BBB, 09 Sha`ban 1438H. = 06 Mei 2017M. (Khamis):
Dua istilah agak halus maksudnya dari segi
kesufian. Melihat dari segi zahirnya, nafas bererti nafas yang setiap yang
bernyawa bernafas, tetapi di sini adalah dengan maksud tersendiri dari segi
peristilahan tasawuf.
Nafas bermaksud ialah pengrihatan hati dengan
kelembutan-kelembutan secara ghaib bagi tuan bagi nafas. Nafas berkenaan dirasa lebih lembut dan lebih
jernih dan hening dari pengalaman orang yang dalam ahwal. Pemilik waktu adalah
pemula dan pemilik ahwal adalah di antara keduanya . Orang-orang yang berada
pada ahwal adalah melibatkan roh dan
nafas-nafas adalah pada ketinggian peningkatan, maka waktu-waktu ialah
bagi pemilik-pemilik hati dan ahwal-ahwal
mengawasai arwah dan nafas-nafas
bagi ahli-ahli asrar.
Sesungguhnya dalam kehidupan biasa,
kadang-kadang tidak disedari bahawa nafas kita terus berulang keluar masuk,
seolah-olah tanpa disedari. Ini adalah kerana kita dalam keadaan normal dan
sihat. Bila kita sakit yang melibatkan kesusahan bernafas, kita dengan sedar
mengingati kepentingan bernafas dan amat
menghargainya, dan bimbang terganggu pernafasan yang boleh membawa kepada
kematian.
Mekanisme bernafas yang secara terus dan
mudah, seharusnya ianya menjadi lebih mudah dan lawas sebagai kegiatan dan
detik yang berterusan mengingati diri bagi mengingatkan (dzikir) Allah. Sesungguhnya kesedaran dari aspek ini menjadi
tabhil di dalam mentasbihkan Allah dengan nafas dan detik, bahkan kejip mata
sebagaimana diungkapka:
``Subhanallah pada setiap kejip dan pada
setiap nafas seluas dan sebanyak di dalam ilmu Allah.``
Seterusnya bagi mereka melihat, sebaik-baik
ibadat adalah berterusan sebagai gerak (bilangan) dalam mengingati Allah Subhanahu wa Ta`ala.
Mereka berkata Allah menciptakan hati dan
menjadikannya bandingan sebagai `logam` ma`rifat` (mengingatkan kita kepada
sabda Rasulullah s.a.w. membandingkan hati sebagai logam yang boleh berkarat
dan juga dapat digilat) dan tempat asrar dan menjadikannya tempat bagi tauhid,
maka setiap nafas yang terhasil tanpa
menjadi dalil bagi ma`rifah dan isyarat kepada tauhid, maka seolah-olah dia
adalah mati hatinya dan tuannya disoal
berhubung dengannya.
Berhubung dengan huraian berkenaan dengan
hati ini diulas oleh Muhammad `Uthman El-Muhammady di dalam Akademika, UKM, Bil.
1`, Julai 1972 terhadap konsep pendidikan sebagai pendekatan dilakukan oleh Shaykh
`Abdul Samad al-Falimbani di dalam kitabnya Siyar al-Salikin , bahawa
pendidikan Islam - termasuk tasawuf
adalah sebagai usaha membersih hati yang dibandingkan sebagai seketol logam yang terjatuh di dalam kotoran yang
bukan saja kotor, tetapi berkarat. Pendidikan, termasuk tasawuf adalah
proses bagi menghilangkan kotoran dan
karat berkenaan. Pada satu peringkat yang lebih tinggi pendidikan yang lebih
tinggi adalah usaha bagi menggilatkan logam berkenaan dari berkarat menjadi
bersih dan berkilat. Menurut Shaykh `Abdul Samad al-Falimbani penggilatan hati,
dimaksudkan juga penggilatan melalui tasawuf hingga kogam berkenaan dapat
mengeluarkan cahaya. Dengan cahaya ini ianya bukan setakat mnenerangkan kelilingan,
tetapi dengan cahaya ini dapat menarik gambaran-gambaran luaran sebagai
cerminan dan sikap yang perlu diambil. Ini merupakan satu contoh konsep pemurnian dalam tasawuf
melalui pembersihan logam hati.
Di samping pendidikan yang dapat
mentransformkan hati yang kotor kepada yang bersih dan gemerlap, di sana ada
satu lagi aspek hati, yang dikenali dengan `dhamir` atau kita istilahkan
sebagai `Hati Kecil`. Hati kecil ini terbina menurut pembinaan jiwa diri hasil
dari kehidupan dan amalan di dalam hidupnya. Jika dia seorang yang terdidik dan
baik, mengamalkan apa yang disuruh Allah dan meninggalkan apa yang dilarang dan
beramal dengan amalan yang salih, maka hati kecilnya menjadi hati yang baik dan menolak
perkara-perkara yang jahat.
Menurut Al-Qushairy hati menerima khawat*ir
lintasan-lintasan yang baik dan juga
buruk. Jika hati kecil baik dia menolak perkara yang buruk. Hati kecil
seharusnya, jangan dibiarkan menerima perkara jahat, namun kalau trersalah
laku, maka hati kecil ini akan menempelak diri, sehingga timbul rasa tidak
tenteram, lantaran kutukan oleh perkara yang jahat itu, tetapi kalau dikuti
lagi dengan perkara yang jahat, maka penolakan hati kecil, makin berkurang dan
jika berterusan melakukan kejahatan, maka kuasa penolakan akan lemah dan
seorang itu akan kehilangan tenaga pengawal dan pelindung diri yang jika
berterusan perlakuan jahat dan dosa, maka hati kecil seolah-olah mati, dan
sukar dipulih kembali, lantaran memerlukan pemulihan dari segi pendidikan dan
memerlukan latihan yang lama.
Antara elemen-elemen yang merosakkan hati kecil ialah
lintasan dan bisikan syaitan yang menghasut diri dengan elemen-elemen nafsu
yang jika iman tidak teguh, maka benteng akan rubuh dan individu berkenaan
boleh terjerumus ke dalam amalan-amalan yang mungkar. Antara perkara yang boleh
merosakkan benteng hati kecil, ialah mainan iblis terhadap hati kecil, antaranya menimbulkan
waswas di dalam berbagai perkara. Misalnya waswas dari segi mengambil wudhu`
yang kerana waswas mengambil masa yang panjang dan masih tidak puashati, begitu
juga di dalam menunaikan solat, misalnya tidak dapat bertakbir –takbiratul ihram,
berulang-ulang kali sebelum dapat menyempurnakan. Ia mengganggu amalan ibadat,
bahkan tidak dapat melakukannya dengan
sempurna. Adalah lebih merbahaya
jika bisikan iblis ini membawa kepada waswas dan keraguan dari aspek-aspek akidah yang
membawa kerosakan dari segi akidah. Hati kecil juga menjadi fokus bagi syaitan menggoda diri seseorang
dengan elemen-elemen nafsu terutama yang bersifat ammarah yang membawa kepada terpengaruh dengan perkara-perkara yang
mungkar.
Al-Qushairy menampilkan istilah nafas dan
khawatir (lintasan-lintasan), agar kita memahami konsep nafas dan bagaimana
ianya dapat diaplikasikan di dalam ibadat dan amalan-amalan kerohanian,
sebagaimana ia juga membicarakan tentang istilah `khawatir` lintasan-lintasan
agar kita mengenalinya dan memberi ruang kepada kebaikan dan menutupnya dari
diselinapi oleh iblis dan syaitan agar kita tidak terpengaruh dengan
perkara-perkara negatif yang menjadi mainan iblis dan syaitan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment