May 31, 2017

MENGUMPAT: KEKEJIAN MENGALIR MELALUI LISAN


BBB, 04 Sha`ban 1438H. =  30 Mei 2017M. (Selasa):
Sebagaimana telah dibicarakan nelalui pendekatan hati yang keji atau rosak atau diistilahkan juga oleh Al-Qur`an sebagai `Shajarah Khabithah`  -`Pokok Ya ng Keji` (Ibrahim: 26) yang akarnya tercabut dari bumi, maka demikianlah orang yang rosak hatinya, maka kerosakkannya pula keluar dari berbagai bahagian diri. Salah satu medium yang turut sama menyalurkan kekejian dalaman hati orang yang rosak ini ialah mulut. Kekejian keluar melalui percakapan atau kalam.
Bagi jiwa yang baik dia tidak bercakap kecuali diperlukan dan bercakap perkara yang baik dan jika tidak perlu lebih baik berdiam diri. Adapun jiwa yang rosak, maka salah satu bagi mengeluarkan kebusukan dan kekejian dalaman ialah melalu lisan. Antara konsep  `ammarah bi al-su`  ini ialah melalui apa yang diistilahkan ialah `Al-Ghibah`, iaitu mengumpat.
Mengumpat ialah mengatakan sesuatu tentang seseorang tanpa berdepan dengannya mengenai perkara  yang tidak disukainya.
Timbulnya mengumpat ada pertalian dengan rasa hasad dengki terhadap orang yang diumpat agar maruahnya jatuh dan boleh merosakkannya. Perkara yang asalnya bersifat dalaman, keluar melalui lisan dan percakapan. Perkara yang diperkatakan mungkin benar dan sepatutnya dirahsiakan bagi menjaga maruah orang berkenaan, tetapi ianya diambil peluang oleh yang hasad itu mengumpat dengan maklumat yang diketahui bagi menjatuhkan kedudukan orang yang diumpat.
Jika apa yang diperkatakan oleh orang yang mengumpat tidak benar, maka orang yang bercakap tentang orang yang diumpat itu sudah bersifat dusta dan dia menerima dua dosa besar. Dosa mengumpat dan dosa berdusta.
Mengumpat juga membawa kepada persengkitaan, bukan saja antara yang mengumpat dan yang kena umpat, tetapi lebih daripada itu, ianya boleh membesar kepada fitnah dan perbalahan antara pendukung kedua-dua belah pihak. Jika tercetusnya perkelahian dan penggunaan senjata ianya boleh membawa kepada pembunuhan dan sebagainya yang perkara ini boleh dibawa kepada pihak pengadilan.
Al-Qur`an menyifatkan perbuatan mengumpat sebagaimana diangkat oleh Al-Qushairy  ayat berikut bermaksud:
``Dan janganlah mengumpat setengah  kamu akan setengah yang lain. Adakah suka salah seorang daripada kamu  memakan daging saudaranya yang mati, maka tentulah kamu tidak menyukainya. Dan takutlah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah Amat Memenerima Taubat lagi  Amat Mengasihani.`` (Al-Hujurat:  12).
Demikianlah begitu jijiknya perbuatan mengumpat sehingga Allah membandingkan jijiknya perbuatan mengumpat sebagai memakan daging saudara yang telah mati !.
Mengkhabarkan kami  Abu Sa`id Muhammad bin Ibrahim al-Isma`ili berkata, mengkhabarkan kami Abu Bakar Muhammad bin al-Husain bin al-Hasan bin al-Khalil, berkata, bercakap kepada kami `Ali bin al-Hasan berkata, bercakap kepada kami Ishaq bin `Isa Ibn Binti Da`wud bin Abi Hind berkata, bercakap kepada kami Muhammad Ibn Abi Hamid daripada Musa bin Wardan daripada Abi Hurairah,
``Bahawa seorang lelaki berdiri sedang dia bersama Rasulullah s.a.w. sebelum daripada itu dia duduk, maka kata setengah mereka (kaum), ``Alangkah lemah sianu itu !``. Maka bersabda Rasulullah s.a.w. ``Dengan kamu mengumpatnya, kamu memakan daging saudara kamu.``
Allah Ta`ala telah mewahyukan kepada Nubi Musa a.s.
``Siapa yang mati dan bertaubat daripada mengumpat, maka dialah yang terakhir masuk syurga. Dan siapa yang mati, sedangkan dia sebelumnya adalah berterusan mengumpat, maka dia adalah yang awal masuk neraka.``
Demikianlah besarnya dosa orang yang mengumpat, lantaran mengumpat boleh merosakkan  reputi seorang di mata masyarakat, apa lagi jika umpat dimaksudkan tidak benar.
Konsep umpat, memang asalnya adalah turunnys sifat kekejian umpat ini melalui lisan dan percakapan yang mengandungi umpatan.
Walau bagaimana umpatan juga berlaku melalui tanpa suara. Ianya boleh melalui tulisan sama ada bersifat surat atau melalui akhbat yang kesannya lebih luas penyebarannya.
Dalam zaman komunikasi canggah sekarang. Mengumpat yang bersifat fitnah dan dusta dapat disebarluaskan melalui media letronaik seperti radio dan tv dan kini alat komunikasi lebihj canggih dengan menggunakan berbagai kaedah seperti wasup dan kaedah-kaedah yang seumpamanya dapat disebarkan secara segera dan pantas serta meluas. Mengumpat sama ada secara pendekatan tradisi atau pendekatan canggih seperti sekarang, maka perbuatan mengumpat tetap salah dan hukuman terhadap yang bersalah dapat diambil, terutama oleh pihak yang berkuasa untuk mengelak dari tersebarnya fitnah dan berita palsu. Mengumpat tetap salah baik secara tradisi atau pendekatan moden kini.
Cuma perlu diingat sebagaimana diperingat oleh Al-Qur`an dan Hadith Nabi atau berbagai cara kaedah komunikasi moden, bahawa sebelum mengambil tindakan untuk mengumpat apa lagi  fitnah, maka hendaklah dinilai dan difikir terlebih dahulu apa yang dijadikan bahan itu benar atau palsu, menjadi sensitif kepada orang atau menjatuhkan maruah seseorang atau tidak, supaya pihak bercakap dinilai  sama ada termasuk di bawah mengumpat atau tidak.
Sebarang kesalahan yang dibuat mungkin diambil  tindakan oleh yang kena fitnah. Jika perkata yang berhubung dengan mengumpat melibat orang ramai dan melibatkan kerajaan, maka sudah tentulah tindakan akan diambil oleh pihak pemerintah agar perbuatan mengumpat tidak berleluasa dan ketenteraman dapat dikawal.
Balasan mengumpat diambil tindakan di dunia dan lebih-lebih lagi  tindakan dikenakan di akhirat.
Jauhi dari mengumpat agar kehidupan selamat.

Sekian.

No comments:

Post a Comment