June 1, 2017

AL-QANA`AH SIFAT KAYA JIWA, MESRA BERSAMA


BBB,  05 Ramadhan 1438H. = 31 Mei 201`7M. (Rabu):
AL-Qana`ah tidak dibicarakan sebagai satu judul baik di dalam Al-Luma` oleh Al-Sarraj atau di dalam Al-Ta`arruf oleh Al-Kalabadzi. Ianya adalah hal dan manifestasi  kaya jiwa yang bersifat qana`ah yang  mencukupi dan memada. Ia berpendekatan seperti tawadhu`  dan redha` dan bercanggah dengan sifat tamak. Al-qana`ah mencerminkan kerelaan serta kesyukuran dengan apa yang dikurniakan Tuhan. Sifat qana`ah walaupun mencerminkan  dalaman, tetapi ia termanifestari kepada luaran. Misalnya gaya hidup yang sederhana dan tidak menunjuk-nunjuk. Dia mungkin seorang yang berada, tetapi keberadaannya tidak membezakannya dari orang lain.
Al-Qushairy membicarakan sifat qana`ah dengan memetik firman Allah yang bermaksud:
``Siapa yang beramal salih daripada lelaki atau perempuan sedang dia seorang mu`min, maka Kami menghidupkannya di dalam kehidupan yang baik.`` (Al-Nahl: 97).
Menurut Al-Qushairy, kebanyakan ahli tafsir berpendapat bahawa `kehidupan yang baik di dunia` ialah al-qana`ah. Jika kebalikan nafsu tak pernah merasa kecukupan dan tiada kepuasan. Maka tiada ketenteraman.
Al-Qushairy mengukuhkan pendapat tentang qana`ah dengan Hadith Rasulullah s.a.w.
Mengkhabarkan kami Al-Shaykh Abu `Abdil Rahman al-Sulami berkata, bercakap kepada kami Abu `Amrin Muhammad bin Ja`far bin Mat*ar berkata, bercakap kepada kami Muhammad bin Musa al-Khalawati berkata, bercakap kepada kami `Abdullah bin Ibrahim al-Ghifari daripada al-Munkadir bin Muhammad daripada bapanya daripada Jabir bin `Abdullah berkata, bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Qana`ah ialah perbendaharaan yang tidak binasa.``
Dan sebuah lagi Hadith Rasulullah s.a.w. , mengkhabarkan kami oleh Abu al-Hasan al-Ahwazi berkata, bercakap kepada kami oleh Ahmad bin `Ubaid al-Bas*ri  berkata, bercakap kepada kami `Abdullah bin Ayyub al-Qarli berkata, bercakap kepada kami Abu al-Rabi` al-Zahrani berkata, bercakap kepada kami Ismail bin Zakariyya daripada Abi Raja`dari Bard bin Sinan dari Makhul  dari  Wa`ilah bin al-Asqa` daripada Abi Hurairah r.a. berkata:
Bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Jadilah engkau orang yang wara` engkau dihormati manusia, dan jadilah orang yang qana`ah  engkau disyukuri oleh manusia, sebaik-baik manusia apa  yang engkau suka bagi diri engkau. Hendaklah engkau menjadi orang mu`min dan buat baiklah dengan jiran-jiran engkau yang berjiran dengan engkau, jadilah seorang muslim dan kurangkan ketawa, kerana dengan banyak ketawa mematikan hati.`` (Dikeluarkan oleh al-Baihaqi daripada Abi Hurairah).
Dikatakan, Orang-orang fuqara` adalah mati melainkan yang mengihya`kan Allah Ta`ala dengan kemuliaan qana`ah.
Berkata Bish al-H*afi ialah jalan yang tidak berlaku melainkan pada hati orang mu`min.
Aku mendengar Muhammad bin al-Husain berkata, aku mendengar `Abdullah bin Muhammad al-Sha`rani berkata, aku mendengar  Ishaq bin Ibrahim bin Abi Hassan al-Anmat*i  berkata, aku mendengar bin Abi al-Hawari berkata, aku mendengar Aba Sulaiman al-Darani berkata,
``Al-Qana`ah ialah orang yang redha dengan kedudukan wara` daripada zuhd, ini ialah seawal redha dan ini juga seawal zuhud..
Dan dikatakan, Al-Qana`ah ialah tenang tatkala tiada yang mendekati.
Dan berkata Abu Bakar al-Maraghi, berkata, ``Orang yang berakal ialah yang bertadabbur perkara dunia dengan berqana`ah dan tidak tergopoh-gapah dan dengan perkara akhirah dengan loba dan segera, dengan perkara agama dengan ilmu dan ijtihad.``
Dan berkata Abu `Abdillah bin Khafif berkata, ``Tinggalkan peninjauan terhadap perkara yang luput dan merasa kaya dengan apa yang ada.
Dan dikatakan maksud firman Allah bermaksud;  Dan Allah merezekikan mereka dengan rezeki yang elok (Al-Hajj: 88) bermaksud ialah qana`ah.
Dan berkata Muhammad bin `Ali al-Tirmidzi, ``Al-Qana`ah ialah redha  diri dengan  apa yang dibahagi kepadanya daripada rezeki.``
Dan dikatakan juga, ``Al-Qana`ah ialah memada dengan apa yang ada dan menghilangkan tamak pada barang yang tidak terhasil.``
Berkata Dzu al-Nun al-Mis*ri, ``Siapa berqana`ah dia rehat dari gangguan ahli zaman. Dia kekal dengan  kawan-kawannya.
Dan dikatakan, ``Siapa yang menjual loba dengan qana`ah dia mulia dan bermarwah.``
Dikatakan qana`ah ialah  yang tidak kisah dengan apa yang ada ditangan manusia. Tak kira berapa, maka dipuisikan:
Sebaik pemuda  walau  tiada apa
Dia tetap bersifat kaya dan mulia.``
Dapatlah dikatakan qana`ah sifat mulia yang seharusnya tertanam dalam jiwa. Dengannya dapat mengimbangi diri dan jiwa dari bersifat tamak haloba, sebaliknya tersemai dalam diri sifat mulia seperti tidak lokek dengan kelebihan kurnia bagi dinikmati orang lain. Dia tidak membazir dan menggunakan apa yang dikurnia secukup ada dan redha. Dengan demikian yang ada senang dengan kurnia dan merasa bahagia dan mengkurnia kepada yang memerlukan. Dengan demikian lebih bererti makna bahagia yang dikecapi bersama.
Qana`ah redha dengan penerimaan dan tidak lokek dengan pemberian. Berbahagia lebih bermakna bila dinikmati bersama.``

Sekian.

No comments:

Post a Comment