May 11, 2017

BANK MUAMALAT MEMBERI SUMBANGAN RM535,000.00 KEPADA MASJID AL-UMM


BBB,  13 Sha`ban 1438H. = 13 Mei, 2017M. (Rabu):


Masjid Al-Umm  yang terletak di Seksyen  Satu, Bandar Baru Bangi, pada mulanya tersenarai sebagai sebuah masjid yang akan dirasmikan oleh DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah al-Haj Ibni al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah al-Haj pada 3 Jun 2017 bersamaan 8 Ramadhan 1438H. nanti, namun oleh kerana kekurangan wang bagi urusan pembinaan yang pada masa itu masih memerlukan sebanyak RM800,000  itu tidak dapat diatasi menyebabkan pembinaan tertangguh. Maka perancangan untuk dirasmikan oleh Tuanku Sultan terpaksa ditangguh. Usaha dilakukan bagi mendapat derma dari orang ramai dan hingga 20 April 2017 dapat dibayar sebanyak RM235,000. Dengan pembayaran itu kerja-kerja disambung oleh pihak kontrektor. Usaha terus dilakukan bagi mendapat sumbangan agar bangunan yang telah 97%  siap itu dapat disiapkan seterusnya.
Atas usaha jawatankuasa antaranya Dr. Mohamad Sobri bin Haron yang merupakan Penasihat Shariat di Bank Muamalat dan Haji Abdul Rahman bin Daud Pengarah Projek, hari ini al-hamdulillah pihak Bank Muamalat bersetuju menyampaikan derma kepada masjid Al-Umm sebanyak RM535,000.00
Bagi menyampaikan derma berkenaan, pihak Jawatankuasa Masjid mengadakan satu majlis kecil bagi penyerahan cek sumbangan bertempat di ruang solat utama Masjid Al-Umm.  Hadir ke majlis penyampaian sumbangan berkenaan bermula jam 10.30 pagi itu ialah:
Dato` Izani selaku Ahli Lembaga  Pengarah Bank Muamalat yang juga Board of Members Khazanah.
Datin Izani, isteri kepada Dato` Izani
En. Rizuan Timbalan Pengerusi Tabung Mawaddah, Bank Muamalat.
Dan Ahli Jawatankuasa yang terdiri dari:


Dr. Haji  Shafie Abu Bakar  Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Pengimarahan Masjid al-Umm.
Ir. Haji Ishak bin Arshad Timbalan Pengerusi
Haji Mohd. Nor bin Haji Yasin  Bendahari
Haji Abdul Rahman bin Daud  Jawatankuasa
Haji Mohd. Kalok bin A. Latiff Jawatankuasa
Dr. Mohamad Sobri bin Haron Jawatankuasa
Haji Mohd Suib bin Haji Maulud   Setiausaha
En. Nik Muhammad Adham bin Nik Anuar Setiausaha Kerja.
En. Azhar dan En. Abdul Halim  Kerani Tapak.
Turut sama hadir saudara Azizi Jurufoto Rasmi Masjid al-Umm.
Dalam ucapan ringkas mengalu-ngalukan ketibaan Dato`Izani Pengerusi mengucapkan terima kasih kepada Bank Muamalat, khususnya kepada Dato` Izani dan Isteri dan En. Rizuan yang sudi hadir secara personal bagi menyampaikan cek sumbangan Bank Muamalat kepada Masjid Al-Umm. Ini bukan merupakan sumbangan pertama, kerana sebelum daripada ini Bank Muamalat pernah memberi sumbangan sebanyak RM25,000 dan diikuti baru-baru ini sebanyak RM10,000. Bank Muamalat juga telah membenarkan Masjid Al-Umm meletakkan Tabung Derma Masjid Al-Umm  di Cawangannya di Bandar Baru Bangi sejak sekian lama hingga kini. Ini bermakna sumbangan Bank Muamalat terhadap  Masjid Al-Umm adalah berterusan. Kata Pengerusi, dengan sumbangan yang disampaikan hari ini, insya Allah dapat menyelesaikan kesempitan yang dihadapi oleh Masjid Al-Umm dan diharap dengan sumbangan ini Masjid Al-Umm dapat disiapkan segera dan diharap Masjid Al-Umm dapat digunakan dalam masa terdekat. Pengerusi berharap sumbangan tidak hanya setakat yang diterima, bahkan beliau berharap Dato` Izani dan Datin yang tinggal tidak jauh dari Masjid Al-Umm dapat memberi sumbagan dan kerjasama berterusan, bahkan diharap mereka akan menjadi ahli jamaah Masjid Al-Umm yang aktif, insya Allah.
Dato` Izani ketika dijemput menyampaikan ucapan ringkas terhadap aluan-aluan kepadanya melahirkan rasa gembira dapat hadir di majlis yang ringkas dan agak bermakna itu. Menurutnya pada asalnya beliau bercadang untuk memasukkan terus sumbangan ke dalam akaun Masjid al-Umm di Bank Muamalat, tapi dengan kehadiran di sini, katanya, ``Saya dapat menyaksikan sendiri perkembangan pembinaan masjid.`` Tambahnya, ``Dengan kehadiran ini juga kami dapat membuktikan secara bergambar kepada pihak Pengurusan Bank tanda pembayaran.``


Menurut Dato` Izani, beliau adalah orang baru menghuni di Bandar Baru Bangi – di Bukit Mutiara Bangi, iaitu sejak Oktober tahun lepas. Menceritakan lanjut, ``Selama menghuni di sini yang disifatkan sebagai tempat yang damai, beliau berkesempatan berjamaah di Surau al-Mawaddah, surau di Mutiara Bangi.`` Katanya, , beliau dimaklumi  oleh Tuan Haji Abdul Rahman tentang kekurangan dana Masjid Al-Umm yang di dalam pembinaan sehingga perancangan untuk perasmian terpaksa ditangguhkan. Atas ulangan permohonan, pihak kami memberi perhatian untuk membawa permohonan kepada pihak atasan. Secara kebetulan pihak Bank Muamalat mempunyai tabung yang dinamakan Tabung Mawaddah yang Timbalan Pengerusinya ialah En. Rizuan yang hadir sama pada pagi ini. Tabung Bank Muamalat ini ialah bertujuan kebajikan. Permohonan Masjid Al-Umm diproses, al-hamdulillah, menut Dato` Izani, kelulusan telah dibuat oleh pihak Lembaga kelmarin dan bayaran ke Bank akan dapat dilakukan kemungkinan esok.
Menurut Dato` Izani, Bank Muamalat adalah dua bank Islam yang sepenuhnya beroperasi secara Islam. Selain dari Bank Muamalat ialah Bank Islam Malaysia. Seterusnya dengan jumlah yang disumbangkan oleh Bank Muamalat ini beliau  berharap dapat menampung kekurangan kewangan Masjid Al-Umm dan  Masjid akan segera dapat digunakan.
Selepas ucapan ringkas beliau menyampaikan mock cek kepada Bendahari Masjid Al-Umm bersama Pengerusi dan jawatankuasa yang lain.
Sebelum acara ringkas dijalankan, sementara ketibaan Dato`Izani dan isteri, En Rizuan yang tiba lebih awal sebelumnya telah diberi penerangan tentang perkembangan pembinaan Masjid Al-Umm dan melihat sekitar Dewan Utama yang hampir keseluruhannya telah siap dan berfungsi dengan baik. Semasa minuman ringan selepas acara penyerahan cek dilangsungkan, Dato` Izani dan jawatankuasa yang hadir bercakap berbagai-bagai perkara berhubung dengan masjid dan Bandar Baru Bangi. Acara ringkas itu berakhir jam 11.30 pagi.

Sekian. Terima kasih.

No comments:

Post a Comment