July 12, 2017

ANTARA KEFAQIRAN DAN KESUCIAN : KEUTAMAAN


BBB, 17 Syawal 1438H. = 11 Jualai 2017M. (Selasa):
Dari segi pendekatan Al-Hujwiri tidak lari dari menurut format tradisi bila membicarakan tentang tasawuf, iaitu bertolak dari bermula dengan apa itu tasawuf. Dari mana datangnya istilah berkenaan dan pendapat-pendapat berhubung dengan istilah berkenaan.
Selepas dari itu Al-Hujwiri membicarakan tentang apa itu tasawuf dan kefaqiran, Al-Hujwiri membicarakan salah satu pendapat yang kukuh dari segi asal kata istilah tasawuf adalah dari istilah s*afa, yas*fi dan safa` yang bermaksud, bersih, sedang bersih dan kebersihan. Pendapat tentang tasawuf berasal dati istilah s*afa yang bererti bersih amat popular.
Misalnya Abu al-Hasan al-Qanad r.h.a. ditanya tentang ma`na sufi, maka katanya, ``Dia adalah diambil dari asal perkataan `s*afa`  bererti bersih, iaitu dengan mendirikan haq Allah Ta`ala pada setiap waktu dengan sempurna syarat-syarat .`` (Al-Luma`: 1380H./1960M: 46).
Menurut  Al-Kalabadzi, berkata satu golongan sufi, dinamakan `sufiyah` kerana bersih rahsianya dan jernih kesannya.
Dan berkata Bishr ibn al-Harith, sufi ialah orang yang bersih muamalahnya kerana Allah Ta`ala, maka bersihlah baginya dari Allah Ta`ala kemuliaannya.`` (Al-Kalabadzi, 1388H./1969M.: 28).
Sebagaimana telah dibicarakan selepas membicarakan tentang istilah tasawuf, dibicarakan tentang kefaqiran sebagaimana telah dibicarakan sebelum ini. Dari gaya dan pendekatan Al-Hujwiri, walaupun format yang dibicarakan tidak berbedza dari pendekatan-pendekatan yang lain tentang tasawuf, sesuai dengan judul bukunya `Kashf al-Mahjub`, bermaksud  `Menyingkap Yang Tertutup`,  maka sebagaimana dia membicarakan tentang kefaqiran secara halus dan agak berbeza dari fokus pembicaraan, maka pada kali ini tentang `Kafaqiran dan Kesucian` beliau tidak sekadar membicarakan maksud faqir dan sifatnya, dan begitu juga dengan kesucian, tidak sekadar mengambil pendapat yang lain tentang maksud tasawuf berhubung dengan makna `safa` bersih, sebaliknya dia membicarakan tentang perbezaan antara kefaqiran dan kesucian, yang pendekatan sedemikian tidak dibicarakan oleh tokoh-tokoh sufi sebelumnya. Pembicaraan ini  terlampau spesifik dan agak kecil.
Di dalam pendekatan Al-Kalabadzi menimbulkan persoalan, ``Manakah lebih sempurna antara kefaqiran dan kesucian ?``.
Al-Hujwiri antaranya mengambil pendapat  Abu Hasan Samnun yang mengatakan bahawa kefaqiran adalah lebih utama dari kesucian, secara rhetoric, dia mengatakan konsep kefaqian meningkat kepada peringkat kefanaan yang menenggelamkan yang lain termasuklah kesucian itu sendiri,  dalam maksud kesucian berada di bawah kefaqiran. Apa yang diutarakan oleh Al-Hujwiri ini adalah aspek yang agak halus yang tidak dibicarakan oleh kalangan sufi yang lain.
Namun pendapat ini disanggah dengan melihat, bahkan menghujah dari beberapa segi, bermaksud konsep bersih yang menjadi salah satu makna terpenting di dalam tasawuf, bahawa dapat dilihat dari segi konsep, gagasan, bahkan doktrin sebagaimana dikatakan bahawa Al-Hujwiri membawa elemen-elemen doktrin di dalam pendekatan ketasawufannya, biarpan tasawuf dikatakan tidak mudah didoktrinkan, kecuali yang mempunyai rangka falsafah yang mengikatnya dengan falsafah tertentu seperti `wahdatil wujud` oleh Ibn `Arabi.
Adapun dari segi konsep, bahawa pendekatan keilmuan tasawuf yang bersifat rohani, memang bertujuan bagi membersihkan diri dan jiwa manusia. Sebagai contoh pembicaraan tentang nafsu dan mengenalinya dari segi sifat dan ciri serta martabat-martabatnya. Semuanya tidak lain agar melalui pengenalan diri dapat menjauhi dari sifat keji dan menghiasi diri dengan sifat terpuji. Demikian misalnya pendekatan mengenali maqam-maqam seperti taubah, zuhud, sabar, faqr . tawakkal dan redha,  dan demikian dengan hal seperti takut, taqwa, ikhlas, shukur dan al-qurb adalah merupakan kaedah dan gagasan bagi meningkatkan kualiti diri kepada Allah. Dari segi keseluruhan semuanya tidak lain dalam erti kata yang luas ia adalah bertujuan bagi `Membersih` diri bagi menuju kepada Allah, sedangkan kalau kita lihat di dalam skema di atas, faqr adalah satu tangga yang dikategori di bawah maqamat.
Jika mau dilihat dari segi doktrin, maka tidak lain daripada melihatnya dalam rangka `doktrin tauhid, kerana walaupun tasawuf merupakan keilmuan khusus, maka ianya tidak terkeluar dari rangka falsafah tauhid, sebagaimana kata Al-Kalabadzi, bahawa  tauhid dari segi tasawuf sebagaimana juga di dalam pendekatan akidah,  ialah ``Mengesakan Allah yang bisifat qidam dan membersihkanNya dari sebarang yang bersifat baharu.
Demikian juga bila membicarakan tentang hakikat ma`rifat dari segi tasawuf. Berkata Al-Kalabadzi,kata setengah shaykh-shaykh (sufi):
Ma`rifat itu ada dua bahagian. Ma`rifat haqq dan ma`rifat haqiqat.
Ma`rifat haqq, ialah mengithbatkan keesaan Allah Ta`ala dan ma`rifat haqiqat ialah, tiada jalan untuk sampai kepadanya, kerana tidak mampu untuk meliputiNya oleh sesuatu.
Jelas dari segi doktrin sama dari segi konsep dan gagasan ialah bagi mendekatkan diri kepada Allah demikian juga akidah adalah membersih dan membetulkan diri dari segi akidah.
Sebagai kesimpulan, bahawa pengambilan istilah tasawuf dari asal kata `safa` yang bererti bersih, berbanding dari maksud-maksud yang lain, jelas menunjukkan bahawa tasawuf yang memaksudkan bagi pembersihan diri lahiri dan maknawi bagi mendekati Ilahi dan juga bagi kebaikan diri dalam kehidupan memberi erti bahawa istilah ini adalah paling  dominan dari segi penggunann berbanding dengan istialah-istilah yang lain, lantaran itu ianya dikenali sebagai ilmu tasawuf, iaitu ilmu bagi membersihkan diri, berbanding dengan istilah kefaqiran, ianya menjadi satu aspek dari segi maqamat ketasawufan.
 Tasawuf adalah tas*fiyah yang termasuk dibawahnya elemen kefaqiran.

Sekian.

No comments:

Post a Comment