July 7, 2017

KASHFU AL-MAHJUB - MENYINGKAP PERSOALAN TERTUTUP


BBB, 12 Syawal 1438H. =  06 Julai  2017M. (Khamis):
Sebuah lagi `Turath Tasawuf` yang penting ialah Kashfu al-Mahjub, bermaksud `Menyingkap Persoalan Tertutup` dihasilkan oleh Abul Hasan `Ali bin `Uthman bin `Ali al-Ghaznawi al-Jullabi al-Hujwiri yang berkelahiran Ghaznawi (m. 456H.). Panggilan ringkasnya ialah Al-Hujwiri.  Beliau adalah sezaman dengan  Abu al-Qasim `Abdul Karim bin Hawazin al-Qushairy( (m. 465H.), iaitu zaman berkembang pesatnya  keilmuanm tasawuf.
Satu perbezaan dari karya-karya yang telah kita bicarakan adalah semuanya dihasilkan di dalam bahasa `Arab, tetapi karya Kashfu al-Mahjud adalah satu-satunya karya tasawuf tertua tertulis di dalam bahasa Parsi. Bahasa Parsi adalah bahasa kedua pentingnya  di negara Islam dan tersebar luas bukan saja di Parsi, tetapi di kawasan-kawasan wilayah budaya Parsi seperti di India (Ghaznawi) hinggalah  ke Afghanistan dan negara-negara Islam yamg berdekatan. Al-Hujwiri, walaupun menulis dalam bahasa Parsi adalah pendukung aliran Sunni dan berpegang pada Madzhab Hanafi.
Naskhah yang asalnya ditulis di dalam bahasa Parsi telah diterjemahkan ke dalam bahasa `Arab. Kajian terhadap naskhah Kashfal-Mahjub telah pernah dilakukan  oleh Raynold A.Nicholson pengkaji orientalis terkenal dan pernah menerbitkannya  di dalam versi bahasa Inggeris, terbitan oleh Islamic Book Foundation, Lahore, Pakistan (1982). Berdasarkan terjemahan ini ianya juga diterjemahkan di dalam, versi Indonesia oleh Suwandjo Muthary dan Abdul Hadi W.M. dan diterbitkan oleh Penerbit Mizan, Indonesia (1416H./1995M.).
Tidak banyak latarbelakang mengenai al-Hujwiri ditulis, kecuali apa yang dicatat oleh Al-Hujwiri di dalam karangan-karangannya, khususnya Kashfu al-Mahjub. Maklumat melalui karangannya.
Al-Hujwiri mengembara diberbagai  negara Islam bagi mendapat ilmu pengetahuan, bergerak  dari tanah kelahirannya di Ghaznawi hingga ke Syria ke Turkistan, dari India ke  kawasan Laut Kaspian. Dia pernah ke Iraq dan ke Azerbaijan dan akhirnya meninggal di Lahore, India.
Dia meminati tasawuf dan mendapat bimbingan bidang kerohanian tersebut dari beberapa guru yang disebutnya iaitu Abu al-Fadhli Muhammad bin al-Hasan al-Khattali, Abu al-`Abbas Ahmad bin Muhammad al-`Ashquni, Abu al-Qasim al-Jurjani dan Khawaja Muzaffar .
Kashfu al-Mahjub sebagaimana dibayangkan dari maksud tajuk buku ini – ` Menyingkap Persoalan Tertutup` ialah cerminan dari pengalaman Al-Hujwiri di dalam penghidupan keilmuannya, khususnya dari segi kerohanian, bahawa dia bertembung dengan berbagai-bagai persoalan kerohanian, antaranya yang ditimbulkan oleh kawan-kawannya. Jadi Kashfu al-Mahjub, bertujuan bagi memjelas berbagai persoalan kerohanian yang ditimbulkan.  Penerangan seumpamanya juga dilakukan oleh Al-Qushairy di dalam Al-Risalat Al-Qushairiyyah tokoh sufi sezaman dengan Hujwiri.
Walau bagaimana Al-Hujwiri sebagai tokoh sufi yang datang lebih kemudian tidak terpisah dari apa yang trelah dibina pendekatan-pendekatan sufi terdahulu, beliau menambah sempurna kepada yang telah terbina selama ini.
Ada dua bahagian utama dari pendekatan yang dibuat Al-Hujwiri.
(Sebelumnya sebagai pembukaan yang baik sebagai tempat bertolak membicarakan tasawuf Al-Hujwiri memulakan pembicaraan ialah dengan membicarakan tentang pentingnya ilmu. Ianya sebagai pengenalan bagi  mengenali ilmu dan  mengenali bagi ilmu tasawuf itu).
Bahagia utama ialah bertolak dari asas dan tradisi tasawuf yang telah terbina ia merupakan lebih separuh dari pembicaraan( 14 bahagian), manakala selebihnya bahagian kedua  (11 bahagian) ialah menyingkap persoalan-persoalan yang mencerminkan judul bagi Kashfu  al-Mahjub.
Bahagian pertama sebagai latar bagi pendekatan tradisi ketasawufan yang terbina, Al-Hujwiri membicarakan tentang apa itu tasawuf. Kefakiran yang merupakan imej utama bagi tasawuf diberi penekanan dari segi huraian oleh Al-Hujwiri (tiga dari 25 bahagian).
Perkara yang diberi keutamaan oleh al-Hujwiri di dalam bahagian awal, ialah membicarakan tentang tokoh-tokoh sebagai model-model atau tokoh-tokoh bagi sufi. Tokoh-tokoh ialah para sahabat-Nabi dan ahlu al-suffah. Selain dari sahabat Al-Hujwiri menekan konsep imam dari ahlu al-bayt, Imam-imam kalangan tabi`in, sesudah tabi`in dan sufi-sufi mutakhir. Menyebut tentang imam-imam  ini mengingatkan kita konsep berkenaan yang menjadi keutamaan di dalam pendekatan ahlu al-bayt dan juga shi`ah.
Selepas membicarakan persoalan-persoalan di atas (14 pecahan), maka pada bahagian kedua(11 pecahan) adalah memfokuskan kepada persoalan-persoalan yang menjadi tandatanya  di dalam bidang tasawuf. Ini merupakan kelainan pendekatan yang dibawa oleh al-Hujwiri di dalam Kashfu al-Mahjub.
Menurut Raymond A. Nicholson, keistimewaan yang dibawa  oleh al-Hujwiri, bahawa  dia dianggap orang yang awal membicarakan soal madzhab dan aliran yang terdapat di dalam tasawuf. Senelum ini persoalam ini belum dibicarakan oleh pengarang-pengarang tasawuf sebelumnya. Di dalam membicarakan aliran-aliran atau madzhab ini dbicarakan doktrin-doktrin yang mengistimewa dan membezakan antara aliran-aliran yang terdapat di dalam tasawuf.
Satu yang ketara jika sebelum ini persoalan maqamat dan ahwal adalah menjadi fokus utama di dalam tasawuf seperti oleh al-Sarraj di dalam Al-Luma` dan Muhammad al-Kalabadzi di dalam Al-Ta`arruf, maka pendekatan sedemikian tidak diberi penekanan oleh Al-Hujwiri di dalam Kashfu  al-Mahjub.
Kehadiran Kashfu al-Mahjud mevariasikan lagi pendekatan-pendekatan di dalam tasawuf dengan membawa persoalan-persoalan yang baru seperti aliran, madzhab dan doktrin di dalam tasawuf, disamping memperkukuhkan tentang pendekatan sebelumnya seperti membicarakan konsep tasawuf,  istilah-istilah,  dan pembicaraan tentang tokoh-tokoh sufi sebagai model kesufian.

Sekian.

July 6, 2017

PENUTUP - WASIAT KEPADA MURID


BBB,  11 Syawal 1438H. = 05 Julai 2017M. (Rabu):
Mengakhiri kitab al-Risalah al-Qushairiyyah oleh Abu al-Qasim `Abdul Karim bin Hawazin al-Qushairy setebal 218 hlm. (tidak termasuk senarai kandungan) yang membicarakan tentang tokoh-tokoh sufi (83 orang), istilah-istilah dan konsep-konsep tasawuf, maka dibicarakan sebagai penutup ialah wasiat atau pesanan kepada murid-murid. Ia adalah sebagai kewajaran, bahawa ilmu yang dipelajari adalah melalui guru atau guru-guru. Sebagai pengakhiran wajar ada pesanan dari guru kepada murid-murid atau sesiapa yang mengikuti pengajian melalui kitab yang dibicarakan
Kata Ustadz, selepas kita bersama di dalam kelompok atau kaum sufi, antaranya membicarakan bab-bab seperti tentang maqamat, maka kita hendak mengkhatamkan risalah ini dengan wasiat kepada para murid dengan harapan mendapat kebaikan taufiq daripada Allah Subhanahu wa Ta`ala dengan mengamalkannya dan tidak menghalang dari mendirikan apa yang dipelajari.
Paling utama hendaklah bersifat sidq dengan apa yang diterima. Demikian pesan Al-Ustadz Abu `Ali. ``Jangan ada buruk sangka, jangan terbawa kepada kesesatan dan bid`ah. Hendaklah menurut jalan (tariqah) yang dibicarakan dan tidak ada campur aduk dan penisbahan kepada yang lain yang boleh mengelirukan. Guru-guru adalah ahli yang menyampaikan dan murid-murid adalah mengambil dalil ikutan sebagaimana ungkapan puisi:
Meskipun di malam wajahnya benderang
Kegelapan bagi ramai orang bersamaan
Maka manusia dalam kolum kegelapan
Maka dia pembawa obor siang terang.
Di samping mengikuti tariqat tasawuf (apa yang dianjur di dalam Al-Risalah), Al-Qushairy prihatin bahawa murid hendaklah teguh dengan pegangan akidah yang menjadi asas utama dan juga dari amalan shari`ah yang menunjukkan yang diikuti adalah  madzhab Shafie. Semuanya seharusnya  selaras dan tidak bercampur aduk dan berkecelaruan.
Sesungguhnya aku mendengar Al-Shaykh Aba `Abdal-Rahman al-Sulami berkata, ``Sangkaanmu terhadap ilmu para `ulama`  tanpa kefahaman boleh bertukar kepada tuduhan.``
Menurut Al-Qushairy para mashayikh sufi berusaha bersungguh-sungguh membuat pendekatan dari segi tasawuf dan membicarakan segala aspek secara mendalam, maka katanya,
Aku  mendengar Muhammad bin Abi `Ali bin Muhammad al-Maghribi berkata, aku mendengar Muhammad bin `Abdullah al-Farghani berkata, aku mendengar Al-Junayd berkata, ``Kalaulah aku mengetahui ada ilmu yang lebih mulia dan ilmu yang  lebih tinggi dari ilmu tasawuf di bawah kolum langit di muka bumi ini yang kita, saudara-saudara dan sahabat-sahabat  bercakap tentangnya, nescaya aku akan berusaha bagi mendapat keilmuan tersebut.
Al-Ustadz Abu `Ali al-Daqqaq membandingkan, bahawa pokok yang tumbuh dengan sendiri dan tidak dijaga, maka tidak subur tumbuhnya, demikianlah juga dengan murid yang tidak berguru maka tidak berkembang ilmunya, bahkan dipersoalkan kesahihannya.
Daripada kewajipan guru ialah melihat kemampuan dan kelayakan murid dan memberi bimbingan  dengan keilmuan yang disampaikan dan bagi pihak murid mematuhi apa yang diajar dan diminta oleh guru melakukan tugasan-tugasan yang dikenakan.
Pihak murid hendaklah menjaga adab dirinya dengan guru, misalnya bila menziarah dan berada di dalam majlis keilmuan , maka hendaklah  menghormati guru dan berkhidmat bagi kemudahan guru. Murid pula hendaklah berusaha menepati kehendak guru dan  menerima  ilmu dan mempraktikkannya. Murid hendaklah mengelak diri dari mempertikai guru dan elak dari berlaku percanggahan pendapat dengan  guru. Maruah diri guru hendaklah dipertahan sama ada dalaman lebih-lebih terhadap pihak luar.
Guru pula hendaklah membimbing murid, menyedar dan membaiki kekejian yang ada pada murid seperti tabiat dan akhlak yang tidak baik kepada pembaikan  yang lebih baik. Murid juga perlu mengawal diri  dan batas-batas pergaulan. Misalnya perlu memilih sahabat yang sama haluan dalam pengajian dan jangan dibiar diri dipengaruhi luar sehingga mengganggu pengajian  yang mungkin menyebabkan meninggalkan pengajian.
Murid juga digalakkan menyantuni kalangan orang susah dari kalangan fuqara` dengan menyelami hati budi dan jiwa mereka. Dengan mendekati,  memahami dan membantu mereka banyak pembelajaran,  rasa kasih sayang dan rasa kemanusiaan dapat terpupuk dalam jiwa.
Al-Qushairy juga membicarakan, bahawa murid hendaklah menjaga makan minum mereka dan mengelak diri dari memakan minum dan terlibat di dalam perkara syubhah, kerana ini akan menggelapkan jiwa. Dengan melibatkan perkara yang syubhah mudah terbawa kepada perkara-perkara haram yang boleh merosakkan jiwa dan peribadi murid. Kata Al-Qushairy, bagi murid  hendaklah berterusan mujahadah melawan hawa nafsu yang dapat mengganggu konsentrasi pada pengajian. Murid juga hendaklah berusaha menahan dari kemahuan-kemahuan yang tidak bersesuaian dan memendekkan angan-angan. Murid pendeknya perlu memahami kesabaran dan mempraktikkannya di dalam pengajian, bahkan di dalam penghidupan. Demikian antara intisari wasiat yang ditujukan kepada murid-murid  yang menekuni diri di dalam bidfang kerohanian. Insya Allah mereka diberkati. Mereka  insya Allah menjadi obor rohani dan elok pekerti.
Al-Hamdulillah Al-Risalah al-Qushairiyyah yang dihasilkan oleh Abu al-Qasim  `Abdul Karim bin Hawazin  yang disifatkan sebagai al-Imam yang meghimpunkan antara Shari`at dan Haqiqat, memperluaskan lagi runglingkup dan pembicaraan yang telah dibicarakan sebelumnya seperti oleh  Al-Muhasibi dengan Al-Ri`ayah, Abu Nas*r al-Sarraj al-T*usi dengan Al-Luma` dan al-Kalabadzi dengan al-Ta`arruf. Al-Risalah al-Qushairiyyah bolehlah diibaratkan sebagai Ensiklopedia ringkas dan permulaan bagi keilmuan tasawuf yang mana diberi tumpuan oleh Al-Qushairy dengan membicarakan istilah-istilah, konsep-konsep dan senarai tokoh-tokoh sufi . Al-Risalah  memberi panduan bagi mereka yang mengikuti keilmuan tasawuf berikutnya.

Sekian.

July 5, 2017

TENTANG RU`YA DAN MIMPI


BBB, 10 Syawal 1438H. =  04 Julai 2017M. (Selasa):
Al-Qushairy turut membicarakan tentang  `Ru`ya` dan `Mimpi` . Dua istilah ini digunakan menurut Al-Qushairy bagi membezakan antara ru`ya (mimpi benar) dan  mimpi (biasa an dan palsu).
AL-Qushairy bertolak pembicaraan dari ayat Al-Qur`an:
``Lahum al-bushra fi al-hatat al-dunya wa fi al-akhirah.`` (Yunus: 64).
Bermaksud: ``Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan di dunia dan di akhirat.`` (Yunus: 64).
Dikatakan bahawa ianya bermaksud `ru`ya hasanah`, ya`ni `ru`ya yang elok`. Yang dilihat oleh sseorang atau diperlihatkan kepadanya.
Behubung dengan Hadith Rasulullah s.a.w.:
Mengkhabarkan kami Abu al-Hasan al-Ahwazi berkata, mengkhabarkan kami Ahmad bin `Ubaid al-Bas*ri berkata, bercakap kepada kami Ishaq bin Ibrahim al-Munqari berkata,, bercakap kepada kami Mansur bin Abi Muzah*im berkata, bercakap kepada kami Abu Bakar bin `Iyash daripada `As*im daripada Abi S*alih daripada Abi al-Darda` berkata,
``Aku bertanya  Nabi s.a.w. tentang ayat ini, ``Lahum al-bushra fi al-hayat al-dunya wa al-akhirah.` Maka bersabda Rasulullah s.a.w. ``Tidak bertanya kepadaku seseorang tentangnya sebelum engkau. Dia ialah ru`ya yang elok, dilihat oleh seseorang atau diperlihatkan kepadanya. (Riwayat Tirmidzi, T*abrani dan Ahmad).
Juga Hadith Rasulullah s.a.w.:
Mengkhabarkan kami al-Sayyid Abu al-Hasan Muhammad bin al-Husayn al-`Alawi, berkata, mengkhabarkan kami Abu `Ali al-Hasan bin Muhammad Zaid, berkata, bercakap kepada kami `Abdullah bin al-Walid daripada Sufyan daripada Yahya Ibn Sa`id daripada Abi Salmah, daripada Abi Qatadah berkata:
``Bersaba Rasulullah s.a.w. `l-Ru`ya min Allah wa al-hulami min al-shaitan.` (Riwayat Al-Bukhari)`
Bermaksud:
``Ru`ya daripada Allah dan mimpi daripada syaitan.``
Juga Hadith Nabi s.a.w.
Mengkhabarkan kami oleh Abu Bakar Muhammad bin Ahmad bin `Abdus al-Muzakki berkata, bercakap kepada kami Abu Ahmad al-H*amzah bin al-`Abbas al-Bazzar berkata, bercakap kepada kami `Iyash bin Muhammad bin Hatim berkata, bercakap kepada kami `Abdullah bin Musa berkata, bercakap kepada kami Isra`il daripada Abi Ishaq daripada Abi al-Ah*was* dan  Abi `Ubaiad daripada `Abdullah bin Mas`ud berkata, bersabda Rasulullah s.a.w. (bermaksud):
``Siapa yang meru`ya daku di dalam tidur, maka dia melihat daku, kerana syaitan tidak boleh menyamar pada rupaku.`` (Diriwayat oleh Al-Tirmidzi).
 Berkata Al-Ustadz Abu `Ali al-Daqqaq, tatkala berkata Ibrahim kepada Isma`il `alayhima al-salam. ``Wahai anakanda aku melihat (ru`ya) i dalam tidur bahawa aku menyembelih engkau.`` Maka kata Isma`il,  wahai ayahanda inilah bahagian bagi siapa yang tidur  demi kekasihnya, kalaulah tidak sempurna, necaya tdak disuruh menyembelih anak.
Aku mendengar Al-Ustadz  Aba `Ali berkata, Al-Hariri bermimpi tentang Al-Junayd dalam tidurnya, maka dia bertanya apa khabar, wahai Aba al-Qasim ?  Maka dia berkata, aku memerhati isyarat-isyarat dan  ditambah dengan ibarat dan tidak memberi manafaat kepada kita melainkan dengan bertasbih berterusan masa.
Tentang tidur dibicarakan oleh Al-Qushairy, bahawa ada beberapa jenis tidur; iaitu tidur yang dikatakan tidur lalai, tidur biasa dan keduanya adalah tidak terpuji.
Tidur pula adalah merupakan saudara kepada kematian Lantaran dengan tidur, sebahagian dari diri kehilangan fungsi seperti akal dan kesedaran diri yang dikembalikan apabila jaga.
Firman Allah bermaksud:
``Dan Dialah yang menidurkan kami dimalam hari dan Dia mengetahui apa yang kamu kerjakan di siang hari. ``(Al-An`am: 60).
Firman Allah lagi bermaksud:
``Allah mematikan diri-diri ketika matinya dan yang belum mati di dalam tidurnya.`` (Al-Zumar: 42).
Dari satu segi, tidur yang  biasanya dianggap biasa, lantaran ianya merupakan rutin kehidupan kebiasaan, sebagaimana rutin hari yang bertukar siang dan malam. Oleh kerana tidur dianggap kebiasaan, maka kebiasaannya dianggap biasa.
Seharusnya oleh kerana tidur merupakan sebahagian dari lambang kematian, seharusnya bagi menghadapi kematian, ada persediaan, sebaik-baiknya ianya merupakan tidur yang meneruskan dari segi kebaikan, sebagai penutup bagi menghadapi kematian. Namun kebaikan  bukan boleh dibuat-buat dan dalam masa sekejap, lantaran ianya merupakan kepura-puraan. Kebaikan adalah penerusan dari rutin kehidupan yang baik yang hari diisi dengan kebaikan membawa saat separuh mati (tidur) seharusnya berhujung dengan baik. Hidup yang patuh kepada perintah Allah dan suci diri sebagai persediaan menemui maut dan juga menemui Ilahi.
Kemungkinan berlaku mimpi yang baik adalah berlaku dari diri dan amal yang baik, apa lagi untuk mencapai taraf yang disifat ru`ya.``
Diri ibarat cermin, jika ianya baik dan bersih, maka dengan bersihnya dapat menangkap imej luaran ke dalam secara jelas dan trakam, sebaliknya jika cermin diri dalam keadaan kotor dan kabur maka tangkapan luaran adalah kabur, bahkan tiada kelihatan.

Sekian.

July 4, 2017

TENTANG KARAMAT WALI : KONTROVERSI

BBB, 09 Syawal 1438H. = 03 Julai 2017M. (Isnin):
Karamat berasal dari kata karama bererti mulia, karim bererti yang mulia dan karamat bererti orang mempunyai kemuliaan. Di dalam konteks seorang sufi seorang yang  bersih jiwanya, dekat dengan Allah, banyak beribadat dan membawa nilai-nilai akhlak yang tinggi di sisi Allah. Pada dasarnya seorang yang fokus diri dan jiwanya terhadap Allah adalah ikhlas dan tidak ada tujuan yang lain. Misalnya untuk mendapat keistimewaan tertentu dari Allah dan sebagainya. Jika ada sedemikian, maka tujuannya sudah salah dan keilhlasan dapat dipersoalkan.
Seorang sufi dan kelompok sedemikian dilihat sebagai golongan yang memperhambakan diri terhadap Allah. Kemurnian dan pilihan sedemikian adalah disanjung, namun tiada harapan sanjungan dan ianya bukan tujuan.
Walaupun demikian ada satu hal yang dibicarakan di dalam tasawuf selepas membicarakn puncak-puncak kerohanian yang mungkin dicapai misalnya  secara mahabbah dan shauq, bahawa ada keistimewaan yang mungkin terjadi pada sufi dan di kalangan sufi yang seharusnya tidak timbul dari hasrat mereka. Misalnya Abu Nas*r al-Sarraj al-T*usi di dalam karangannya yang berjudul Al-Luma` memetik  sebagai Sahl bin `Abdullah r.h.a. berkata:
``Al-Aayat ialah bagi Allah, dan mu`jizat adalah bagi para anbiya` dan karamat bagi para auliya dan para mu`minin  pilihan.` (Al-Luma`: 390).
Al-Qushairy memilih pendapat Abu al-Qasim yang dipetiknya:
``Lahirnya karamat di kalangan auliya` (wali-wali) sesuatu yang harus dan dalil bagi keharusannya adalah perkara yang diwahamkan berlakunya dari segi akal secara rasional, melainkan dikaitkan dengan kekuasaan dan kehendak Allah.``
Walaupun perkara karamat dikatakan perkara yang harus berlaku, namun perlu diambil berbagai-bagai perhatian.
Meletakkan para wali yang tidak pasti kriteria pencapaiannya sebagai berada selepas para anbiya` adalah sebagai satu yang tidak menyenangkan akal, hati dan jiwa. Meletakkan para wali-sufi pada kedudukan sedemikian menjatuhkan taraf mereka yang tidak seharusnya disejajarkan dengan para anbiya` yang authoriti mereka diberi dan diakui Allah. Bagaimanakah mereka diletakkan selepas para anbiya`. Bagaimana kedudukan ini diberi dan apakah kriteria kelayakan diberi kepada mereka.
Dengan tidak menafikan tentang rujukan tentang wali terdapat di dalam Al-Qur`an: Contoh ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Ingatlah bahawa wali-wali Allah mereka itu tidak takut dan mereka tidak berdukacita.`` (Yunus: 62).
Juga ayat berikut yang bermaksud:
``Wahai orang-orang beriman jangan kamu mengambil orang-orang Yahudi an Nasara menjadi pemimpin setengah   daripada setengah mereka itu dari segi kepimpinan. Siapa yang mewalikan mereka itu, maka dia sebagai dari kalangan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi pertunjukan terhadap kaum yang zalim. (Al-Ma`idah: 51).
Dalam dua ayat petikan di atas, maka ayat pertama, mungkin termasuk dari kalangan rohaniawan atau kalangan sufi, tetapi tidak semestinya mereka. Manakala ayat kedua wali atau jama` auliya` adalah merujuk kepada kepimpinan  yang memerintah. Sebenarnya wali dan awliya` yang terdapat di dalam Al-Qur`an lebih banyak merujuk kepada yang memerintah, yang berkuasa, yang berhak, yang diberi tanggungjawab, yang berwibawa dan sebagainya.
Jadi konsep wali adalah lebih luas skop dan maknanya dan lebih banyak merujuk kepada yang memerintah dan berkuasa. Maksud huraian, bahawa soal kewaliyan dari segi rohani, memang tidak dinafikan dari kewujudan –  dengan kehendak Allah, tetapi lebih banyak dimaksudkan ialah tentang kekuasaan. Dalam erti kata yang lain, soal kemungkinan yang berlaku perkara-perkara yang pelik-pelik, tidak perlu diberi penekanan dan bukan fokus dan tujuan dari segi kerohanian. Bagi kalangan rohaniawan dan sufi adalah bertujuan membersih diri sebaik mungkin bagi mendekati Allah dan mencintaNya dan tidak ada tujuan seperti untuk mencapai martabat kewalian dan sebagainya. Ianya bukan tujuan dan andainya berlaku ia dilihat pihak luar dan orang yang berkenaan tidak meyedari dan tidak mengetahui.
Kedudukan dan pandangan sedemikian adalah bersesuaian dengan realiti sejarah. Misalnya wujudnya ratusan bahkan ribuan dari segi sahabat yang berjuang menegakkan Islam. Cerita-cerita tentang mereka di dalam sejarah adalah ketokohan mereka dari segi peranan dan kedudukan sebagai sahanat sebagai manusia yang rapat dengan Rasulullah s.a.w. yang berjihad bagi menegakkan agama Islam. Perwatakan mereka adalah manusia biasa yang ikhlas dan setengah daripada mereka gugur di dalam medan jihad. Mereka digambarkan sebagai manusia biasa dan tidak diwarnai dengan perkara yang pelik-pelik hingga kepada taraf kewalian !
Di dalam  Al-Risalah al-Qushayriyyah oleh Al-Qushairy ini antaranya ditimbulkan  mengenai perkara yang ditimbulkan di atas:
``Dan bersalahan pendapat ahli al-khaufi (yang takut kepada Allah) tentang wali,
``Adakah harus bahawa seseorang itu dikenali dengan wali atau tidak ?
Maka adalah Al-Imam Abu Bakar bin  Furik r.h.t.a. berkata, ``Tidak Harus` yang demikian, kerana menjadikannya tidak tenteram dan hilang kehormatan.
Walau bagaimana  Al-Ustadz Abu `Ali al-Daqqaq r.h.t.a.  berkata `Harus` kerana ia memberi kesan yang baik dan disebut-sebut sebagai cobtoh tauladan dan ianya bukan sebagai satu kewajipan bagi semua  kalangan wali.
Persoalan yang boleh ditimbulkan apakah kriteria wali sebenarnya yang menjadi ukuran ?
Andainya ia berlaku pada seseorang adalah bagaimana wajar diakui,  dan lebih tidak wajar diakui oleh seseorang itu sebagai wali.
Kedudukan wali – dari segi kerohanian adalah mungkin wujud, jika dikehendaki Allah, tetapi tidak seharusnya  dan tidak wajar sebarang orang mengakui dirinya Wali !

Sekian.

July 3, 2017

AL-SIMA` - SENI SUARA DAN PENDENGARAN


BBB, 08 Syawal 1438H. =  02 Julai 2017M. (Ahad):
Al-Sima` sebagaimana disebut oleh Al-Sarraj al-T*usi di dalam Al-Luma`, Al-Sima` ialah seni suara dan pendengaran dan tanggapan para pendengar.
Membicarakan tentang Al-Sima` ini memperkukuhkan pendapat penulis bahawa, tasawuf mempunyai hubungan yang rapat dengan seni, bahkan seni dapat mempertingkatkan tasawuf sebagaimana tasawuf juga dapat mempertingkatkan seni. Hubungan ini dapat dilihat bahawa mekanisme tasawuf bagi mempertingkatkan kualiti tasawuf itu adalah antaranya melalui  hati-rohani. Melalui peningkatan maqam-maqam  dan hal-hal meningkatkan kepada mahabbah dan shauq yang ianya tidak lain melalui seni-rohani. Selain dari itu peningkatan melalui rasional-akal yang meningkat kepada ma`rifat  meningkatkan rasa ta`abbudiyyah. Sudah tentulah melalui rasional akli dan ketinggian seni-rohani yang menggabungkan antara keduanya dapat memupuk diri dengan ta`abbudiyyah dan cinta mesra yang lebih meningkatkan diri dalam mendekati Ilahi dan mematuhinya secara ta`abbudiyyah.
Al-Sima` dapat dilihat, ianya satu aspek seni suara yang ditingkatkan dari segi penyebutan, lantaran keindahan dan kemerduan suara, sebagaimana  dapat dilagukan di dalam pembacaan Al-Qur`an. Jangan lupa pendekatan  al-sima` juga berlaku dan dapat dilakukan melalui gubahan melalui kata-kata dan ayat-ayat yang indah, seperti digubah secara kata-kata hikmat dan susunan kata dalam puisi. Lantaran itu kita dapati di dalam huraian mengenai tasawuf, contoh mengenai mahabbah dan shauq dan aspek-aspek yang lain disertai puisi-puisi yang indah yang mengindahkan persoalan dan meningkatkan seni estetika  ketasawufan. Penulis melihat bahawa aspek seni, khususnya seni hati-rohani memainkan peranan yang penting di dalam meningkatkan citra dan cita rasa tasawuf.
Membicarakan topik berhubung dengan al-Sima` ini Al-Qushairy bertolak dari firman Allah yang bermaksud:
``Maka hendaklah diberi khabar gembira kepada hamba-hambaku yang mendengar ungkapan-ungkapan (baik), maka diikuti dengan yang lebih baik.`` (Al-Zumar:  17-18).
Contoh keindahan ayat yang bernaksud:
``Dan mereka di dalam taman syurga itu bergerak merentasi` (Al-Rum: 15).
Di dalam ayat  di atasi digambarkan pergerakan di dalam syurga itu secara tamsil dan tashbih  yang berkait dengan aspek balaghah yang ianya juga merupakan pembicaraan dari segi seni berbahasa.`
Seni adalah sesuatu yang indah dan memikat dan ianya selalu digunakan di dalam ungkapan yang mengindahkan.
Mengkhabarkan kami Abu al-Hasan `Ali bin Ahmad al-Ahwazi berkata, mengkhabarkan kami Ahmad bin `Abd al-S*affar berkata, bercakap kepada kami Al-Harth bin Abi Umamah berkata, bercakap kepada kami Abu al-Nadhr berkata, bercakap kepada kami  Shu`bah daripada Hamid berkata, aku mendengar kemesraan yang diungkap ketika orang-orang Ansar menggali parit bagi menghadapi perang Khandak. Sambil mereka bekerja keras mereka mengungkapkan keindahan gubahan:
Kamilah pengikut Nabi Muhammad
Sanggup berterusan untuk berjihad.
Ungkapan yang berseni ini menarik perhatian Rasulullah s.a.w. yang turut sama menggali parit, Baginda menjawaB:
Tiada kehidupan lebih baik dari akhirat
Tuhan muliakan  terhadap Ansar dan Muhajirin.
Mengkhabarkan kami Al-Shaykh Abu `Abdul Rahman al-Sulami ,berkata, mengkhabarkan kami Muhammad bin Ja`far bin Muhammad bin Mat*ar berkata, bercakap kepada kami al-Habbab bin Muhammad al-Tustari, berkata mengkhabarkan kami Abu al-`Ash`ath, berkata, bercakap kepada kami Muhammad bin Bakar al-Bursani berkata, bercakap kepada kami Shu`bah  daripada Hisham bin `Urwah daripada bapanya daripada `A`ishah r.`anha, bahawa Abu Bakar al-Siddiq r.a. masuk ke rumahnya dan disampingnya ada dua pemudi yang memainkan alat bunyian yang biasa dimainkan oleh kalangan Ansar, pada hari-hari perayaan. Maka berkata Abu Bakar, Adakah di sini  dua seruling syaitan ? Maka bersabda Nabi s.a.w. ``Tidak mengapa wahai Abu Bakar, sesungguhnya bagi tiap-tiap kaum ada hari raya dan hariraya kita hari ini.``
Mengkhabarkan kami Al-Ustadz al-Imam Abu Bakar Muhammad bin al-Hasan bin Purik r.a. berkata, bercakap kepada kami Ahmad bin Mahmud bin Kharzadz berkata, bercakap kepada kami Al-Husain bin al-Harth al-Ahwazi berkata bercakap kepada kami Salmah bin Sa`id daripada S*adaqah binti Abi `Imran, dia berkata, bercakap kepada kami `Alqamah bin Murthid daripada Zadzan daripada Al-Bara` bin `Adzib berkata, aku mendengar Rasulallah s.a.w. bersabda (bermaksud):
``Perelokkanlah bacaan Al-Qur`an dengan suara kamu, kerana suara yang elok menambahkan keelokan Al-Qur`an.`` Menunjukkan khabar ini akan fadhilat suara yang elok.``
Berbagai pendapat tentang al-sima`, pada dasarnya kaum sufi lebih  mesra  dan lonak pendiriannya lantaran al-sima` dapat melembutkan jiwa an meningkatkan persepsi alami dan rohani, al-sima` janganlah diguna sebagai peralatan atau jalan bagi ma`siat.
Al-Shaykh Abu `Abdil Rahman al-Sulami berkata aku mendengar Aba `Uthman al-Maghribi berkata,
`Siapa  mendakwa sebagai ahli al-sima`, sedangkan dia tidak dapat menghayati kicau burung, goncangan pintu dan deru angin, maka dia bukan ahli al-sima` dan seniawan.`` Adalah dikatakan bahawa  al-sima` adalah bagi mereka yang mempunyai sentuhan hati-rohani dan getaran seni yang terarah kepada Yang Maha Tinggi.
Muhammad bin al-Husain berkata, aku mendengar Muhammad bin `Uthman al-Maghribi berkata, ``Hati ahli-ahli al-haqq adalah hati-hati yang mu`asharah dengan sima` yang terbuka dan seharusnya membawa kebaikan.
Muhammad bin al-Husain berkata, aku mendengar Aba Bakr al-Razi berkata, aku mendengar Aba `Ali al-Rudzbari berkata, bila disoal tentang al-sima`, katanya, ``Pembuka rahsia (mukashafah al-asrar) kepada penyaksian yang dikasihi.``
Demikianlah banyak pendapat yang bersimpati dan berpihak ada kebaikan al-sima` dalam meningkatkan pengalaman hati-rohani terhadap yang Tertinggi. Ini berlainan dengan kalangan ahli al-fiqh yang agak keras dan tidak ada sentuhan  kehalusan seni rohani, kalangan mereka anti seni dan antara mereka mengharamkan sama sekali termasuk terhadap peralatan seni muzik.

Sekian.

July 2, 2017

GURU PEMEGANG AMANAH ILMU PERLU DIHORMATI


BBB, 07 Syawal 1438H. = 01 Julai 201`7M. (Sabtu):
Tajuk lengkap yang diberi oleh Al-Qushairy ialah ``Adab  Memelihara Hati Guru-Guru  Dan Meninggalkan Perselisihan Pendapat Dengan Mereka`
Guru berkedudukan penting di dalam kehidupan dan masyarakat. Dia dikira orang kedua penting selepas ibu-bapa. Bahkan dari segi pendidikan dia berkedudukan sebagai  orang pertama. Sebab itu guru sebagai orang yang memberi pengajaran dan mendidik akhlak dan adab seharusnya dihormati dan jangan ada tanda penentangan terhadap mereka.
Berhubung dengan  guru atau shaykh ini Al-Qushairy mengambil contoh antara Nabi Musa dengan Nabi Khaidhir. Allah merakamkan ke dalam Al-Qur`an berhubung dengan perguruan antara mereka berdua – ayat bermaksud:
``Berkata Musa,  Adakah boleh aku mengikut engkau di atas apa yang telah diajarkan daku daripada ajaran-ajaran yang benar.`` (Al-Kahfi: 66).
Tetapi selepas bersahabatan, Nabi Musa yang dikenakan syarat, tidak dapat mematuhi syarat, maka Al-Qur`an menggambarkan  tentang perpisahan mereka. Ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Ini adalah perpisahan di antara aku dengan engkau.``  (Al-Kahfi:  78).
Dari ayat-ayat dapat ditarik kesimpulan bahawa murid hendaklah patuh pada ajaran dan syarat-syarat di dalam berguru. Seharusnya tidak ada perselisihan antara murid dan guru.
Mengkhabarkan kami oleh Abu al-Husain al-Ahwazi berkata, bercakap kepada kami Ahmad bin `Ubaid al-Bas*ri berkata, bercakap kepada kami Abu Salim al-Qazzaz berkata, aku mendengar Yazid bin Bannan berkata, bercakap kepada kami Abu al-Rijal daripada Anas bin Malik berkata, bersabda Rasulullah s.a.w.
``Tidak ada yang lebih mulia daripada seorang pemuda dengan duduk bersama mengingati Allah Subhanahu wa Ta`ala.``
Aku mendengar Al-Ustadz  Aba `Ali al-Daqqaq r.h.a  berkata, bermula bagi firqah berbalah, ya`ni ada yang bercanggah dengan gurunya, maka dia tidak kekal tariqatnya dan terputus. Kalau ada yang berbalah, maka sayugia ianya bertaubat.
Tersebut bahawa Al-Junayd pernah masuk menemui Sari pada suatu hari, maka kata Al-Junayd dimaklumkan kepadaku bahawa Sari meminta  aku  tunaikan satu hajatnya secara segera, maka apabila aku kembali dari menunaikan hajatnya, maka dia memberi kepadaku satu cebisan  warkah dan dikatakan sebagai penghargaam kepadaku kerana dapat menunaikan hajatnya dengan segera. Apabila aku membuka cebisan berkenaan aku dapati tertulis ungkapan berikut:
Aku menangis, tahukah engkau mengapa aku menangis?
Aku menangis  mengingatkan  perpisahan amat tragis
Kau sewenang tika mesra  putuskan  tali perhubungan
Bahkan drastik bertindak buat keputusan penghijrahan.
Aku mendengar  Al-Ustadz Aba `Ali berkata, telah mensifatkan Sahl bin `Abdullah, seorang lelaki yang membawa kepada seorang keluar untuk menemuinya di Basrah, tetapi didapati dia tidak seperti yang digambarkan dan menganggapnya tidak berkelayakan, pada hakikatnya tidak seperti ditanggapi. Pengajaran yang dapat diambil, jangan membuat keputusan dalam masa yang pendek, dan jangan merendah seorang.  Dengan persepsi sedemikian, kita meletakkan seorang tidak kena tempatnya. Kita juga memandang rendah terhadapnya. Pengajaran juga kita perlu hati-hai di dalam meletak dan menilai seseorang agar kita tidak berlaku tidak adil di dalam meletakkan kedudukan seseorang.
Shaykh atau guru mempunyai kedudukan yang penting yang seharusnya dihormati, biarpun pada taraf  mana kedudukan. Bermaksud dia guru bagi peringkat permulaan pengajian, peringkat yang lebih tinggi dan peringkat tinggi. Mereka adalah mnerupakan pemegang amanah dari segi keilmuan dan pendidikan keakhlakan. Kejayaan seseorang adalah melalui rangkaian pendidikan ini. Bagi seorang diri pula ada kepakaran masing-masing yang menanam asas keilmuan  berkenaan bagi murid-murid masing-masing. Guru pula bersama-sama guru-guru yang lain bekerjasama di dalam melengkapkan keilmuan seorang murid.
Andainya seorang murid yang dididik berjaya dan maju di dalam bidang-bidang keilmuan tertentu, maka dia tidak harus memandang rendah terhadap guru-guru yang kini lebih rendah ilmunya dibandingkan dengan keilmuan yang dicapai kini.  Guru yang telah ditimba keilmuan darinya hendaklah dihormati dan tidak dipandang rendah terhadapnya.
Sebab itu pengajian ilmu, juga adalah pengajaran adab terhadap murid, tidak bererti seorang berilmu yang tidak menjaga adab, bahkan adab adalah mendahului ilmu. Di dalam penerimaan ilmu guru dapat dibandingkan sebagai perawi-perawi di dalam sanad-sanad seperti Hadith. Tiap-tiap perawi ini beradab, amanah dan bertanggungjawab di dalam menurunkan Hadith-Hadith kepada penerima-penerima  melalui sanad-sanad yang Hadith dterima dan  diamalkan
Keilmuan juga adalah  satu maklumat atau dapatan yang telah diteriama  dan bagi menyampaikan ilmu-ilmu berkenaan diterima oleh guru dan diperturunkan kepada murid-murid dengan jujur. Dengan penurunan ilmu berkenaan juga berkembang dan diamalkan. Sebab itu guru  dapat dikatakan sebagai pemegang amanah keilmuan yang diterima  dan diperturunkan kepada generasi berikut. Amanah dan dedikasi guru adalah dihormati. Jika tradisi ilmu tidak dihormati, maka dia berlaku kerosakan, oleh hilang kepercayaan, tetapi guru tidak sedemikian. Dia adalah pemegang amanah ilmu dan bertanggung jawab di alam mendidik masyarakat baik pada mana peringkat.
Shaykh dan guru hendaklah dihormati, dia pemegang amanah keilmuan dan mentransformkan kepada generasi-generasi seterusnya  dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Guru hendaklah dihormati.

Sekian.

July 1, 2017

SHAUQ = RINDU, BERKAIT RAPAT DENGAN CINTA


BBB, 06 Syawal 1438H. = 30 Jun 2017M. (Juma`at):
Adalah mempunyai hubungan rapat dengan ` Cinta` sebagaimana telah dibicarakan. Ianya ditanggapi, bahkan dialami melalui hati-rohani dan tidak terpisah dari intuisi seni yang diistilahkan sebagai wajdan dan seni rohani.
Al-Qushairy bertolak membicarakan aspek shauq-rindu ini berdasarkan ayat Al-Qur`an yang bermaksud:
``Siapa yang mengharap dapat bertemu dengan Allah, maka masanya akan datang. Dan Dia Amat Mendengar lagi Amat Mengetahui.`` (Al-`Ankabut: 5).
Tentang shauq ini kata Al-Ustadz Abu `Ali al-Daqqaq, ``Shauq ialah goncangan hati untuk menemui yang dikasihi. Ukuran shauq ialah menurut kadar mahabbah.``
Kata Al-Ustadz  lagi, perbezaan antara  shauq dan ishtiyaq, rasa rindu, bahawa, shauq memungkinkan pertemuan dan penglihatan, manakala ishtiyaq ialah berterusan keinginan kepada pertemuan – selepas pertemuan. Sebagai contoh dibawa bayt puisi klasik yang begitu popular:
Tidak berkejip mata ketika menatap
Jika berlalu rindu kembali mengharap
Sebuah bayt lagi mengenai rindu yang didengar dari Abi `Ali:
Wahai yang mengadu shauqnya oleh lama perpisahan
Sabarlah tanggungan necaya esok kau menemui yang dirindukan !
Tidak dapat dinafikan baik membicarakan tentang cinta dan rindu ada elemen seolah-olah mempersonifikasikan antara hamba dengan yang Tertinggi, sedangkan dari segi hakikatnya tidak mungkin  diletakkan yang Tertinggi  pada tahap alamiah, apa lagi mempersonafikasinya. Mungkin jika  difahami adanya penggunaan, maka ianya mekanisme yang bukan bertujuan meletakkan Yang Tertinggi pada tahap alamiah yang Dia adalah Mahasuci dari yang sedemikian.
Di dalam hal ini berkata Al-Shaykh `Abdul Rahman al-Sulami dia mendengar Al-Nas*r Abadzi berkata;
``Bagi makhluk sekalian ada maqam shauq dan tidak ada baginya maqam ishtiyaq.
Bermaksud, Shauq manusia terhadap yang Tertinggi berlaku, tetapi berterusan bersama yang dirindu tidak berlaku. Bermaksud, tidal mungkin berlaku pertemuan di dalam konteks makhluk terhadap yang Tertinggi sehingga memberi kesan rindu berterusan kerana pertemuan.
Berkata Ibn Khafif, ``Al-Shauq ialah getaran hati dengan wajdan lantaran ingin pertemuan dan berdekatan.
Membamdingkan,  Al-Ustadz Abu `Ali al-Daqqaq berkata, bahawa yang dipohon oleh Rasulullah s.a.w. shauq kepada Allah adalah seratus peratus, maka apa yang dipohon shauq oleh hamba-hamba yang lain hanyalah satu dari seratus yang bererti sembilan puluh sembilan lagi tidak dapat ditanggapi dan dihayati.
Adalah dikatakan shauq ahli al-qurb lebih sempurna dari ahli al-mahibbin, lanataran sedemikian dipuisikan:
Berterusan bergerak  dan dia dalam pencarian
Mengintainya  dari khemah ke khemah kerinduan.
Aku mendengar Muhammad bin al-Husain berkata, aku mendengar `Abdullah bin `Ali berkata, aku mendengar Ja`far berkata, aku mendengar Al-Junayd berkata, aku mendengar  Al-Sari berkata, ``Al-Shauq adalah setinggi-tinggi maqam bagi al-`arif, apabila ia tahqiq padanya, jika sedemikian tiada tumpuan melainkan kepada yang dirindui padanya.
Aku mendengar Al-Ustadz Abu `Ali al-Daqqaq berkata, setengah shaykh berkata, `` Apabila masuk shauq dan dia dirindui, maka dia terlepas dari ikatan yang lain.``
Aku mendengar Al-Shaykh Aba  `Abd al-Rahman al-Sulami  berkata, aku mendengar `Abdullah bin Ja`far berkata, aku mendengar Muhammad bin `Umar al-Ramli berkata, bercakap kepada kami Muhammad bin Ja`far al-Imam berkata, bercakap kepada kami Ishaq bin Ibrahim berkata, bercakap kepada kami Mahrum berkata, aku mendengar Malik bin Dinar berkata,
``Aku membaca di dalam Taurat, ``Kami bangkitkan rindu dalam dirimu, tetapi kamu tidak rindu kepada kami. Kami tiupkan seruling rindu, tapi tidak seorang  tersentuh dengan irama rindu itu.``
Aku mendengar Muhammad bin `Abdullah al-Sufi berkata, aku mendengar Muhammad bin Farhan berkata, aku mendengar Al-Junayd, bahawa dia disoal,
``Kerana apakah tangis yang mencintai, apabila bertemu yang dikasihi ?
Maka katanya, ``Adapun yang demikian lantaran sukacita dengannya. Dan bersangatan shauq kepadanya. Dan sampai kepadaku bahawa kedua beradik itu berpeluk. Seorang daripadanya berkata
``Alangkah shauqnya.`` dan berkata seorang yang lain, ``Alangkah wajdannya.``
Demikianlah dengan ma`rifat meningkat kefahaman dan pengertian terhadap Yang Tertinggi dan diakuri secara ta`abbudi.
Dan dengan  mahabbah dan shauq meningkat dari intuisi rohani – wajdan yang digambarkan dengan mahabbah dan shauq dengan keasyikan.

Sekian.