July 6, 2017

PENUTUP - WASIAT KEPADA MURID


BBB,  11 Syawal 1438H. = 05 Julai 2017M. (Rabu):
Mengakhiri kitab al-Risalah al-Qushairiyyah oleh Abu al-Qasim `Abdul Karim bin Hawazin al-Qushairy setebal 218 hlm. (tidak termasuk senarai kandungan) yang membicarakan tentang tokoh-tokoh sufi (83 orang), istilah-istilah dan konsep-konsep tasawuf, maka dibicarakan sebagai penutup ialah wasiat atau pesanan kepada murid-murid. Ia adalah sebagai kewajaran, bahawa ilmu yang dipelajari adalah melalui guru atau guru-guru. Sebagai pengakhiran wajar ada pesanan dari guru kepada murid-murid atau sesiapa yang mengikuti pengajian melalui kitab yang dibicarakan
Kata Ustadz, selepas kita bersama di dalam kelompok atau kaum sufi, antaranya membicarakan bab-bab seperti tentang maqamat, maka kita hendak mengkhatamkan risalah ini dengan wasiat kepada para murid dengan harapan mendapat kebaikan taufiq daripada Allah Subhanahu wa Ta`ala dengan mengamalkannya dan tidak menghalang dari mendirikan apa yang dipelajari.
Paling utama hendaklah bersifat sidq dengan apa yang diterima. Demikian pesan Al-Ustadz Abu `Ali. ``Jangan ada buruk sangka, jangan terbawa kepada kesesatan dan bid`ah. Hendaklah menurut jalan (tariqah) yang dibicarakan dan tidak ada campur aduk dan penisbahan kepada yang lain yang boleh mengelirukan. Guru-guru adalah ahli yang menyampaikan dan murid-murid adalah mengambil dalil ikutan sebagaimana ungkapan puisi:
Meskipun di malam wajahnya benderang
Kegelapan bagi ramai orang bersamaan
Maka manusia dalam kolum kegelapan
Maka dia pembawa obor siang terang.
Di samping mengikuti tariqat tasawuf (apa yang dianjur di dalam Al-Risalah), Al-Qushairy prihatin bahawa murid hendaklah teguh dengan pegangan akidah yang menjadi asas utama dan juga dari amalan shari`ah yang menunjukkan yang diikuti adalah  madzhab Shafie. Semuanya seharusnya  selaras dan tidak bercampur aduk dan berkecelaruan.
Sesungguhnya aku mendengar Al-Shaykh Aba `Abdal-Rahman al-Sulami berkata, ``Sangkaanmu terhadap ilmu para `ulama`  tanpa kefahaman boleh bertukar kepada tuduhan.``
Menurut Al-Qushairy para mashayikh sufi berusaha bersungguh-sungguh membuat pendekatan dari segi tasawuf dan membicarakan segala aspek secara mendalam, maka katanya,
Aku  mendengar Muhammad bin Abi `Ali bin Muhammad al-Maghribi berkata, aku mendengar Muhammad bin `Abdullah al-Farghani berkata, aku mendengar Al-Junayd berkata, ``Kalaulah aku mengetahui ada ilmu yang lebih mulia dan ilmu yang  lebih tinggi dari ilmu tasawuf di bawah kolum langit di muka bumi ini yang kita, saudara-saudara dan sahabat-sahabat  bercakap tentangnya, nescaya aku akan berusaha bagi mendapat keilmuan tersebut.
Al-Ustadz Abu `Ali al-Daqqaq membandingkan, bahawa pokok yang tumbuh dengan sendiri dan tidak dijaga, maka tidak subur tumbuhnya, demikianlah juga dengan murid yang tidak berguru maka tidak berkembang ilmunya, bahkan dipersoalkan kesahihannya.
Daripada kewajipan guru ialah melihat kemampuan dan kelayakan murid dan memberi bimbingan  dengan keilmuan yang disampaikan dan bagi pihak murid mematuhi apa yang diajar dan diminta oleh guru melakukan tugasan-tugasan yang dikenakan.
Pihak murid hendaklah menjaga adab dirinya dengan guru, misalnya bila menziarah dan berada di dalam majlis keilmuan , maka hendaklah  menghormati guru dan berkhidmat bagi kemudahan guru. Murid pula hendaklah berusaha menepati kehendak guru dan  menerima  ilmu dan mempraktikkannya. Murid hendaklah mengelak diri dari mempertikai guru dan elak dari berlaku percanggahan pendapat dengan  guru. Maruah diri guru hendaklah dipertahan sama ada dalaman lebih-lebih terhadap pihak luar.
Guru pula hendaklah membimbing murid, menyedar dan membaiki kekejian yang ada pada murid seperti tabiat dan akhlak yang tidak baik kepada pembaikan  yang lebih baik. Murid juga perlu mengawal diri  dan batas-batas pergaulan. Misalnya perlu memilih sahabat yang sama haluan dalam pengajian dan jangan dibiar diri dipengaruhi luar sehingga mengganggu pengajian  yang mungkin menyebabkan meninggalkan pengajian.
Murid juga digalakkan menyantuni kalangan orang susah dari kalangan fuqara` dengan menyelami hati budi dan jiwa mereka. Dengan mendekati,  memahami dan membantu mereka banyak pembelajaran,  rasa kasih sayang dan rasa kemanusiaan dapat terpupuk dalam jiwa.
Al-Qushairy juga membicarakan, bahawa murid hendaklah menjaga makan minum mereka dan mengelak diri dari memakan minum dan terlibat di dalam perkara syubhah, kerana ini akan menggelapkan jiwa. Dengan melibatkan perkara yang syubhah mudah terbawa kepada perkara-perkara haram yang boleh merosakkan jiwa dan peribadi murid. Kata Al-Qushairy, bagi murid  hendaklah berterusan mujahadah melawan hawa nafsu yang dapat mengganggu konsentrasi pada pengajian. Murid juga hendaklah berusaha menahan dari kemahuan-kemahuan yang tidak bersesuaian dan memendekkan angan-angan. Murid pendeknya perlu memahami kesabaran dan mempraktikkannya di dalam pengajian, bahkan di dalam penghidupan. Demikian antara intisari wasiat yang ditujukan kepada murid-murid  yang menekuni diri di dalam bidfang kerohanian. Insya Allah mereka diberkati. Mereka  insya Allah menjadi obor rohani dan elok pekerti.
Al-Hamdulillah Al-Risalah al-Qushairiyyah yang dihasilkan oleh Abu al-Qasim  `Abdul Karim bin Hawazin  yang disifatkan sebagai al-Imam yang meghimpunkan antara Shari`at dan Haqiqat, memperluaskan lagi runglingkup dan pembicaraan yang telah dibicarakan sebelumnya seperti oleh  Al-Muhasibi dengan Al-Ri`ayah, Abu Nas*r al-Sarraj al-T*usi dengan Al-Luma` dan al-Kalabadzi dengan al-Ta`arruf. Al-Risalah al-Qushairiyyah bolehlah diibaratkan sebagai Ensiklopedia ringkas dan permulaan bagi keilmuan tasawuf yang mana diberi tumpuan oleh Al-Qushairy dengan membicarakan istilah-istilah, konsep-konsep dan senarai tokoh-tokoh sufi . Al-Risalah  memberi panduan bagi mereka yang mengikuti keilmuan tasawuf berikutnya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment