BBB, 07 Sha`ban 1438H. = 03 Mei 2017M.
(Selasa):
Istilah `Dekat` dan `Jauh` pada asalnya bermaksud kedudukan
sesuatu dinisbahkan jarak kepada sesuatu yang lain dengan ukuran seperti batu,
kilometer dan sebagainya. Misalnya jika kedudukan sebuah kampung jauhnya 10 km
dengan tempat yang dirujuk berbanding dengan sebuah lagi kampung jauhnya 30km.
Maka dikatakan kampung yang awal lebih dekat berbanding yang kedua lebih jauh. Ukuran
juga dibuat dengan penisbahan kepada masa, misalnya waktu zohor sudah dekat,
berbanding dengan waktu asar lebih lambat (jauh). Ukuran dibuat dengan minggu,
hari, jam dan sebagainya. Namun istilah dekat dan jauh juga diisti`arah juga
kepada yang bersifat nilai seperti `Dekat Di hati` mencerminkan keakraban
seseorang dengan seorang yang lain, begitu juga dengan `Jauh Di Hati` bermaksud
tidak rapat atau tidak mesra seorang itu kepada seseorang tertentu.
Istilah dekat dan jauh dari segi kualiti kerohanian
juga dipinjam bagi maksud, misalnya `Dekat dengan Allah` atau ` Jauh dari
Allah`.
Menurut Al-Qushairy, istilah Dekat
(al-Qurb) digunakan antaranya di dalam mengukur (kualiti) dekatnya seseorang
hamba terhadap Allah, ukurannya bersifat hati-rohani misalnya dikatakan;
``Dekatnya seorang hamba dari segi
ketaatannya kepada Allah dan dia memenuhi waktu-waktunya di dalam beribadat
kepada Allah. Demikian sifat jauh dipinjam bagi menunjukkan ukuran yang sebalik dari dekat, misalnya dia
jauh dari mendapat hidayah daripada Allah.
Al-Qushairy mengambil contoh dekat (juga
jauh sebaliknya) daripada Hadith Rasulullah s.a.w. bermaksud (Hadith Arba`in
al-Nawawiyyah – Hadih ke 38, Hadith Qudsi) bermaksud:
Dari Abi Hurairah r.a. katanya, Rasulullah
s.a.w. bersabda:
``Sesungguhnya Allah Ta`ala berfirman, ``Barangsiapa
yang menyakiti waliKu, maka sesungguhnya Aku memaklumkan perang kepadanya. Dan tiada MENDEKATI hambaKu kepadaKu dengan suatu (pekerjaan)
yang lebih Aku sukai dari (mengerjakan) yang Aku telah fardhukan ke atasnya.
Dan sentiasalah hambaKu mendekatkan dirinya kepadaKu dengan melakukan segala
yang sunnat hingga Aku mencintainya. Maka apabila Aku telah mencintainya adalah
Aku yang (menjadi) pendengarannya yang ia dengar dengan dia, dan penglihatannya
yang ia melihat dengan dia dan tangannya yang ia tamparkan dengan dia, dan
kakinya yang ia berjalan dengan dia, dan demi jika ia meminta kepadaKu, nescaya
Aku berikan kepada dia dan demi jika ia meminta perlindungan kepadaKu, nescaya
Aku memperlindungi dia. Diriwayatkan oleh Bukhari.
Tentang istilah dekat ini Al-Qushairy
memetik firman Allah bermaksud:
``Dan kami lebih DEKAT kepadanya daripada
urat lehernya.`` (Qaf: 16).
Dan firman Allah Ta`ala lagi bermaksud:
``Dan Kami lebih DEKAT kepadanya daripada kamu, tetapi kamu
tidak melihat.`` (Al-Waqi`ah: 85).
Di sebalik perkataan dekat, tardapat pula di dalam Al-Qur`an ayat-ayat yang mengandungi istilah yang
bererti jauh. Contoh ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Mereka (orang-orang kafir) tidak
memperoleh suatu faedah pun dari apa yang mereka telah usahakan itu. Sia-sianya amalan
itu ialah kesan kesesatan yang JAUH dari dasar kebenaran.`` (Ibrahim: 18). Atau ayat Al-Qur`an yang bermaksud:
``Ia menyeru dan menyembah makhluk-makhluk
yang lain dari Allah, yang tidak dapat membahayakannya, dan tidak dapat
mendatangkan kebaikan kepadanya. Itulah kesesatan yang JAUH terpesong.``
(Al-Hajj: 12).
Konsep jauh di dalam kedua-dua ayat di atas
adalah jauh bermaksud nilai.
Contoh penggunaan istilah dekat dan jauh
terungkap dalam puisi oleh Abu `Ali al-Daqqaq:
``Cinta padamu tapi hijrah menguji kalbu
DEKAT
berseteru JAUH kecamuk rindu.``
Penekanan dari segi dekat dan jauh di dalam
pembicaraan kerohanian adalah dari segi kualiti. Bermaksud `Dekat Dengan Allah`
ialah dengan mengerjakan segala suruhan dan menjauhi segala larangan dan
beramal salih, manakala `Jauh Dari Allah` ialah yang tidak mendapat hidayah
dari Allah, melakukan perkara yang dilarang oleh Allah dan berterusan di dalam
maksiat dan kejahatan.
Namun bagi mereka yang menjangka dirinya
sebagai orang dekat dengan Allah, dan yang menjangka diri jauh dari Allah,
bukan ketentuan yang dipastikan. Ianya boleh berubah. Contoh potongan dari
Hadith riwayat Abu `Abdul Rahman `Abdullah bin Mas`ud, bahawa Rasulullah s.a.w.
bersabda bermaksud (fragmen):
``Bahawa antara seorang daripada kamu
beramal dengan amalan ahli syurga sehingga tidak ada jarak antaranya dan antara
syurga melainkan sehasta, kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan, lalu iapun
mengerjakan dengan amal ahli neraka,
maka masuklah ia ke dalamnya. Dan sesungguhnya salah seorang kamu mengerjakan
dengan amal ahli neraka, sehingga antaranya dan antara neraka melainkan
sehasta, kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu iapun mengerjakan
pula dengan amal ahli syurga, maka masuklah ia ke dalamnya. Diriwayatkan oleh
Bukhari dan Muslim (Hadith al-Arba`in al-Nawawiyyah – Hadith ke 4).
Jauh dan dekat ke syurga bukan jaminan dari
amalan kita, begitu juga sebaliknya. Kita berusaha beramal dengan amalan-amalan
kebaikan dan mendoakan kepada Allah semoga
kita diberi hidayah di atas jalan yang lurus berterusan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment