di rumah  bagi anak yang diaqiqah, maka pegawai-pegawai masjid dan surau serta ahli kariah berdekatan sama dijemput menghadiri majlis berkenaan. Apabila anak lelaki sampai umur yang melayakkan untuk dikhitan, maka diadakan majlis berkhitan yang biasanya diadakan secara beramai-ramai di suatu tempat tertentu. Biasanya pegawai dan kakitangan masjid atau surau dijemput sama bagi menyempurnakan majlis. Turut sama pada kebiasaan diadakan majlis khatam Qur`an bagi remaja lelaki dan juga perempuan.


Proses yang penting dilalui oleh seorang pemuda dan pemudi ialah mengadakan majlis perkahwinan, sebelumnya pertunangan. Perkahwinan melibatkan juru nikah dari masjid yang menjalankan upacara aqad. Di dalam konteks Masjid Al-Umm, tempat bagi menjalankan upacara aqad memang disediakan, bahkan turut disediakan ruang untuk jamuan yang boleh disewa oleh pihak yang menjalankan upacara perkahwiunan. Seterusnya puncak yang dilalui dan dihadapi oleh seseorang ialah mengalami kematian. Perkhidmatan mengurus jenazah bagi satu-satu kematian disediakan dari peringkat memandikan mayat, kafan. Solat jenazah dan mengkebumikan di tanah perkuburan memang disediakan oleh masjid ia merupakan tugas sosial bagi masjid terhadap anak kariah. Tanah kubur adalah diamanah oleh pihak berkuasa kepada masjid menguruskannya.
Sebagaimana masjid berperanan menyelesaikan masalah yang dihadapi seseorang individu di dalam kehidupannya, masjid juga berperanan menjalankan majlis-majlis sambutan dan upacara-upacara perhimpunan yang ada kaitan dengan keagamaan. Majlis-majlis ini merupakan rotasi peristiwa ulangan bagi setiap tahun yang rentetannya berlaku dari awal hingga akhir tahun. Misalnya dilihat berdasarkan tahun Hijrah, maka bermula dari awal tahun diadakan sambutan awal tahun Hijrat al-Rasul, diikuti majlis Maulid al-Rasul pada bulan Rabiul Awwal (mulai 12 Rabiul Awwal), Sambutan Isra` Mi`raj pada bulan Rajab, Sambutan awal Ramadhan, Nuzul Al-Qur`an, Hari Raya Idul Fitri dan sambutan Idul Adhha (Masjid antaranya berperanan menjalankan kursus haji kepada bakal haji sebelum tiba masa haji). Berbagai cara diadakan oleh masjid dan surau bagi menyambut hari-hari kebesaran Islam di atas. Antara acara yang lumrah diadakan ialah dengan mengadakan ceramah-ceramah di masjid surau bagi contoh sambutan awal Hijrah, begitu juga bagi Maulid al-Rasul yang kadang-kadang diadakan perarakan pada peringkat negeri dan negara. Demikian ceramah bagi Isra` Mi`raj. Manakala bagi sambutan yang berkait dengan Ramadhan ialah juga ceramah dan tazkirah bagi meningkatkan amalan ibadat dan bersadakah. Bagi sambutan Hariraya Idul Fitri biasanya masjid menjalankan acara solat Idul Fitri dan masing-masing menjalankan acara perayaan masing-masing dengan menziarah dan bermaaf-maafan. Manakala bagi sambutan raya Idul Adhha, masjid selain dari mengadakan solat Idul Adhha, maka masjid juga surau menganjurkan ibadat Korban biasanya secara besar-besaran yang disertai ramai peserta. Sebagaimana acara yang dihadapi oleh individu di dalam kehidupan, maka sambutan-sambutan adalah dialami oleh masyarakat secara jamaah dan merupakan acara tahunan.


Berlainan dari dua kategori di atas, ialah persoalan mengenai khidmat sosial yang harus dilibatkan oleh masjid, ia bukan rutin tahunan yang dilalui, tetapi lebih kepada peristiwa, situasi setempat dan komitmen yang diambil oleh masjid. Sebagai contoh khidmat yang popular diguna di dalam masyarakat, iaitu `gotong royong` di dalam masyarakat. Misalnya berlakunya wabak denggi, dengan keprihatinan AJK Masjid, maka masjid mengambil inisiatif menganjurkan gotong royong membersihkan kawasan yang berlaku denggi dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Daerah dan penduduk. Gotong royong dapat dilakukan bagi membersihkan kawasan perkuburan, membaiki rumah uzur bagi warga emas yang daif kehidupan, gotong royong melengkapkan kemudahan padang permainan, padang bola dan berbagai-bagai lagi.
Selain dari bersifat gotong royong masjid juga boleh menganjurkan pungutan derma bagi membantu masyarakat miskin setempat  sempena menjelang idul Fitri, anak yatim, membantu pelajar miskin setempat bagi menyambung pelajaran, membantu msyarakat yang mengalamai bencana seperti kebakaran, ribut, banjir dan sebagainya.
Selain dari gotong royong dan menderma khidmat sosial masjid juga boleh mengadakan majlis-majlis penerangan bagi menerangkan sesuatu isu semasa yang dihadapi oleh masyarakat misalnya masalah kekurangan air, kempen mencegah pembaziran dan obesiti, mencegah penyalahgunaan dadah, gejala sosial melanda muda-mudi masyarakat dan pencegahan, gejala berlumba haram, mencegah peningkatan kemalangan jalan raya dan sebagainya. Kini pada zaman komunikasi moden masjid mempunyai portal maklumat berhubung dengan kegiatan masjid dan kegiatan surau-surau di bawahnya.


Mungkin sebahagian daripada contoh-contoh kegiatan sosial yang dibicarakan dapat dikatakan bukan tugas masjid dan ada agensi-agensi dan jabatan-jabatan berkenaan seharusnya mengambil tanggungjawab, tetapi masjid sebagai pusat pertemuan penduduk adalah tempat paling sesuai dijalankan kegiatan sosial berkenaan. Peranan  masjid prihatin dengan masalah masyarakat atau bekerjasama dengan agensi-agensi dan jabatan-jabatan berkenaan mencerminkan komitman tinggi masjid terhadap masyarakat. Dengan sedemikian masjid bukan saja  dipandang hormat oleh masyarakat, tetapi juga dapat menarik masyarakat turut sama memakmur dan mengimarahkan masjid melalui saluran-saluran keterlibatan mereka dengan masjid.
Sesungguhnya fungsi masjid pada zaman Rasulullah s.a.w. lebih dari tiga bidang fungsi yang kita bicarakan. Masjid pada zaman  Rasulullah ialah pusat ibadat, pendidikan, pentadbiran, pertahanan, ekonomi , polisi dalam dan luar negara. Masjid adalah pusat kegiatan masyarakat umat.

Sekian. 

July 20, 2015

Menjana Ilmu


BBB, 03 Syawal 1436 = 19 Julai 2015 (Ahad):
`Ilmu` adalah istilah yang menarik minda dan  jiwa yang memberi respond secara hormat terhadap apa yang dinamakan `Ilmu`. Ternampak  wajah ilmu menjelmakan diri dengan kumpulan buku-buku dan juga himpunannya di perpustakan. Ternampak juga wajah mahaguru dan profesor sedang menympaikan kuliah dengan para pelajar sedang tekun menerima dan mencatatnya dan terbayang juga pelajar yang bergelut dengan ilmu merujuk berbagai buku bagi menyiapkan kerja dan kertas ilmiah yang bakal dibentangkan di kelas tutorial dan ternampak juga anak-anak tadika sedang membilang jari juga mengeja dalam proses transformasi mengenal angka dan juga huruf. Ilmu adalah hasil transformasi maklumat kepada rumusan konsepsi yang dihasil, diabadikan ke dalam buku yang dapat dipelajari dan diperturunkan dari  generasi ke generasi mempelajari dan memanfaatkannya. Proses penurunan ini lebih banyak merupakan proses perulangan dari proses penambahan.
Di mana-mana dengan cara bagaimana menyampaikan ilmu dan penerimaan adalah proses terpuji, lantaran dengan ilmu yang  berbagai bidang dan berbagai cara disampaikan adalah proses meningkatkan martabat insan dari tahap tidak tahu (jahil) ke matabat tahu yang menjadikannya orang `berilmu`. Dengan berilmu bagi individu dan masyarakat meningkatkan cara hidup dari yang bersifat mundur kepada yang lebih bertamadun dan peradaban.


Di dalam konteks di atas, boleh dikemukakan persoalan, apakah perlu bersusah-payah mendirikan masjid dan berusaha mengisi dan mengimarahkannya dengan pengajian-pengajian ? Jawapannya ia merupakan jihad murni dan inti Takmilah bagi mengangkatkan secara bersama kualiti insan dari segi relatifnya masih kurang dengan keilmuan ke tahap keilmuan yang dapat dicapai yang kesannya menghasilkan masyarakat berilmu, berbahagia patuh pada Tuhan dan hidup di dalam suasana aman tenteram yang tercermin di dalam ungkapan `Baldah tayyibah wa Rabbun ghafur`.
Di dalam konteks Bandar Baru Bangi (BBB) yang masyarakatnya relatifnya berilmu statement yang memganggap mereka  masih kurang dari keilmuan dapat dipersoalkan. Adalah diakui sebahagian besar dari mereka merupakan masyarakat terpelajar dan intelektual, tetapi perlu diingat apa yang dinamakan terpelajar, hanya terhad kepada profession mereka yang  mereka kuasai.Sebagai contoh seorang profesor yang mendalam bidang pertanian, kekurangan dari keilmuan keagamaan. Begitu juga seorang ahli matematik, sastera dan akaun dan sebagainya. Masjid tidak mampu menyediakan keilmuan di dalam bidang-bidang profession khusus, namun dengan ruang kekosongan yang ada cuba sama berusaha mengisikannya, agar kekosongan yang ada dapat diisikan dan dapat diimbangkan. Pihak masjid bersedia menerima sumbangan bidang-bidang profession yang sama dapat dimanfaatkan oleh masyarakat. Idealnya masjid berusaha sama mengangkat martabat masyarakat kepada tahap dan kualiti setinggi yang dapat.
Proses keilmuan yang diharap berlaku di masjid sekurang-kurangnya ada tiga tahap
1)      Transformasi ilmu kepada mereka yang tidak berilmu
2)      Melengkapkan keilmuan bagi mereka yang telah berilmu
3)      Menjanakan ilmu bagi kepentingan semua
Mentransformasi atau menyampaikan ilmu kepada mereka yang tidak tahu memang menjadi tugas utama bagi masjid, iaitu mengajar kepada mereka yang tidak tahu. Misalnya mengajar anak-anak mengaji Al-Qur`an dan mengajarkan mereka dengan keilmuan fardu dan mengamalkannya. Proses ini juga berlaku kepada kalangan dewasa yang selama ini tidak memberi perhatian terhadap keilmuan (agama) maka dengan klesedaran yang ada mereka mau mempelajari ilmu yang tidak diketahui selama ini. Kebanyakan program yang disusun lebih banyak dituju kepada golongan seperti ini. Pendekatan ini adalah pendekatan yang kita istilahkan sebagai mensyarikat dan memasyarakatkan ilmu.


Bagi tahap melengkapkan keilmuan bagi mereka yang telah berilmu ialah sebagimana pernah dibincangkan, kepada mereka dari golongan sedemikian, kita tidaklah berhasrat dalam kata halus untuk mengajar mereka, tetapi berharap bersama mereka dapat mensyarikatkan ilmu. Bermaksud dari kalangan sesama intelektual ini diharap mereka bersama menyumbangkan tenaga bagi mencurahkan ilmu, sama memanfaatkan keilmuan yang tidak diketahui sebagai contoh seseorang yang menguasai satu bidang profession yang bukan dari aliran agama, dapat mengambil manfaat dari keilmuan yang disampikan dalam masa yang sama dengan kepakaran mereka diharap agar sama dapat dimanfaatkan. Contoh dapat dimanfaat bersama maklumat berhubung dengan bidang ekonomi, perusahaan, kesihatan dan sebagainya. Dengan demikian masyarakat dapat sama ditingkatkan dari segi ilmu dn maklumat.
Bagi kategori ketiga, iaitu menjana ilmu bagi kepentingan semua. Tahap ini paling sedikit dan mungkin sukar berbanding dengan tahap  dan kategori pertama dan kedua. Tahap ini bermaksud, bahawa apa yang berlaku dari segi trnsformasi ilmu selama ini, ialah penurunan ilmu yang sama dari generasi ke genarasi. Ilmu yang dibincang dan diperturunkan adalah petikan dari penemuan, pendapat-pendapat dan hasil-hasil yang telah dirumus oleh ilmuan-ilmuan yang terdahulu. Dengan proses ini pada dasarnya tidak berlaku pertambahan dari segi ilmu. Sepatutnya terutama pada tahap tinggi dari kalangan yang pakar di dalam bidang masing-masing menjanakan keilmuan yang dikuasainya bagi menambahkan ilmu dan dimanfaatkan oleh orang lain. Budaya sedemikian memang digalakkan dan berlaku di universiti-universiti. Tetapi budaya murni ini bukan sahaja berlaku di universiti, tetapi juga sepatutnya  dinstitusi-institusi yang lain.


