June 1, 2017

AL-QANA`AH SIFAT KAYA JIWA, MESRA BERSAMA


BBB,  05 Ramadhan 1438H. = 31 Mei 201`7M. (Rabu):
AL-Qana`ah tidak dibicarakan sebagai satu judul baik di dalam Al-Luma` oleh Al-Sarraj atau di dalam Al-Ta`arruf oleh Al-Kalabadzi. Ianya adalah hal dan manifestasi  kaya jiwa yang bersifat qana`ah yang  mencukupi dan memada. Ia berpendekatan seperti tawadhu`  dan redha` dan bercanggah dengan sifat tamak. Al-qana`ah mencerminkan kerelaan serta kesyukuran dengan apa yang dikurniakan Tuhan. Sifat qana`ah walaupun mencerminkan  dalaman, tetapi ia termanifestari kepada luaran. Misalnya gaya hidup yang sederhana dan tidak menunjuk-nunjuk. Dia mungkin seorang yang berada, tetapi keberadaannya tidak membezakannya dari orang lain.
Al-Qushairy membicarakan sifat qana`ah dengan memetik firman Allah yang bermaksud:
``Siapa yang beramal salih daripada lelaki atau perempuan sedang dia seorang mu`min, maka Kami menghidupkannya di dalam kehidupan yang baik.`` (Al-Nahl: 97).
Menurut Al-Qushairy, kebanyakan ahli tafsir berpendapat bahawa `kehidupan yang baik di dunia` ialah al-qana`ah. Jika kebalikan nafsu tak pernah merasa kecukupan dan tiada kepuasan. Maka tiada ketenteraman.
Al-Qushairy mengukuhkan pendapat tentang qana`ah dengan Hadith Rasulullah s.a.w.
Mengkhabarkan kami Al-Shaykh Abu `Abdil Rahman al-Sulami berkata, bercakap kepada kami Abu `Amrin Muhammad bin Ja`far bin Mat*ar berkata, bercakap kepada kami Muhammad bin Musa al-Khalawati berkata, bercakap kepada kami `Abdullah bin Ibrahim al-Ghifari daripada al-Munkadir bin Muhammad daripada bapanya daripada Jabir bin `Abdullah berkata, bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Qana`ah ialah perbendaharaan yang tidak binasa.``
Dan sebuah lagi Hadith Rasulullah s.a.w. , mengkhabarkan kami oleh Abu al-Hasan al-Ahwazi berkata, bercakap kepada kami oleh Ahmad bin `Ubaid al-Bas*ri  berkata, bercakap kepada kami `Abdullah bin Ayyub al-Qarli berkata, bercakap kepada kami Abu al-Rabi` al-Zahrani berkata, bercakap kepada kami Ismail bin Zakariyya daripada Abi Raja`dari Bard bin Sinan dari Makhul  dari  Wa`ilah bin al-Asqa` daripada Abi Hurairah r.a. berkata:
Bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Jadilah engkau orang yang wara` engkau dihormati manusia, dan jadilah orang yang qana`ah  engkau disyukuri oleh manusia, sebaik-baik manusia apa  yang engkau suka bagi diri engkau. Hendaklah engkau menjadi orang mu`min dan buat baiklah dengan jiran-jiran engkau yang berjiran dengan engkau, jadilah seorang muslim dan kurangkan ketawa, kerana dengan banyak ketawa mematikan hati.`` (Dikeluarkan oleh al-Baihaqi daripada Abi Hurairah).
Dikatakan, Orang-orang fuqara` adalah mati melainkan yang mengihya`kan Allah Ta`ala dengan kemuliaan qana`ah.
Berkata Bish al-H*afi ialah jalan yang tidak berlaku melainkan pada hati orang mu`min.
Aku mendengar Muhammad bin al-Husain berkata, aku mendengar `Abdullah bin Muhammad al-Sha`rani berkata, aku mendengar  Ishaq bin Ibrahim bin Abi Hassan al-Anmat*i  berkata, aku mendengar bin Abi al-Hawari berkata, aku mendengar Aba Sulaiman al-Darani berkata,
``Al-Qana`ah ialah orang yang redha dengan kedudukan wara` daripada zuhd, ini ialah seawal redha dan ini juga seawal zuhud..
Dan dikatakan, Al-Qana`ah ialah tenang tatkala tiada yang mendekati.
Dan berkata Abu Bakar al-Maraghi, berkata, ``Orang yang berakal ialah yang bertadabbur perkara dunia dengan berqana`ah dan tidak tergopoh-gapah dan dengan perkara akhirah dengan loba dan segera, dengan perkara agama dengan ilmu dan ijtihad.``
Dan berkata Abu `Abdillah bin Khafif berkata, ``Tinggalkan peninjauan terhadap perkara yang luput dan merasa kaya dengan apa yang ada.
Dan dikatakan maksud firman Allah bermaksud;  Dan Allah merezekikan mereka dengan rezeki yang elok (Al-Hajj: 88) bermaksud ialah qana`ah.
Dan berkata Muhammad bin `Ali al-Tirmidzi, ``Al-Qana`ah ialah redha  diri dengan  apa yang dibahagi kepadanya daripada rezeki.``
Dan dikatakan juga, ``Al-Qana`ah ialah memada dengan apa yang ada dan menghilangkan tamak pada barang yang tidak terhasil.``
Berkata Dzu al-Nun al-Mis*ri, ``Siapa berqana`ah dia rehat dari gangguan ahli zaman. Dia kekal dengan  kawan-kawannya.
Dan dikatakan, ``Siapa yang menjual loba dengan qana`ah dia mulia dan bermarwah.``
Dikatakan qana`ah ialah  yang tidak kisah dengan apa yang ada ditangan manusia. Tak kira berapa, maka dipuisikan:
Sebaik pemuda  walau  tiada apa
Dia tetap bersifat kaya dan mulia.``
Dapatlah dikatakan qana`ah sifat mulia yang seharusnya tertanam dalam jiwa. Dengannya dapat mengimbangi diri dan jiwa dari bersifat tamak haloba, sebaliknya tersemai dalam diri sifat mulia seperti tidak lokek dengan kelebihan kurnia bagi dinikmati orang lain. Dia tidak membazir dan menggunakan apa yang dikurnia secukup ada dan redha. Dengan demikian yang ada senang dengan kurnia dan merasa bahagia dan mengkurnia kepada yang memerlukan. Dengan demikian lebih bererti makna bahagia yang dikecapi bersama.
Qana`ah redha dengan penerimaan dan tidak lokek dengan pemberian. Berbahagia lebih bermakna bila dinikmati bersama.``

Sekian.

May 31, 2017

MENGUMPAT: KEKEJIAN MENGALIR MELALUI LISAN


BBB, 04 Sha`ban 1438H. =  30 Mei 2017M. (Selasa):
Sebagaimana telah dibicarakan nelalui pendekatan hati yang keji atau rosak atau diistilahkan juga oleh Al-Qur`an sebagai `Shajarah Khabithah`  -`Pokok Ya ng Keji` (Ibrahim: 26) yang akarnya tercabut dari bumi, maka demikianlah orang yang rosak hatinya, maka kerosakkannya pula keluar dari berbagai bahagian diri. Salah satu medium yang turut sama menyalurkan kekejian dalaman hati orang yang rosak ini ialah mulut. Kekejian keluar melalui percakapan atau kalam.
Bagi jiwa yang baik dia tidak bercakap kecuali diperlukan dan bercakap perkara yang baik dan jika tidak perlu lebih baik berdiam diri. Adapun jiwa yang rosak, maka salah satu bagi mengeluarkan kebusukan dan kekejian dalaman ialah melalu lisan. Antara konsep  `ammarah bi al-su`  ini ialah melalui apa yang diistilahkan ialah `Al-Ghibah`, iaitu mengumpat.
Mengumpat ialah mengatakan sesuatu tentang seseorang tanpa berdepan dengannya mengenai perkara  yang tidak disukainya.
Timbulnya mengumpat ada pertalian dengan rasa hasad dengki terhadap orang yang diumpat agar maruahnya jatuh dan boleh merosakkannya. Perkara yang asalnya bersifat dalaman, keluar melalui lisan dan percakapan. Perkara yang diperkatakan mungkin benar dan sepatutnya dirahsiakan bagi menjaga maruah orang berkenaan, tetapi ianya diambil peluang oleh yang hasad itu mengumpat dengan maklumat yang diketahui bagi menjatuhkan kedudukan orang yang diumpat.
Jika apa yang diperkatakan oleh orang yang mengumpat tidak benar, maka orang yang bercakap tentang orang yang diumpat itu sudah bersifat dusta dan dia menerima dua dosa besar. Dosa mengumpat dan dosa berdusta.
Mengumpat juga membawa kepada persengkitaan, bukan saja antara yang mengumpat dan yang kena umpat, tetapi lebih daripada itu, ianya boleh membesar kepada fitnah dan perbalahan antara pendukung kedua-dua belah pihak. Jika tercetusnya perkelahian dan penggunaan senjata ianya boleh membawa kepada pembunuhan dan sebagainya yang perkara ini boleh dibawa kepada pihak pengadilan.
Al-Qur`an menyifatkan perbuatan mengumpat sebagaimana diangkat oleh Al-Qushairy  ayat berikut bermaksud:
``Dan janganlah mengumpat setengah  kamu akan setengah yang lain. Adakah suka salah seorang daripada kamu  memakan daging saudaranya yang mati, maka tentulah kamu tidak menyukainya. Dan takutlah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah Amat Memenerima Taubat lagi  Amat Mengasihani.`` (Al-Hujurat:  12).
Demikianlah begitu jijiknya perbuatan mengumpat sehingga Allah membandingkan jijiknya perbuatan mengumpat sebagai memakan daging saudara yang telah mati !.
Mengkhabarkan kami  Abu Sa`id Muhammad bin Ibrahim al-Isma`ili berkata, mengkhabarkan kami Abu Bakar Muhammad bin al-Husain bin al-Hasan bin al-Khalil, berkata, bercakap kepada kami `Ali bin al-Hasan berkata, bercakap kepada kami Ishaq bin `Isa Ibn Binti Da`wud bin Abi Hind berkata, bercakap kepada kami Muhammad Ibn Abi Hamid daripada Musa bin Wardan daripada Abi Hurairah,
``Bahawa seorang lelaki berdiri sedang dia bersama Rasulullah s.a.w. sebelum daripada itu dia duduk, maka kata setengah mereka (kaum), ``Alangkah lemah sianu itu !``. Maka bersabda Rasulullah s.a.w. ``Dengan kamu mengumpatnya, kamu memakan daging saudara kamu.``
Allah Ta`ala telah mewahyukan kepada Nubi Musa a.s.
``Siapa yang mati dan bertaubat daripada mengumpat, maka dialah yang terakhir masuk syurga. Dan siapa yang mati, sedangkan dia sebelumnya adalah berterusan mengumpat, maka dia adalah yang awal masuk neraka.``
Demikianlah besarnya dosa orang yang mengumpat, lantaran mengumpat boleh merosakkan  reputi seorang di mata masyarakat, apa lagi jika umpat dimaksudkan tidak benar.
Konsep umpat, memang asalnya adalah turunnys sifat kekejian umpat ini melalui lisan dan percakapan yang mengandungi umpatan.
Walau bagaimana umpatan juga berlaku melalui tanpa suara. Ianya boleh melalui tulisan sama ada bersifat surat atau melalui akhbat yang kesannya lebih luas penyebarannya.
Dalam zaman komunikasi canggah sekarang. Mengumpat yang bersifat fitnah dan dusta dapat disebarluaskan melalui media letronaik seperti radio dan tv dan kini alat komunikasi lebihj canggih dengan menggunakan berbagai kaedah seperti wasup dan kaedah-kaedah yang seumpamanya dapat disebarkan secara segera dan pantas serta meluas. Mengumpat sama ada secara pendekatan tradisi atau pendekatan canggih seperti sekarang, maka perbuatan mengumpat tetap salah dan hukuman terhadap yang bersalah dapat diambil, terutama oleh pihak yang berkuasa untuk mengelak dari tersebarnya fitnah dan berita palsu. Mengumpat tetap salah baik secara tradisi atau pendekatan moden kini.
Cuma perlu diingat sebagaimana diperingat oleh Al-Qur`an dan Hadith Nabi atau berbagai cara kaedah komunikasi moden, bahawa sebelum mengambil tindakan untuk mengumpat apa lagi  fitnah, maka hendaklah dinilai dan difikir terlebih dahulu apa yang dijadikan bahan itu benar atau palsu, menjadi sensitif kepada orang atau menjatuhkan maruah seseorang atau tidak, supaya pihak bercakap dinilai  sama ada termasuk di bawah mengumpat atau tidak.
Sebarang kesalahan yang dibuat mungkin diambil  tindakan oleh yang kena fitnah. Jika perkata yang berhubung dengan mengumpat melibat orang ramai dan melibatkan kerajaan, maka sudah tentulah tindakan akan diambil oleh pihak pemerintah agar perbuatan mengumpat tidak berleluasa dan ketenteraman dapat dikawal.
Balasan mengumpat diambil tindakan di dunia dan lebih-lebih lagi  tindakan dikenakan di akhirat.
Jauhi dari mengumpat agar kehidupan selamat.

Sekian.

May 30, 2017

HASAD-DENGKI KEKEJIAN NAFSU UTAMA


BBB, 03 Ramadhan 1438H. = 29 Meiu 201`7M. (Isnin):
Di dalam pembicaraan Al-Qushairy berhubung dengan `Penentangan Terhadap Nafsu Dan Mengenali keaiban-keaibannya,`` Kelihatan Al-Qushairi belum dapat membuat rumusan berhubung dengan sumber sifat-sifat nafsu. Sebaliknya terus disusuan dan dibicarakan satu persatu berhubung dengan sifat nafsu ini, Di sini ditampilkan sifat nafsu yang utama, iaitu hasad.
Walau bagaimana, selepas pendekatan tasawuf yang dikenali dengan maqam dan hal, maka Al-Qushayri adalah dengan secara peka membicarakan tentang jenis-jenis sifat nafsu. Ini membuka jalan kepada pendekatan yang mengkategorikan sifat-sifat nafsu jahat kepada muhlikat dan yang baik kepada munjiyat sebagai dibuat pebdekatan oleh Al-Ghazali kelak, yang dikenali sebagai pendekatan akhlak. Lebih dari itu dikenali bahawa bagi diri manusia ada diri fizikal dan ada diri maknawi (batini). Sebagaimana diketahui diri fizikal manusia  jika tidak dijaga, maka ianya  boleh  menagalami penyakit yang merosakkan fizikal, bahkan boleh membawa kepada kematian. Demikian dengan diri maknawi, yang diistilahkan sebagai `Hati` - bukan bermaksud sekeping hati fizikal di dalam dada, tetapi konsepsi hati, sebagai induk bagi diri maknawi.
Hati maknawi ini mungkin berada di dalam keadaan sihat, apabila ianya dididik dengan didikan yang baik, tetapi sebagaimana diri fizikal boleh mengalami penyakit, kerana terabai dari pendidikan dan jagaan, maka demikianlah dengan diri maknawi boleh mengalami penyakit jika ianya diabai dan tidak diberi perhatian. Hasad dengki adalah penyakit hati yang boleh berlaku pada diri seseorang.
Tentang hasad dan dengki sebagai kekejian nafsu Al-Qushairi mengambil hujah dari ayat Al-Qur`an, iaitu Surah Al-Falaq sepenuhnya yang bermaksud:
``Katakanlah (ya Muhammad) aku berlindung kepada (Allah) Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk.
Dari bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan.
Dan dari bahaya gelap apabila ia masuk
Dan dari kejahatan makhluk-makhluk apabila ia menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan)
Dan kejahatan orang-orang yang hasad dengki, apabila ia melakukan kedengkian.``
Sifat hasad dengki timbul dari jiwa yang tidak merasa senang dengan kenikmatan atau kurniaan yang diteriam oleh seseorang. Kalau dapat dia mau memiliki nikmat yang dimiliki orang dihasad dan sekaligus maukan nikmat itu hilang dari yang mendapat kurniaan.
Rasa tidak puashati – hasad dengki, tidak terhenti setakat itu. Hasad dengki menjadi gangguan mental dan emosi yang dengki yang menyebabkan dia tidak tenteram serta gelisah. Pada peringkat tertentu dengan desakan nafsu jahat ini, pihak yang hasad dengki sanggup melalukan tindaklan di luar dari kewajaran seperti memusnahkan harta benda atau keluarga yang dihasad bahkan sanggup menggunakan orang upahan bagi memusnahkan orang dihasad dengki. Demikian akibat dari hasad dengki, tidak saja merosakkan hati orang yang dengki dan merosakkan segala yang berkaitan dengan orang yang didengki.
Contoh Hadith Rasulullah s.a.w. di bawa oleh Al-Qushairy:
Mengkhabarkan kami oleh Abu al-Hasan al-Ahwazi, berkata mengkhabarkan kami oleh Ahmad bin `Ubaid al-Bas*ri, berkata, bercakap kepada kami Ismai`il bin al-Fadl, berkata bercakap kepada kami Yahya bin Mukhallad berkata, bercakap kepada kami Mu`afin bin `Amran daripada al-Harth Ibn Shihab daripada Sa`id daripada Abi Qallabah daripada  Ibn Mas`ud berkata, bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
``Tiga perkara yang menjadi asal bagi kesalahan, maka takutlah kamu dan berwaspadalah kamu:
Kamu jaga daripada takabbur, maka sesungguhnya Iblis membawa takabbur supaya tidak sujud kepada Adam.
Dan jaga daripada tamak, kerana Adam membawa tamak daripada makan buah daripada pokok
Dan jaga daripada hasad, kerana anak Adam membunuh salah seorang daripada mereka, lantaran hasad. (Dikeluarkan oleh Ibn `Asakir dari Abi Mas`ud).
Berkata Mu`awiyah, ``Tiap-tiap manusia merelakan apa yang diberikan kepadanya, melainkan orang yang hasad, kerana ia tidak meredhainya, melainkan jika hilang nikmat apa yang didapati oleh orang yang dihasad.``
Kata `Umar bin `Abdil  `Aziz ``Aku tidak melihat orang yang zalim, melainkan orang yang hasad. Dia gelisah dan risau.``
Dikatakan alamat orang hasad bahawa dia tidak tenang melihat yang dihasad dan dia mengumpatnya bila di belakang. Dia suka bila yang dihasad mengalami musibah.``
Pendek kata hasad dengki ialah penyakit dalaman diri (hati) yang dialami oleh yang tidak mendapat didikan agama dan akhlak. Penyakit yang sepatutnya tidak  ditanggung, tetapi menjadi beban baginya, bila dia iri hati dan tidak senang dengan kelebihan seseorang dan tanpa fasal, dia  menanggung penyakit dengki. Dengan demikian dia mengalami beban dan hilang ketenangan dan kebahagiaan. Orang dengki tidak merasa nikmat dan ketenteraman yang diberi Allah kepadanya, namun dia lebih melihat kepada nikmat yang didapati orang lain dan berusaha supaya orang berkenaan hilang nikmat berkenaan.
 Orang bersifat hasad-dengki tidak berjaya di dalam hidup. Dengki sebagaimana dibandingkan oleh Rasulullah s.a.w. menyimpan dendam adalah sebagai api yang memakan sekam di dalam dirinya. Kebaikan yang ada pada dirinya menghilang, bahkan dia terbakar dan binasa dengan sifat hasadnya.

Sekian.

May 29, 2017

MENENTANG NAFSU DAN MENGENALI KEKEJIAN


BBB,  02 Ramadhan 1438H. =  28 Mei 2017M. (Ahad):
`Al-Nafs` dari segi perkataannya bermaksud `Diri`. Bagi konsep diri maka ianya bersifat neutral. Maka ianya bersifat sebagai ruang kenderaan yang boleh  diisi dengan berbagai nilai – Baik dan buruk. Kenderaan `Diri` ini boleh digerakkan kemana arah yang ditentukan oleh tuannya kepada diri – ke arah yang baik dan menyelamatkan atau ke arah yang jahat dan membinasakan.
Sesungguhnya telah dibicarakan tentang kategori nafsu dari yang jahat seperti ammarah, lawwamah, mulhamah dan kepada yang baik seperti mut*mainnah, radhiyah dan mardhiyyah. Jadi nafsu ada yang buruk dan ada yang baik. Kedua-dua kategori ada disebut di dalam Al-Qur`an.
Namun di dalam tanggapan biasa `Nafsu`   adalah sesuatu yang buruk dan keji.
Al-Qushairy, di dalam membicarakan tentang nafsu ini melihat nafsu sebagai perkara keji dan perlu menentangnya di samping mengenali kekejiannya.
Di dalam membicarakan tentang nafsu ini Al-Qushairy bertolak dari ayat Al-Qur`an yang bermaksud:
``Dan adapun orang yang takut kepada maqam Tuhannya dan menegah daripada  keinginan hawa nafsu, maka syurgalah baginya sebagai tempat tinggalnya (Al-Nazi`at: 40 – 41).
Adapun dari Hadith Nabi adalah:
Mengkhabarkan kami `Ali bin Ahmad bin  `Abdan berkata, bercakap kepada kami Ahmad bi `Ubaid berkata, mengkhabarkan kami Tammam berkata, bercakap kepada kami Muhammad bin Mu`awiyah
Al-Naisanury berkata bercakap kepada kami `Ali bin Abi `Ali bin `Utbah bin Abi Lahab daripada Muhammad bin al-Munkadir daripada Jabir bin `Abdullah daripada Nabi s.a.w. Baginda bersabda bermaksud:
``Adalah ditakuti apa yang aku takut keatas umatku mengikut hawa nafsu dan panjang angan-angan.
Adapun mengikut hawa nafsu, maka dia tersekat dari kebenaran. Manakala panjang angan-angan melupakan akhirat.`` (Riwayat Al-Hkim dan Al-Dailamy).
Kemudian kata Al-Qushairy, bahawa menentang nafsu (jahat) adalah kepala ibadah.
Telah ditanya shaykh-shaykh Islam, maka kata mereka itu, ``Disembelih manusia dengan pedang-pedang penentangan.
Ketahuilah siapa yang tidak ada jalan bagi dirinya, maka luputlah cahaya kemesraannya.
Berkata Dhu al-Nun al-Mis*ri, ``Kunci ibadat ialah berfikir dan alamat benar, ialah melawan nafsu dan hawa dan menyalahi kedua-duanya dengan menyalahi  syahwat kedua-duanya.
Berkata Ibn `At*a, ``Nafsu mendorong kepada kekejian adab dan manusia disuruh supaya melazimkan adab dan nafsu bergerak secara tabiat di medan pertentangan dan hamba menolaknya dengan kesungguhan daripada tuntutan kejahatan, siapa yang terdorong kepadanya  maka dia sama dengan kejahatan.``
Aku mendengar Al-Shaykh Abdul Rahman al-Sulami berkata, aku mendengar Al-Shaykh Aba Bakr al-Razi berkata, aku mendengar Aba `Amrin al-Anmat*i berkata, aku mendengar Al-Junayd berkata,
``Al-Nafsu al-ammarah dengan kejahatan dia membawa kepada kebinasaan sebagai seteru yang mengikut hawa nafsu dengan berbagai kekejian.
Berkata Abu Hafs*, ``Siapa yang tidak tertohmah dirinya sepanjang waktu dengan kejahatan, tetapi dia tidak berusaha menentangnya dalam segala hal dan tidak berterusan membenci dalam kehidupan hariannya, maka dia adalah disifatkan sebagai orang yang sombong.dan siapa yang beristihsan dengannya merosakkannya. Bagaimanakah boleh berhimpun antara  akal dan redha.``
Aku mendengarnya  berkata, aku mendengar datukku berkata:
``Kekejian hamba ialah dengan meredhakan diri dengan apa yang ada padanya.``
Jelas dibaca keseluruhan bab ini ``Menentang nafsu dan mengenal keaibannya`, bahawa orientasi dan sudut pandangan yang dilihat oleh Al-Qushairy, bahawa nafsu adalah perkara yang jahat. Dia merujuk kepada ayat Al-Nazi`at (40 – 41) tetapi tidak merujuk kepada sifat-sifat nafsu yang lain seperti ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Aku bersumpah dengan hari kiamat, dan aku bersumpah dengan nafsu al-lawwamah.`` (Al-Qiyamah: 1-2)
Al-Nafsu al-Lawwamah`, yakini jiwa yang senantiasa menegur  dan menempelak dirinya sendiri semasa berbuat baik, lebih-lebih lagi kejahatan
Juga ayat Al-Qur`an yang merujuk kepada nafsu mulhamah – ayat bermaksud:
``Serta mengilhamkan (untuk mengenal) jalan yang membawa kepada kejahatan dan yang membawanya kepada taqwa.`` (Al-Shams: 8).
dan mengenai nafsu yang positif.
 Firman Allah bermaksud:
Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap denga kepercayaan dan bawaan baiknya. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuashati (dengan segala ni`mat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu).
Ini menunjukkan banyak kategori nafsu dan tidak terhad kepada yang jahat semata-mata. Bahkan ianya menjadi tangga bagi peningkatan jiwa dari ammarah menbawalah mutmainnah-radhiah-mardhiah.
Tetapi adalah difahami bahawa Al-Qushairy membicarakan tentang nafsi jahat ini bagi membuka jalan berbagai-bagai pekerti akhlak yang jahat.
Dapat juga dikatakan, bahawa Al-Qushairy  dengan bab ini membuka ruang kepada membicarakan persoalan akhlak yang kelak dikategorikan oleh Al-Ghazali sebagai Al-Muhlikat.

Sekian.

May 28, 2017

TAWADHU` : SIKAP MENYENANGKAN


BBB, 01 Ramadhan 1438H. = 27 Mei 201`7 (Sabtu):
Tajuk `Tawadhu` pada asalnya disekalikan pembicaraan oleh Al-Qushairy. Memandangkan tajuk ini penting dan jika disekalikan  kurang jelas untuk pembezaan. Telah dibicarakan bahawa, khushu` adalah gambaran seorang  yang berada pada  ketenangan, seperti di dalam solat atau di dalam mengikuti pengajaran atau penghayatan terhadap sesuatu yang diberi tumpuan tinggi. Timbul kekhushukan ini oleh adanya persediaan dalaman, bahkan luaran yang membawa orang khushu` itu ke tahap ke khusyukan yang dicapai.
Adapun tawadhu` ialah perlakuan peribadi seseorang yang berjiwa lembut dari orientasi keilmuan dan pembawaan peribadi. Dia biasanya bersifat lembut, amat menghormati orang lain. Tawadhu` dapat dilihat dari cara pergaulan yang dengan penghormatan dan pembawaannya dihormati sebagaimana dia menghormati orang. Tawadhu` adalah tergolong di bawah sifat-sifat terpuji yang menjadi identiti bagi yang bersifat tawadhu`. Perlu diingat tawadhu` adalah di bawah sifat terpuji dan tidak boleh disifatkan kelemahan, kerana jika berlaku demikian, maruah perlu dipertahankan. Contoh tawadhu` sebagaimana digambarkan Rasulullah s.a.w di dalam Hadith yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri bahawa Rasulullah s.a.w. menunggang unta, menolong kerja rumah, menampal kasutnya yang koyak, menjahit bajunya yang carit, memerah susu biri-biri dan makan bersama khadam dan mengisar gandum. Baginda tidak malu membawa barangnya sendiri daripada pasar untuk keluarganya. Baginda bersalam dengan orang kaya dan orang faqir dan Baginda memberi salam awal kepada yang ditemui dengan wajah manis.``
Baginda juga digambarkan:
``Menziarahi orang sakit, mengiringi janazah, menunggang himar dan menunaikan permintaan seseorang`, yang perbuatan ini adalah tidak menjatuhkan maratabat Baginda dan  tidak  menandakan sifat tawadhu` Baginda.``
Mencatat oleh Al-Qushairy, bahawa:
``Tawadhu` ialah penerimaan yang benar, dan tidak mencanggahi hukum.``
Cerita berhubung dengan tawadhu` dikaitakan dengan Sayiduna `Umar al-Khattab, walaupun sebagai seorang khalifah, dia berbaring di bawah pokok tamar  dengan kesan-kesan tikar melekat pada tubuhnya.
Cerita juga dikaitkan dengannya, bahawa pada malam hari dia keluar bagi mengetahui keadaan rakyatnya. Dikatakan dari jauh dia milihat api dari sebuah khemah. Apabila didekati dilihat seorang ibu sedang memasak batu, bagi melalaikan anaknya yang sedang lapar itu. Melihat keadaan, menimbulkan keinsafan kepada `Umar dan dia sendiri telah pergi ke gudang baitul  mal dan membawa ganduam kepada ibu dan anaknya, bahkan tolong memasaknya.
Antara sifat tawadhu`,  bahawa Khalifah `Umar al-Khattab memberi elaun bulanan kepada isterinya untuk  perbelanjaan harian, tetapi apabila diketahui bahawa elaun yang diberinya itu berlebihan dari keperluan, maka elaun tersebut dipotong kepada jumlah secukup yang diperlukan.
Sifat tawadhu` juga dikaitkan dengan Khalifah `Umar Ibn al-`Aziz, bahawa beliau tidak menggunakan harta kerajaan untuk urusan peribadi. Dikatakan pelita dinyalakan  untuk urusan kerajaan, tetapi beliau memadamkannya dan menggunakan pelita sendiri bagi urusan peribadi dan persendirian.
Berkata Al-Fudhail bin `Iyadh, ``Siapa yang melihat dirinya berharga, maka tidaklah digolong dari kalangan orang tawadhu`.
Aku mendengar kata Muhammad bin al-Husain berkata, aku mendengar Ahmad bin `Ali bin Ja`far berkata, aku mendengar Ibrahim bin Fatik berkata ditanya Al-Junayd tentang tawadhu`, maka katanya ialah merendahkan sayap diri dan menolong mereka yang memerlukan.``
Aku mendengar Shaykh Aba `Abdil Rahman al-Sulami berkata, aku mendengar Aba Bakr Muhammad bin `Abdullah berkata, aku mendengar Ibrahim bin Shaiban berkata,
``Mengenal tentang al-tawadhu` ialah kemuliaan dari segi tawadhu` yang berkait dengan taqwa dan bersifat qana`ah.``
``Aku mendengar, katanya, aku mendngar Hasan al-Sawi berkata aku mendengar Ibn al-A`rabi, berkata kepada seorang pemuda:.
`Semulia makhluk lima jenis: `Alim yang zahid, faqih sufi, orang kaya yang tawadhu`, faqir yang bersyukur dan orang mulia yang tidak menunjukkan kemuliaannya.``
Dan berkata Yahya bin Mu`adz, Tawadhu` ialah elok kepada semua orang.
Berkata Ibn `At*a`: Tawadhu` ialah menerima kebenaran dari mana jua.``
Tawadhu` dapat dikatakan bahawa seorang yang merendhkan diri dari kedudukan sepatut yang dengan kedudukan ini bukan bererti menghina diri. Sebaliknya dengan sifat tawadhu`seorang itu lebih tinggi di pandang, ibarat kata pepatah,
``Harimau yang menyusur akan tidak menghilankan bisanya.``
Tawadhu` adalah antara sifat akhlak yang dipuji. Dia adalah kontras dari sifat takabbur dan riya` yang seorang itu mengankat diri di kalangan orang ramai dengan memuji diri, yang mungkin apa yan dipuji tidak  benar seperti yang mau digambarkan.
Tawadhu` adalah hasil dari didikan akhlak yang tinggi. Sikap tawadhu` dihormati oleh semua pihak.

Sekian.

May 27, 2017

KHUSYU` - BUKAN DIBUAT-BUAT. HASIL DIDIKAN PANJANG


BBB,  29 Sha`ban 1438H. =  26 Mei  2017H. (Juma`at):
Al-Qushairy memasukkan pembicaraan `Khusyu` sebagai  pembicaraan yang khusus,  ini tidak diberi kedudukan  utama (sebagai bab atau fasal) sama ada oleh  Al-Sarraj di dalam Al-Luma`, maupun oleh Al-Kalabadzi di dalam Al-Ta`arruf.
Khusyu` adalah merujuk kepada hal diri seseorang atau lebih merujuk  khusyu` kepada hati seseorang yang bersifat tenang, penuh tumpuan, seolah tidak diganggu oleh keadaan keliling. Khusu` adalah gambaran yang dikaitkan dengan diri dalam ibadat atau mendengar pengajaran atau penghayatan terhadap sesuatu. Berhubung dengan khusyu` ini Al-Qushairy membawa ayat Al-Qur`an yang bermaksud:
``Sesungguhnya berjayalah orang-orang mukminun yang mereka di dalam solat mereka di dalam keadaan khusyu`  (Al-Muminun: 1 -2).
Pada ayat yang lain Allah berfirman bermaksud:
``Dan minta pertolongan kepada Allah dengan jalan sabar dan mengerjaklan solat. Dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyu`. (Al-Baqarah: 45). Juga ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyu` hati merela mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran Al-Qur`an yang diturunkan  (kepada mereka).`` (Al-Hadid: 16).
Dari ketiga-tiga ayat Al-Qur`an di atas khusyu` adalah merujuk kepada suasana hati, khususnya di dalam menjalankankan ibadat, khususnya solat, bagi ayat pertama dan kedua. Manakala yang ketiga khusyu` merujuk kepada seperti mendengar pengajaran, bahkan mendengar Al-Qur`an, khususnya mengambil tadabbur dari kandungannya.
Al-Qushairy juga mengambil Hadith Rasulullah s.a.w. sebagai hujah  bagi khusyu`;
Mengkhabarkan kami Abu al-Hasan `Abdul Rahman bin Ibrahim bin Muhammad bin Yahya al-Muzakki berkata, mengkhabarkan kami Abu al-Fadhl Sufyan bin Muhammad al-Jauhari berkata, bercakap kepada kami `Ali bin al-Hasan berkata, bercakap kepada kami Yahya bin Hammad berkata, bercakap kepada kami Shu`bah daripada Abban bin Tha`lab daripada Fudhail al-Qafji daripada Ibrahim al-Nakha`i daripada `Alqamah bin Qays daripada `Abdullah bin Mas`ud daripada Nabi s.a.w. bahawasanya Baginda bersabda bermaksud:
``Tidak masuk syurga siapa yang di dalam hatinya seberat zarrah daripada takabbur dan tidak masuk neraka siapa yang di dalam hatinya seberat zarrah daripada iman.``
Berkata seorang lelaki, ``Wahai Rasulallah, kalau seorang lelaki yang suka bajunya kelihatan elok ? Maka bersabda Baginda, ``Bahawasanya Allah Ta`ala itu indah dan Dia suka kepada keindahan.``
Maksud khusyu` sebagaimana yang dikemukakan oleh al-Qushairy: Disoal setengah mereka itu tentang khusyu, maka katanya:
``Khusyu` ialah mendirikan hati berdepan dengan Yang Haqq. Subhanahu wa Ta`ala dengan mereka itu secara majmu`.``
Berkata Sahl bin `Abdullah, ``Siapa yang khusyu` hatinya, maka dia tidak dihampiri oleh syaitan.``
Dan dikatakan alamat khusyu` bagi hamba ialah apabila dia dimarahi, atau dianggap bertentang atau ditolak (pendapatnya) maka dia sedia menerima –untuk diperbaiki.
Dikatakan khusyu` hati ialah mengawal mata dari segi penglihatan.``
Dan berkata Muhammad bin `Ali al-Tirmidzi, ``Orang yang khusyu` `` ialah orang yang memadamkan api syahwatnya dengan dada tenang dan bersifat  menghormati orang di dalam hati  dan mati syahwat, tetapi hidup kalbunya. Dan khusyu`lah anggotanya.
Berkata Hasan Basri, `Khusyu` ialah takut yang berterusan yang melazimkan hati.``
Dan disoal Al-Junayd tentang khusyu`, maka katanya, ``Merendahkan (menghinakan) hati dihadapan  Yang Maha Mengetahui tentang keghaiban.`` Sebagaimana firma Allah bermaksud:
``Dan hamba Al-Rahman yang berjalan di muka bumi di dalam keadaan merendah  hati.`` (Al-Furqan: 63).
Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. melihat seorang lelaki mengelus-ngelus janggutnya dalam solat. Maka bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: ``Kalaulah khusyu` hatinya ini, nescaya,  khusyu` anggotanya.``
Dan dikatakan syarat khusyu`  di dalam solat, bahawa dia tidak mengenal siapa di sebelah kanannya dan siapa di sebelah kirinya.``
Dikatakan, khusyu` ialah cair hati dan gerun nerhadapan dengan Tuhan Yang Hakiki.
Dikatakan,  ``Khusyu` adalah muqaddimah bagi mengalahkan  kehaibatan.``
Pada dasarnya, biarpun khusyu` dilihat sebagai manifestasi seorang dalam perlakuan, khususnya ibadat dan perkara-perkara yang berhubung dengan pengajian dan penghayatan terhadap sesuatu perkara yang membawa kepada ke khusyukan, pada dasarnya ia bukan perkara yang dibuat-buat, tetapi ia adalah hasil didikan jiwa yang lama yang mampu menjadi, bahkan menerbitkan rasa khusyu` di dalam jiwa seseorang.  Khusyu` tidak boleh berlaku secara pura-pura, tetapi dia adalah himpunan ilmu dan nilai yang dapat memberi kefahaman, keinsafan dan menjadikan seorang  khusyu`. Bayangkan untuk menjadi seorang itu khusyu` dalam solat, pada dirinya telah terbina pegangan akidah yang kukuh. Terbina sudut pandangan, bahawa bersolat adalah berdepan dengan  Allah Yang Maha Agung, maka berdepan dengan Allah sifat khusyu` itu datang bukan dibuat-buat. Sesungguhnya mencapai tahap khusyu` tidak mudah bagi seseorang. Ia perlu melalui didikan yang mantap dan panjang.

Sekian.

May 26, 2017

LAPAR LEBIH BERI PENGAJARAN DARI KENYANG DAN SYAHWAT


BBB,  28 Sha`ban 1438H. = 25 Mei 2017M. (Khamis):
Dua faktor – `Lapar dan Kenyang` adalah ujian terhadap diri. Al-Qushairi bertolak bagi membicarakan topik ini dari firman Allah Ta`ala bermaksud:
``Selagi kamu diuji dengan sesuatu daripada ketakutan dan lapar, kekurangan harta benda, kematian dan kekurangan hasil tanaman. Dan berilah berita gembira bagi orang-orang yang sabar.`` (Al-Baqarah: 155).
Seterusnya firman Allah bermaksud: `` Dan mereka terkesan (dengan kesusahan) di atas keutamaan yang mereka beri, walaupun mereka sendiri amat memerlukan.`` (Al-Hashr: 9).
Kemudian diikuti dengan Hadith Rasulullah s.a.w.:
Mengkhabarkan kepada kami `Ali bin Ahmad al-Ahwazi berkata, mengkhabarkan kami Ahmad bin `Ubaid al-Saqqar berkata,, bercakap kepada kami `Abdullah Ibn Ayyub berkata, bercakap kepada kami Abu al-Walid al-`T*ayali berkata, bercakap kepada kami Abu Hashim S*ahib al-Za`farani berkata, bercakap kepada kami Muhammad bin `Abdullah daripada Anas bin Malik, bahawasanya dia bercakap kepadanya berkata, ``Telah datang Fatimah r. `anha dengan sepotong roti untuk Rasulillah s.a.w. Maka Baginda bertanya, ``Apakah potongan ini wahai Fatimah. Berkata Fatimah  sekeping roti yang anakanda memasak sendiri. Diriku tidak tenang selagi tidak menyampaikan kepingan roti ini. Maka Baginda bersabda, ``Adapun bahawasanya adalah makanan pertama yang masuk ke dalkam perut bapamu sejak tiga hari.`` (Riwayat al-Harith bin Abu Usamah di dalam Musnadnya – dikategorikan Hadith  dhaif). Dalam setengah riwayat yang lain diriwayatkan:
``Datang Fatimah r.`anha dengan sekeping roti syair.``
Ujian lapar dari sifat kaum sufi dan dikatakan adalah merupakan salah satu rukun mujahadah, kerana keperluan  orang suluk ialah bertahap kepada kebiasaan lapar atau menahan diri daripada makan dan darinya sebagai mata air melahirkan hikmah dalam masa lapar. Banyak hikayat yang dicerita berhubung dengan lapar ini.
Mengkhabarkan kami Muhammad bin `Abdullah bin `Ubaidillah berkata, bercakap kepada kami `Ali bin Husain al-Arjani berkata, mengkhabarkan kami Abu Muhammad `Abdullah bin Ahmad al-Is*tikhri di Makkah dipelihara Allah Ta`ala baginya berkata,  berkata Sahl bin `Abdullah,
``Tatkala Allah Ta`ala menciptakan dunia dia menjadikan pada kekenyangan maksiat dan kejahilan dan menjadikan dalam kelaparan ilmu dan hikmah.``
Dan berkata Yahya bin Mu`adz, ``Lapar bagi murid adalah riadhah, bagi orang taubat ujian, bagi para zuhhad ialah siasah dan bagi orang `arifin ialah kemuliaan.``
