May 17, 2017

WARA` BENTENG KAWALAN DARI PENCEROBOHAN


BBB,  19 Sha`ban 1438H. = 16 Mei 2017M. (Selasa):
Al-Wara`  menurut Al-Sarraj adalah terletak di bawah al-maqam.  Al-Wara` juga adalah menjadi judul bagi sebuah kitab Ahmad bin Hanbal. Tiada hujah dari ayat Al-Qur`an dikemukakan oleh Al-Qushairy, sebaliknya dikemukakan Hadith bahawa,
Mengkhabarkan kami oleh Abu al-Husain `Abdul Rahman bin Ibrahim bin Muhammad bin Yahya al-Muzakki berkata, mengkhabarkan kami Muhammad bin Da`wud bin Salman al-Zahid berkata, mengkhabarkan kami Muhammad bin al-Husain bin Qutaibah berkata, bercakap kepada kami Ahmad bin Abi T*ahir al-Khurasani berkata, bercakapkan kami Yahya bin al-`Izar  berkata, bercakap kepada kami Muhammad bin Yusuf al-Qurbabi daripada Sufyan daripada al-Ajlah daripada `Abdillah bin Buraidah daripada Abi al-Aswad al-Da`uli daripada Abi Dzarr berkata,
Bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Daripada kebaikan Islam seseorang dia meninggalkan apa yang tidak berkenaan dengannya.``
Berikutnya dipetik pendapat dari kalangan sufi tentang wara`.
Berkata Al-Ustadz al-Imam r.a. ``Adapun wara` ialah meninggal perkara shubhah.``
Demikianlah kata Ibrahim bin al-Adham, ``Wara` ialah meninggalkan tiap-tiap shubhah dan meninggalkan apa yang tidak berkenaan dengan engkau, iaitu meninggalkan kelebihan-kelebihan.``
Dan berkata Abu Bakar al-S*iddiq r.a. ``Adalah kami meninggalkan tujuh puluh bab  daripada halal, kerana takut kami terjatuh pada satu bab daripada haram.``
Dan bersabda Nabi s.a.w. kepada Abi Hurairah, bermaksud:
``Jadilah wara`, engkau dihormati manusia.``
Seterusnya hujah yang lain, Aku mendengar al-Shaykh Aba`Abdil Rahman al-Sulami berkata, aku mendengar Aba al-`Abbas al-Baghdadi berkata, aku mendengar Ja`far bin Muhammad berkata, aku mendengar Al-Junayd berkata, aku mendengar al-Sarri berkata,
``Adalah orang wara` pada masa mereka empat: Huzaifah al-Mar`ashiyy, dan Yusuf bin al-Asbat*, dan Ibrahim bin al-Adham dan Sulaiman al-Khawas*s*, maka mereka melihat tentang kewarakan sebagai ilmu yang menyempitkan mereka berbagai perkara, maka mereka takut dan lebih selesa dan mensedikitkan.``
Dan aku mendengarnya berkata, aku mendengar Aba al-Qasim al-Dimashqi berkata, aku mendengar Shibli berkata, ``Wara ialah engkau mewara`kan daripada perkara yang  selain daripada Allah Ta`ala.
Katanya, aku mendengar Aba al-Husain  al-Farisi berkata, aku mendengar Ibn Ghalwiyyah berkata, aku mendengar Yahya bin Mu`adz berkata, ``Wara` di atas dua wajah. Wara` pada zahir, bahawa dia tidak bergerak melainkan bagi Allah Ta`ala, dan wara` pada batin, bahawa tidak masuk di dalam hati engkau selain daripada Allah Ta`ala.``
Dan berkata Yahya bin Mu`adz, ``Siapa yang tidak melihat pada kehalusan daripada wara`, dia tidak sampai kepada Rabb al-Jalil daripada kurniaan.``
Dan berkata Yunus bin `Ubaid, ``Wara` ialah keluar daripada tiap-tiap shubhah dan muhasabah diri daripada tiap-tiap kejipan mata.``
Berkata Sufyan al-Thauri, ``Aku tidak melihat perkara yang terlebih mudah daripada wara`, apa yang meragukan diri engkau, engkau tinggalkannya.``
Dan berkata Ma`ruf al-Karkhi, ``Jagalah lidah engkau daripada pujian, sebagaimana engkau jaganya daripada dosa.``
Mengkhabarkan kami Ahmad bin Muhammad bin Yahya al-Sufi berkata, aku mendengar `Abdullah bin `Ali bin Yahya al-Tamimi berkata, aku mendengar Ahmad bin Muhammad bin Salim di Basrah berkata, disoal Sahl bin `Abdullah dari segi halal yang bersih, maka katanya, ``Dia yang tidak menderhakai Allah Ta`ala, dan kata Sahl, ``Halal yang bersih ialah yang tidak melupai Allah padanya.``
Dan masuk Hasan Basri ke Makkah, dia melihat seorang anak daripada anak-anak `Ali bin Abi Talib r.a. dia menyandarkan belakangnya ke Ka`bah memberi nasihat kepada orang ramai. Maka bertanya Al-Hasan, ``Apakah pengukuhan dalam agama, maka jawabnya `al-wara`, lalu  dia bertanya lagi, ``Apakah yang merosakkan agama ?, maka jawabnya, `tamak` ``. Hasan kagum dengan jawapannya.
Sesungguhnya wara` adalah merupakan, maqam yang mulia. Berlakunya wara` pada diri yang berhias dengan sifat ini menandakan sifat prihatin yang ada pada diri berkenaan. Jiwanya mengatasi jiwa biasa. Dia prihatin terhadap kebersihan bermula dari amalan harian  seperti makan minum. Ianya dipastikan tentang halal dan haram agar sumber bagi kehidupan dan tumbesar diri tidak bersumberkan perkara yang haram.
Dari perkara yang melibatkan perkara lahir, wara` melibatkan perkara batin yang lebih halus. Misalnya yang melibatkan dengan akhlak diri. Dia mempastikan diri tidak bersifat sombong. Mempastikan diri melakukan sesuatu terutama melibatkan orang ramai bersifat ikhlas dan tidak ingin dipuji, kerana ianya boleh merosakkan keikhlasan dan amalan.
Pembawaan wara` adalah bukan sesuatu yang dipaksa, kalau tidak ianya dikatakan berpura-pura. Perlakuan wara` adalah pancaran dari dalaman yang memang tidak senang  dengan sesuatu yang tidak pasti, shubhah dan meragukan. Jika sedikit berlaku, maka hati kecil akan menempelak diri dan menjadikan diri tidak tenteram. Sifat wara` adalah penjaga dan pengawal diri yang jika diibarat diri sebagai rumah, wara` adalah pagar luar yang dapat mengawal dari pencerobahan. Ia adalah lapisan tambahan dari dinding rumah sebagai lapisan yang sudah bertujuan untuk mencegah dari pencerobohan.
Wara` adalah maqam mulia yang merupakan perjalanan kualiti diri ke arah yang lebih tinggi yang dapat meningkat kepada zuhud.

Sekian.

No comments:

Post a Comment