BBB, 09 Syawal 1438H. = 03 Julai 2017M.
(Isnin):
Karamat berasal dari kata karama bererti
mulia, karim bererti yang mulia dan karamat bererti orang mempunyai kemuliaan.
Di dalam konteks seorang sufi seorang yang
bersih jiwanya, dekat dengan Allah, banyak beribadat dan membawa
nilai-nilai akhlak yang tinggi di sisi Allah. Pada dasarnya seorang yang fokus
diri dan jiwanya terhadap Allah adalah ikhlas dan tidak ada tujuan yang lain.
Misalnya untuk mendapat keistimewaan tertentu dari Allah dan sebagainya. Jika
ada sedemikian, maka tujuannya sudah salah dan keilhlasan dapat dipersoalkan.
Seorang sufi dan kelompok sedemikian
dilihat sebagai golongan yang memperhambakan diri terhadap Allah. Kemurnian dan
pilihan sedemikian adalah disanjung, namun tiada harapan sanjungan dan ianya
bukan tujuan.
Walaupun demikian ada satu hal yang
dibicarakan di dalam tasawuf selepas membicarakn puncak-puncak kerohanian yang
mungkin dicapai misalnya secara mahabbah
dan shauq, bahawa ada keistimewaan yang mungkin terjadi pada sufi dan di
kalangan sufi yang seharusnya tidak timbul dari hasrat mereka. Misalnya Abu
Nas*r al-Sarraj al-T*usi di dalam karangannya yang berjudul Al-Luma`
memetik sebagai Sahl bin `Abdullah
r.h.a. berkata:
``Al-Aayat ialah bagi Allah, dan mu`jizat
adalah bagi para anbiya` dan karamat bagi para auliya dan para mu`minin pilihan.` (Al-Luma`: 390).
Al-Qushairy memilih pendapat Abu al-Qasim
yang dipetiknya:
``Lahirnya karamat di kalangan auliya`
(wali-wali) sesuatu yang harus dan dalil bagi keharusannya adalah perkara yang
diwahamkan berlakunya dari segi akal secara rasional, melainkan dikaitkan
dengan kekuasaan dan kehendak Allah.``
Walaupun perkara karamat dikatakan perkara
yang harus berlaku, namun perlu diambil berbagai-bagai perhatian.
Meletakkan para wali yang tidak pasti
kriteria pencapaiannya sebagai berada selepas para anbiya` adalah sebagai satu
yang tidak menyenangkan akal, hati dan jiwa. Meletakkan para wali-sufi pada
kedudukan sedemikian menjatuhkan taraf mereka yang tidak seharusnya
disejajarkan dengan para anbiya` yang authoriti mereka diberi dan diakui Allah.
Bagaimanakah mereka diletakkan selepas para anbiya`. Bagaimana kedudukan ini
diberi dan apakah kriteria kelayakan diberi kepada mereka.
Dengan tidak menafikan tentang rujukan
tentang wali terdapat di dalam Al-Qur`an: Contoh ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Ingatlah bahawa wali-wali Allah mereka
itu tidak takut dan mereka tidak berdukacita.`` (Yunus: 62).
Juga ayat berikut yang bermaksud:
``Wahai orang-orang beriman jangan kamu
mengambil orang-orang Yahudi an Nasara menjadi pemimpin setengah daripada setengah mereka itu dari segi
kepimpinan. Siapa yang mewalikan mereka itu, maka dia sebagai dari kalangan
mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi pertunjukan terhadap kaum yang zalim.
(Al-Ma`idah: 51).
Dalam dua ayat petikan di atas, maka ayat
pertama, mungkin termasuk dari kalangan rohaniawan atau kalangan sufi, tetapi
tidak semestinya mereka. Manakala ayat kedua wali atau jama` auliya` adalah
merujuk kepada kepimpinan yang
memerintah. Sebenarnya wali dan awliya` yang terdapat di dalam Al-Qur`an lebih
banyak merujuk kepada yang memerintah, yang berkuasa, yang berhak, yang diberi
tanggungjawab, yang berwibawa dan sebagainya.
Jadi konsep wali adalah lebih luas skop dan
maknanya dan lebih banyak merujuk kepada yang memerintah dan berkuasa. Maksud
huraian, bahawa soal kewaliyan dari segi rohani, memang tidak dinafikan dari
kewujudan – dengan kehendak Allah,
tetapi lebih banyak dimaksudkan ialah tentang kekuasaan. Dalam erti kata yang
lain, soal kemungkinan yang berlaku perkara-perkara yang pelik-pelik, tidak
perlu diberi penekanan dan bukan fokus dan tujuan dari segi kerohanian. Bagi
kalangan rohaniawan dan sufi adalah bertujuan membersih diri sebaik mungkin
bagi mendekati Allah dan mencintaNya dan tidak ada tujuan seperti untuk
mencapai martabat kewalian dan sebagainya. Ianya bukan tujuan dan andainya
berlaku ia dilihat pihak luar dan orang yang berkenaan tidak meyedari dan tidak
mengetahui.
Kedudukan dan pandangan sedemikian adalah
bersesuaian dengan realiti sejarah. Misalnya wujudnya ratusan bahkan ribuan
dari segi sahabat yang berjuang menegakkan Islam. Cerita-cerita tentang mereka
di dalam sejarah adalah ketokohan mereka dari segi peranan dan kedudukan
sebagai sahanat sebagai manusia yang rapat dengan Rasulullah s.a.w. yang
berjihad bagi menegakkan agama Islam. Perwatakan mereka adalah manusia biasa
yang ikhlas dan setengah daripada mereka gugur di dalam medan jihad. Mereka
digambarkan sebagai manusia biasa dan tidak diwarnai dengan perkara yang
pelik-pelik hingga kepada taraf kewalian !
Di dalam
Al-Risalah al-Qushayriyyah oleh Al-Qushairy ini antaranya ditimbulkan mengenai perkara yang ditimbulkan di atas:
``Dan bersalahan pendapat ahli al-khaufi
(yang takut kepada Allah) tentang wali,
``Adakah harus bahawa seseorang itu dikenali
dengan wali atau tidak ?
Maka adalah Al-Imam Abu Bakar bin Furik r.h.t.a. berkata, ``Tidak Harus` yang
demikian, kerana menjadikannya tidak tenteram dan hilang kehormatan.
Walau bagaimana Al-Ustadz Abu `Ali al-Daqqaq r.h.t.a. berkata `Harus` kerana ia memberi kesan yang
baik dan disebut-sebut sebagai cobtoh tauladan dan ianya bukan sebagai satu
kewajipan bagi semua kalangan wali.
Persoalan yang boleh ditimbulkan apakah kriteria
wali sebenarnya yang menjadi ukuran ?
Andainya ia berlaku pada seseorang adalah
bagaimana wajar diakui, dan lebih tidak
wajar diakui oleh seseorang itu sebagai wali.
Kedudukan wali – dari segi kerohanian
adalah mungkin wujud, jika dikehendaki Allah, tetapi tidak seharusnya dan tidak wajar sebarang orang mengakui
dirinya Wali !
Sekian.
No comments:
Post a Comment