July 24, 2017

ABU HANIFAH NU`MAN TOLAK DARI MENJADI KADHI


BBB,  29 Syawal 14338H. =  23 Julai 2017M. (Ahad):

Abu Hanifah Nu`man (L. 81H./700M.) adalah terkenal sebagai pengasas Madzhab Hanafi sebagaimana Imam Maliki, Shafie dan Hanbali pengasas madzhab-madzhab. Dia terkenal di dalam bidang akidah dan fiqh dan menghasilkan karangan bagi kedua-dua bidang itu, iaitu al-Fiqh al-Akbar (`aqidah) dan al-Fiqh al-Asghar (fiqh).  Dia jarang dikaitkan dengan bidang tasawuf sebagaimana dikaitkan Ahmad bin Hanbal dengan bidang tasawuf, lantaran beliau menghasilkan  Kitab al-Zuhd  dan Kitab al-Wara`. Namun Al-Hujwiri nampaknya memasukkan beliau sebagai salah seorang tokoh di dalam bidang tasawuf.
Ini dikaitkan beliau sebagai seorang yang wara` dan tidak mau melakukan perkara-perkara yang melibatkan dosa. Al-Hujwiri menyifatkannya sebagai  `Imam bagi segala imam.`` Bahkan dia disifatkan sebagai shaykh di dalam bidang tasawuf.
Abu Hanifah bertekad untuk mengasingkan diri dari pegawai, penguasa dan kebesaran manusia. Dia mau mencontohi seperti Ibrahim bin Adham, Fudhail bin `Iyadh, Da`wud al-Ta`i dan Bishr al-Hafi.
Secara kebetulan sedang Abu Hanifah bersedia untuk pengasingan, dia dianggap orang yang berkelayakan menjadi kadhi. Beliau telah dipanggil oleh Khalifah Mansur zaman kerajaan Umawiyyah untuk memenuhi  jawatan kadhi pada zaman khalifah tersebut.  Bagi mengisi kekosongan jawatan lagi beberapa orang berkelayakan turut dipanggil oleh khalifah bagi perbincangan. Mereka yang dipanggil ialah Abu Hanifah Nu`man, Sufyan Thauri, Mis`ar bin Kidam dan Shurayh.
Berhubung dengan jawatan kadhi atau hakim ini adalah diketahui umum tentang peringatan Rasulullah, bahawa tiap tiga kadhi, maka dua daipadanya masuk neraka. Hanya seorang sahaja masuk syurga. Ingatan ini menjadikan para `ulama` mau menjauhi daripada menjabat jabatan berkenaan.
Keadaan ini berlaku kepada Abu Hanifah, Sufyan al-Thauri, Mis`ar dan Shurayh, namun oleh kerana panggilan Sultan Mansur mereka terpaksa pergi. Namun dikatakan Sufyan al-Thauri bertindak melarikan diri dengan bersembunyi dan menaiki kapal yang membawanya keluar dan terlepas dari arahan menjadi kadhi. Adapun Mi`sar bertindak bercakap meracau semasa di hadapan Sultan dan dia dianggap gila dan kerana dianggap gila, maka dia didapati tidak layak menyandang jawatan berkenaan. Abu Hanifah yang sama hadir mengadap Sultan Mansur, beliau  diminta oleh Sultan menjadi Kadhi. Abu Hanifah menolak dari menerimanya dengan alasan beliau bukan dari turunan `Arab (Kerajaan Umawiyyah ta`assub `Arab). Sultan menjawab bahawa,
``Tidak ada perbezaan antara `Arab dan bukan `Arab, dan engkau seorang `alim dan terkenal pada zaman ini.``
Kata Abu Hanifah, ``Saya bercakap benar, bahawa saya tidak layak dengan jawatan tinggi seperti itu dan jika saya terima saya membohongi diri saya sendiri. Orang bohong adalah tidak layak memegang jawatan kadhi itu.``
Dengan hujah itu dia terlepas dari menjawat jawatan kadhi. Maka yang tinggal ialah Shurayh, dia diminta menjawat jawatan kadhi dan dia terpaksa menerima jawatan tersebut.
Menurut Al-Hujwiri, selepas Shurayh menerima jawatan berkenaan, maka Abu Hanifah tidak pernah bercakap lagi dengan Shurayh sebagai protes terhadapnya kerana menerima jawatan tersebut.
Moral dari perwatakan Abu Hanifah, bahawa dia amat prehatin terhadap  perkara yang menjerumuskannya kepada perkara-perkara yang melibatkan hukuman, khususnya kiranya berlaku ketidakadilan atau tersalah dari segi hukum, sebab  itu dia bertindak menjauhi dari menerima jawatan kadhi, bahkan menolak dari menerimanya, lidak mau terlibat dengan dosa.
Kita telah membicarakan pada peringkat awal, bahawa Abu Hanifah lebih terkenal dari segi keilmuan, ialah di dalam bidang fiqh dan akidah. Sebagai seorang yang mendalam di dalam bidang fiqh, dia tahu berhubung dengan hukum-hukum seperti halal dan haram, perkara yang memberi pahala  dan perkara yang dosa, sudah tentulah watak sedemikian adalah berwatak baik, apa lagi dia alim di dalam bidang akidah. Kekukuhan akidah dan amalan yang betul dari segi syara` meletakkan Abu Hanifah sebagai seorang yang benar-benar mengamalkan suruhan Islam. Sebenarnya jiwa dan peribadi yang ada padanya lebih dari jiwa kesufian, lantaran itu beliau adalah juga berjiwa sufi, bahkan seorang sufi, walaupun tidak tidak dipanggil  sufi.
Dengan hujah di atas kita menyetujui dengan tindakan Al-Hujwiri mengkategorikan beliau sebagai seorang sufi.
Berhubung dengan  ketakutan `ulama` dari menjawat kadhi atau jawatan hakim, mencerminkan bahawa menjadi kadhi atau hakim adalah tanggungjawab yang besar bagi mempastikan bahawa keadilan perlu dijaga dan mereka yang bertanggungjawab di dalam mengeluarkan hukum perlu alim, prehatin dan penuh bertanggungjawab di dalam mengadili pembicaraan dan di dalam mengeluarkan hukum. Peringatan ini adalah menjadi panduan bagi bidang kehakiman dan mereka yang bertanggungjawab di dalam bidang kehakiman agar mempastikan berjalan dengan teratur, baik dan adil.
Dengan keperihatin yang diberi, maka adalah diharap jawatan kadhi atau hakim adalah jawatan yang dipandang tinggi, dihormati dan diyakini.
Sesungguh Allah menyuruh melaksanakan keadilan dan keihsanan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment