BBB, 15 Syawal 1438H = 09 Julai 2017M.
(Ahad):
Dalam membicarakan tentang konsep tasawuf
pada dasarnya tidak banyak perbezaan pembicaraan dengan yang lain yang dibawa oleh Al-Hujwiri di dalam Kashfu
al-Mahjub.
Pendekatannya bermula dengan;
1) Rujukan kepada ayat Al-Qur`an yang berkait
dengan tasawuf
2) Perbandingan tentang Rasulullah dari segi kerohanian
3) Model sahabat
4) Asal usul istilah tasawuf
5) Perbedaan antara sufi, mutasawwif dan mustaswif
6) Tasawuf pada pandangan sufi
7) Realiti praktikal tasawuf.
Al-Hujwiri bertolak membicarakan tentang
tasawuf dari ayat Al-Qur`an yang bermaksud:
`` Dan hamba-hamba Allah (Al-Rahman) ialah
mereka yang berjalan dibumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang
berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab
dengan perkataan `selamat` dari perkara yang diingini.``
Ayat mencerminkan bahawa orang-orang berkelakuan baik –
termasuk sufi, ialah orang-orang beradab, dia di dalam tenteram dan
mententeramkan yang lain.
Berhubung dengan Rasul Baginda adalah model
kesempurnaan insan dari segi lahiri dan maknawi. Baginda adalah yang
dicahayakan oleh Allah akan hatinya dengan iman. Baginda dibarat sebagai cahaya
matahari dan bulan yang mencahayakan alam dan hati rohani.
Dari segi model sahabat, Al-Hujwiri
mengambil pendekatan yang biasa diambil oleh pembicara-pembicara tasawuf yang
meletakkan Abu Bakar sebagai sahabat dan
Khalifah pertama. Tapi Al-Hujwiri meletakkan Abu Bakar yang nama lengkapnya
Abdullah bin Abi Quhafah adalah Pemimpin Imam
bagi segenap orang yang menuruti jalan kerohanian.
Ketika kewafatan Rasulullah dan orang ramai
sedang kebingungan dan Umar Ibn al-Khattab mengancam siapa yang mengatakan Nabi
Muhammad telah wafat, tetapi Abu Bakar sebagai sahabat Rasulullah dengan hati
yang bersih dan tenang melihat secara jelas dari mata rohani mengatakan, bahawa
siapa yang memuja Muhammad sesungguguh Muhammad telah mati dan siapa yang
memuja Allah sesungguhnya Allah hidup tidak mati, lantas beliau membaca ayat
bermaksud;
``Dan tidak Muhammad melainkan seorang Rasul,
sesungguhnya telah berlalu sebelumnya
rasul-rasul, jika demikian jika ia mati atau terbunuh, patutkah kamu
berbalik (atau berpaling tadah menjadi kafir ?) Dan ingatlah siapa yang
berbalik (berpaling tadah menjadi kafir), maka ia tidak mendatangkan mudharat
kepada Allah sedikit pun. (Ali `Imran: 144).
Watak Abu Bakar mencerminkan kematangan dan
hakikat kebenaran. Ia selayaknya menjadi sahabat utama Rasulullah yang digelar
al-Siqqiq dan Imam dari segi kerohanian.
Contoh kematangannya, dalam menyampaikan
derma untuk peperangan, beliau yang dikatakan memakai baju bulu pada masa itu
menyerahkan semua hartanya dan apabila ditanya, apakah yang ditinggalkan ? Dia menjawab, Allah dan RasulNya ! Ini
mencerminkan keimanan dan ketinggigian jiwa seorang sahabat Rasulullah yang
sejati.
Al-Hujwiri lebih menekankan tasawuf dari segi istilah bererti
bersih, tidak keruh di samping menyentuh
kaitannya bereti bulu, saf pertama, sifat dan sebagainya.
Al-Hujwiri membincangkan perbezaan antara
sufi, mutasawwif dan mustaswif
Sufi adalah mereka yang bersih jiwa - zahir dan batin yang boleh meningkat kepada
tahap wali.
Mutasawwif ialah yang dalam peringkat
pencarian kepada tasawuf dan lebih rendah dari sufi,
Manakala mustaswif ialah sufi palsu yang berpura-pura sufi bagi
mencari kesempatan untuk mendapat pulangan dari segi harta, kekayaan dan
kedudukan. Orang yang sedemikian hendaklah dicurigai.
Sebagaimana kitab-kitab tasawuf yang lain
Al-Hujwiri juga membicarakan pendapat-pendapat sufi – sekadar beberapa pendapat
tokoh dan tidak menyeluruh kerana terlampau banyak. Antaranya,
Dhu al-Nun al-Misri yang berkata:
`Orang sufi apabila bercakap ternyata
kebenaran di dalam percakapannya.
Al-Junayd, Sufi mempunyai sifat-sifat
bermutu tinggi mendekati Ilahi.
Ibn al-Jala, tasawuf pada hakikatnya tanpa
bentuk.
Abu `Amrin al-Dimashqi, Sufi melihat kejadian alam dengan mata
kekurangan.
Al-Shibli, tasawuf dari satu segi `shirk`, kerana sering menjaga hati orang lain. Bagi sufi yang lain
dari Ilahi tidak ada erti.
Muhammad bin `Ali bin al-Hasan bin `Ali bin
Abi Talib: ``Tasawuf adalah kebaikan budi pekerti.``
Abu `Ali al-Murta`ish, ``Fikiran sufi
selari dengan langkah kakinya.,``
Dan beberapa yang lain seperti al-Hushri,
`Ali bin Bundar dan al-Muqri.
Pada penghujung pembicaraan Al-Hujwiri
turun kepada realiti dan praktikal tasawuf secara muamalat, bahawa sebagaimana
kata Abu Hafs* al-Haddad, Tasawuf keseluruhannya adalah adab.. Juga pendapat
Abu al-Hasan al-Nuri, Tasawuf tidak bererti tanpa moral,
sebagaimana kata al-Murta`ish ``Tasawuf adalah keelokan akhlak``.
Demikian pembicaraan Al-Hujwiri secara
ringkas tentang tasawuf bagi memulakan pembicaraan tasawuf yang dikira memada
untuk kefahaman. Kalau mau dibicarakan secara lengkap tentulah panjang. Pembicaraan
adalah memada sebagai muqaddimah pembicaraan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment