May 27, 2017

KHUSYU` - BUKAN DIBUAT-BUAT. HASIL DIDIKAN PANJANG


BBB,  29 Sha`ban 1438H. =  26 Mei  2017H. (Juma`at):
Al-Qushairy memasukkan pembicaraan `Khusyu` sebagai  pembicaraan yang khusus,  ini tidak diberi kedudukan  utama (sebagai bab atau fasal) sama ada oleh  Al-Sarraj di dalam Al-Luma`, maupun oleh Al-Kalabadzi di dalam Al-Ta`arruf.
Khusyu` adalah merujuk kepada hal diri seseorang atau lebih merujuk  khusyu` kepada hati seseorang yang bersifat tenang, penuh tumpuan, seolah tidak diganggu oleh keadaan keliling. Khusu` adalah gambaran yang dikaitkan dengan diri dalam ibadat atau mendengar pengajaran atau penghayatan terhadap sesuatu. Berhubung dengan khusyu` ini Al-Qushairy membawa ayat Al-Qur`an yang bermaksud:
``Sesungguhnya berjayalah orang-orang mukminun yang mereka di dalam solat mereka di dalam keadaan khusyu`  (Al-Muminun: 1 -2).
Pada ayat yang lain Allah berfirman bermaksud:
``Dan minta pertolongan kepada Allah dengan jalan sabar dan mengerjaklan solat. Dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyu`. (Al-Baqarah: 45). Juga ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyu` hati merela mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran Al-Qur`an yang diturunkan  (kepada mereka).`` (Al-Hadid: 16).
Dari ketiga-tiga ayat Al-Qur`an di atas khusyu` adalah merujuk kepada suasana hati, khususnya di dalam menjalankankan ibadat, khususnya solat, bagi ayat pertama dan kedua. Manakala yang ketiga khusyu` merujuk kepada seperti mendengar pengajaran, bahkan mendengar Al-Qur`an, khususnya mengambil tadabbur dari kandungannya.
Al-Qushairy juga mengambil Hadith Rasulullah s.a.w. sebagai hujah  bagi khusyu`;
Mengkhabarkan kami Abu al-Hasan `Abdul Rahman bin Ibrahim bin Muhammad bin Yahya al-Muzakki berkata, mengkhabarkan kami Abu al-Fadhl Sufyan bin Muhammad al-Jauhari berkata, bercakap kepada kami `Ali bin al-Hasan berkata, bercakap kepada kami Yahya bin Hammad berkata, bercakap kepada kami Shu`bah daripada Abban bin Tha`lab daripada Fudhail al-Qafji daripada Ibrahim al-Nakha`i daripada `Alqamah bin Qays daripada `Abdullah bin Mas`ud daripada Nabi s.a.w. bahawasanya Baginda bersabda bermaksud:
``Tidak masuk syurga siapa yang di dalam hatinya seberat zarrah daripada takabbur dan tidak masuk neraka siapa yang di dalam hatinya seberat zarrah daripada iman.``
Berkata seorang lelaki, ``Wahai Rasulallah, kalau seorang lelaki yang suka bajunya kelihatan elok ? Maka bersabda Baginda, ``Bahawasanya Allah Ta`ala itu indah dan Dia suka kepada keindahan.``
Maksud khusyu` sebagaimana yang dikemukakan oleh al-Qushairy: Disoal setengah mereka itu tentang khusyu, maka katanya:
``Khusyu` ialah mendirikan hati berdepan dengan Yang Haqq. Subhanahu wa Ta`ala dengan mereka itu secara majmu`.``
Berkata Sahl bin `Abdullah, ``Siapa yang khusyu` hatinya, maka dia tidak dihampiri oleh syaitan.``
Dan dikatakan alamat khusyu` bagi hamba ialah apabila dia dimarahi, atau dianggap bertentang atau ditolak (pendapatnya) maka dia sedia menerima –untuk diperbaiki.
Dikatakan khusyu` hati ialah mengawal mata dari segi penglihatan.``
Dan berkata Muhammad bin `Ali al-Tirmidzi, ``Orang yang khusyu` `` ialah orang yang memadamkan api syahwatnya dengan dada tenang dan bersifat  menghormati orang di dalam hati  dan mati syahwat, tetapi hidup kalbunya. Dan khusyu`lah anggotanya.
Berkata Hasan Basri, `Khusyu` ialah takut yang berterusan yang melazimkan hati.``
Dan disoal Al-Junayd tentang khusyu`, maka katanya, ``Merendahkan (menghinakan) hati dihadapan  Yang Maha Mengetahui tentang keghaiban.`` Sebagaimana firma Allah bermaksud:
``Dan hamba Al-Rahman yang berjalan di muka bumi di dalam keadaan merendah  hati.`` (Al-Furqan: 63).
Diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. melihat seorang lelaki mengelus-ngelus janggutnya dalam solat. Maka bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: ``Kalaulah khusyu` hatinya ini, nescaya,  khusyu` anggotanya.``
Dan dikatakan syarat khusyu`  di dalam solat, bahawa dia tidak mengenal siapa di sebelah kanannya dan siapa di sebelah kirinya.``
Dikatakan, khusyu` ialah cair hati dan gerun nerhadapan dengan Tuhan Yang Hakiki.
Dikatakan,  ``Khusyu` adalah muqaddimah bagi mengalahkan  kehaibatan.``
Pada dasarnya, biarpun khusyu` dilihat sebagai manifestasi seorang dalam perlakuan, khususnya ibadat dan perkara-perkara yang berhubung dengan pengajian dan penghayatan terhadap sesuatu perkara yang membawa kepada ke khusyukan, pada dasarnya ia bukan perkara yang dibuat-buat, tetapi ia adalah hasil didikan jiwa yang lama yang mampu menjadi, bahkan menerbitkan rasa khusyu` di dalam jiwa seseorang.  Khusyu` tidak boleh berlaku secara pura-pura, tetapi dia adalah himpunan ilmu dan nilai yang dapat memberi kefahaman, keinsafan dan menjadikan seorang  khusyu`. Bayangkan untuk menjadi seorang itu khusyu` dalam solat, pada dirinya telah terbina pegangan akidah yang kukuh. Terbina sudut pandangan, bahawa bersolat adalah berdepan dengan  Allah Yang Maha Agung, maka berdepan dengan Allah sifat khusyu` itu datang bukan dibuat-buat. Sesungguhnya mencapai tahap khusyu` tidak mudah bagi seseorang. Ia perlu melalui didikan yang mantap dan panjang.

Sekian.

No comments:

Post a Comment