BBB,
11 Sha`ban 1438H. = 08 Mei 2017M.
(Isnin):
Nafsu
adalah istilah yang popular di dalam pembicaraan ilmu tasawuf
sebagaimana popularnya istilah seperti hati
dan roh. Namun jika roh dilihat suatu elemen di dalam diri bertaraf tinggi dan mulia,
tetapi nafsu dilihat secara terbalik, iaitu dipandang rendah, sebagaimana kata
Al-Qushairy, ia adalah sifat rendah dan tercela dari segi akhlak. Sesungguhnya nilai perbuatan manusia tertakluk di bawah
sama ada terpuji atau tercela. Apa yang terpuji ialah apa yang dinilai oleh shara`
dan akhlak sebagai baik seperti taat kepada perintah Allah , hormat kepada
ibu-bapa, menolong faqir miskin,
menderma untuk membina masjid, membantu anak yatim dan sebagainya. Manakala akhlak
keji ialah yang sebaliknya misalnya kikir, tamak haloba, dengki, mengumpat dan
sebagainya.
Mengapa nafsu tercela ? Ialah kerana ianya dilarang Allah, sebagai
contoh firman Allah bermaksud:
`` Sesungguhnya nafsu cenderung kepada
kejahatan`( Yusuf: 53).
Kekejian nafsu selain dari ianya dilarang, padanya ada kejelekan dan memudharatkan, semua pihak melihatnya
sebagai perkara yang keji dan perlu dihukum terhadap pelaku. Ianya menjadi
pengajaran dan yang lain tidak meneladaninya, bahkan menjauhinya, kerana ianya
merupakan penyakit sosial.
Di samping melihat nafsu secara menyeluruh
adalah keji, namun walaupun nafsu adalah keji, tetapi tidak semua nafsu adalah
keji, sebaliknya ada martabat-martabat
nafsu yang dilihat dari bawah sebagai keji tapi meningkat kepada peringkat atas
adalah terpuji. Penyusunan yang dibuat dari bawah ialah:
1) Martabat Nafsu
Ammarah
Iaitu nafsu sebagaimana telah dibicarakan,
nafsu paling rendah dan hina dan nafsu ini cenderung kepada kejahatan. Yang
melakukannya merasakan seronok dengan perlakuan kejahatan dan seolah-olah tidak
menyedari tentang kejahatannya. Orang yang mengalaminya seolah-olah sakit jiwa dan sukar
memulihkannya, kecuali kembali kepada pendidikan dari asas yang menyedarkannya
tentang kejahatan yang dilakukan dan insaf serta kembali kepada kesedaran
normal dan menyedari tentang kesalahan yang dilakukan. Adalah tidak adil kepada
pelaku, jika dia sememangnya tidak diberi pendidikan akhlak, terutama oleh dua ibu bapanya atau pihak yang
bertanggungjawab agar dia sedar, insaf dan bertanggungjawab dengan tindakan dan
perlakuannya.
2. Martabat Nafsu Lawwamah
Erti lawm ialah mencela`, firman Allah bermaksud:
``Dan aku bersumpah dengan nafsu
al-lawwamah.`` (Al-Qiyamah: 2).
(Nafsu yang senantiasa menegur dan
menempelak dirinya semasa ia berbuat baik atau berbuat jahat. Semasa berbuat
baik ia menempelak dirinya mengapa tidak membuat lebih baik, sebaliknya bila ia
melakukan kejahatan lebih-lebih lagi ia menempelak dan sesal).
Ia
adalah martabat yang berlaku pada orang
awam yang berpendidikan. Kita telah membicarakan tentang `dhamir` atau hati
keci. Bahawa di dalam dada kita terdapat satu elimen yang dipanggil hati kecil
yang `hidup`. Bahawa hati kecil yang dimiliki tuannya yang baik, maka hati
kecil ini adalah sebagai pengaawal dirinya daripada melakukan perbuatan yang
jahat. Andainya pemilik tersalah melakukan perbuatan jahat, maka hati kecil
akan menempelak diri dari melakukan perbuatan jahat ini dan tuannya yang insaf
mungkin tidak akan cuba mengulangi kejahatan. Sebagaimana telah dikatakan, jika
perbuatan jahat kembali dilakukan, hati kecil ini masih mengecam diri dari melakukan kejahatan.
Tetapi jika kejahatan terus dilakukan, maka kecaman akan berkurang dan jika
terus juga melakukan kejahatan, maka hati kecil ini akan mati dari berfungsi
sebagaimana orang seperti ini termasuk
di bawah nafsu ammarah.
3. Martabat Nafsu Mulhamah
Berhubung dengan nafsu ini, firman Allah Ta`ala
bermaksud:
``Demi diri (nafs) manusia dan yang
menyempurnakan kejadiannya, serta mengilhamkannya untuk mengenal jalan yang
membawanya kepada kejahatan dan jalan yang membawanya kepada bertaqwa.
Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya bersih bertambah-tambah
bersih dengan iman dan amal kebajikan. Dan sesungguhnya hampalah orang yang
menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya
dengan sebab kekotoran ma`siat.`` (Al-Shams: 7-10).
Ianya adalah gambaran manusia awam yang
berjuang bagi menegakkan kebaikan, kebersihan dan akhlak murni diri dan penuh
sedar tentang implikasi melakukan kejahatan dan rasuah misalnya. Hanya
keinsafan dan usaha ke arah kebaikan dan nasihat menasihati dapat mengawal diri
dari terjatuh ke perlembahan kemaksiatan dan kejahatan.
4. Nafsu Mu*tma`innah
Ialah nafsu baik dalam mana pelakunya
melakukan kebaikan – mematuhi perintah Allah dengan menjauhi larangan dan
melakukan perintah Tuhan. Dengan demikian hati dan jiwanya tenang. Sebagaimana
firman Allah bermaksud:
``Wahai orang-orang yang mempunyai jiwa
yang senantiasa tenang, tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya.
(Al-Fajr: 27).
5. Nafsu Radhiah
Adalah tambahan dari nafsu Mut*mainnah
dalam mana dia mendapat keredhaan Allah. Firman Allah bermaksud:
``Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan
engkau berpuashati (radha) dengan segala
ne`mat yang diberikan) lagi mendapat keredhaan (di sisi Tuhanmu).``
(Al-Fajr: 28).
Orang yang beriman dan jiwanya tenang
mendapat balasan dan ganjaran dari Allah.
6. Nafsu Mardhiah
Ialah nafsu yang lebih tinggi dari radhiah
dan lebih tinggi ganjaran.
Mardhiah (Al-Fajr; 28).
7. Nafsu Radhiah-Mardhiah
Kombinasi dari dua elemen nafsu yang
merupakan nafsu tertinggi yang mendapat ganjaran syurga tertinggi di sisi Allah.
Allah menjemputnya sebagaimana di dalam firmanNya bermaksud:
``Maka masuklah di dalam kumpulan hamba-hambaku
yang berbahagia, dan masuklah di dalam syurgaku.`` (Al-Fajr: 29-30).
Demikianlah nafsu pada umumnya memberi
tanggapan negatif yang diasosiasikan dengan kejahatan. Tetapi nafsu mempunyai
kategori-kategori yang sebahagiannya adalah merupakan nafsu yang baik dan
mendapat balasansyurga bagi yang jiwanya
tenang lagi diredhai Allah.
Sekian.
No comments:
Post a Comment