BBB, 10 Sha`ban 1478H. = 07 Mei 2017M. (Ahad):
Antara istilah yang disusun oleh
Al-Qushairy ialah kalimah `Al-Shahid` yang akar katanya berasal dari shahida,
yashhadu, shahadah, shahid, mashhud,
mushahadah.
Menyebut istilah di atas, mengingatkan kita
kepada dua kalimah shahadah, iaitu:
Ashhadu an la ilaha illa Allah , wa ashhadu
anna Muhammadar Rasulullah
Bermaksud: Aku naik SAKSI bahawasanya tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan
aku naik SAKSI bahawa Muhammad itu
Pesusuh Allah.
Konsep Naik Saksi, Bersaksi dan Aku Shahid
secara bershahadah adalah penegasan, pengukuhan dan pernyataan secara pengakuan
secara benar terhadap apa yang dilakukan, ianya secara sirius dan bukan
bersifat main-main.
Saksi di sini pada asalnya boleh dengan
mata kepala, tetapi ianya lebih kepada rasional dan penuh sedar dan benar.
Misalnya naik saksi tentang kewujudan dan kebenaran akan wujudnya Allah dengan
bukti penyaksian secara akal berdasarkan dalil dan burhan secara akli dan sam`i.
Begitu juga dengan pengakuan tentang Nabi.
Menurut Al-Qushairy, istilah ini banyak sekali digunakan di dalam kalam
kalangan sufi. Istilah `ushahidu` lebih cenderung kepada penyaksian secara
intuitif dan wajdan, yang merupakan antaranya `pengalaman hal` dan bersifat
cita rohani.
Menurut Al-Qushairy, mereka memaksudkan
dengan perkataan al-shahid, ialah apa yang hadhir lebih kepada qalbu insan yang
ghalib mengingatiNya, dan tidak disebut dengan akal oleh Al-Qushairy,
seolah-olah dia melihat dengan mata kepalanya, walaupun ghaib (tidak dapat
dilihat) daripadanya. Jadi apa yang bertapak di dalam hatinya, kata
Al-Qushairy, seolah-olah dia menyaksikannya. Jadi dari segi penyaksian secara
langsung dengan mata kepala tidak berlaku, sebaliknya adalah bersifat wajdan
dan hal.
Sebagai contoh, ditanya Al-Shibli tentang mushahadah, maka katanya,
``Dari manakah bagi kita mushahadah dengan
Al-Haqq ? katanya lagi,
``Allah yang menyaksi (shahid) kepada
kita.``
Apa yang dikatakan mushahadah bagi hamba
hurai Al-Qushairy adalah `pinjaman secara wajdan` menandakan kecintaan dan
ingatan berterusan – hadhir dalam kalbunya. Kerana kecintaan adalah berterusan mengingati dan mendzikiri
yang dicintai. Dalam kata mushahadah dalam tasawuf adalah atas rasa
intuisi dzauq dan wajdan dan bukan atas
dasar realiti dan tidak mungkin mengatasi batas akidah.
Adapun konsep penyaksian yang dapat
difahami juga dengan makna hadhir dalam fikiran, lihat, ingat, terbayang dan
terkenang dapat berlaku;
Sebagaimana penyaksian di dalam shahadah
bagi dua kalimah shahadah, shahadah seperti ini adalalah sebagaimana telah
disebutkan sebagai pengakuan dan
kepatuhan. Penyaksian seperti ini secara detailnya seharusnya jika tidak di
dalami semasa mengucap dua kalimah shahadah, seharusnya diikuti dengan
pembelajaran bagi memahami dan mengukuhkan shahadah seperti mempelajari ilmu
aqidah yang dapat difahami melaluinya
tentang ketuhanan dan kerasulan dan rukun-rukun iman yang lain. Shahadah
seperti ini seharusnya merupakan konsep shahadah berhubung dengan ketuhanan,
kerasulan dan aspek-aspek keimanan yang lain
di dalam ketrasawufan.
Shahadah yang kedua sebagaimana biasa
dilalui di dalam keilmuan tasawuf, iaitu mendekati Ilahi secara kerohanian, iaitu
melalui pendekatan penyucian diri dan peningkatan kualiti diri rohani seperti
pendekatan melalui maqamat dan ahwal
hingga kepada peringkat `cinta Ilahi`. Pendekatan ini dapat dikatakan
pendekatan mesra Ilahi, di samping terdapat
yang dapat diistilahkan 1`Takut` kepada azab Allah. Namun kedua-dua di
atas dapat bersekali dalam mendekati Allah Ta`ala pada peringkat taqwa, redha
dan tawakkal misalnya.
Selain dari dua pendekatan yang dominan di
atas, dapat disebut ialah pendekatan secara ilmu secara terbuka, bermaksud
melalui berbagai ilmu yang semua pada puncaknya tiba dan membuktikan
tentang kebesaran dan keagungan Ilahi,
misalnya melalui ilmu matemetik, perubatan, seni yang dengan ilmu berkenaan dan
ilmu-ilmu yang lain menyerlahkan keagungan ilahi dan ianya merupakan mushahadah
tentang keagungan Ilahi. Ianya juga sebagai mushahadah ilmiah.
Dapat ditambah lagi konsep mushahadah yang
kita namakan `musahahadah pengalaman`. Berapa ramai orang yang melalui
pengalaman seperti jatuh sakit teruk hingga menginsafkan diri atau orang yang
menghadapi penderitaan dan ujian kehidupan yang menemukan mereka shahadah jalan
pulang yang menginsafkan dan mereka menjadi orang patuh dengan perintah-perintah
Allah.
Dapat ditambah lagi bahawa shahadah boleh
berlaku melalui ingatan, kenangan, penelusuran terhadap yang lalu dan
diasosiasi dengan suasana kini menginsafkan seseorang. Semua yang dilalui dalam
kesilaman memperteguh keinsafan dan menerangkan lagi dalam menyuluh jalan
pulang.
Apa yang disebutkan di atas, secara
berasingan dan mungkin dilalui orang berlainan di dalam menanggapi konsep
mushahadah, tetapi ianya mungkin berlaku kepada seseorang semua aspek yang
telah disebutkan atau sebahagian daripadanya yang merupakan elemen-elemen
shahadah baginya dan sebahagian lagi bagi orang yang lain. Dan tidak dinafikan
pengalaman individu-individu berkenaan diikuti dan dijadiakn teladan oleh yang
lain dan ianya merupakan shahadah bagi yang lain.
Sebagai kesimpulan tidak bererti
penyaksiaan secara mata kepala, tetapi
dianya dapat berlaku secara mata akal,
mata hati, mata seni, mata imginasi, mata ingatan dan mata pengalaman yang
semuanya menjadi wasilah bagi mendekati diri kepada Tuhan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment