BBB, 08 Sha`ban 1438H. = 05 Mei, 2017M. (Rabu):
Adalah dua istilah yang popular di dalam
tasawuf yang biasanya didahulukan dengan t*ariqat dan baru diikuti dengan
shari`at, kemudian hakikat dan ma`rifat.
Namun penekanan berbeza dan ada yang
melihat bahawa ma`rifat adalah yang paling utama yang ditekankan dan pendekatan
ini berorientasikan aqidah, lantaran di dalam keilmuan tersebut ditekankan
bahawa:
Awwalu wajibin `ala al-nsan ma`rifat Allah
Bermaksud, seawal-awal kewajiban di atas
insan ialah ma`rifat (mengenal Allah)
Atau di dalam ungkapan Matan Jauharat
al-Tauhid:
Fa kullu man kullifa shar`an wajaba `Alayhi an ya`rifa ma qad wajaba
Bermaksud:
Maka setiap orang ditaklif shara` wajib
Ke atasanya mengenal apa yang diwajib.
Tokku Paloh (Syed `Abdul Rahman bin
Muhammad) dari Terengganu di dalam kitabnya yang berjudul Ma`arij al-Lahfan
sebuah kitab tasawuf mengambil pendekatan, bahawa ma`rifat berkedudukan utama
dan pertama di dalam keilmuan tasawufnya. Pendekatannya adalah bersamaan dengan
pendekatan keilmuan akidah, bahawa seorang itu perlu mengenal Allah dan
RasulNya dan rukun-rukun iman yang lain. Penekanan terhadap ma`rifat Allah dan
Rasulnya selari dengan `Shahadat Tokku` yang disusunnya berhubung dengan
huraian terhadap dua kalimah Shahadat.
Kembali kepada penyusunan biasa yang didahului
oleh tariqat.
Tariqat dari segi lughah biasa bererti
jalan – bagi mengenal.
Maksud jalan dari segi biasa, ialah
pembelajaran dengan sesuatu ilmu yang membuka jalan ke arah pengenalan, kefahaman dan amalan ilmu berkenaan. Bagi
memahami ilmu akidah perlu memahami tariqatnya misalnya memahami rukun akal
yang membawa kepada pengenalan Allah Ta`ala, sifat-sifatNya yang wajib, mustahil
dan harus. Demikian juga dengan kewajipan memahami terhadap Rasul dan
sifat-sifat. Seterusnya berhubung dengan rukun-rukun iman yang lain.
Di dalam ilmu tasawuf, tariaqatnya ialah
memahami dan mengamali tahap-tahap dari peningkatan kerohanian di dalam
keilmuan yang berkenaan dari segi maqam-maqam seperti taubah, zuhud, sabar, faqr, tawadhu`, tawakkal dan redha.
Begitu juga dengan tahap-tahap ahwal
seperti khauf, taqwa, ikhlas, syukur,
uns, qurb, mahabbah dan yaqin.
Manakala di sana ada tariqat dinisbahkan
kepada amalan bertariqat yang dipimpin oleh guru-guru, maka pengikut-pengikut dikehendaki
mengikuti dan beramal mengikut kaedah yang dianjur oleh guru bagi tariqat
berkenaan seperti dzikir, wirid dan pembacaan-pembazaan yang dianjur dan
diamalkan di dalam tariqat-tariqat tertentu. Misalnya tariqat, Shadzili,
Sammani, Naqshabandi dan sebagainya.
Di dalam pendekatan yang dibuat oleh
Al-Qushairy, dua istilah yang diberi tumpuan iaitu Shari`at dan Haqiqat.
Shari`at ialah bidang yang berhubung dengan
ibadat, mu`amalat, munakahat, jinayah dan jihad. Bidang-bidang ini seharusnya
dipatuhi dan dijalankan di dalam masyarakat dan umat Islam. Tiap-tiap bidang
mempunyai pecahan dan huraian secara detail yang telah dihuraikan oleh
`ulama`-`ulama` Islam. Adalah menjadi kewajipan bagi umat Islam melaksanakan
kewajipan ke atasnya, misalnya dari segi ibadat dengan pecahan-pecahan, begitu
juga di dalam bidang mu`amalat, munakahat dan sebagainya.
Al-Qushairy tidak membicarakan bidang
shari`at secara detail, sebaliknya dikatakan:
``Shari`at ialah perkara yang diiltizamkan
dengan `ubudiyyah``.
Sebenarnya dari segi kedudukan di dalam
Islam shari`ah adalah penting, ia adalah manifestasi dari akidah. Bahawa dengan
keyakinan dengan keesaan Allah, maka dilaksanakan segala suruhanNya terutama di
dalam bidang ibadat yang prinsip-pribsip terdapat di dalam Al-Qur`an. Jika
disifatkan Islam sebagai sebuah bangunan, maka bentuk lahir dari bangunan itu
adalah aspek-aspek shari`at. Tanpanya tiada manifestasi lahir dari segi
keislaman.
Manakala hakikat dari makna biasa, ialah
kebenaran dari sesuatu yang ada itu dari segi lahir dan maknawinya. Ibarat
ibadat kesempurnaan ialah dari segi kebersihan jiwa dan niat yang melakukan
solat dan solatnya dilakukan dengan betul dari segi lahir dan maknawinya, tidak
bersifat luaran sahja. Fokusnya penyempurnaan lahir batin, termasuk niat dan
keikhlasan dan fokus sepenuhnya kepada Allah dari segi ta`abbudiyyah.
Tentang hakikat ini kata Al-Qushairy:
``Hakiklat ialah mushahadah Rububiyyah.``
Tambah Al-Qushairy, ``Maka tiap-tiap shari`at yang tidak
diperteguhkan dengan hakikat, maka tidak diterima (?).`` dan lagi, Tiap-tiap
hakikat yang tidak diqaydkan dengan shari`at maka tidak berhasil.``
Tambahnya lagi, Shari`at datang
mentaklifkan makhluk dan hakikat menyatakan perkara haq, maka shari`at engkau
menyembahNya dan hakikat engkau menyaksikanNya. Shari`at mendirikan apa yang
disuruh dan hakikat menyaksikan apa yang berlaku dari qadha` dan qadar dan dari
segi sembunyi dan zahir.
Al-Qushairy juga memetik pendapat Abu `Ali
al-Daqqaq yang mengatakan:
``Iyyaka na`budu menjaga shari`ah dan Iyyaka nast`in ialah
iqrar dengan shari`ah, dan ketahuilah bahawa shari`ah hakikat dari sekira-kira
bahawasanya kewajipan dengan suruhan dan hakikat juga shari`ah dengan
sekira-kira dia adalah ma`rifat dengannya akan Allah Subhanahu wa Ta`ala yang
diwajibkan dengan suruhanNya.``
Ma`rifat dari segi tasawuf adalah peringkat
penyempurnaan tertinggi dari segi rohani.
Walau apapun tasawuf adalah aspek ihsan
yang berperanan meningkatkan kualiti rohani agar dengannya meningkatkan mutu
akidah, ibadah dan kehidupan. Ianya merupakan nilai tambah yang mempertingkat
dan memperkukuhkan selagi ianya tidak bercanggah dengan akidah dan shari`at.
Nilai tambah ini tidak sekali-kali boleh menghukum tentang akidah dan shari`ah,
sebaliknya ia perlu mematuhinya. Allah jua yang menentu, menerima atau menolak
amalan. Semoga kita diterima amalan dan mendapat keredhaanNya.
Sekian.
No comments:
Post a Comment