July 31, 2017

AL-MUHASIBI MENEGAK PENDEKATAN TASAWUF MURNI


BBB,  06 Dzul Kaedah 1438H. = 30 Julai 2017M. (Ahad):
Nama penuh Al-Muhasibi ialah Abu `Abdullah al-Harith bin Asad al-Muhasibi adalah dari kalanagn sufi terawal (m. 243H.). Al-Muhasibi tinggal beberapa lama di Basrah dan kemudian berpindah ke Baghdad. Pada zamannya perkembangan ilmu pengetahuan baik di Basrah, maupun di Baghdad begitu pesat dan berlaku pergeseran keilmuan theosofi, khususnya antara golongan Sunni, Qadariyyah dan Jabariyyah dalam aliran ilmu kalam. Begitujuga terdapat aliran dalam ilmu tasawuf.
Al-Muhasibi yang menjadi guru bagi Al-Imam Junayd adalah salah seorang pendukung ilmu tasawuf. Beliau terkenal dengan gelaran al-Muhasibi, kerana ia amat prehatin memeliharakan kemurnian Islam termasuk ilmu tasawuf.
Bagi menjelaskan keilmuan tasawuf yang didukungnya, beliau menghasilkan beberapa buah karangan
1)      Al-Ri`ayat li Huquq Allah
2)      Al-Masa`il fi `A`mal al-Qulub wa al-Jawarih
3)      Kitab al-Wahm
4)      Risalah al-Mustarshidin
5)      Kitab al-Was*aya
AL-Muhasibi turut meriwayatkan Hadith Rasulullah s.a.w. Salah sebuah Hadith yang beliau menjadi rawi bagi sanad  bagi Hadith Rasulullah s.a.w. bermaksud:
``Seberat-berat apa yang diletak di dalam neraca timbangan ialah elok akhlak``
Beliau amat terkesan dengan maksud dan kandungan dan gagasan `Husn al-Khuluk``, bahkan beliau mengambil matlamat dan inti ketasawufannya adalah berasaskan `keelokan akhlak.
Prof Dr. `Abdul Halim Mahmud, Bekas Rektor Universiti Al-Azhar di dalam muqaddimahnya tentang kitab Al-Ri`ayat  li Huquq Allah berkata,
``Al-Muhasibi mengambil pendekatan tasawufnya dengan mentahqiqkan sifat `ubudiyyah berasaskan Al-Qur`an dan al-Sunnah.`
Al-Muhasibi berkata,
``Apabila engkau tidak mendengar seruan Allah, bagaimana engkau  boleh menjawab tentang dakwah Allah ? Sesungguhnya siapa yang bergantung lain daripada Allah dia sesungguhnya jahil dan tidak mengetahui tentang kekuasaan Allah.``
Al-Muhasibi sesungguhnya amat bermuhasabah dengan dirinya dan mempastikan hidupnya di dalam kebersihan dan tidak mau dirinya  terpalit dengan perkara shubhah. Dia adalah seorang yang zuhud, wara` dan taqwa.
Sebagai buktinya dia menghendarkan diri dari perkara yang haram dan shubhah, adalah dikatakan dia dari keturunan keluarga berada, apabila ayahnya meninggal, dia  meninggalkan sejumlah harta yang banyak antaranya meninggalkan mata wang sebanyak 70 ribu dirham. Dikatakan  Al-Muhasibi tidak mau mewarisi harta itu, kerana dikatakan bapanya menganut faham Qadariyyah, iaitu bertentangan dengan faham Sunni  yang dpegang dan ditegakkannya.
Dapatlah dikatakan pendekatan tasawuf Al-Muhasibi adalah pendekatan murni yang mana Nabi disifatkan oleh Al-Qur`am bermaksud:
``Bahawa sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia.`` (Al-Qalam: 4).
Dan firman Allah lagi bermaksud:
``Sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.`` (Al-Ahzab: 21).
Al-Muhasibi adalah pembuka jalan bagi pendekatan tasawuf secara akhlak yang akan dibina secara lebih lengkap kelak oleh Al-Ghazali dengan kitabnnya  `Ihya` `Ulum al-Din.
Menurut Al-Muhasibi di dalam kitabnya A`mal al-Qulub wa al-Jawarih, bahawasanya gerak daya kita lebih baik dari anggota.``
Baginya diri yang dikendali oleh hati lebih baik dari dikendalikan oleh nafsu.
Baginya pengetahuan adalah menyempurnakan tindakan berbanding dengan jahil merosakkan. Sebab itu katanya, ``Tidur orang alim adalah ibadat berbanding dengan bangunnya orang jahil yang mungkin melakukan kejahatan.``
Dalam hal ini diungkapkan bahawa, ``Berfikir sesaat lebih baik dari beribadat enam puluh tahun.``
Banyak pendapat tentang Al-Muhasibi. Berkata Al-Imam al-Tamimi di dalam  al-Kawakib al-Durriyyah berkata, ``Al-Muhasibi adalah imam bagi kaum muslimin di dalam bidang fiqh, tasawuf, Hadith dan al-Kalam.``
Berkata Ahmad bin Hanbal,  tentang Al-Muhasibi ,``Aku tidak mendengar tentang perkara-perkara hakikat seperti yang dikatakan oleh Al-Muhasibi dan aku tidak melihat seumpamanya sahabat-sahabatnya yang lain.``
Namun Al-Imam Ahmad bin al-Hanbal tidak menyetujuinya melibatkan diri di dalam ilmu al-kalam.
Al-Muhasibi menjawab, ``Menentang perkara bid`ah adalah fardhu.``
Manakala Al-Ghazali berkata, ``Al-Muhasibi adalah sebaik-baik ummah dalam ilmu mu`amalah. Dia mendahului yang lain membicarakan tentang keaiban-keaiban manusia, adab-adab amalan dan  pembaikan ibadat.
Sesungguhnya di tengah simpang siur kepelbagaian fikiran Al-Mhasibi berdiri tegak mempertahankan pendekatan Sunni bersama dengan `Ash`ari, Maturidi bersama dengan pendukung-pendukung mazhab fiqh yang empat – Maliki, Shafie, Hanbali da Hanafi.

Sekian.

No comments:

Post a Comment