BBB,
09 Sha`ban 1438H. = 06 Mei 2017
(Sabtu):
Antara istilah kesufian yang dibicarakan
oleh Al-Qushairy di dalam Al-Risalat al-Qushairiyyahnya ialah istilah
`Al-Warid`. Apakah maksud al-warid itu ?
Menurut Al-Qushairy, `` Al-warid ialah apa
yang datang ke atas hati daripada lintasan-lintasan (al-khawat*ir) yang terpuji
daripada perkara yang bukan dari kesengajaan hamba dan dia juga bukan dari perkara yang berlaku sebelum sedikit
daripada khawat*ir. Warid terkadang dari Haqq dan terkadang dari keilmuan.
Menurut Al-Qushairy, al-waridat lebih umum daripada khawat*ir, kerana khawat*ir
khas kepada jenis ucapan (al-khitab) atau yang mengandungi makna khitab itu.
Sedang waridat terkadang warid yang bersifat gembira dan kadang kala bersifat
dukacita, terkadang bersifat tertutup (qabdh) dan terkadang bersifat terbuka
(bast*) dan makna-makna yang seumpama dengannya.
Membaca keterangan Al-Qushairy berhubung
dengan waridat yang secara lafaz lughahnya bererti `sesuatu yang datang`, `yang
mendatang dan yang menjelma di luar jangkaan. Penulis melihat dan mendapati ia
adalah bermaksud `ilham`. Istilah ini tidak termasuk sebagai istilah dalam pilihan
Al-Qushairy.
Melihat kepada Kamus Dewan, maka Ilham
dberi maksud:
Ilham adalah petunjuk dari Tuhan, memberi
sesauatu sebagai ilham atau petunjuk yang diberi, sebagai contoh Ibu Nabi Musa
diberi ilham oleh Tuhan untuk menghanyutkan anaknya (Musa) di dalam perahu
kecil di Sungai Nil sehingga perahu ini hanyut ke pinggir istana Fir`aun dan diselamatkan oleh isteri Fir`aun
(Asiah).
Jadi al-warid, sesuatu yang tiba (bukan
secara fizikal), tetapi adalah merupakan penjelmaan tanpa disangka-sangka ke dalam hati dan amat dihargai dengan
penerimaan. Ianya dianggap sebagai pemberian atau anugerah.
Al-warid dan ilham ada kesamaan di antara
ahli sufi dan seniawan (ahli seni). –bersifat kudus – murni.
Sebagaimana Penulis berulang kali menyatakan
bahawa kesufian dan kesenian mempunyai
titik persamaan di dalam proses peningkatan kualiti dalaman diri dan proses penghayatan dan
`penemuan`, sebagai contoh ialah istilah al-warid yang ada persaamaan dengan
konsep ilham yang merupakan proses penghasilan, Cuma al-warid lebih dikaitkan
dengan pengalaman kerohanian yang dilihat lebih kudus dan ilham adalah proses
yang sama yang dilihat bersifat kealaman dan lebih terbuka.
Al-warid dan ilham ialah penerimaan sesuatu
– al-warid dan ilham adalah secara spontan dan bukan dibuat-buat. Walau
bagaimana baik al-warid dan ilham adalah merupakan cetusan dari suasana yang
telah terbina di dalam hati dan jiwa penerima warid dan ilham yang menjadi
infra-struktur bagi penerima al-warid dan ilham, ertinya ia tidak berlaku dalam
kekeringan dan kekosongan.
Sebelum menerima al-warid seorang sufi
telah berada di dalam alam dan suasana kesufian terlebih dahulu. Ia bermula
dari kepatuhan diri seorang muslim sebagai abid yang salih. Ia mendapat tarbiah
kerohanian dari peringkat awal melalui pengajian dengan guru-guru kerohanian
dan dia beramal dan praktik dengan ilmu, tarbiah dan alam kesufian. Ia melalui
pendidikan yang meningkatkan kualiti dirinya dengan maqam dan hal. Jiwa digilat
dan dibersih dengan amal-amal kesufian. Dengan jiwanya yang gemerlap dengan nilai-nilai
kerohanian yang tinggi mencetuskan kepadanya warid-warid yang tercermin di dalamnya
ketinggian mutu kerohanian. Misalnya apabila Al-Junayd ditanya tentang tauhid
yang , maka katanya:
``Bahawasanya hamba adalah bayang dihadapan
Allah `Azza wa Jalla, berlari di atasnya larian tadbirNya menurut hukum
qudratNya di dalam gelombang lautan tauhidnya dengan fana` dari dakwaan daripada diri dan makhluk. Dia adalah jawapan
dengan hakikat wujud wahdaniyyatNya pada haqiqat kedekatanNya dengan hilang
rasa dan geraknya dengan mendirikan haqq bagiNya menurut apa yang dikehendaki darinya. Dia
adalah kembali akhir hamba kepada awalnya, maka adalah Dia seperti mana telah
ada Ia sebelum dan kekinian. Tambah Al-Junayd lagi: Tauhid ialah
keluar dari kesempitan garisan zaman kepada keluasan fana al-samadaniyyah
(Al-Luma`).
Ungkapan apakah ini ? Sesungguhnya ungkapan
sedemikian tidak lahir dari jiwa yang
kosong dari kekuatan akidah, kebersihan jiwa dan gemerlap rohani. Apa yang keluar
yang diungkapkan hanyalah helai-helaian kata dari rimbun yang kaya dengan
gugus-gugus kerohanian. Hayatilah bahasanya yang bersifat intuitif dan kaya
dengan cita rasa kerohanian. Di dalam ungkapan ini kaya dengan elemen-elemen
bahasa yang segar dan indah, bahkan kreatif.
Keadaan yang sama berlaku kepada para
sasterawan dan seniawan, mereka juga mengalami masa yang lama untuk menjadi
sasterawan dari pembelajaran, menghimpun pengalaman, mempertajam persepsi,
meperturunkannya ilham kepada pengungkapan dan mengkreatifkannya di dalam
penulisan.
Tidak jarang warid diperturunkan sebagai
ilham, bahkan kedua-duanya dengan
menggunakan mekanisme puisi bagi mengungkapkan apa yang diterima sebagaimana
kita katakan sebagai ilham. Contohnya sebagaimana ungkapan Abdul Rahman Jami tentang:
Kawanku
Kawanku seharusnya bagai cermin cerlang
Memantulkan cermin kelemahanku dari depan
Tiada rasa dipendam jauh di dalam
Bukan seperti sisir bergigi ratusan
Menyelip, menyikat ke sana ke mari
Menyingkap, menyatakan kelemahanku dari
belakang
Seraya berlindung mencemohku seorang demi
seorang.
(Sastra
Sufi, Abdul Hadi W.M.).
Jelas memperlihatkan bahawa eratnya
hubungan antara tasawuf dan seni. Kedua-duanya mengalami pengalaman intuisi
sama ada alami atau rohani, mereka mengungkapkan pengalaman yang bersifat
kreatif, mereka menggunakan istilah-istilah yang sama atau sama maksudnya
seperti al-warid, ilham dan sebagainya, kedua-dua bidang memperhaluskan
perasaan dan kerohanian sama ada pendekatan kealaman, kerohanian bahkan
ketuhanan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment