May 15, 2017

KHULWAH DAN `UZLAH - DIMENSI LAIN MENGENAI KONSEP PENGASINGAN


BBB,  17 Sha`ban 1438H. = 14 Mei 2017M. (Ahad):
Dua Persoalan yang berkait dengan tasawuf yang seolah-olah menjadi lambang kesufian – Khulwah dan `Uzlah, namun  ada kontroversinya. Al-Sarraj membicarakan topik berkenaan sebagai `Adab Orang Memilih  Khulwah dan `Uzlah`.
Baik Al-Qushairy atau Al-Sarraj tidak menghujahkan bukti tentang khulwah dan `uzlah ini dengan ayat Al-Qur`an, tetapi Al-Qushairy mendasarkan kepada Hadith Nabi s.a.w.
Mengkhabarkan kami oleh Abu al-Hasan `Ali bin Ahmad bin `Abdan berkata, mengkhabarkan kami oleh Ahmad bin `Ubaid al-Basri berkata, bercakap kepada kami `Abdul `Aziz bin Mu`awiyah berkata bercakap kepada kami al-Qa`nabi berkata, bercakap kepada kami `Abdul `Aziz bin Abi H*azim daripada bapanya daripada Ba`jah bin `Abdillah bin Badr al-Jahni daripada Abi Hurairah berkata, bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Sebaik-baik kehidupan manusia keseluruhannya, lelaki yang mengambil kekang kuda dan menunggangnya pada jalan Allah, dia mendengar suara ketakutan dan herok pekok ketika di atas tunggangan kudanya, dia tidak takutkan maut atau terbunuh mati syahid atau kemenangan di medan jihad. Atau seseorang yang mengembalakan biri-biri dan kambing di perlembahan, dia mendirikan solat dan mengeluarkan zakat dan dia menyembah Tuhannya dengan penuh keyakinan, tiadalah manusia sepertinya melainkan adalah orang yang baik.`` Hadith riwayat Muslim.
Berhubung dengan khulwah, berkata  Al-Ustadz, khulwah ialah sifat ahli al-safwah (sufi), dan uzlah adalah daripada tanda-tanda perhubungan dan tidak dapat tidak bagi murid pada peringkat permulaan amalannya ialah dengan ber`uzlah bersama pelajar-pelajar permulaan sesamanya dan pada akhirnya dengan berkhulwah tahaqqiq dengan uns. Dan daripada haq seorang hamba apabila terkesan dengan `uzlah hendaklah berpegang dengan  `uzlahnya daripada makhluk agar dapat menmyelamatkannya dari kejahatan dan pancaroba makhluk.
Dan daripada adab `uzlah menghasilkan ilmu yang disahkan dari ilmu tauhid dan shara` yang dengannya ditunaikan fardhu. `Uzlah pada hakikatnya mengasingkan  diri dari sifat-sifat keji dan menghias diri dengan sifat-sifat terpuji.
Katanya, aku mendengar  Aba `Abdul Rahman al-Sulami berkata, aku mendengar Aba `Uthman al-Maghribi berkata,
``Siapa memilih khulwah dari persahabatan, hendaklah dia kosong dari zikir kecuali kepada Allah. Dan kosong dari kemahuan, melainkan redha kepada Tuhannya dan kosong dari menuntut dirinya daripada sebab-sebab, tanpa sifat-sifat ini, maka khalwahnya bagai  terjatuh pada fitnah atau  rosak.
Katanya, aku mendengar Aba `Abd al-Rahman al-Sulami berkata, aku mendengar Aba Bakr al-Razi berkata, aku mendengar Aba  `Amri al-Anmat*i berkata, aku mendengar Al-Junayd berkata,
``Siapa yang mau menyelamatkan agamanya atau rehat badan dan hatinya, maka hendaklah dia mengasingkan dirinya daripada manusia, kerana zaman ini zaman keliaran dan yang berakal ialah orang yang memilih pengasingan.``
