May 29, 2017

MENENTANG NAFSU DAN MENGENALI KEKEJIAN


BBB,  02 Ramadhan 1438H. =  28 Mei 2017M. (Ahad):
`Al-Nafs` dari segi perkataannya bermaksud `Diri`. Bagi konsep diri maka ianya bersifat neutral. Maka ianya bersifat sebagai ruang kenderaan yang boleh  diisi dengan berbagai nilai – Baik dan buruk. Kenderaan `Diri` ini boleh digerakkan kemana arah yang ditentukan oleh tuannya kepada diri – ke arah yang baik dan menyelamatkan atau ke arah yang jahat dan membinasakan.
Sesungguhnya telah dibicarakan tentang kategori nafsu dari yang jahat seperti ammarah, lawwamah, mulhamah dan kepada yang baik seperti mut*mainnah, radhiyah dan mardhiyyah. Jadi nafsu ada yang buruk dan ada yang baik. Kedua-dua kategori ada disebut di dalam Al-Qur`an.
Namun di dalam tanggapan biasa `Nafsu`   adalah sesuatu yang buruk dan keji.
Al-Qushairy, di dalam membicarakan tentang nafsu ini melihat nafsu sebagai perkara keji dan perlu menentangnya di samping mengenali kekejiannya.
Di dalam membicarakan tentang nafsu ini Al-Qushairy bertolak dari ayat Al-Qur`an yang bermaksud:
``Dan adapun orang yang takut kepada maqam Tuhannya dan menegah daripada  keinginan hawa nafsu, maka syurgalah baginya sebagai tempat tinggalnya (Al-Nazi`at: 40 – 41).
Adapun dari Hadith Nabi adalah:
Mengkhabarkan kami `Ali bin Ahmad bin  `Abdan berkata, bercakap kepada kami Ahmad bi `Ubaid berkata, mengkhabarkan kami Tammam berkata, bercakap kepada kami Muhammad bin Mu`awiyah
Al-Naisanury berkata bercakap kepada kami `Ali bin Abi `Ali bin `Utbah bin Abi Lahab daripada Muhammad bin al-Munkadir daripada Jabir bin `Abdullah daripada Nabi s.a.w. Baginda bersabda bermaksud:
``Adalah ditakuti apa yang aku takut keatas umatku mengikut hawa nafsu dan panjang angan-angan.
Adapun mengikut hawa nafsu, maka dia tersekat dari kebenaran. Manakala panjang angan-angan melupakan akhirat.`` (Riwayat Al-Hkim dan Al-Dailamy).
Kemudian kata Al-Qushairy, bahawa menentang nafsu (jahat) adalah kepala ibadah.
Telah ditanya shaykh-shaykh Islam, maka kata mereka itu, ``Disembelih manusia dengan pedang-pedang penentangan.
Ketahuilah siapa yang tidak ada jalan bagi dirinya, maka luputlah cahaya kemesraannya.
Berkata Dhu al-Nun al-Mis*ri, ``Kunci ibadat ialah berfikir dan alamat benar, ialah melawan nafsu dan hawa dan menyalahi kedua-duanya dengan menyalahi  syahwat kedua-duanya.
Berkata Ibn `At*a, ``Nafsu mendorong kepada kekejian adab dan manusia disuruh supaya melazimkan adab dan nafsu bergerak secara tabiat di medan pertentangan dan hamba menolaknya dengan kesungguhan daripada tuntutan kejahatan, siapa yang terdorong kepadanya  maka dia sama dengan kejahatan.``
Aku mendengar Al-Shaykh Abdul Rahman al-Sulami berkata, aku mendengar Al-Shaykh Aba Bakr al-Razi berkata, aku mendengar Aba `Amrin al-Anmat*i berkata, aku mendengar Al-Junayd berkata,
``Al-Nafsu al-ammarah dengan kejahatan dia membawa kepada kebinasaan sebagai seteru yang mengikut hawa nafsu dengan berbagai kekejian.
Berkata Abu Hafs*, ``Siapa yang tidak tertohmah dirinya sepanjang waktu dengan kejahatan, tetapi dia tidak berusaha menentangnya dalam segala hal dan tidak berterusan membenci dalam kehidupan hariannya, maka dia adalah disifatkan sebagai orang yang sombong.dan siapa yang beristihsan dengannya merosakkannya. Bagaimanakah boleh berhimpun antara  akal dan redha.``
Aku mendengarnya  berkata, aku mendengar datukku berkata:
``Kekejian hamba ialah dengan meredhakan diri dengan apa yang ada padanya.``
Jelas dibaca keseluruhan bab ini ``Menentang nafsu dan mengenal keaibannya`, bahawa orientasi dan sudut pandangan yang dilihat oleh Al-Qushairy, bahawa nafsu adalah perkara yang jahat. Dia merujuk kepada ayat Al-Nazi`at (40 – 41) tetapi tidak merujuk kepada sifat-sifat nafsu yang lain seperti ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Aku bersumpah dengan hari kiamat, dan aku bersumpah dengan nafsu al-lawwamah.`` (Al-Qiyamah: 1-2)
Al-Nafsu al-Lawwamah`, yakini jiwa yang senantiasa menegur  dan menempelak dirinya sendiri semasa berbuat baik, lebih-lebih lagi kejahatan
Juga ayat Al-Qur`an yang merujuk kepada nafsu mulhamah – ayat bermaksud:
``Serta mengilhamkan (untuk mengenal) jalan yang membawa kepada kejahatan dan yang membawanya kepada taqwa.`` (Al-Shams: 8).
dan mengenai nafsu yang positif.
 Firman Allah bermaksud:
Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap denga kepercayaan dan bawaan baiknya. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuashati (dengan segala ni`mat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu).
Ini menunjukkan banyak kategori nafsu dan tidak terhad kepada yang jahat semata-mata. Bahkan ianya menjadi tangga bagi peningkatan jiwa dari ammarah menbawalah mutmainnah-radhiah-mardhiah.
Tetapi adalah difahami bahawa Al-Qushairy membicarakan tentang nafsi jahat ini bagi membuka jalan berbagai-bagai pekerti akhlak yang jahat.
Dapat juga dikatakan, bahawa Al-Qushairy  dengan bab ini membuka ruang kepada membicarakan persoalan akhlak yang kelak dikategorikan oleh Al-Ghazali sebagai Al-Muhlikat.

Sekian.

No comments:

Post a Comment