July 22, 2017

WATAK ABU HAZIM AL-MADANI : PENDAPATNYA DIPERSOALKAN:

BBB,  27 Syawal 1438H. =  21`Julai 2017M. (Juma`at):
Anekdot mengenai Abu Hazim Al-Madani adalah antara yang teringkas dari 54 anekdot mengenai sufi-sufi selepas tabi`in. Persoalan berhubung dengannya.
1)      Dia disifatkan seorang yang benar-benar faqir dan mampu menyekat kemahuan nafsunya.
2)      Amir bin `Uthman al-Makki meriwayatkan  bahawa satu hari watak ditanya apa yang dimilikinya, dia menjawab `Keredhaan dari Tuhan dan kemerdekaan dari manusia.``
3)      Seorang shaykh pergi menemuinya, dia sedang tidur, apabila ia terjaga dari tidurnya dia menyatakan bahawa dia bermimpi menemui Rasulullah yang  menurutnya Baginda berpesan, ``Lebih baik memenuhi tugas terhadap ibu daripada melakukan ziarah haji !``
Apa yang dikaitkan dengan watak ini, Abu Hazim al-Madani, iaitu tokoh yang kurang dikenali dan tidak kedapatan di dalam Al-Qushairy  dan beberapa kitab tasawuf yang lain.
Persoalan faqr adalah merupakan maqam yang terkenal di dalam skema tasawuf. Faqr selalu dikelirukan, bahawa faqr diberi etri faqir, iaitu lebih rendah dari miskin. Ukuran dinilai dari segi material, pada hal faqr ialah situasi jiwa dalam hubungan dengan Allah. Faqir dalam erti biasa, ialah seorang yang amat berhajat pertolongan., khususnya material dari orang atau dari sebarang pihak. Sedangkan maksud faqir ialah orang yang teguh jiwa dalam hubungan dengan Allah dan tidak berharap kepada manusia, bahkan dia menyembunyikan diri dari menampakkan dia memerlukan sebarang pertolongan dari manusia.
Firman Allah bermaksud:
``Bagi fuqara` yang menumpukan diri pada jalan Allah yang tidak berupaya mengembara di muka bumi, dijangka oleh orang yang jahil, mereka itu kaya kerana sifat iffah mereka, kerana mereka menahan diri dari meminta-minta, engkau kenal mereka dengan sifat-sifat dan keadaan masing-masing. Mereka tidak meminta dari orang ramai dengan mendesak-desak. Ketahuilah apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang halal, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya.`` (Al-Baqarah:  273).
Dalam erti bahawa ciri kefaqiran dari segi material diterima sebagai ciri kesufian, tetapi tidak bererti yang berada tidak berhak dari segi pencapaian jiwa kefaqiran –  maksud mendekati diri kepada Allah. Bahkan dari satu segi yang berada dari segi material mempunyai peluang lebih  bagi melakukan kebajikan kepada diri dan masyarakat dalam hubungannya dengan Allah.
Persoalan yang kedua yang diberi pendapat oleh Abu Hazim, iaitu usaha mendapat keredhaan daripada Allah. Ini adalah menjadi prinsip yang bukan saja dipegang oleh Abu Hazim, tetapi adalah menjadi pegangan dan harapan bagi setiap orang Islam, bahawa segala amalan yang dilakukan oleh setiap orang Islam ialah untuk mendapat keredhaan daripada Allah, kerana tidak ada gunanya amalan yang banyak, jika tidak mendapat keredhaan dari Allah dan bagi mendapat keredhaan dari Allah ada keperluan dan syarat-syaratnya. Antaranya konsep bersih yang ditekankan dalam tasawuf itu sendiri. Bersih melibatkan aspek  dalaman dan luaran.
Adapun yang bersifat dalaman adalah yang melibatkan hati dan rohani, bahawa hendaklah  bersih dari segi niat. Untuk bersih dari segi niat semestinya segala yang berkait dengan persediaan dan pembinaan hati-rohani juga perlu bersih. Misalnya berkait dengan pembersihan dari segi akidah. Niat amat penting dan perlu ikhlas, ianya menjadi asas bagi sesuatu yag hendak dilakukan, maka kiranya niat tidak betul dan tidak ikhlas, maka tujuan dan hasilnya juga tidak betul.
Adapun keperluan dari segi lahir bagi mendapat keredhaan daripada Allah, antaranya rezeki yang dicari untuk kehidupan dan makan minum hendaklah secara halal. Jika perkara yang tidak halal bagi menjadi sumber makan minum dan apa yang dibelanjakan kepada keluarga  dan kehidupan adalah menjadi halangan untuk diterima Tuhan. Bagaimana untuk diterima Allah, sedangkan do`a yang memakan perkara yang haram tidak diterima Allah, bahkan amal ibadatnya mungkin tidak diterima Allah. Sesungguhnya untuk mendapat keredhaan Allah perlu melalui cara yang bersih, tanpa kebersihan menyukarkan diri dari mendapat keredhaan Ilahi. Sesungguhnya pergantungan kepada Allah memerdekakan seseorang dari mengharap dan menggantungkan keperluan kepada manusia. Ini sendiri membawa maksud kepada kefaqiran, iaitu menggantungkan harap hanya kepada Allah dan membebaskan diri dari manusia.
Berhubung dengan perkara ketiga sebagai pendapat Abu Hazim adalah kotroversi dan dapat dipersoalkan. Persoalan Abu Hazim menemui Rasulullah s.a.w. di dalam mimpi, mungkin benar berlaku, kerana syaitan tidak dapat menipu berwatak Rasulullah, tetapi apakah konsep mimpinya bertepatan ?   Pernyataan Abu Hazim yang menisbahkan kepada Rasulullah yang bermaksud lebih baik menjaga ibu yang tua daripada melakukan kewajipan haji boleh dipersoalkan. Ini mungkin dikaitakn dengan cerita `Uwais al-Qarni yang tidak bersama jamaah kerana menjaga ibunya dan dia dikatakan dapat memberi syafaat padahari kiamat. Persoalan `Uwais, hanya tidak dapat berjamaah dari segi solat. Adapun persoalan haji adalah merupakan kewajipan dan menjadi salah satu rukun Islam. Kekecualian mungkin boleh berlaku, jika dalam keadaan terdesak, tetapi untuk menjaga ibu, jika berpeluang menunaikan haji ada berbagai cara. Misalnya mendapat pertolongan dari adik beradik dan keluarga yang lain semasa menunaikan haji. Kenyataan Abu Hazim mengenai lebih baik menjaga ibu daripada menunaikan haji dapat diperdebatkan, kerana ia (kenyataan Abu Hazim) bercanggah dari kewajipan menuaikan haji.Lantaran itu kenyataan Abu Hazim yang seolah-olah sebagai fatwa dapat dipersoalkan.

Sekian

No comments:

Post a Comment