Dan aku mendengarnya juga berkata, aku mendengar Aba Bakr al-Razi berkata, berkata Ya`qub al-Sausi,  ``Bersendiri tidak kuat melainkan orang mempunyai kekuatan. Contoh dalam masyarakat kita perlu mengambil manfaat oleh setengah daripada mereka dari setengah yang lain.``
Dengan pendapat Al-Sausi, yang menyimpang dari pendapat banyak di atas, dapat kita perbincangkan sekurang-kurangnya dua pendapat di atas – juga dua pendekatan.
Pendapat pertama, untuk mengikuti tasawuf apa lagi bertariqat dengan mengikut anjuran tariqat tertentu perlu mengasingkan diri, antaranya untuk menghendar diri dari pengaruh tertentu terhadap murid yang baru bertariqat., Dengan bertariqat diharap dia akan dapat menghening diri dan mudah menerima pengajaran dan membuat amal.
Namun dengan pengasingan diri secara fizikal dari masyarakat, tidak kurang bahayanya bagi pengikut berkenaan, kerana dengan pengasingan dan persendirian, walaupun ada bimbingan pihak tertentu, tidak terjamin dari penyelewengan, atau melakukan amalan secara sendirian juga terbuka kepada penyelewengan.
Konsep khulwah dan `uzlah tidak bererti khulwah dan `uzlah secara fizikal, khulwah dan `uzlah lebih berkesan ialah dengan  khulwah dan `uzlah  minda hati dan jiwa. Pendidikan yang benar dan berkesan, ialah pendidikan yang terbuka berdepan dengan masyarakat sebagai makmal. Dengan secara terbuka, pelatih dapat mencontohi dari masyarakat tentang latihan baik dan buruk dan mendapat contoh dan bimbingan secara praktikal dan dapat memperbaiki kesalahan dan mencontohi kebaikan. Pelatih tidak sepatutnya bersifat individualis, masyarakat adalah tempat sebenar bagi mendapat ujian dan latihan dan masyarakat adalah bidang yang terbuka baginya bukan saja mempelajari, tetapi dengan kemampuan dia dapat membimbing masyarakat ke arah kebaikan. Pengasingan sebenarnya terasing dari ujian dan belum tentu bila dia berdepan dengan masyarakat dia mampu mempertahankan diri dan peribadinya yang belum teruji.
Islam adalah agama secara berjamaah dan bermasyarakat dan menggalakkan kerja-kerja secara berjama`ah,  Ibadat-ibadat seperti solat, haji, tolong menolong dan berbuat kebajikan memerlukan jama`ah, bahkan kekuatan umat ialah secara berjamaah. Ketahanan fizikal dan dalaman adalah kekuatan secara berjama`ah. Adalah dibandingkan dan dianjurkan, bahawa seorang Islam yang terdidik di dalam jamaah, ialah seperti ikan  yang hidup di dalam laut masin, tubuh fizikalnya walaupun berada di dalam laut masin, tetapi kerana dirinya hidup, tidak dipengaruhi oleh kemasiman air, sebaliknya  ikan yang mati, jika digaramkan, maka mudah ianya diserapi garam dan menjadi masin.
Demikian ibarat tarbiah dan pendidikan Islam adalah bersifat kemasyarakatan dan berjama`ah.  Pelajar-pelajar dilatih dan ditarbiah di dalam jama`ah baik dari segi akhlak bermu`asyarah, bahkan di dalam beribadah. Mereka seharusnya membawa diri dan berakhlak baik dan hidup di dalam berjama`ah bahkan jika berkelayakan memimpin jama`ah, termasuklah di dalam bidang kerohanian.
Diri dan masyarakat Islam haruslah sebagai ikan yang hidup di tengah lautan dan bukan ikan yang mati di tengah daratan yang mudah digaram.

Sekian.

No comments:

Post a Comment