BBB, 12 Sha`ban 1438H. = 09 Mei 2017H. (Selasa):
Antara istilah yang rapat dengan tasawuf
ialah `Roh`. Ianya melambangkan kehalusan, kesucian dan kekudusan, kepadanya
dinisbahkan kemi`rajan rohani di dalam mendekati Tuhan.
Apakah itu roh yang mau dibincangkan.
Terdapat ayat Al-Qur`an berkenaan roh. Ayat
bermaksud:
``Dan mereka bertanya kepadamu (wahai
Muhammad) tentang roh. Katakanlah , roh itu dari perkara urusan Tuhanku. Dan
kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan,
melainkan sedikit sahaja.`` (Al-Isra`: 85).
Menurut kitab-kitab tafsir, bahawa beberapa
pihak mau menguji kebenaran Rasulullah s.a.w. sebagai Rasul. Antara orang
`Arab, bertanya orang Yahudi, apakah cara menguji Muhammad bagi menandakan
kebenaran pengakuannya menjadi Rasul. Dikatakan pihak Yahuda menyuruh pihak
yang bertanya itu, supaya bertanya tentang roh. Ada yang mengatakan pihak
Yahudi juga bertanya persoalan tentang roh kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Perancangan untuk menguji Rasulullah s.a.w.
berhubung dengan persoalan roh diberitahu oleh Jibril a.s. kepada Rasulullah
s.a.w. sebelum persoalan itu ditimbulkan oleh pihak yang mau menyoal. Soalan dijawab sebagaimana firman Allah
Ta`ala di atas.
Sesungguhnya persoalan berhubung dengan roh
ini rumit dan misteri dan menimbulkan berbagai pendapat, spekulasi dan andaian.
Menurut Al-Qushairi terdapat berbagai
pendapat di kalangan ahli al-tahqiq dari
kalangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jama`ah. Antara mereka berkata,
``Roh itu adalah`hidup`nya diri. Diri hidup
menandakan adanya roh. Jika mati tiada lagi roh pada jasad berkenaan yang telah
mati.
Ada yang berpendapat menurut Al-Qushairy,
``Roh ialah sesuatu `ayn yang bertempat dalam diri yang terus berbalik-balik
yang menandakan dia hidup dan mempunyai roh.``
Roh dimaksudkan dihurai lanjut oleh
Al-Qushairy, bahawa roh adalah sesuatu yang latifah (lembut-halus) yang digerak
Allah Ta`ala secara adat dengan mencipta kehidupan secara ghalib selama mana
roh berada di dalam badan dan manusia hidup dengan roh yang dia hidup dan roh
bergerak dan dia boleh keluar dari badan, misalnya ketika pemilik tubuh
berkenaan tidur dan kembali kepadanya, khususnya apabila pemiliknya kembali
terjaga..
Al-Qushairy mejelaskan pendapat kalangan Sunni, bahawa roh
adalah makhluk, siapa yang mendakwa bahawa ianya qadim, maka ianya salah yang
nyata. Roh adalah makhluk yang dicipta. Sebagai makhluk yang lain dicipta, maka ianya tertakluk di bawah fana.
Meskipun hakikat roh tidak dapat diketahui
dan dia merupakan rahsia ilahi, namun istilah berkenaan digunakan secara khusus
dan secara umum.
Secara khusus dimaksudkan istilah roh ini
digunakan di kalangan para rohaniawan atau tasawuf, bahkan dilihat kehidupan
ada yang dinibahkan kepada kehidupan jasmani, dimaksudkan kehidupan yang
dilalui oleh kehidupan manusia biasa yang memerlukan usaha bagi meneruskan
kehidupan seperti bekerja, memerlukan tempat kediaman dan keperluan-keperluan
kehidupan yang lain. Ada pula dinisbahkan kepada kehidupan rohiyyah, bermaksud didikan yang menekankan pendidikan
bagi meningkat jiwa seseorang misalnya mendapat pendidikan agama, mengenal
perkara-perkara yang berhubung dengan rohani dan jasmani dan
keperluan-keperluan bagi memenuhinya.
Namun ada maksud yang lebih khusus, iaitu
orang atau mereka yang langsung terlibat dengan tarbiah rohaniah dan
meningkatkan kualiti rohani, bahkan kalangan rohani ini merujuk kepada yang terdidik di dalam keilmuan tasawuf dan
terlibat di dalam mengamalkannya. Lebih tepat dikenali kalangan rohani, ialah
kalangan sufi.
Walau bagaimana dari satu pihak istilah roh
yang dilihat bersih dan murni, pada satu pihak berubah dari segi penggunaan.
Roh antaranya bertukar kepada makna, dalaman bagi diri, bahkan bererti nyawa atau bahagian dalaman
bagi diri.
Oleh kerana roh adalah misteri ada yang
melihat bahawa bagi setiap sesuatu ada
yang bersifat luaran, iaitu bentuk fizikal dan dalaman yang bersifat rohani,
bahkan ada yang berpendapat roh itu adalah asal, manakala yang fizikal datang
menyempurnakan.
Ada pendapat yang menyeleweng yang melihat
roh sebagai `penunggu` yang menjaga sesuatu.
Pendapat sedemikian boleh membawa kepada penyelewengan dari segi akidah,
lantaran kepercayaan seperti menjadikan pihak yang tidak kukuh dari segi
akidah, mempercayai dan menghormati dan melakukan upacara-upacara bagi mendapat
jagaan dari penunggu berkenaan yang sudah tentu salah dari segi akidah.
Ada
pendapat yang lebih mudah, bahawa roh itu adalah `nyawa` bagi tubuh
fizikal, tetapi ianya tidak dapat dikesan dari segi fizikal, walaupun diketahui
kehidupan yang berterusan misalnya dengan adanya pernafasan, larian darah dan
detik jantung, namun begitu tidak diketahui di mana roh sebenar, tetapi apabila
berlaku kematian terhadap seseorang, maka diketahui tidak ada lagi roh di dalam
diri berkenaan.
Roh adalah misteri, sebagaimana Allah menyebut,
dia adalah dari urusanNya yang mencerminkan keagunganNya.
Sekian.
No comments:
Post a Comment