Aku mendengar Al-Shaykh Aba `Abdil Rahman al-Sulami berkata, aku mendengar Muhammad bi al-`Alawi berkata, aku mendengar `Ali bin Ibrahim al-Qadhi di Damshiq berkata,, aku mendengar Muhammad bin `Ali bin Khalaf berkata, aku mendengar Ahmad bin Abi al-Hawari berkata, aku mendengar Aba Sulaiman al-Darani berkata,
``Kunci dunia ialah kenyang dan kunci akhirat ialah lapar.``
Aku mendengar Muhammad bin `Abdullah bin `Ubaidillah berkata, aku mendengar `Ali bin al-Husain al-Arjani berkata, aku mendengar Aba Muhammad al-Ist*ikhri berkata, aku mendengar Sahl bin `Abdullah, dan dikatakan kepadanya seorang lelaki:
``Makan sehari satu makanan, maka katanya makan para s*iddiqin, katanya
Dua makanan, maka katanya, makanan para mu`minin, katanya
Maka tiga, katanya katakanlah kepada keluarga engkau, mereka bergantung keperluan kepada engkau.``
Dan aku mendengarnya berkata, bercakap kepada kami `Abdul `Aziz bin al-Fadhl berkata, bercakap kepada kami Abu Bakar al-Sa`ih* berkata, aku mendengar Yahya bin Mu`adz berkata:
``Lapar itu cahaya dan kenyang itu api. Dan nafsu itu mengandungi kayu api yang menghasilkan bakaran dan tidak padam apinya hingga terbakar tuannya keseluruhan.``
Aku mendengar Muhammad bin `Abdullah al-Sufi berkata, bercakap kepada kami Abu al-Farj al-Warthani berkata,, bercakap kepada kami  `Abdullah bin Muhammad bin Ja`far berkata, bercakap kepada kami Ibrahim bin Muhammad bin al-Harth berkata, bercakap kepada kami Sulaiman bin Da`wud berkata,, bercakap kepada kami Ja`far bin Sulaiman berkata, kami mendengar Malik bin Dinar berkata, ``Siapa yang dapat mengalahkan nafsu syahwat dunia, maka dia dapat memisahkan syaitan dari bayangannya.``
Dan aku mendengarnya, berkata, aku mendengar Mansur bin `Abdullah al-As*fahani berkata, aku mendengar Aba `Ali al-Rudzbari berkata:
``Apabla engkau mendengar seorang sufi selepas lima hari,  berkata, `Aku lapar,` maka bawalah dia ke pasar dan suruhlah dia bekerja``.
Demikianlah di dalam kehidupan, teruji antara kemiskinan dan kemewahan. Dengan kemewahan biasanya  teruji dan membawa kepada kelalaian dan lupa daratan yang boleh membawa kepada kebinasaan. Demikian juga ada yang teruji dengan kekurangan yang memerlukan usaha dan penjimatan. Darinya dapat pengajaran agar berhati dan berdikit-dikit. Pengajaran secara sederhana dan berdikit biasanya menyelamatkan. Di dalam pengajian dan latihan kerohanian, kesenangan dan kemewahan sukar mendisiplinkan diri dan tidak dapat memberi tumpuan, lantaran itu kesempitan, kekurangan bahkan kelaparan mengajar diri dengan sifat jimat, waspada yang lebih mencabar diri untuk bersungguh dan menghasilkan kejayaan. Sesungguhnya kekenyangan  malas dan melalaikan, manakala lapar dan kesusahan cabaran menjadikan diri bersungguh dan lebih manis dalam mencapai kejayaan.

Sekian.