Di dalam konteks di atas masjid yang menganjurkan berbagai-bagai ilmu keislaman yang disyarikatkan oleh tokoh-tokoh profession yang lain, diharap turut membudayakan penghasilan ilmu dalam bidang masing-masing. Di dalam maksud yang lain masjid menggalakkan para pakar yang mengajar di dalam keilmuan masing-masing menghasilkan keilmuan yang dapat diterbutkan di dalam bentuk buku yang memprojekkan imej masjid sebagai institusi yang turut menjanakan ilmu. Lantaran itu adalah menjadi hasrat masjid juga tiba pada satu peringkat dapat menerbitkan buku-buku ilmiah di dalam bidang-bidang kepakaran guru-guru berkenaan. Sebagaimana universiti mempunyai jabatan penerbitan, maka pada satu peringkat masjid juga mempunyai jabatan penerbitannya yang menjanakan ilmu melalui buku-buku yang diterbitkan dihasilkan oleh tenaga-tenaga pengajar, hasil dari konvemnsyen, seminar dan wacana-wacana ilmiah yang diadakan, bahkan pada satu peringkat juga masjid menerima hasil-hasil keilmuan dari pakar-pakar , walaupun dari tenaga yang bukan berkhidmat di masjid. Sebenarnya dengan penghasilanm ilmu sedemikian lebih memberi imej positif sebagai institusi yang turut sama mendukung keilmuan. Budaya ilmu sedemikian bukan sesuatu yang baharu, tetapi menjadi tradisi bagi masjid-masjid yang berfungsi sebagai institusi pendidikan. Misalnya Al-Ghazali menghasilkan Ihya` Ulum al-Din di Masjid Damshiq. Ada manuskrip manuskrip yang hilang yang diketahui judul antaranya diketemui manuskripnya di perpustakaan masjid-masjid yang menndakan bahawa masjid menjadi institusi yang menjanakan ilmu pengetahuan keislaman.


Sekian.

July 19, 2015

Pengajian Hujung Minggu Lebih Bersifat Formal


BBB, 02 Syawal 1436 = 18 Julai 2015 (Sabtu):
Dimaksudkan dengan pengajian hujung minggu ialah pengajian pada hari Sabtu dan Ahad yang merupakan hari tutup pejabat. Kedua-dua hari ini adalah hari terluang bagi pekerja-pekerja dari aktiviti rasmi pejabat dan juga dianggp sebagai hari minggu bagi bidang-bidang yang lain. Tapi bagi masing-masing mempunyai agenda sendiri bagi memenuhi masa kedua-dua hari tersebut. Bagi mereka yang meminati pengajian, maka kedua-dua hari tersebut dapat digunakan bagi mengikuti pengajian dan mendalamkan ilmu pengetahuan.


Bagi masjid banyak program yang dapat diisi dan ditawarkan kepada masyarakat – (Selain dari pengajian mengirinbgi waktu solat, terutama antara waktu maghrib ke Isya` dan mengiringi waktu subuh bagi hari-hari bekerja). Pada hari-hari minggu ini, masa yang digunakan antara pagi (jam, 8.00-1200 tengahari). Pada sebelah petang ialah waktu untuk urusan peribadi dan keluarga. Pengajian yang dapat diisi bagi hari-hari minggu:
1)       Pengajian berkitab atau berteks dengan pilihan keilmuan-keilmuan tertentu
2)      Pengajian khusus bagi  muslimat
3)      Pengajian bagi peringkat anak-anak dan remaja
4)      Kursus bahasa – khususnya bahasa Arab
5)      Pengajian berpekej
Oleh kerana masa yang ada begitu terhad, maka jadual pengajian perlu diatur supaya tidak berlaku pertindihan, tidak berlaku pembaziran tenaga dan masa. Setiap hari dapat diisi dengan dua mata pelajaran sebanyak 2 jam bagi satu pengajian. Kecuali no. 3 pengajian pada peringkat anak-anak dan remaja, maka yang lain penyusunan jadual haruslah dapat diikuti oleh umum. Pengajian pada peringkat anak-anak lebih kepada bimbingan pengajian Al-Qur`an, menghafal (Al-Qur`an) yang melibatkan pelajar tahfiz, di samping mempunyai slot masa menghafal yang lain dan pengajian-pengajian asas fardu.
Selain daripada pengajian pada peringkat anak-anak dan remaja dapatlah dikatakan pengajian seharusnya bersifat berat. Bagi mengisi pengajian yang ditawarkan, maka pengajian setahun dibahagi peda dua semester (separuh tahun bagi satu semester). Pengajian ini diikuti oleh beberapa kategori pengajian yang kita namakan:
1)      Tafaqquh fi al-Din
2)      Pengajhian berpekej
3)      Pengajian Ala Pondok
Bagi semester pertama (separuh tahun pertama ditawarkan bagi empat slot pengajian bagi seminggu ialah, katakan `aqidah, tafsir, ekonomi Islam dan Bahasa Arab, manakala bagi semester dua (separuh kedua tahun) ialah fiqh, Hadith, tasawuf dan sirah. Diulang mata pelajaran kepada tahap yang lebih tinggi bagi tahun dua dan ketiga.
Untuk pengajian muslimat mungkin dipilih waktu di luar bagi jadual di atas. Misalnya sebelah petang hari Sabtu atau atau mana-mana waktu yang sesuai.
Semua pengaji-pengaji yang memilih mana-mana satu jenis pengajian di atas perlu mendaftar pengajian dan kehadiran diambil bagi setiap pengajian.
Bagi pengaji-pengaji Tafaqquh fi al-Din yang berhasrat memilih mata-mata pelajaran agama sahaja boleh tidak mengambil mata pelajaran Ekonomi Islam dan sirah. Pengaji-pengaji berpekej dan tahfiz dikehendaki mengambil semua pelajaran yang ditawarkan dan pengajian ala pondok mengambil mata pelajaran `aqidah, fiqh, tasawuf dan pengajaian al-Qur`an dan Hadith.


Pihak masjid dikehendaki menyediakan kurikulum bagi setiap mata pelajaran yang ditawarkan. Guru-guru yang mengajar adalah dari kalangan mereka yang berkelulusan dan berkelayakan. Kerjasama dengan pengajian-pengajian tinggi tertentu akan dilakukan, khususnya dari segi penilaian kursus pengajaran yang ditawarkan. Guru-guru dari pengajian tinggi tertentu mungkin dijemput bagi menyampaikan sebahagian dari pengajaran bagi kursus-kursus yang ditawarkan
Bagi pengaji-pengaji yang mengikuti pengajian akan diadakan ujian penilaian. Dengan ujian-ojian dan penilaian yang dibuat akan dikeluarkan sijil atau diploma yang diiktiraf oleh pengajian tinggi yang melayakkan yang lulus untuk menyambung pengajian pada peringkat yang lebih tinggi.
Pengajian pada hujung minggu ini adalah lebih bersifat formal dengan adanya syarat kelayakan, pendaftaran, pengambilan kehadiran dan pengajaran yang tetap dan berkurikulum, guru yang menyampaikan pengajaran secara berkesinambungan seterusnya ada penilaian dan pengeluaran pengiktirafan sama ada sijil atau diploma yang diusahakan pengiktirafan dari institusi-institusi pengajian tertentu. Pengajian ini berbeza dari pengajian yang diadakan secara terbuka seperti pengajian mengiringi waktu-waktu solat fardu. Kemudahan yang disediakan bagi pengaji berdaftar ialah perpustkaan yang menyediakan bahan-bahan bacaan dalam bidang yang berkait dengan mata-mata pelajaran yang disediakan. Begitu juga pengaji-pengaji dibenarkan membuat rujukan di perpustakaan dan meminjam bahan-bahan bacaan.
Bagi pengaji-pengaji berdaftar dan juga yang mengikuti pengajian secara terbuka akan didedahkan dengan seminar, konvensyen dan wacana-wacana ilmiah yang dianjurkan oleh masjid dari semasa ke semasa dengan menggunakan ruang konvensyen di masjid misalnya pada waktu-waktu malam, terutama pada hari-hari minggu. Pakar-pakar di dalam bidang keilmuan tertentu akan dijemput mengisi seminar, konvensyen dan wacana-wacana ilmiah dari masa ke masa secara berterusan.
Pengajian yang ditawarkan bukan setakat penduduk setempat di Bangi, tetapi kepada mereka yang berminat dari luar, di Selangor atau dari luar dari Selangor. Mereka boleh datang mulai dari petang hari Jumaat bagi mengikuti pengajian pada dua hari berikutnya. Untuk jangka panjang pihak masjid sebenarnya berhasrat membina bangunan bertingkat berdekatan masjid sebagai pusat pengajian dan pentadbiran yang juga disediakan asrama, lebih-lebih lagi bagi pelajar-pelajar tahfiz dan yang mengikuti pengajian berpekej dan merangka pengajian pada peringkat yang lebih tinggi yang melayakkan pengajian mengeluarkan diploma dan ijazah. Walau bagaimana untuk sejumlah kecil pelajar dari luar buat peringkat permulaan mereka boleh menginap di bangunan Surau Al-Umm yang akan diubahsuai menjadi penginapan imam dan asrama.
Apa yang dihasratkan oleh Masjid Al-Umm bukanlah merupakan di luar dari kebiasaan, sesungguhnya kelahiran universiti terawal di dunia adalah berasal dari pengajian di masjid, iaitu Universiti Qayrawan dan Universiti Al-Azhar.

Sekian.

July 18, 2015

Sukan Dan Rekreasi Masjid


BBB, 01 Syawal 1436 = 17 Julai 2015 (Jumaat):
Sebagaimana kita perlu makan dan minum secara teratur bagi menjaga fizikal bagi melangsungkan kehidupan demikian juga kita perlukan kecergasan bagi menjaga fizikal, antaranya melalui sukan. Konsep sukan ini bukan semestinya permainan formal seperti bola, hoki dan badminton dan sebagainya. Maksudnya segala gerakbadan yang berfungsi bagi kesihatan seperti dapat mengeluarkan peluh. Ini termasuklah merumput dan melerah di kawasan rumah, berkebun, berjalan kaki dan sebagainya. Bersukan suatu yang digalakkan, bahkan di dalam Islam digalakkan oleh Rasulullah bersukan seperti memanah, menunggang kuda dan berenang. Ketiga-tiga jenis sukan ini menjadi sukan formal di dalam peretandingan sukan.


Di dalm kata lain, sukan sebagai satu keperluan perlu digalakkan dan perlu sama diberi perhatian oleh masjid. Mungkin menyebut sukan lebih terarah kepada kalangan belia, namun ada bidang-bidang yang wajar  melibatkan orang-orang dewasa. Bagi menarik golongan muda ke masjid, maka masjid wajar mengatur kegiatan-kegiatan sukan bagi orang muda. Secara kebetulan berdekatan dengan masjid ada kemudahan sukan seperti ada dewan orang ramai yang sebenarnya lebih digunakan bagi permainan badminton. Pihak masjid dapat berunding dengan pihak MPKj bagi mendapat slot bagi kalangan belian berlatih dan juga menganjurkan pertandingan badminton yang dari sini dapat dijadikan tapak bagi memasuki pertandingan kepada peringkat daerah dan negeri dan sebagainya atau pihak masjid sendiri menganjurkan kejohanan badminton masjid Al-Umm. Pertandingan yang juga sesuai diadakanm ialah pertandingan futsal di kalangan belia masjid yang kemudahan sedemikian terdapt di kompleks sukan Bandar Baru Bangi.
Kemudahan sukan yang paling ketara bagi masjid, sebagai masjid dekat dengan dewan badminton, maka masjhid lebih dekat dengan padang awam yang dapat digunakan bagi berbagai kegiatan sukan. Kegiatan yang paling utama ialah sukan bola sepak. Padang ini memang secara tidak formal dan tidak rasmi digunakan oleh pemuda-pemuda bermain bola sepak pada setiap petang. Pihak masjid wajar mengambil peranan mengatur kegiatan seperti sukan  bola sepak ini diatir secara lebih baik, misalnya menyediakan gol secara lebih sempurna. Kini mempunyai satu gol sahaja. Pihak masjid perlu mengatur jadual permainan secara lebih sempurna. Mengatur pertandingan lega masjid di kalangan pasukan di Bangi dan bagi kawasan yang lebih luas seperti pertandingan antara wakil-wakil masjid-masjid dan surau-surau dengan mengadakan hadiah-hadiah yang lebih menarik dan menghantar pasukan bola sepak belia Masjid Al-Umm ke pertandingan-pertandingan luar. Padang bersebelahan masjid ini juga boleh digunakan sebagai padang futsal  dan permainan hoki yng diselenggarakan oleh masjid. Pihak masjid juga boleh memikirkan sukan tahunan bagi kejuaraan masjid yang mana di dalam sukan tahunan ini dianjurkan berbagai pertandingan sukan yang nelibatkan anak-anak dari anak-anak sekolah berbagai peringkat, orang muda dan juga orang tua menurut jenis-jenis sukan yang sesuai.


Menyebut orang tua, mereka boleh dilibatkan dalam kegiatan sukan dan pergerakan yang boleh mencergaskan diri mereka. Misalnya padang yang berhampiran masjid itu dapat dinaik taraf dengan mewujudkan trek pejalan kaki keliling padang yang membolehkan warga tua berjalan kaki keliling padang sama ada pada waktu pagi selepas menunaikan solat subuh dan mengikuti kulih atau digunakan pada sebelah petang selepas solat asar. Sekali sekala peraduan berjalan kaki di kalangan veteran dan orang muda dapat diadakan misalnya bertolak dari Masjid Al-Umm ke Masjid Al-Hasanah dan sebaliknya. Pertandingan menunggang basikal juga boleh diadakan di kalangan veteran dan kalangan belia. Antara sukan yang sesuai di kalangan veteran dan juga beliaa ialah pertanding boling. Pertandingan seumpama ini pernah diadakan antara surau di Bangi yang pernah dianjurkan oleh Adun Bangi bersifat tahunan. Pihak Masjid Al-Umm boleh mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan boling antara masjid dan surau-surau yang bertujuan bagi saja untuk kesihatan, tetapi lebih merupakan mengeratkan silatul rahim di kalangan ahli-ahli masjid dan surau. Banyak lagi sukan tradisi dan moden yang bersesuaian untuk acara sukan bagi masjid Al-Umm. Bagi mengendalikan kegiatan sukan puihak masjid perlu melantik AJK Sukan Masjid yang dapat mengurus dan mentadbir perjalanan sukan bagi masjid yang mempunyai matlamat dan tujuan tertentu.
Satu lagi bidang yang boleh dilibatkan oleh masjid ialah bidang rekreasi yang melibatkan kegiatan luar dari masjid.  Kegiatan ini adalah berinspirasikan ayat Al-Qur`an yang bermaksud:
``Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan rahmat Allah) bagi irang-orang yang berakal.`` (Aali Imran: 190).
Maksud rekreasi ialah kegiatan luar mencari pengalaman dan pembelajaran yang melibatkan kunjungan dan kegiatan fizikal  sebagai latihan sambil belajar. Rekreasi boleh melibatkan golongan muda seperti mengnjurkan rihlah ke taman rekreasi di hutan, perbukitan, pergunungan, tepi sawah dan pantai. Pemergian dalam menghayati alam disertai dengan kegiatan kuliah atau kem ibadat dan sebagainya. Kegiatan boleh termasuk di bawahnya ialah lawatan-lawatan sambil belajar yang dianjur oleh masjid ke berbagai-bagai tempat yang memberi manfaat dari segi keilmuan dan pengetahuan bagi golongan muda seperti melawat kilang-kilang pengeluaran, ladang-ladang tanaman dan ternakan, perusahaan, penghasilan kraft dan sebaginya.


Kegiatan yang seumpama ini boleh juga melibatkan golongan dewasa yang dianjur dan diatur oleh masjid. Misalnya masjid boleh mengatur lawatan sambil belajar di institusi pengajian moden dan tradisi (Pondok Pengajian) sambil mengikuti pengajian ringkas. Melawat dan bergotong royong membersih kawasan rumah kebajikan warga tua sambil menghulur bantuan kebajikan kepada mereka. Kegiatan boleh melibatkan ke luar negara misalnya mengadakan rombongan melawat kawasan kependudukan Islam di negeri Cina, lawatan membantu golongan minoriti Islam di Kamboja, myanmar dan sebagainya. Lawatan sambil menyampaikan bantuan seperti mangsa banjir, mangsa gempa bumi sanma ada di dalam atau luar negara. Pada peringkat yang lebih tinggi masjid menganjurkan pakej seperti umrah dan ziarah.
Sukan dan rekreasi nampak sebagai bidang yang tidak begitu penting, tetapi keterlibatanm masjid di dalam kedua-dua bidang berkenaan dapat memupuk hubungan yang baik antara masyarakat setempat. Pihak masyarakat pula melalui sukan dan rekreasi bukan saja dapat bergiat dan cergas dengan melibatkan diri dengan kedua-dua bidang, tetapi banyak memberi keilmuan dan pengalaman yang boleh ditimba, selain dari pengajian secara formal di masjid, sebaliknya dengan kegiatan secara tidak formal lebih memberi kesan dan manfaat bagi masyarakat.
Sebenarnya banyak manfaat bagi masjid dan masyarakat melalui kedua-dua bidang, namun ianya memerlukan satu AJK yang cergas berinisiatif dan berinovatif di dalam mengatur kegiatan-kegiatan bagi kedua-dua bidang berkenaan.

Sekian.

July 17, 2015

Panduan Semasa Dan Harian Bagi Ahli Kariah Dan Masyarakat


BBB,  29 Ramadhan 1436 = 16 Julai 2015 (Khamis):


Dari segi  kemasyarakatan banyak perkara yang dapat dibantu oleh masjid bagi mewujudkan masyarakat harmoni dan bahagia bagi kawasan keliling dan kariah masjid, juga kepada kawasan yang lebih luas bagi mereka yang berminat dengan program-program yang diatur oleh masjid dari masa ke masa. Program-program berikut dapat dipertimbang untuk dilaksanakan secara tidak berkala:
1)      Ekonomi Rumahtangga & Kewangan Islam
2)      Panduan Kesihatan
3)      Keluarga Bahagia dan Perkahwinan
4)      Masakan Dan Jahitan
5)      Penjagaan Anak Dan Pembantu Rumah (Orang Gaji)
Ekonomi Rumahtangga & Kewangan Islam
Semua ibu bapa dan keluarga maukan anak-anak dan keluarga hidup bahagia dan mengelak dari tekanan kemiskinan  dan permasalahan. Lantaran ketua keluarga, biasanya suami dan isteri bekerja bertungkus lumus bagi menghasilkan pendapatan yang dapat menampung kehidupan keluarga. Ada yang berpendapatan lumayan, tetapi tidak kecukupan dan sebaliknya ada yang berpendapatan sederhana, tapi dapat mengendalikan kehidupan keluarga dalam keadaan sederhana dan baik. Dalam kehidupn keluarga perlu kepada pengendalian yang baik dan bijak dalam perbelanjaan dan tabungan serta mengendalikan permasalahan seperti menyelesaikan bayaran perumahan, kenderaan dan berbagai bayaran. Kursus Ekonomi Rumahtangga adalah salah satu cara yang dapat memberi panduan kepada keluarga bagi mengatur kehidupan terutama dari segi kewangan. Pihak masjid wajar mengambil inisiatif menganjurkan kursus sedemikian bagi kepentingan anak kariah.
Dari kesedaran keislaman, sebagai orang Islam mau menjalani kehidupan secara Islam, mau menghindari diri dari riba, perkara yang haram, termasuk punca pendapatan dan perbelanjaan kewangan. Kewangan Islam adalah bidang popular bukan setakat tempatan, tetapi sudah diterima ke peringkat global. Kewangan melibatkan penggunaan dari peringkat bawah hingga ke peringkat Negara.  Bagi memberi panduan tentang konsep kewangan, bank, pengurusan dan perbelanjaan menurut lunas-lunas Islam, masjid wajar menjemput pakar-pakar atau sekurang-kurang mereka yang mahir di dalam bidang kewangan Islam untuk diikuti oleh para jamaah dan penduduk sekitar sebagai panduan bagi mereka mengurus dan mengendalikan perbelanjaan  menurut kewangan Islam.
Panduan Kesihatan


Semua orang mau hidup sihat, bagi ibu bapa mau melihat anak-anak membesar dalam keadaan sihat dan berusaha mengekalkan keluarga dalam keadaan sihat dan jika sakit diusahakan agar penyakit sembuh. Namun tidak ada siapa yang tidak mengalami penyakit biasa dan kronik. Banyak ujian dalam kehidupn berhubung dengan penyakit dan tidak semua berpengalaman mengatasi masalah penyakit. Sebagai bantuan dan panduan bagi keluarga menguruskan tentang kesihatan keluarga dan juga panduan jika menghadapi penyakit terutama yang berat dan kronik, pihak masjid juga wajar sekali sekala menganjurkan panduan kesihatan bagi keluarga dengan menjemput pakar-pakar kesihatan dari hospital atau Pejabat Kesihatan menyampaikan kursus kesihatan. Mungkin dengan demikian dapat memberi panduan dan mengatasi masalah kesihatan yang selama ini tidak difahami oleh masyarakat. Atau jika berlaku masalah kesihatan bagi individu atau keluarga, maka dapat diambil tindakan menurut kaedah dan saluran yang betul.
Keluarga Bahagia Dan Perkahwinan
Setiap pasangan yang mendirikan rumahtangga mengharapkan keluarga bahagia. Tetapi tidak semua dapat mencapai hasrat sedemikian, bahkan sebahagian daripada yang mendirikan rumah tangga menghadapi keruntuhan dan kegagalan rumah tangga. Kesilapan mungkin berlaku sejak dari pra-perkahwinan, misalnya pada cara memilih pasangan dan bila berkahwin suami-isteri gagal menjaga hubungan baik sebagai suami-isteri atau ketidakmampuan dari segi kewangan atau tidak mempunyai pegangan agama dan tidak tau menyesuaikan diri hidup berkeluarga, akibat perkahwinan yang diharap mencapai kebahagian tidak berjaya dan menempuh kegagalan.
Oleh itu adalah dilihat `Konsep Keluarga Bahagia` perlu diformula dan menjadi panduan bagi suami isteri dan keluarga. Bagi mencapai hasrat sedemikian pihak masjid wajar menganjurkan kursus, seminar dan sebagainya mengenai `Keluarga Bahagia` yang disampaikan oleh mereka yang berpengalaman dan pakar dalam bidang `Memupuk Keluarga Bahagia`. Konsep keluarga bahagia ini bukan saja dituju kepada mereka yang baharu mendirikan rumah tangga, tetapi bagi pasangan-pasangan yang telah lama mendirikan rumah tangga. Dengan mengikuti kursus diharap dapat membaiki kedudukan dan keluarga menerima rahmat di atas perubahan kepada cara kehidupan yang lebih positif dan bahagia.
Jika difikirkan perlu pihak masjid dapat berunding dengan pihak JAIS mendapat keizinan menyampaikan kursus perkahwinan secara berkala bagi pasangan yang mau berkahwin dan kursus mendapat pengiktirafan dari JAIS. Ia juga merupakan sumbangan masjid kepada anak kariah dan juga masyarakat setempat.


Masakan Dan Jahitan
Khusus ditujukan kepada kaum muslimat, terutama bagi AJK Muslimat, bahawa bagi membantu ibu-ibu dan mereka yang berminat pihak masjid melalui AJK Muslimat dapat menganjurkan Kursus Masakan Dan Jahitan kepada ibu-ibu bagi membantu mereka dari segi menyediakan masakan secara sihat dan berkhasiat dan membantu dari segi menjahit sehingga kaum ibu tidak perlu mengupah pihak luar dari segi menjahit bagi keperluan biasa. Kepandaian menyiapkan makanan keluarga adalah satu faktor yang membahagiakan keluarga. Bagi galakan sekali sekala dapat diadakan pertandingan memasak dan menjahit. Dengan demikian menghidupkan suasana dan menarik penyertaan.
Penjagaan Anak Dan Pembantu Rumah (Orang GajI)
Dalam kehidupan moden dan keperluan kepada pendapatan tambahan, maka adalah menjadi kebiasaan bagi ahli rumah (isteri) bekerja. Kalau pun tidak sangat dari segi ekonomi, kerana pendapat suami mencukupi, tapi demi career, lantaran isteri berkelulusan, maka dirasakan perlu untuk bekerja. Dalam kehidupan keluarga, terutama di bandar-bandar, masalah penjagaan anak-anak adalah perkara yang mencabar  kehidupan keluarga. Hampir kesemua keluarga sedemikian memerlukan pembantu rumah, tetapi tidak mudah mendapat pembantu rumah yang baik. Adalah menjadi kebiasaan pembantu-pembantu rumah melarikan diri secara senyap, menyebabkan anak-anak ketiadaan pembantu dan kos  yang ditanggung oleh majikan akibat dari tindakan orang gaji yang melarikan diri adalah tinggi. Jika tidak mengguna orang gaji dengan menghantar ke tempat pengasuh, tidak kurang dari masalah yang memeningkan kehidupan keluarga.
Dengan adanya kursus dan panduan-panduan serta cadangan-cadangan masalah yang dihadapi oleh pasangan-pasangan dapat diringankan
Pihak masjid  selain dari tempat ibadat dan pengajian, masjid juga seharusnya memberi khidmat dan dapat membantu menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi masyarakat dengan pendekatan yang Islamik sifatnya.

Sekian.

July 16, 2015

Menganjurkan Kegiatan Bersifat Seni


BBB,  28 Ramadhan 1436 = 15 Julai 2015 (Rabu):


Bagi memvariasikan kegiatan, mencungkil bakat dan menarik golongan yang meminatinya terutama golongan muda masjid wajar melibatkan diri dalm kegiatan seni yang tidak bercanggah dengan Islam.
Antara bidang seni yang wajar diberi perhatian ialah:
1)      Tilawah Al-Qur`an secara bertarannum (Berlagu)
2)      Salawat, Nasyid dan lagu-lagu bertemakan Islam
3)      Menulis Khat
4)      Penulisan Kreatif bertemakan Keislaman
5)      Rekacipta dan Gubahan
Tilawah Al-Qur`an
Pada umumnya kebanyakan anak-anak mempelajari Al-Qur`an sama ada di rumah dan di sekolah. Ada antara mereka ada yang baik dari segi bacaan dan bertarannum. Bagi mencungkil bakat mereka masjid secara tidak berkala wajar menganjurkan pertandingan Tilawah Al-Qur`an pada peringkat Bangi atau daerah bagi memilih qari dan qariah terbaik bagi peringkat daerah. Untuk mendapat calon-calon ialah melalui sekolah dan juga masjid dan surau. Yang terpilih boleh mewakili Bangi ke peringkat negeri, negara dan antarabangsa, bila berkelayakan. Bagi pelajar boleh ditawarkan ke mana-mana ma`had tahfiz, jika berminat. Mereka boleh dilatih menjadi imam dan guru Qur`an setempat.
Bagi meneruskan usaha memupuk bakat, pihak masjid wajar menjemput sekali sekala guru-guru tarannum menympaikan kursus tarannum dari masa ke masa untuk diikuti oleh yang berbakat dan yang berminat.
Salawat, Nasyid dan lagu-lagu bertemakan Islam
Kini lagu-lagu salawat dan nasyid mendapat sambutan yang baik dari masyarakat. Contoh Majlis Malam Salawat Ke Atas Rasul. Majlis-majlis salawat  sedemikian dapat dianjurkan oleh masjid secara tidak berkala bertempat di padang berhampiran dengan masjid. Pertandingan Bersalawat dan Nasyid boleh dianjurkan di kalangan golongan muda pada peringkat daerah dan juga negeri. Lagu-lagu keislaman juga menarik minat masyarakat seperti dihasilkan pada peringkat antarabangsa oleh Maher Zain dan pada peringkat nasional seperti oleh Hamidon. Pertandingan lagu dan menggubah lagu keislaman wajar dianjurkan bagi mencungkil bakat dan melahirkan pelagu-pelagu bertemakan keislaman.


Penulisan Khat
Satu warisan seni Islam yang tinggi mutunya ialah Penulisan Khat. Antara khat-khat terkenal di dalam seni lkat ialah nasakh, raq`ah, thuluth, Diwani dan banyak lagi. Bagi menghidupkan tulisan jawi dan juga tulisan dalam bahasa Arab, maka Masjid menganjurkan kursus penulisan khat dengan menjemput penulis-penulis khat menjalankan kursus dan bengkel penulisan khat kepada terutama pelajar-pelajar sekolah (wakil) dan mereka yang berminat di dalam penulisan khat. Pada satu peringkat dapat diadakan pertandingan penulisan khat di kalangan murid-murid antara sekolah dan juga bagi kategori terbuka di dalam berbagai jenis penulisan khat. Hasil dari pertandingan dan pengumpulan pihak masjid dapat mengadakan `Pameran Khat` di galeri, mana-mana bahagian di masjid sebagai tempat yang sesuai. Jualan hasil penulisan khat juga diadakan.
Penulisan Kreatif dan Esei Bertemakan Keislaman
Bangi sebagai Bandar Ilmu dan ramai intelektual dan pelajar-pelajar adalah dipercayai mempunyai ramai mereka yang berbakat di dalam bidang penulisan esei dan kreatif. Bagi menarik golongan muda ke masjid, antara kegiatan yang boleh dianjurkan ialah peraduan menulis – mungkin pada peringkat daerah, negeri atau kebangsaan.  Kerjasama mungkin dapat dilakukan dengan pihak sekolah-sekolah dan jabatan-jabatan berkenaan. Sebagai galakan dan insentif kepada pemenang-pemenang, mereka bukan sahaja diberi hadiah yang berpatutan, tetapi hasil-hasil yang menang dan bermutu diterbitkan oleh pihak masjid sebagai sebahagian penerbitan yang diterbitkan oleh masjid (di samping penerbitan Ilmiah dalam bidang keislaman).
Rekacipta Dan Gubahan
Bagi menggalak dan memperkembangkan daya kreativiti terutama golongan muda wajar diadakan  peraduan-peraduan  yang dapat menyerlahkan bakat-bakat yang ada pada mereka dengan mengadakan pertandingan secara tidak berkala misalnya:
Pertandingan foto yang mencerminkan keagungan Ilahi. Ini boleh dilibatkan oleh berbagai pihak, lantaran merakam gambar, terutama melalui handphone adalah menjadi kebiasaan bagi pemilik-pemilik handphone. Pertandingan memberi peluang kepada yang berminat mengambil gambar menunjukkan kemahiran mereka. Gambar-gambar terpilih akan dipamerkan digaleri pertandingan di masjid.


Rekacipta yang melibatkan kalangan wanita dan ibu-ibu juga ialah dari segi mencipta feseyen bagi pakaian anak-anak yang pakaian yang dipertanding digaya oleh anak-anak secara pertandingan. Pertandingan juga dapat dikendalikan oleh kalangan wanita dan muslimat dari segi gubahan bunga, jahitan, pertandingan masakan dan sebagainya.
Semua kegiatan yang dianjurkan bagi membuktikan bahawa masjid tidak saja bagi tempat ibadat – solat yang biasanya dihadiri oleh golongan orang tua. Masjid harus melibatkan semua golongan dan berbagai-bagai kegiatan perlu diadakan yang melibatkan semua golongan. Kegiatan-kegiatan hendaklah tidak bercanggah dengan syariat dan akhlak.
Kita mau melihat bahawa Masjid Al-Umm adalah milik semua dan kegiatan adalah melibat semua. Masjid adalah tempat ibadat, namun masjid juga adalah tempat pengajian berbagai-bagai keilmuan Islam. Masjid juga menjadi tempat kegiatan kemasyarakatan. Di masjid ada kenduri perkahwinan, ada kegiatan yang bersifat seni keislaman dan masjid juga menganjurkan kegiatan rekreasi dan sukan.
Sesungguhnya masjid adalah institusi ibadat, pendidikan dan kegiatan kemasyarakatan.

Sekian.

July 15, 2015

Sejarah: Memahami Kebenaran Peristiwa - Meyakinkan


BBB,  27 Ramadhan 1436 =  14 Julai 2015 (Selasa):
Sejarah tidaklah sepenting berbanding dengan pengajian Al-Qur`an, aqidah dan fiqh bagi pengajian Islam. Sememangnya ianya tidak diberi keutamaan dari segi hiraki keilmuan yang dipelajari di masjid dan surau. Pelajaran ini jika diajar di masjid surau, ianya dikenali sebagai `Sirah`, iaitu sejarah khusus tentang sejarah Islam berhubung dengan sejarah kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. Walaupun sejarah tidak penting berbanding dengan mata-mata pelajaran utama di dalam Islam, tetapi wajar dijadikan sebahagian dari mata pelajaran yang diajar di dalam pengajian di Masjid Al-Umm. Dengan sejarah dapat membantu pengaji-pengaji dapat memahami apa yang dipelajari di dalam Islam dalam perspektif dan skop yang lebih luas dan mendalam dalam mendapat kebenaran.


Sejarah tidak diabaikan di dalam Islam. Contoh ayat Al-Qur`an menyebut yang dari segi maksud ialah,
``Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia (supaya menjadi pengajaran).  (Aali Imran: 140).
Dan banyak pula ayat-ayat  mengenai peristiwa sejarah untuk maklumat dan pengajaran. Contoh ayat bermaksud:
``Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhan) ialah Baitullah yang di Makkah yang barakah dan (dijadikan) pertunjuk hidayah bagi umat manusia. (Aali Imran: 96).
Namun begitu sejarah adalah luas, seluas wujud ruang dan masa dan sejarah terus mencatat bersama perjalanan masa di permukaan wujud yang ada. Sebab itu sejarah dikategorikan untuk dipelajari seperti Sejarah Dunia (secara luas), Sejarah Negara-negara (Sejarah Malaysia), Sejarah Peperangan Dunia Pertama, Sejarah Kemerdekaan Negara dan sebagainya. Namun bagi merangkumi semua seharusnya dipelajari konsep dan falsafah sejarah.
Bagi kita umat Islam, selain dari mempelajari sejarah secara luas, kita sendiri mempunyai Sejarah Umat Islam bagi kita memahami sejarah tamadun dan peradaban umat. Ianya tidak lain bagi kepentingn kita memahami sejarah Islam dalam peta sejarah tamadun dan peradaban keseluruhan. Sejarah Islam sendiri dikategorikan bagi kemudahan pengajian seperti Sejarah Kerasulan dan Kenabian, Zaman Jahiliyyah, Sirah Nabi Muhammad s.a.w., Zaman Khalifah Al-Rashidin, Zaman Umawiyyah, Abbasiyyah, Zaman Turki, Islam di Alam Melayu dan sebagainya.
Dengan pengajian sejarah katakan tentang Sirah Nabawiyyah Rasulullah s.a.w. dapat difahami sejarah Nabi  sebelum dibangkit dan bagaimana perjuangan Baginda mendakwah selepas dibangkit semasa di Makkah, Hijrah ke Madinah dan penegakan negara Islam pertama di Madinah dan perluasan negara Islam dan perkembangan Islam. Dengan mempelajari sirah kita tidak menanggapi sesuatu peristiwa secara kosong dari masa dan tempat. Misalnya dengan memahami sejarah dapat difahami latar pengibadatan Rasulullah di Gua Hira` yang membawa kepada Baginda menerima wahyu pertama (Iqra`). Dengan memahami sejarah dapat difahami dakwah Rasulullah tidak semudah diterima kaum Quraisy dan setelah 13 tahun berdakwah di Makkah, tidak seramai mana mereka yang menerima Islam sehingga Rasulullah terpaksa merangka beberapa strategi seperti berpindah ke Habasyah dan akhirnya berhijrah ke Madinah, membuka negara Islam pertama di Madinah. Pun di Madinah tidak sunyi dari menghadapi konfrontsi dan peperangan sebelum negara Mdinah berdiri dengan mantap dan Rasulullah s.a.w. meluaskan dakwah Islam hingga ke luar dari Madinah.


Mempelajari Sirah Rasulullah memperluaskan horizon kefahaman tentang Islam dan mengukuhkan keyakinan. Bahkan antara rukun Islam yang lima adalah mempunyai elemen sejarah. Misalnya dengan Rukun Islam kelima iaitu, menunaikan Haji ke Baitillah al-Haram,  memberi kefahaman kepada pengunjung selain dari menunaikan rukun kewajipan, akan latar tempat dan sejarah tempat dakwah Rasulullah s.a.w. juga dapat difahami sejarah dan tempat pertama kali Nabi Allah Ibrahim menempatkan keluarganya – Saydatina Hajar dan Ismail bermukim di Makkah dan dapat melihat dengan mata kepala tentang binaan Ka`abah yang didirikan oleh Nabi Allah Ibrahim bersama anaknya Ismail yang kesannya terakam pada Maqam Ibrahim dan Hijir Ismail. Juga dapat disaksi safa dan marwah serta telaga dan air zamzam yang mempunyai elemen sejarah yang berkait dengan Saydatina Hajar dan anaknya Ismail. Juga dapat dihayati betapa berkat dan luhurnya doa Nabi Allah Ibrahim yang memohon dari Allah agar Ka`abah menjadi tempat kunjungan yang dihadiri umat secara berterusan. Begitu juga dengan doa Nabi Allah Ibrahim agar Makkah menjadi kota yang makmur yang rezeki berlempah ruah dari segi makanan dan buah-buah. Doa tersebut dikabul Allah dan Makkah menjadi tempat makmur serta aman dan dikunjungi secara berterusan.
Demikian bila seorang sama ada bagi menunaikan haji atau umrah bila berziarah ke Madinah dapat menyaksi sendiri kesan-kesan sejarah yang berhubung dengan Rasulullah seperti Masjid Quba`, Masjid Qiblatayn, Masjid Nabawi sendiri yang menjadi pusat ibadat dan pentadbiran serta kegiatan kemnasyarakatan. Serta dapat melihat kesan-kesan sejarah seperti peperangan Badar, Uhud dan sebagainya. Dalam erti kata yang lain pemergian ke Makkah bagi menunaikan haji dan umrah membuka peluang mendapat maklumat dan kefahaman tentang peristiwa-peristiwa yang berhubung dengan dakwah, perjuangan Rasulullah dalam menegakkan Islam dan Negara Islam pertama di Madinah.


Di dalam konteks ini dilihat bahawa pelajaran sejarah atau lebih khusus adalah sirah dapat memberi kefahaman terhadap seorang Islam tentang latar perjuangan menegakkan Islam. Kepentingan sejarah bukan setakat sejarah yang berlaku berhubung dengan sejarah semata-mata. Dengan elemen sejarah dapat membantu kefahaman tentang keilmuan-keilmuan Islam. Misalnya dengan sejarah dapat difahami sebab-sebab nuzul satu-satu ayat Qur`an dan juga memahami peristiwa yang berkait dengan sejarah di dalam ayat-ayat Al-Qur`an yang berhubung dengan sejarah. Sejarah juga dapat membantu kefahaman memahami Hadith-Hadith Nabi yang berkait dengan berbagai-bagi peristiwa yang melahirkan sesebuah Hadith. Selain daripada itu sejarah membantu pengajinya memahami sejarah-sejarah yangf lain yang berhubung dengan umat Islam. Dengan sejarah bukan saja membantu dari segi kefahaman, tetapi menanamkan rasa kasih sayang, pengagungan terhadapo kerajaan Islam dan membangkitkan semangat bagi  memperjuang dan mempertahankan Islam.
Sejarah tidak pernah berdusta. Sejarah memperjelaskan hakikat peristiwa pada paksi kebenaran dan memberi keyakinan bagi yang mendepani dan menghayati kebenaran berkenaan.

Sekian.