BBB,
02 Dzul-Kaedah 1438H. = 26 Julai 2017M. (Rabu):
Tokoh sufi Dzu al-Nun al-Mis*ri yang
berasal dari Mesir adalah tokoh sufi terkenal. Ungkapan-ungkapannya mendalam
dan bersifat dzauq dan wajdan. Namun menurut
Al-Hujwiri di dalam Kashf al-Mahjubnya, penduduk Mesir meragui tentang
Dzu al-Nun dari awal hayatnya hingga ke kematiannya.
Dikatakan pada malam kematiannya
(Al-Hujwiri menggunakan elemen
kreatif imaginatif ?) bahawa 70 orang
bermimpi melihat Rasulullah bersabda,
``Aku datang menemui Dzu al-Nun al-Mis*ri wali Allah.`` (Tiada
disertakan sanad dan perawi. Apakah dia berstatus Hadith ? Atau Hadith Dhaif ?)``
Secara kreatif imaginatif. Al-Hujwiri
menyatakan setelah kematiannya, konon tertulis atas keningnya ayat berikut:
``Ia adalah kekasih Tuhan yang mati
mencintai Tuhan ...``
Kita cuba mencari maklumat berkenaan Dzu
al-Nun al-Mis*ri di atas pada kitab-kitab tasaawuf yang lain, termasuk di dalam
Al-Risalat al-Qushairiyyat yang banyak menggunakan riwayat-riwayat tentang
tokoh ,khusus Hadith, maka kita tidak menjumpai seperti yang dikatakan oleh
Al-Hujwiri di atas,
Dengan kedudukannya di dalam tasawuf, maka
dikatakan orang-orang Mesir menyesal dengan kekhuatiran mereka terhadap Dzu
al-Nun al-Mis*ri semasa hidupnya.
Menurut Dzu al-Nun al-Mis*ri, tiap hari
bagi setiap sufi seharusnya makin meningkat kesufiannya, kerana makin mendekati
Tuhan. Namun walaupun bergitu, sebaik mati tersedar diri betapa jauhnya diri
dari Tuhan dan diri semakin miskin. Bandingan dibuat terhadap Nabi Musa yang
bertanya, ``Di mana diriMu aku mencari diriMu ?`` Tuhan menjawab, ``Aku di
antara keremukan hati manusia. Dan aku berada di mana Engkau berada !``
Antara pendapat Dzu al-Nun al-Mis*ri
tentang ma`rifat:
``Seorang yang mengaku mengenal Allah
tetapi tidak miskin dan tidak takut kepaaNya adalah seorang yang jahil dan
bodoh dan bukan ahli ma`rifat.``
Pendapatnya lagi,
``Orang yang mendekati Allah hendaklah
bersifat tulus dan ikhlas, tulus dan ikhlas adalah sebagai pedang yang memotong
segala yang lain dan tiada tinggal baginya,
melainkan Allah.``
Menurut Dzu al-Nun al-Mis*ri, tiap manusia
tidak sunyi dari kesalahan, sebab itu manusia perlu bertaubat. Menurutnya taubat ada dua martabat:
Pertama: Taubat awam, iaitu taubat daripada
dosa.
Kedua: Taubat khusus, iaitu taubat dari
kelalaian.
Dzu al-Nun al—Mis*ri juga diminta
nasihat-nasihat darinya, adalah dikatakan Khalifah Al-Mutawakkil pernah
menjemputnya ke istana. Beliau menasihat dan mewa`azkannya agar insaf dan bertaubat,
sehingga khalifah dikatakan menangis kekesalan di atas banyak dosa-dosa yang
dilakukan.
Sebagai tokoh sufi Dzu al-Nun al-Misri
dilegenda dan dikreatif dengan cerita-cerita anih yang menunjukkan
kekeramatannya. Antaranya,
Adalah pada suatu hari Dzu al-Nun al-Mis*ri
bersama-sama murid-muridnya berperahu memudiki sungai Nil bagi melihat
pertanda-pertanda kebesaran Tuhan dan melihat keruntuhan piramid-piramid Firaun yang zalim sebagaimana
tersebut di dalam Al-Qur`an. Dalam masa belayar tiba-tiba sebuah perahu
melintasi mereka dengan penumpang-penumpang
angkuh dan sombong yang di dalamnya mereka bersukaria dan berpesta dengan
muzik. Melihat keadaan mereka yang tidak bersifat hormat itu. Murid-murid Dzu
al-Nun meminta gurunya mendo`akan untuk kebinasaan. Gurunya berdo`a tapi
memohonkan keselamatan dan hidayah kepada mereka. Murid-murid Dzu al-Nun
terkejut dengan do`a guru mereka.Lebih-lebih lagi melihat penumpang-penumpaang
datang memohon maaf. Dzu al-Nun memberi nasihat dan pengajaran kepada
murid-murid mereka, bahawa Rasulullah s.a.w. dalam berdakwah diejek dan
disakiti oleh kaumnya. Baginda tidak mendo`akan kebinasaan kepada mereka.
Sebaliknya Baginda mendoakan:
``Wahai Tuhanku berilah hidayah kepada
kaumku, kerana mereka tidak mengetahui !.``
Dzu al-Nun al-Misri juga diceritakan
bahawa:
``Pada satu hari dia dalam perjalanan
bersama kafilah dari Baitul Maqdis, pulang ke Mesir, pada satu perhentian dia
dituju dan didatangi dari jauh oleh seorang wanita tua dan bertingkat untuk
menenmuinya. Setibanya Dzu al-Nun al-Misri bertanya kepada orang tua itu, Dari mana dia datang dan apa tujuan.
Orang tua itu menjawab, dia datang dari Allah dan singgah untuk mendapat
bekalan perjalanan. Orang tua itu ditanya Dzu al-Nun, ke mana tujuannya untuk
mendapat bekalan. Jawabnya `Kembali kepada Allah. Dia memohon dari Dzu al-Nun
sebaik-baik bekalan bersiat nasihat yang
menyelamatkan diri dunia dan akhirat. Orang tua itu menolak bantuan material
(dinar untuknya), lantaran itu
menurutnya, bukan tujuannya.
Dzu al-Nun al-Misri juga pernah berkata,
``Menunaikan ibadat adalah kelazatan dengan
syarat hendaklah dilakukan dengan tulus dan penuh keikhlasan serta penuh
kecintaan.``
Demikianlah Dzu al-Nun yang banyak di dalam
pengajaran dan nasihat-nasihatnya menekankan keikhlasan menurutnya:
``Tanpa ikhlas kita kehilangan, tetapi
dengan ikhlas kita memiliki segala dan
tiada berlaku kehilangan.``
Demikianlah Dzu al-Nun diabaikan semasa
hayatnya, tetapi disanjung lantaran kebernasan pendapatnya, selepas
kematiannya.
Sekian.
No comments:
Post a Comment